Anda di halaman 1dari 9

ANALISIS PERGERAKAN KREATIF DALAM

TEATER SIRAH JUNJUNGAN

ZURAIMI BIN MOHD ZUBER

D20071029124

STP1023 (PERGERAKAN KREATIF)

EN. MUHAMMAD FAISAL BIN AHMAD


ANALISIS PERGERAKAN KREATIF TEATER MUZIKAL SIRAH JUNJUNGAN

PENGENALAN

Sirah Junjungan, Tahajud Cinta adalah sebuah teater muzikal yang diarahkan oleh Eirma
Fatima (Eirma Fatima). Teater ini mengisahkan tentang sejarah perjuangan Nabi Muhammad
s.a.w bermula daripada kelahiran baginda sehinggalah ke kewafatan baginda. Selain pahit maung
dalam perjuangan Rasulullah s.a.w, teater ini turut memaparkan cabaran yang dihadapi oleh para
sahabat dan umat Islam pada awal perkembangan dakwah Islamiah yang suci ini.

Persembahan teater muzikal ini mempunyai kekuatan daripada beberapa aspek. Hal ini
termasuklah dari segi rekaan set seperti kaabah, rumah Siti Khadijah, patung-patung berhala dan
rumah Nabi Muhammad s.a.w. Selain itu, props seperti pedang, tombak dan cemeti juga banyak
membantu dari segi perjalanan cerita. Kostum pula banyak membantu dari segi simbolik dan
makna contohnya pakaian hitam yang dipakai oleh Hendon bagi menggambarkan kejahatannya.
Lakonan yang mengesankan daripada para pelakon contohnya Rebecca Nur Islam yang
melakonkan watak Hendon dan Taiyuddin Bakar yang membawa watak Bilal bin Rabah turut
Berjaya menjadikan persembahan ini begitu menarik. Namun, selain daripada aspek-aspek yang
dinyatakan, aspek pergerakan kreatif di dalam persembahan ini turut banyak membantu penonton
dalam melihat apa yang ingin disampaikan oleh pengarah persembahan ini.

Terdapat beberapa aspek pergerakan kreatif yang dapat dianalisis daripada persembahan
teater muzikal ini. Aspek-aspek tersebut adalah penggunaan ruang oleh pelakon dan korus dalam
sesuatu situasi, permainan level, teknik-teknik yang diguna oleh pelakon ataupun korus seperti
lompatan dan gulingan, dan dinamik pergerakan pelakon atau korus. Analisis terhadap aspek-
aspek pergerakan kreatif dalam persembahan ini akan diterangkan secara lanjut dalam tugasan
ini. Selain itu, aspek-aspek yang membantu pergerakan kreatif dalam persembahan ini seperti
penghayatan pelakon, props dan set, kostum dan pencahayaan turut akan dianalisis dalam
tugasan ini.
BABAK PENGENALAN

Babak pengenalan teater Sirah Junjungan memaparkan kehidupan masyarakat Arab


Jahiliah sebelum kehadiran Nabi Muhammad, memperihalkan kejadian-kejadian ketika kelahiran
baginda, serta kehidupan baginda ketika sebelum mendapat wahyu daripada Allah s.w.t.
Terdapat beberapa adegan melibatkan pergerakan kreatif yang dapat dianalisis daripada babak
ini. Ini termasuklah pergerakan korus membawa bola yang bercahaya, pergerakan para pelakon
menggambarkan perperangan dengan tentera Abrahah, pergerakan pelakon-pelakon
menggambarkan situasi penyembahan berhala di sekeliling Kaabah, pergerakan pelakon-pelakon
semasa situasi kelahiran Nabi Muhammad dan pergerakan penyanyi iaitu Jamal Abdillah ketika
menyanyikan lagu Muhammad Mustofa dan Nabi Anak Yatim.

Permulaan pementasan dibuka dengan pergerakan para pelakon terdiri daripada kanak-
kanak dan orang dewasa membawa lampu bulat besar yang bercahaya di atas pentas. Semasa
membawa bola-bola bercahaya tersebut, para pelakon didapati telah bergerak memasuki pentas
dari depan pentas melalui dua arah iaitu kiri dan kanan pentas. Seterusnya, para pelakon telah
bergerak memenuhi hampir keseluruhan ruang di pentas tersebut. Terdapat tiga level dalam
pergerakan para pelakon iaitu sebahagiannya berdiri tegak, sebahagian duduk berteleku dan
sebahagian berdiri dalam keadaan membongkokkan badan sambil mengangkat lampu tersebut
tinggi. Pergerakan para pelakon ketika ini melibatkan pergerakan berjalan dengan tidak begitu
‘berat’. Pada pendapat saya pergerakan ini memberi impresi bahawa lampu-lampu besar
bercahaya tersebut mungkin adalah simbolik kepada cahaya kebenaran yang dibawa oleh Nabi
Muhammad yang akan menerangi kegelapan zaman jahiliah dan menyuluh masyarakatnya ke
arah kebenaran. Pergerakan yang tidak begitu agresif membayangkan bahawa dakwah Islam
dilakukan secara lemah-lembut dan bukan secara agresif menggunakan keganasan. Ini
dibuktikan pencahayaan yang menggunakan warna biru pada sepanjang keseluruhan babak ini.
Cahaya berwarna biru mungkin dapat ditanggap sebagai sesuatu yang menyejuk dan
mendamaikan dan sekaligus adalah simbol kedamaian dalam agama Islam.
Pementasan ini turut menunjukkan situasi semasa peperangan antara kaum Quraisy
dengan tentera Abrahah. Pergerakan ini melibatkan penggunaan hampir keseluruhan pentas dan
tidak melibatkan permainan level yang banyak. Pelakon-pelakon pula didapati hanya
menggunakan teknik lompatan sahaja. Pergerakan para pelakon pula kebanyakannya agresif.
Pergerakan pembesar Quraisy pula kelihatan lebih berat dan menggambarkan situasi penuh
tekanan dalam perang tersebut. Pergerakan ini berjaya menonjolkan ketegangan dalam situasi
perang dibantu dengan props seperti pedang dan kostum pakaian perang. Selain itu, pemaparan
visual burung-burung Ababil sangat membantu dalam memvisualkan situasi tentera Abrahah
dilontari dengan batuan dari neraka oleh burung-burung tersebut.

Babak yang dipaparkan seterusnya menunjukkan keadaan masyarakat Quraisy yang


begitu mengagungkan berhala-berhala sembahan mereka iaitu Latta dan Uzza. Pergerakan korus
pada ketika ini adalah sangat agresif dan melibatkan pergerakan pada level menggunakan bahu,
membongkokkan badan (pinggang), membengkokkan lutut dan pergerakan melonjak
menggunakan tapak kaki. Korus juga menggunakan teknik lompatan kecil sambil
membengkokkan lutut, pusingan menegak 360 darjah, larian dan goyangan badan. Didapati
ruang sekitar berhala adalah fokus korus dalam pergerakan ini. Pergerakan ini tidak
menunjukkan sebarang bentuk dan pada kebanyakan masa mereka bergerak pada satu garis
selari. Pada pendapat saya, pergerakan korus ini mungkin menggambarkan ketaksuban majoriti
kaum Quraisy terhadap berhala sembahan mereka. Perbuatan membongkokkan badan dan
membengkokkan lutut begitu jelas menunjukkan pengabdian mereka terhadap berhala-berhala
tersebut, hal ini turut dijelaskan lagi dengan penggunaan ruang oleh korus sekadar meliputi
sekitar berhala sahaja. Kesan bunyi turut membantu menimbulkan tanggapan tentang kegilaan
dan kejahilan golongan Jahiliyah ditambah dengan pergerakan yang agresif, terapung (floating)
dan tidak berbentuk. Pergerakan mereka dalam garis selari menunjukkan bahawa masyarakat
Quraisy pada ketika itu bersifat mengikut sahaja agama nenek moyang mereka tanpa mengkaji
asal-usul dan kebenarannya. Saya berpendapat pergerakan ini amat berjaya dalam
menggambarkan kehidupan masyarakat Arab Jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w.

Babak seterusnya memperlihatkan pergerakan para pelakon dalam menggambarkan


situasi dan kegemparan semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pergerakan ini melibatkan
pegerakan sedikit agresif tetapi berat. Para pelakon turut menggunakan teknik jatuhan, gulingan
dan pusingan menegak 360 darjah semasa pergerakan ini. Pergerakan ini menggunakan hampir
keseluruhan ruang pentas tetapi tidak menunjukkan bentuk-bentuk yang tertentu. Kebanyakan
pelakon dilihat menjatuhkan diri berhampiran berhala-berhala yang bergegar dan ada yang
kelihatan cuba menahan berhala-berhala tersebut daripada jatuh. Hal ini menunjukkan bahawa
bumi seakan-akan bergegar. Pergerakan ini turut dibantu oleh kesan pencahayaan kilat. Pada
pendapat saya, pergerakan ini berjaya menunjukkan situasi kegemparan yang berlaku semasa
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dan membayangkan (foretell) bahawa akan lahir seseorang
yang akan menggoncangkan dunia dan menghapuskan penyembahan berhala dalam masyarakat
tersebut.

Setelah babak menggambarkan kelahiran Nabi Muhammad, penonton disajikan pula


dengan nyanyian lagu Muhammad Mustofa dan Nabi Anak Yatim. Didapati penyanyi tersebut,
Jamal Abdillah hanya duduk bersila ketika menyanyikan lagu-lagu nasyid tersebut. Pada ketika
ini, sekali lagi pencahayaan menggunakan warna biru digunakan. Hal ini barangkali bertujuan
menggambarkan penceritaan dalam bentuk lagu. Kedudukan bersila penyanyi tersebut adalah
bersamaan dengan cara narator duduk dalam proses penceritaan. Warna biru dalam pencahayaan
pula adalah simbolik kelembutan dan sifat-sifat terpuji Rasulullah s.a.w sesuai dengan bait-bait
lirik dalam lagu-lagu nasyid tersebut yang menceritakan sifat-sifat terpuji baginda.

KONFLIK

Babak yang menunjukkan konflik dalam pementasan Sirah Junjungan memaparkan


penentangan-penentangan serta cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dalam menjalankan
dakwah Islamiah. Terdapat juga banyak adegan yang menggambarkan penderitaan kaum
muslimin pada awal perkembangan agama Islam di kota Makkah. Pergerakan-pergerakan kreatif
yang dapat dianalisis daripada adegan-adegan penuh konflik ini termasuk pergerakan pelakon-
pelakon dalam situasi menggambarkan penyeksaan golongan musyrikin Mekah terhadap kaum
muslimin, pergerakan korus menggambarkan syaitan menghasut pembesar-pembesar Quraisy,
pergerakan pelakon-pelakon menggambarkan perang antara kaum muslimin dengan kaum kafir
Quraisy dan pergerakan para pelakon menggambarkan sambutan golongan Ansar terhadap
rombongan golongan Muhajirin yang baru tiba di Yathrib.

Kepelbagaian level begitu ketara dalam adegan penyeksaan terhadap umat Islam. Ini
melibatkan level yang melibatkan beberapa pelakon duduk, berdiri, melonjak serta
membongkokkan badan. Kedudukan pelakon-pelakon yang duduk dan menggeletar
membayangkan ketakutan kaum muslimin akan ancaman kaum kafir Quraisy. Para pelakon turut
menggunakan teknik tolakan dan jatuhan, tumbukan dan juga tendangan dalam menggambarkan
sikap kaum kafir yang kejam terhadap kaum muslimin. Peralihan babak seterusnya menunjukkan
seksaan terhadap Bilal bin Rabah. Babak tersebut menunjukkan Saidina Bilal dijemur di tengah
terik mentari dan disebat dengan cemeti oleh tuannya. Sungguhpun tidak banyak pergerakan
dapat dihuraikan, tetapi pergerakan-tersebut jelas memperlihatkan seksaan yang dihadapi oleh
kaum muslimin. Ini ditambah lagi dengan penggunaan props seperti cemeti dan set batu besar
yang ditindih di atas Saidina Bilal.

Babak seterusnya menggambarkan syaitan sedang menghasut para pembesar Quraisy


yang bermusuhan dengan kaum muslimin. Pergerakan ini melibatkan korus membongkokkan
badan, lutut dan melonjak. Pergerakan mereka pula sangat agresif dan berat. Pergerakan juga
didapati menunjukkan bentuk bulat. Ini mungkin adalah simbolik kesatuan dalam iblis dan
syaitan. Ini menunjukkan sifat syaitan yang sememangnya semulajadi keseluruhannya ingin
menyesatkan umat manusia. Para pelakon yang melakonkan watak syaitan pula didapati
berlegar-legar sekitar unggun api dan berpusing-pusing di sekitar pembesar-pembesar Quraisy
yang mabuk. Pergerakan-pergerakan ini berjaya menggambarkan peranan syaitan dalam
menghasut musuh-musuh Islam. Hal ini turut dibantu oleh kostum para pelakon yang berwarna
merah dan pencahayaan yang turut menggunakan warna merah. Warna tersebut mungkin sekali
menggambarkan kejahatan dan sifat kesyaitanan.

Dalam satu babak yang lain dapat disaksikan pergerakan yang menggambarkan
kesedihan Rasulullah s.a.w dalam menghadapi kematian isteri dan bapa saudaranya. Dalam
babak ini, sebuah tarian yang dikenali sebagai tarian sufi dapat dilihat mengiringi nyanyian
Jamal Abdillah. Pergerakan korus dalam tarian ini bagaimanapun tidak menggambarkan suasana
sedih. Teknik pusingan yang agak terapung kelihatan lebih sesuai bagi menggambarkan suasana
yang ceria dan gembira.

Babak yang turut mengundang perasaan suspens kepada penonton adalah babak perang
antara kaum muslimin dengan golongan kafir Quraisy. Dalam pergerakan ini, tentera-tentera
muslimin ditonjolkan dengan begitu gagah sekali dengan para pelakon menggunakan level
melonjak disertakan dengan hayunan pedang ke musuh. Selain teknik lonjakan, teknik lompatan
turut digunakan oleh para pelakon bagi menimbulkan lagi kegagahan askar-askar muslimin.
Manakala, kekalahan dan kelemahan tentera kafirin ditonjolkan dengan teknik jatuhan dan
gulingan. Aspek pencahayaan turut membantu dalam menonjolkan kekuatan tentera muslimin
iaitu cahaya lampu hijau digunakan sebagai simbolik kepada penguasaan tentera muslim yang
juga mengenakan pakaian hijau dalam babak tersebut.

Babak seterusnya menggambarkan sambutan golongan Ansar di Yathrib terhadap


rombongan Rasulullah s.a.w bersama kaum Muhajirin. Dalam babak ini terdapat pergerakan
korus yang menggerakkan tangan dari dada ke luar seperti menadah doa berulang kali
mengiringi selawat menyambut kedatangan rombongan muhajirin. Pergerakan ini
menggambarkan sambutan dengan hati yang terbuka oleh golongan Ansar dan kegembiraan
mereka akan kedatangan cahaya Islam ke tempat mereka.

KLIMAKS

Klimaks kepada pementasan ini adalah pada adegan yang menunjukkan dendam
membara Hendon yang telah membawa kepada kematian Saidina Hamzah yang digelar Singa
Allah. Elemen-elemen pergerakan kreatif yang dapat disaksikan dalam plot ini termasuk
pergerakan korus bersama Hendon ketika Hendon menunjukkan perasaan bencinya kepada Nabi
Muhammad s.a.w, keinginannya untuk menuntut bela atas kematian bapanya serta pergerakan
para pelakon dan korus ketika pembunuhan Amir Hamzah oleh Wahshi.

Pergerakan korus ketika Hendon menyatakan dendam dan kebenciannya kepada Nabi
Muhammad s.a.w sangat mengesankan dalam membawa penonton ke kemuncak suspens dalam
pementasan ini. Pergerakan yang dapat disaksikan termasuklah pergerakan korus membongkok
dan bergerak di belakang Hendon sambil memukul gendang yang terletak di pinggang mereka.
Ini mungkin menggambarkan pengaruh wanita dalam penentangan terhadap dakwah Rasulullah
s.a.w. Dalam pergerakan ini, Hendon digambarkan mewakili kaum wanita kafir Quraisy yang
sangat membenci Nabi Muhammad s.a.w. Gendang yang dipukul oleh korus dalam pergerakan
ini mungkin adalah perlambangan kepada sikap wanita yang banyak menabur fitnah terhadap
Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Watak Hendon turut menggunakan teknik regangan
(stretching) tubuh dan pergerakan membongkok yang sedikit agresif bagi menonjolkan sikap
obses dan kegilaannya untuk menuntut bela di atas kematian ayahnya. Dalam hal ini, kostum
yang menggunakan warna hitam dan merah serta penekanan suara oleh pelakon turut membantu
dalam menonjolkan watak penuh dendam Hendon.

ENDING

Babak penamat dalam pementasan ini memaparkan kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w
serta kewafatan baginda. Pergerakan-pergerakan kreatif yang dapat dianalisis dalam babak ini
termasuklah pergerakan tawaf wida’, pergerakan para pelakon menggambarkan situasi pada
akhir hayat baginda Rasulullah s.a.w.

Dalam plot pengakhiran pementasan ini, pergerakan para pelakon didapati lebih perlahan
dan tidak agresif. Ini dapat dilihat dalam pergerakan para pelakon ketika tawaf. Pergerakan
tersebut didapati membina bentuk bulat. Hal ini mungkin menggambarkan bahawa pada ketika
itu, dakwah Islamiah sudah berjaya dilaksanakan dan umat Islam telah bersatu padu.

Babak seterusnya menunjukkan seorang sahabat yang menuntut pembalasan daripada


Nabi Muhammad kerana cambuk Rasulullah telah mengenai badannya apabila Rasulullah s.a.w
baru pulang dari peperangan. Tuntutan tersebut dilakukan dalam keadaan duduk dengan badan
sedikit membongkok. Hal ini barangkali menunjukkan sikap sahabat tersebut yang sangat
menghormati Rasulullah. Seterusnya, dapat dilihat pergerakan para sahabat di balik tabir yang
silih berganti memohon untuk menggantikan Rasulullah untuk dicambuk. Pergerakan tersebut
melibatkan pergerakan membengkokkan lutut dan badan serta menggunakan teknik jatuhan.
Pergerakan ini sangat berkesan dalam menimbulkan unsur emosi sedih para sahabat dan
ketidaksanggupan mereka melihat tubuh Rasulullah s.a.w dicambuk. Babak ini amat meruntun
emosi saya. Babak ini turut dibantu oleh para pelakon yang duduk dalam dua kelompok pada
akhir kehidupan baginda. Dua kelompok ini mungkin menggambarkan golongan Ansar dan
Muhajirin yang turut sugul mengenangkan pemergian Rasulullah.

KESIMPULAN

Sesungguhnya, elemen pergerakan kreatif dalam pementasan teater muzikal Sirah


Junjungan, Tahajjud muzikal sangat berjaya menarik empati para penonton terhadap cabaran dan
pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w dan golongan muslimin pada awal kebangkitan Islam. Hal
ini turut dibantu oleh aspek-aspek seperti penghayatan pelakon, pencahayaan serta rekaan set,
props dan kostum. Teater ini ternyata mempunyai kekuatan tersendiri yang bukan hanya dapat
dilihat melalui kuantiti pelakon tetapi juga kualiti pengarahan dan keseimbangan dalam setiap
aspek termasuk aspek pergerakan kreatif. Pementasan ini sememangnya telah berjaya membawa
penonton melihat dari kacamata pengarahnya iaitu Eirma Fatima.

Anda mungkin juga menyukai