Anda di halaman 1dari 2

Barabah dalam Pementasan “Perempuan Itu Bernama Barabah”

Pengenalan

Pementasan teater “Perempuan Itu Bernama Barabah” adalah sebuah komedi berkisar tentang
kehidupan Pak Banio dan isterinya yang dikahwini selepas 11 kali bercerai, iaitu Barabah. Kehidupan
mereka begitu tenang dan bahagia sekali di kampung sehinggalah apabila muncul seorang perempuan
bernama Zaitun yang menyatakan hasrat ingin menemui Pak Banio atas urusan perkahwinan. Barabah
yang terkejut dengan hasrat Zaitun terus sangsi dengan kesetiaan Pak Banio dan menyangka bahawa
suaminya ingin menikah lagi. Komedi yang sarat dengan kritikan ini telah dijayakan pementasannya
hasil dari lakonan yang mengesankan oleh para pelakonnya. Lakonan pelakon watak Barabah iaitu
Nadilah mempunyai kekuatannya yang tersendiri yang akan dianalisis dan dihurai secara lanjut dalam
tugasan ini.

Lakonan Nadhilah binti Suhaimi sebagai Barabah

Lakonan Nadhilah sebagai Barabah adalah lakonan yang wajar mendapat pujian kerana kemampuan
beliau menggunakan pelbagai teknik lakonan bagi menghasilkan watak Barabah sebagaimana yang
diingini oleh subteks pementasan tersebut. Hal ini dapat dilihat daripada penggunaan teknik lakonan
Stanislavski yang dikenali sebagai “The Physical Apparatus” yang menekankan bahawa penggunaan aksi
fizikal dan suara dapat menimbulkan karakter sesebuah watak. Penggunaan suara dan pergerakan tubuh
beliau telah menghasilkan watak isteri yang manja dan keanak-anakan tetapi begitu jujur dengan
suaminya.

Manakala, kebolehan pelakon ini menyesuaikan lakonan dengan ruang lakonan pula dapat
dilihat dalam situasi di mana Barabah melihat kasut suaminya yang tertinggal semasa bercakap dengan
Adibul. Secara spontan, terpacul ayat “ah, Pak Banio tertinggal kasutnya!” daripada pelakon tersebut
(sedangkan pada hakikatnya Rohazuddin telah terlupa memakai kasut tersebut). Hal ini menunjukkan
bahawa beliau telah berjaya menyesuaikan diri dengan ruang lakonannya (sedar ruang).
Selain itu, penggunaan teknik “Magic If” pula dapat dilihat dalam lakonan Nadhilah bagi
menghasilkan wataknya yang cemburu dan sangsi dengan suaminya. Mungkin if yang digunakan oleh
pelakon tersebut adalah sebagaimana berikut:

Anda melakonkan watak seorang isteri yang curiga akan suaminya dan risau akan
kemungkinan suaminya berkahwin lagi. Jika anda berada dalam situasi tersebut, apakah
yang anda akan buat? Adakah anda akan memalingkan muka dari suami anda? Adakah
anda akan bercakap sendirian? Apakah yang anda akan katakan?

Penggunaan teknik ini telah membolehkan pelakonnya meneroka perkara-perkara yang biasanya dibuat
oleh seorang isteri yang cemburu dan sangsi akan suaminya. Terokaan lakonan ini telah dijelmakan
dengan berkesan dalam lakonan beliau dalam pementasan ini.

Communion antara watak Barabah lakonan Nadhilah dengan watak-watak lain yang tidak
terputus-putus juga merupakan kekuatan aspek lakonan beliau yang saya kagumi. Ini dapat dilihat dalam
interaksi berkesan watak Barabah dengan suaminya di rumah. Penggunaan ad lib-ad lib yang
bersesuaian telah menjadikan lakonan mereka nampak begitu natural dan serasi.

Sesungguhnya penggunaan teknik lakonan yang pelbagai telah menghasilkan sebuah lakonan
yang mengesankan dan telah berjaya merealisasikan watak Barabah sebagaimana yang dikehendaki teks
pementasan tersebut. Lakonan yang mengesankan seperti ini juga telah menghasilkan watak Barabah
yang manja dan keanak-anakan yang pasti akan diingati oleh para penonton.

Rujukan

Perviz Sawosky. 2009. The Stanislavski System, Growth and Methodology. Diambil dari laman
homepage.smc.edu/sawoski_perviz/Stanislavski.pdf pada 18 Oktober 2009 pada pukul 10.00 a.m.

Anda mungkin juga menyukai