Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PENGETUA MAJLIS GRADUASI SPM 2017

Bismillahhirrahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
salam sejahtera, salam Negaraku Malaysia.

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang Berbahagia, Datuk Ir. Kamaruzzaman bin Johari,


Ketua UMNO Bahagian Kota Raja,
Yang Berusaha Puan Noraizah binti Mohd Noor,
Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran,
Yang Dihormati Puan Puziah binti Tuban, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Tuan Haji Muzikir bin Muhammad, Penolong Kanan Kokurikulum,
Puan Normala binti Misman, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Encik Amir Saifudin bin Abd Majid, Penolong Kanan Petang,
Guru-guru kanan mata pelajaran, guru-guru,
dan semua graduan yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, pada pagi yang mulia ini kita begitu bertuah kerana majlis kita
ini akan disempurnakan oleh Bapa Angkat Sekolah, iaitu Datuk Ir. Kamaruzzaman
Johari. Kehadiran dan keprihatinan Datuk pastinya akan menyuntik semangat kepada
guru-guru dan murid-murid untuk terus cemerlang. Syabas dan tahniah saya ucapkan
kepada jawatankuasa pengelola majlis graduasi ini kerana telah berjaya menzahirkan
majlis ini dengan penuh gemilang.

Yang Berbahagia Datuk dan hadirin yang dihormati sekalian,

Majlis graduasi ini diadakan khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan
kepada 160 putera dan puteri tingkatan 5 termasuk 8 orang murid daripada Program
Pendidikan Khas Integrasi yang menunjukkan prestasi cemerlang semasa Peperiksaan
Percubaan SPM yang lalu.
Majlis ini juga sebagai perangsang kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam
segala bidang yang akan diceburi, malah diharapkan mengukir kenangan manis dalam
lipatan sejarah para graduan. Semoga majlis ini juga dapat membuatkan anakanda putera
dan puteri tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh barisan pendidik
Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa.

Tahniah juga diucapkan kepada guru-guru yang bertungkus-lumus mendidik dan


memberi tunjuk ajar. Kami berharap, para graduan dapat meneruskan pelajaran di mana-
mana jua selepas SPM nanti dan seterusnya mencurahkan bakti kepada bangsa dan
negara sebaik sahaja melangkah keluar ke alam pekerjaan.

Sebenarnya majlis graduasi ini dan Peperiksaan SPM yang akan ditempuhi nanti
hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang akan diterokai. Di hadapan para graduan
nanti, terbentang pelbagai rintangan ke arah pencapaian sebenar dalam kehidupan.
Semangat perjuangan yang utuh dan kekuatan iman perlu diperkukuh bagi membolehkan
para graduan meneruskan perjalanan dengan penuh yakin dan tabah. Kami semua
mendoakan kejayaan dan kesejahteraan anda semua.

Kepada para graduan sekalian, saya dan seluruh warga sekolah mendoakan anda
semua dapat menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya mencapai impian dalam
bidang akademik dan kerjaya. Insya-Allah.

Sekali lagi saya bagi pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa
merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang Berbahagia Datuk Ir. Kamaruzzaman.
Kepada guru-guru, iringilah perjuangan putera dan puteri graduan kita menempuh
peperiksaan dengan doa agar kecemerlangan yang kita harapkan tercapai. Kepada putera
dan puteri graduan, perjuangan belum berakhir. Teruskan perjuangan anda.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi


wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai