Anda di halaman 1dari 13

SEJARAH PEMBUKAAN BANDARAYA ALOR SETAR

1.0 Pengenalan

Dalam kajian ini, pengkaji telah mengkaji mengenai sejarah penubuhan dan
perkembangan Bandaraya Alor Setar. Bandar menurut Thomas R. Retwyler dan Melvis
G.Marcus di dalam buku mereka yang berjudul “Pembangunan dan Persekitaran” membawa
maksud kepada satu unit politik, suatu kelompok rumah tempat kediaman atau lain-lain struktur,
atau kadang-kala bandar juga dilihat hanya dari segi penghuninya sahaja. Shakespeare juga telah
pernah berkata, “Apakah kota (Bandar) tanpa manusia ?”. Ungkapan ini jelas menunjukkan
bahawa kota dan manusia mempunyai satu pertalian atau perhubungan yang rapat dalam proses
pembangunan fizikal mahu pun sosialnya. Perlaksanaan kajian ini juga boleh memberi
pengetahuan kepada orang awam mengenai sejarah pembukaan dan perkembangan Bandaraya
Alor Setar.
2.0 Sejarah Pembukaan Pekan Alor Setar (Bandaraya Alor Setar)

Alor Setar mula-mula dijumpai dan diasaskan oleh salah seorang Sultan
Kedah iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II pada tahun 1735. Baginda
merupakan Raja Negeri Kedah yang KeSembilan Belas dan memerintah selama 56 tahun dari
tahun 1710 sehingga 1778 masihi. Pada awalnya, Alor Setar cuma sebuah kampung dengan
beberapa buah rumah yang terletak di muara dua batang sungai.

Apabila Sultan Mohamad Jiwa menjumpai kampung itu, baginda begitu tertarik
dengannya – kerana tempat itu dikelilingi oleh pohon-pohon pokok yang tebal lagi menghijau
dan merupakan pusat di mana dua batang sungai bertemu. Maka, “Adapun Duli Yang Dipertuan
bermuafakat dengan segala menteri-menteri membuat sebuah kota batu, bernama Kota Setar”.
Secara tidak langsung kampung itu digelar sebagai Kota Setar.

Baginda menamakannya Setar sempena dengan jenis pokok-pokok yang disekitar kota
iaitu dikenali sebagai ‘pokok Setar’ jadi pada masa itu nama Alor Setar belum muncul lagi – ia
dikenali sebagai Kota Setar.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II bersemayam di Istana Kota
Setar dan baginda menjadikannya sebagai Bandar DiRaja bagi Negeri Kedah. Kota Setar mula
berkembang setelah dijumpai oleh seorang berbangsa Inggeris kira-kira lebih 150 tahun selepas
kampung itu diasaskan. Dalam bulan Oktober, 1883, James F. Agustin tiba di Kuala Sungai
Kedah (sekarang dipanggil Kuala Kedah) kira-kira 10 km dari Kota Setar. Beliau dengan
beberapa orang Inggeris lain telah mejelajah kawasan itu hingga ke pedalaman. Disepanjang
tebing dua batang sungai tersebut kelihatan kelompok petempatan kecil orang-orang Melayu.

Akhirnya Augustin dan orang-orangnya pun tiba di Kampung Kota Setar. Beliau telah
berkawan dengan orang-orang Melayu disitu dan mereka telah membawa ke istana batu Sultan
Muhammad Jiwa. Augustin begitu tertarik hati dengan keadaan persekitaran istana yang
dikelilingi dengan pokok-pokok “Stak” dan beliau lebih terpesona dengan keindahan kota
mahligai Sultan. Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II menerima Augustin
dengan baik dan kedua-dua pihak itu telah bertukar-tukar barang.
Dari sinilah bermulanya perniagaan bertukar barangan dan perdagangan di antara orang-
orang tempatan dengan pedagang-pedagang asing. Pada awal kurun ke-19, ramai pedagang asing
seperti pedagang Inggeris, India, China dan Sumatera telah datang ke Kota Setar untuk
berdagang. Kota Setar telah berkembang dari sebuah kampung kepada pekan yang sibuk dan
akhirnya menjadi sebuah Bandar yang merupakan pusat penempatan, perdagangan dan
pentadbiran. Orang-orang Inggeris khususnya, amat berminat kepada Bandar Kota Setar (masa
itu Alor Setar dikenali dengan Kota Setar).

Dengan itu, segala perniagaan, pengangkutan dan perhubungan di Kedah berpusat di


Kota Setar. Lama-kelamaan nama Kota Setar ditukar kepada Alor Setar. Ini disebabkan Bandar
itu terletak dekat muara sungai dan selalu terdapat ramai pedagang Melayu dari lain-lain Negeri
Melayu bersinggah disitu. Sebaliknya, Kota Setar telah menjadi nama kepada kawasan atau
daerah yang sekitar Alor Setar.

Kota Setar dijadikan sebagai sebuah daerah di Kedah yang dipenuhi dengan sawah padi
dan mula berkembang pesat terutama sekali dengan adanya pusat perdagangannya iaitu Alor
Setar. Demikianlah sejarah awal mengenai pembukaan Alor Setar yang bermula dalam tahun
1720-an. Mengikut En. Ismail Bin Hj. Salleh (Setiausah Kehormat Persatuan Sejarah cawangan
Kedah), Alor Setar merupakan satu Bandar yang istimewa dalam erti kata bahawa ia cepat
mengalami pembangunan yang pesat walaupun ia merupakan Bandar kecil, disamping masih
dapat mengekalkan ciri-ciri warisan budaya asing dalam pembangunannya khususnya bangunan-
bangunan yang moden binaannya tetapi mempunyai ukiran yang cukup berseni dan bercorak asli.

Alor Setar adalah sebuah ibu negeri yang tertua sekali di Malaysia. mengikut rekod
sejarah, Bandar ini telah menjadi Ibu Negeri selama lebih kurang 250 tahun. Dari zaman ia
diasaskan hingga zaman kini, Alor Setar masih tetap menjadi Ibu Negeri Kedah.
2.1 Perkembangan Bandaraya Alor Setar

Apakah yang menyebabkan Bandar Alor Setar berkembang dengan begitu pesat sekali?
Kalau dilihat dari sudut geografi atau lokasi Bandar Alor Setar ,kita akan dapati ianya terletak di
antara penemuan dua batang sungai,iaitu Sungai Anak Bukit dengan Sungai Kedah. Kedua-dua
batang sungai ini secara langsungnya menyediakan jalan pengangkutan yang sesuai untuk
perhubungan dan perdagangan, di samping aktiviti pertukaran serta pemasaran hasil-hasil
keluaran pertanian mereka. Pusat pertemuan dari utara ,selatan dan dari kawasan pendalaman
Kedah ini menjadikan Bandar Alor Setar berkembang dengan begitu pesat sekali. Secara amnya
keadaan ini dapatlah dilihat seperti peta di bawah ini:

Perkembangan Bandaraya Alor Setar pada peringkat awal banyak dipengaruhi oleh faktor
kerancakkan aktiviti perniagaan di Pekan Melayu dan Pekan Cina. Di sinilah bangunan-
bangunan yang terawal yang dibina di Bandar Alor Setar. Bangunan-bangunan ini merupakan
bangunan perniagaan yang menjalankan aktiviti peruncitan dan pemborongan barang baik bahan
mentah atau bahan kering dan perkhidmatan. Kebanyakan kedai-kedai yang terdapat didalam
kedua-dua pekan ini telah dibina pada abad ke-18. Kesemua bangunan terdiri daripada dua
tingkat dan seni binanya dipengaruhi oleh ciri seni bina Roman.

Mengikut Encik Ayob b. Abdullah seorang aktivis sejarah Persatuan Sejarah Negeri Kedah,
Pekan Cina telah diasaskan oleh seorang cina yang dikenali sebagai Tok Ekong.Tok Ekong
adalah seorang peniaga runcit yang mempunyai satu-satunya bangunan batu yang terletak di
hujung jalan tersebut.Oleh sebab beliau merupakan kapitan cina yang disegani dan dihormati
oleh penduduk di situ maka penduduk-penduduk di situ menamakan penempatan di situ sebagai
pekan cina. Kebetulan juga di kawasan itu terdapat banyak orang-orang cina berniaga meskipun
terdapat juga orang-orang melayu dan orang india menjalankan kegiatan yang serupa.

Pekan Cina yamg terletak selari dengan sungai anak bukit bertemu dengan sungai kedah
telah menyediakan atau menjadi pusat punggahan barang-barang dan hasil pertanian.Ini dapat
dilihat dengan wujudnya pengkalan yang dikenali pengkaln kapal. corak penempatan yang ada
pada bangunan-bangunan kayu yang berpanjangan. Satu bukti orang cina ialah dengan nama
kampung yang terletak di kawasan berlawanan dengan Pekan Cina di seberang sungai Anak
Bukit iaitu Kampung seberang Nyonya.

Oleh sebab lokasi Pekan Cina berhampiran dengan Pekan Melayu dan Bandar Alor Setar
maka terdapatlah juga penjara di kawasan ini.Pernah juga Pekan Cina dinamakan sebagai Jalan
Penjara Lama. Kini oleh sebab sistem pembandaran yang begitu pesat berkembang maka
tidaklah sesuai penjara ditempatkan di kawasan tersebut. Memandangkan kawasan itu lebih
berfaedah digunakan untuk pembangunan pembandaran.

Menurut Encik Abdullah lagi, sejarah Pekan Melayu yang lebih tua berbanding Pekan Cina
pula secara rasminya terdiri hasil daripada aktiviti pertanian dan perekonomian orang melayu
yang telah menetap disitu sejak pembukaaan Kota Setar oleh pengasasnya Sultan Muhammad
Jiwa pada tahun 1735. Namun kesan daripada persaingan yang hebat dari peniaga Cina
kebanyakan perniagaan di Pekan Melayu telah dijalankan oleh peniaga-peniaga Cina.
Keperihatinan Tunku Yaakob seorang kerabat Diraja Negeri Kedah terhadap keadaan
sosioekonomi masyarakat melayu telah melahirkan satu lagi kawasan perniagaan untuk
masyarakat Melayu. Di kedah pada ketika itu, keadaan ekonomi orang-orang Melayu tidaklah
begitu memuaskan jika dibandingkan dengan orang-orang Cina dan orang-orang India
berketurunan Ceti. Ekoran dari itu Tunku Yaakob telah mencadangkan supaya keadaan ekonomi
orang-orang Melayu perlu diperbaiki.

Menurut beliau lagi beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai punca orang-orang Cina ini
dapat menguasai atau menduduki Pekan Melayu pada ketika itu. Faktor-faktor tersebut
mengakibatkan berlakunya perubahan yang agak radikal di mana orang-orang Cina telah berjaya
menguasai dan memonopoli tempat orang Melayu dan orang Melayu terpaksa membawa diri ke
kampung-kampung. Berikut merupakan beberapa faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku;

a. Keadaan ekonomi orang cina yang kukuh daripada orang-orang melayu. Jadi mereka
berkemampuan untuk membeli tapak-tapak perniagaan daripadaa orang-orang Melayu
dengan harga yang lebih mahal.Mereka ini dikatakan sanggup membeli tapak itu dengan
harga yang begitu tinggi kerana kedudukan Pekan Melayu itu dianggap sebagai strategik
dari segi perniagaan dan dijangka keadaan di tempat itu dapat memberi keuntungan pada
mereka dengan berlipat ganda.
b. Tekanan semasa memaksa perniagaan orang Melayu mengalami kemerosotan terutama
selepas kemasukan pedagang Cina di tempat itu selepas perang dunia ke-2. Kemerosotan
perniagaan dan kekurangan modal itu memaksa mereka menjual kedai-kedai mereka
kepada orang-orang bangsa asing.
c. Pada amnya corak perniagaan yang diceburi oleh orang-orang Melayu adalah bercorak
kecil-kecilan, tradisional dan pendapatan mereka pun tidak tetap. Dengan adanya
persaingan daripada pedagang-pedagang Cina yang mempunyai modal yang besar
menyebabkan mereka mengalami kerugian yang amat teruk.

Sebagai satu galakkan untuk orang Melayu berniaga, Tunku Yaakob telah berusaha
menyediakan sebidang tanah di tengah-tengah Bandar Alor Setar untuk digunakan oleh penjaja
Melayu iaitu di Tanjung Chali. Kawasan inilah yang seterusnya dikenali sebagai Pekan Rabu
sehingga kini. Selain daripada memainkan peranannya sebagai daya penggerak kesedaran orang-
orang Melayu di dalam bidang ekonomi,ia juga merupakan sebuah pengkalan dan pelabuhan
bagi persinggahan kapal-kapal,perahu-perahu dan tongkang-tongkang yang keluar masuk dari
dalam dan luar negeri melalui Sungai Kedah, Sungai Anak Bukit, Terusan Wan Mohammad
Saman dan Sungai Raja.

Pada peringkat awal, perniagaan di Tanjung Chali diselenggarakan oleh ahli-ahli


jawatankuasa yang terdiri daripada orang-orang yang berpengaruh. Biasanya penghulu dipilih
kerana ia merupakan orang yang berpengaruh dan dihormati oleh orang-orang kampung pada
masa itu. Pasar di Tanjung Chali di selenggarakan oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada
orang-orang yang berpengaruh. Pasar itu juga menjadi tempat perniagaan bagi orang Melayu
setelah tidak berniaga di Pekan Melayu yang dikuasai oleh orang Cina sehingga menjadi Pekan
Cina. Akhirnya tempat baru perniagaan melayu itu dipanggil Pekan Rabu. Lokasi Tanjung Chali
adalah di persimpangan antara jalan Pekan Cina dan jalan Pengkalan Kapal.

Tidak terhenti disitu, Tunku Yaakob sangat-sangat mengambil berat tentang perjalanan dan
perkembangan perniagaan di Tanjung Chali. Beliau selalu datang memerhati keadaan peniaga-
peniaga di situ, sehingga disuatu ketika beliau disalah anggap sebagai seorang biasa, dimana
berlaku satu peristiwa seorang peniaga yang telah berumur menyuruh beliau sama-sama
mengangkat bakul ke tempat jualan.

Kecenderungan Tunku Yaakob menolong orang-orang Melayu terutama di kampung-


kampung bukan sekadar itu sahaja. Beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengetua
Pejabat Tanaman (Principal Agriculture Department of Kedah) ketika itu, telah berusaha
menggalakkan juga orang Melayu di kampung-kampung menanam lain-lain tanaman selain
daripada padi seperti kacang panjang, ubi , jagung, pisang dan lain-lain jenis sayur-sayuran
secara berlebihan. Bantuan benih, baja dan nasihat sentiasa diberi. Daripada hasil yang
berlebihan itu bolehlah dijual sebagai satu lagi mata pencarian selain daripada hanya bergantung
kepada kerja bertanam padi dan menoreh getah.

Sebagai seorang putera DiRaja dan mempunyai jawatan tinggi di Pejabat Tanaman di bandar
Alor Setar ketika itu, sudah tentu segala rancangan dan usaha Tunku Yaakob itu dengan
mudahnya sahaja mendapat sambutan daripada orang-orang kampung. Sebab atas ketokohan
Tunku Yaakob yang berjiwa Pak Tani itu, tidak hairanlah akhirnya peniaga-peniaga Melayu di
Tanjung Chali makin bertambah bilangannya.

Di negeri Kedah, Pekan Mingguan atau Pasar Mingguan dikenali dengan berbagai-bagai
nama seperti Pekan Nat, Pekan Sehari atau Pekan Sari. Tapi Pekan Nat lebih popular dan
digunakan secara meluas oleh generasi terdahulu. Perkataan Nat berasal dari bahasa Thai yang
bererti 'Janji' atau 'menetapkan hari'. Pekan pula bererti 'bandar kecil' tempat pertemuan. Jadi
Pekan Nat boleh didefinasikan sebagai persetujuan untuk bertemu antara dua golongan iaitu
penjual dan pembeli bagi menjalankan perniagaan.

Pasar di Tanjung Chali itu juga merupakan Pasar Mingguan. Itulah sebabnya dinamakan
kemudiannya dengan nama Pekan Rabu, kerana pada hari Rabu setiap minggu di situ merupakan
pasar yang paling sibuk dan ramai dikunjungi oleh orang ramai. Pekan Rabu di Tanjung Chali
pada peringkat awalnya merupakan bangunan terbuka yang panjang berbumbung atap,
berlantaikan simen dan bertiang kayu. Letak Pekan Rabu itu ialah di Tanjung Chali, di
persimpangan antara Jalan Pekan China dan Jalan Pengkalan Kapal.

Di situlah peniaga-peniaga memasarkan barang-barangnya. Terdapat juga peniaga-peniaga


melonggokkan barang-barang jualannya di tempat terbuka. Di seberang sungai bertentangan
dengan tempat tersebut terdapat juga kawasan orang berniaga kepada orang ramai dari kampung-
kampung sekitar seperti dari Kampung Seberang Perak. Ini memudahkan pengunjung kerana
mereka tidak perlu lagi untuk menyeberangi sungai ke Pasar Pekan Rabu bagi mendapat bahan-
belian.

Perhubungan yang rapat dan erat dari sudut perekonomian membolehkan ia berkembang
untuk menjadikan satu kawasan pembandaran yang kukuh dan stabil. Pekan Cina, Pekan Melayu
dan Pekan Rabu pada masa kini masih lagi menjadi pusat pengedaran barang-barang runcit
walaupun pada hakikatnya tiada lagi menjadi tumpuan orang ramai pedagang-pedagang untuk
memasarkan hasil pertanian mereka, namun ia tetap berkembang untuk aktiviti ekonomi di
negeri ini.
3.0 Peta, Geografi, Demografi dan Kepadatan Penduduk

3.1 Peta Negeri Kedah

Rajah 1: Peta Negeri Kedah

Peta di atas merupakan peta negeri Kedah. Kajian ini telah dijalankan di negeri Kedah yang
terkenal dengan jolokan Jelapang Padi. Ibu negeri Kedah terletak di Bandar Alor Setar yang
merupakan bandar perindustrian dan pentadbiran utama. Bandar-bandar perindustrian lain yang
terletak di negeri Kedah ialah Sungai Petani,Gurun dan Kulim.Negeri Kedah juga dibahagikan
kepada beberapa daerah dan setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim. Oleh itu kajian

ini dijalankan di salah satu daerah dan mukim bagi negeri ini.

3.1 PETA BANDARAYA ALOR SETAR

Rajah 2: Peta Alor Setar

Alor Setar atau juga dikenali sebagai Alor Star pada tahun 2004-2008, merupakan ibu
negeri bagi negeri Kedah Darul Aman. Kedah merupakan sebuah negeri yang terletak di
bahagian utara semenanjung Malaysia. Alor Setar kini pusat pentadbiran bagi kerajaan negeri
Kedah. Bandar ini menempatkan Pusat Pentadbiran Negeri Kedah dan Pusat Pentadbiran Daerah
Kota Setar iaitu di Bandar Muadzam Shah dan Istana DiRaja Kedah iaitu Istana Anak Bukit.
Kaum majoriti di ibu kota ini ialah kaum Melayu, diikuti oleh kaum Cina, kaum India dan lain-
lain kaum.

3.3 Geografi Bandaraya Alor Setar

Alor Setar terletak di barat Semenanjung Malaysia merupakan sebuah bandaraya penting
di utara Malaysia. Daerah Kota Setar ataupun Bandaraya Alor Setar dengan mempunyai
penduduk melebihi daripada 366,787 (2010) orang di Kedah. Ia juga bersempadan dengan
daerah Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang. Terletak di Koordinat: 6°7′U 100°22′T,
BAndaraya Alor Setar betul –betul berada di pinggir Selat Melaka yang menjadi pemisah
diantara Malaysia dan Indonesia.

Keluasan Bandaraya ini pada asalnya berukuran sebanyak 666 km². Namun kini ianya
menyusut kepada 424km² disebabkan oleh pembukaan daerah baru iaitu Daerah Pokok Sena.
Langkah ini dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan rasional memrancakkan lagi
pertumbuhan ekonomi secara seimbang di negeri ini disamping meningkatkan lagi tahap kualiti
kecekapan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Alor Setar
sebagaimana lazimnya penempatan-penempatan awal yang lain dikelilingi oleh sistem sungai
yang penting seperti Sungai Kedah, Sungai Langgar, Sungai Tajar, Sungai Anak Bukit, Alor
Malai dan Alor Merah.
3.4 Kepadatan Penduduk

Jumlah penduduk di Bandaraya Alor Setar pada tahun 2000 dianggarkan berjumlah
354,433 ribu orang, dan meningkat menjadi 366,787 ribu orang penduduk bagi tahun 2010.
Kepadatan penduduknya adalah pada kadar 696 inhabitants per square kilometre (10,340 /sq mi),
menjadikannya kawasan pentadbiran paling tinggi tahap kepadatan penduduknya di Negeri
Kedah.

Dengan anggaran jumlah penduduk metropolitan sebanyak 800,000 ribu pada tahun 2010
(termasuk bandar-bandar berhampiran di sempadan daerah Kota Setar), Alor Setar boleh
dianggap sebagai bandar raya selamat. Penurunan kadar kelahiran yang berterusan di Alor Setar
telah menyebabkan peratusan kanak-kanak bawah umur 15 tahun mengalami penurunan
beberapa peratus pada tahun 2000. Sebaliknya, golongan usia bekerja 15–59 tahun pula
meningkat dari tahun ke tahun.

Berdasarkan kajian banci yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan
penduduk Bumiputera di Alor Setar sahaja adalah 75% bagi bancian tahun 2010 manakala
penduduk Cina dan India masing-masing merangkumi 20.5% dan 9.1%. Juga kelihatan adalah
fenomena peningkatan kehadiran penduduk warga asing di Alor Setar, yang kini meliputi 5.4%
penduduk bandar. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa Bandaraya Alor Setar merupakan
sebuah kawasan yang mempunyai kependudukan yang majmuk.
4.0 KESIMPULAN

Saya berharap kajian saya ini, akan merungkai sejarah perkembangan dan asal usul pekan
Cina diwujudkan sejak sekian lama. Segala usaha kajian yang saya lakukan ini dapat
mengembangkan pengetahuan semua masyarakat bagi mengetahui kepentingan pekan Cina pada
suatu ketika dahulu. Sekiranya tiada usaha nenek moyang kita dahulu yang membangunkan
pekan Cina sudah tentulah kita tak akan dapat hasil kemajuan yang dimiliki sekarang ini. Oleh
itu, saya berharap pekan Cina menjadi satu kajian yang berguna kepada pembaca. Saya melihat
pekan Cina tidak pernah sunyi dengan pelanggan yang datang membeli-belah di kawasan itu.
Malah, pekan Cina menjadi tempat yang boleh menjadi tapak pelancongan terkemuka yang
boleh dilawat pelancong dari luar negara. Kajian ini telah dijalankan dengan terperinci mengenai
sejarah keagamaan, kependudukan, ekonomi,perdagangan dan sebagainya .Sebagai konklusi
dapatlah dikatakan bahawa perkembangan pekan Cina tidak seharusnya dipandang dari sudut
persekitaran tetapi ia harus di titikberatkan dari sudut perdagangan atau di dalam lain perkataan
perekonomian penduduk-penduduk tempatan dengan aktiviti-aktiviti pertanian mereka.

Anda mungkin juga menyukai