Anda di halaman 1dari 9

1.

0 TAJUK KAJIAN

Perkembangan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M) pada tahun 1892 sehingga
tahun 1961.

2.0 PENGENALAN

Kegiatan perlombongan emas telah bertapak di Tanah Melayu sejak zaman primitif lagi. Pada
ketika itu, negeri Pahang merupakan salah satu negeri yang terkenal dengan perusahaan
perlombongan emas. Bukti-bukti penemuan alat perlombongan membuktikan bahawa
kegiatan perlombongan emas telah dijalankan sekitar tujuh atau lapan abad yang lalu.1 Tun
Seri Lanang juga menukilkan tentang kemasyuran negeri Pahang sebagai pengeluar emas di
Tanah Melayu:

Shahdan, maka diceterakan oleh orang yang empunya cetera, ada di dalam Negeri
Pahang itu sebuah negeri, Pura namanya. Air sungainya tohor, dengan pasirnya
terlalu baik, airnya tawar datang ke laut. Dan ada emas urai di sana, dengan
padangnya amat luas.2

Ahli geologi telah membahagikan Semenanjung Tanah Melayu kepada tiga jalur,
pertama, jalur tengah (Pahang) yang dikenali sebagai jalur emas; dan kedua jalur barat dan
timur yang dikenali sebagai jalur timah. 3 Perlombongan emas di Negeri-Negeri Melayu pada
peringkat awal terbatas di kawasan jalur emas yang sebahagian besarnya terdiri daripada
negeri Pahang. Pahang Gold-Belt meliputi kawasan perlombongan yang terdapat di Raub,
Pahang dengan berkeluasan 14,000 batu persegi. Sejarah perlombongan emas di
Semenanjung Tanah Melayu telah bermula sejak abad Masihi lagi dan pengeluaran emas
dalam kuantiti yang besar dari Tanah Melayu menyebabkan negara ini dikenali sebagai
kawasan wilayah emas. Mengikut rekod dari negara China, emas telah menjadi eksport utama
negeri Kelantan dan Pahang sejak abad ke-13 Masihi.4 Newbold pula mengatakan emas telah
dilombong di Tanah Melayu pada abad ke-19 Masihi di Hulu Pahang, Terengganu, Kelantan,
Gemencih dan Battan Moring di Gunung Ophir.5

1
Gibson 1928: 107
2
Tun Seri Lanang 1961: 99
3
Kamarudin Mad Slar 1983: 3
4
Nicholas, N. D. 1977: 92
5
Newbold, N. 1971: 431

1
Sumber daripada sejarawan yang bernama Paul Wheatley mengatakan emas telah
digunakan di Pahang sejak abad ke-14 lagi. Hal ini berdasarkan laporan seorang pengembara
dari China, Wang Ta Yuan pada tahun 1349 yang mengatakan:

Perempuan-perempuan yang kaya memakai beberapa buah gelang emas yang dililit
di kepalanya, dan orang kebanyakan pula menghiasi rambut mereka dengan gelang-
gelang manik pancawarna. 6

Hal ini membuktikan pengeluaran emas yang banyak di Pahang yang mendorong
wanita kaya menjadikan emas sebagai barang perhiasan diri. Malahan, orang kebanyakan
juga mampu memiliki emas pada zaman tersebut.

3.0 LATAR BELAKANG KAJIAN

Menurut Arnold Wright (1913), Pahang merupakan sebuah negeri yang terkenal dengan
perlombongan emas dan kepentingan Pahang sebagai sebuah negeri yang kaya dengan
emas digambarkan oleh seorang pedagang Portugis. Menurut beliau:

Pahang [is] frequented by merchants because of its gold mines, for it possesses the
argest and finest in the peninsula, from where we may pressume it was this gold that
formed the ancient trade of Alexandria or Grand Cairo.7

Antara kawasan- kawasan penting untuk perlombongan emas di Pahang ialah Raub,
Tui, Tersang, Selinsing, Penjom, Kechau, Budu dan Hulu Dong. Syarikat Lombong Emas
Australia Raub (R.A.G.M.) merupakan sebuah syarikat yang menjalankan perusahaan
perlombongan emas di Raub, Pahang. Jumlah pengeluaran emas negeri Pahang antara 1892
sehingga tahun 1938 adalah sebanyak 811,614 auns troy dan daripada jumlah ini 667,597
auns troy iaitu sebanyak 88 peratus diperolehi dari Syarikat Lombong Emas Australia Raub
(R.A.G.M.). Pengeluaran emas tertinggi yang dicatatkan oleh Pahang pada tahun 1939 iaitu
sebanyak 733,385 auns troy dan daripada jumlah tersebut R.A.G.M. menyumbangkan
sebanyak 28,377 auns troy.8 Hal ini menunjukkan syarikat ini memainkan peranan yang
signifikan dalam memajukan perusahaan perlombongan emas di Raub, Pahang.

Perkataan Raub dalam Bahasa Malaysia bermaksud 'genggam'. Mengikut Sejarah,


pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub

6
Wheatley 1961: 78-79
7
Arnold Wright 1913: 256
8
R. G. Cant 1972: 29

2
emas setiap dulang pasir. Hal ini dinyatakan dengan menarik oleh Richardson (1992) dalam
bukunya, 'The Geology and Resources of the Neighbourhood of Raub, Pahang'. Menurutnya,

"People found that for every 'dulang' of sand there was a handful (raub) of gold' 9

4.0 PERMASALAHAN KAJIAN

Kajian ini akan mengkaji mengenai sejarah perlombongan emas di Raub, Pahang dan
bertumpu kepada Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) pada tahun 1892
sehingga tahun 1961. Perbincangan akan berfokus kepada perkembangan, perubahan
kaedah perlombongan secara tradisional kepada kaedah moden dan faktor-faktor yang
membawa kepada penutupan syarikat.

Kajian bertujuan untuk merungkai persoalan-persoalan berikut:

 Apakah perkembangan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) pada


tahun 1892 sehingga tahun 1961.
 Apakah perubahan kaedah perlombongan emas yang berlaku di Raub, Pahang
sebelum dan selepas kedatangan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.).
 Bagaimanakah kaedah perlombongan secara moden meningkatkan hasil pengeluaran
emas oleh Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) antara tahun 1892
sehingga tahun 1961.
 Apakah faktor-faktor kemerosotan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.)
yang mendorong kepada penutupan syarikat pada tahun 1961.

5.0 TINJAUAN KAJIAN LEPAS

Pengkaji telah menjalankan tinjauan kajian lepas dengan merujuk beberapa sumber bagi
mendapatkan maklumat berkaitan dengan tajuk kajian. Sumber-sumber kajian lepas adalah
dalam bentuk jurnal, buku rujukan dan internet. Antaranya ialah kajian yang dijalankan oleh
Victor Bibby (2012) dalam Story of Raub Gold menceritakan tentang sejarah perkembangan
kegiatan perlombongan emas oleh masyarakat Minangkabau pada awal abad ke-16 Masihi.
Masyarakat Minangkabau yang berhijrah ke negeri Pahang mendirikan penempatan di
kawasan Triang, Sungai Bera dan di sepanjang Sungai Semantan dan Sungai Bilut. Menjelan
tahun 1612, mereka berpindah ke utara di kawasan Sungai Jelai dan kawasan sekitarnya
yang mana mereka menjalankan kegiatan perlombongan emas bersama-sama Orang Asli di

9
Richardson 1992: 251

3
sana. Kegiatan perlombongan emas juga dijalankan oleh orang Melayu dengan
menggunakan kaedah melampan dan mendulang. Dengan menggunakan dulang, biji emas,
ketul-ketul batu, pasir dan lumpur akan disodok dan kemudiannya diayak di dalam air bagi
mengasingkan biji emas dengan material lain. Kaedah perlombongan sebegini sememangnya
tidak mendatangkan hasil pengeluaran yang banyak kerana mereka menganggap kegiatan
melombong emas sebagai kegiatan sampingan sahaja.

Selain itu, kajian yang mengenai Latar Belakang Sejarah Perlombongan Emas di
Pahang hingga 1914 oleh Zakaria Awang Ali (2002) yang mengatakan bahawa masyarakat
Cina juga terlibat dalam aktitivit perlombongan emas di Pahang. Setelah khabar angin
mengenai kekayaan negeri Pahang tersebar, ramai masyarakat Cina yang tertarik dan
seterusnya berpindah ke negeri Pahang bagi menjalankan aktiviti perlombongan emas.
Majoriti daripada mereka berasal dari negeri Perak dan Negeri Sembilan dan terdapat juga
orang Cina dari kawasan pedalaman Kelantan iaitu Pulai berpindah ke Pahang. Orang Cina
menjalankan kaedah perlombongan emas yang sama dengan orang Melayu iaitu kaedah
mendulang. Selain itu, orang Cina yang berpindah dari Pulai, Kelantan membawa tradisi
melombong emas bersama mereka. Pertama sekali, mereka terlebih dahulu membersihkan
sampah sarap di anak sungai bagi membolehkan air mengalir dengan deras. Air tersebut
kemudiannya akan membersihkan pasir dan tanah liat dan mengasingkannya daripada emas.
Akhir sekali, mereka mengambil emas tersebut dengan menggunakan tangan.

Disamping itu, kajian yang dijalankan Sivachandralingam (2011) bertajuk Sejarah


Perlombongan Emas di Pahang pada tahun 188 sehingga tahun 1960. Kajian ini menjelaskan
tentang sejarah penubuhan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M) dari tahun
1882 sehingga tahun 1960. Sebelum pelombong-pelombong berbangsa Australia
menjalankan perusahaan perlombongan emas di Raub, Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad
(1882-1914) memberikank kebenaran kepada Raja Impi, seorang pembesar dari Klang bagi
membuka konsesi di Raub. Perlombongan emas pada ketika itu tidak berjaya dan Raja Impi
tidak mampu untuk membayar cukai kepada Sultan Ahmad. Sultan Ahmad telah bertindak
untuk menarik kebenaran untuk menjalankan perlombongan emas oleh Raja Impi dan
menyerahkan kebenaran perlombongan emas kepada Syed Mohammad Al-Sagoff, seorang
saudagar dari Singapura.

Kemudian, Almeida iaitu sorang pengikut Syed Mohammad Al-Sagoff telah berjumpa
dengan pencari emas berbangsa Australia, Seflon yang berminat dengan perlombongan
emas di Raub, Pahang. Sefton tertarik dengan cerita emas di Raub yang diceritakan oleh
Almeida lalu membeli konsesi di Raub dan memindahkan ke dalam sebuah syarikat Singapura
bemama Malay Peninsula Prospecting Company. Seflon mendapatkan kebenaran daripada

4
Sultan Pahang dan kemudiannya menubuhkan sebuah sindiket yang memeterai perjanjian
membeli kawasan seluas 20 batu persegi di Raub, Pahang dengan harga 10,000 pound
sterling. Syarikat ini didaftarkan pada tahun 1889 dan dikenali sebagai Raub Australian
Syndicate Limited dan kemudiannya ditukarkan nama kepada Australian Gold Mining
Company Limited pada tahun 1892.

6.0 OBJEKTIF KAJIAN

Antara objektif kajian ini ialah mengkaji perkembangan Syarikat Lombong Emas Australia
Raub (R.A.G.M.) pada tahun 1892 sehingga tahun 1961. Syarikat ini menghadapi pelbagai
masalah sejak penubuhannya namun segala cabaran berjaya diatasi sehingga muncul
sebagai sebuah syarikat lombong emas yang paling berjaya di Pahang.

Selain itu kajian ini bertujuan untuk mengkaji perubahan kaedah perlombongan emas
yang berlaku di Raub, Pahang sebelum dan selepas kedatangan Syarikat Lombong Emas
Australia Raub (R.A.G.M.). Seterusnya, kajian ini bertujuan untuk mengkaji hasil pengeluaran
emas oleh Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) antara tahun 1892 sehingga
tahun 1961. Disamping itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor kemerosotan
Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) yang mendorong kepada penutupan
syarikat pada tahun 1961.

7.0 SKOP DAN BATASAN KAJIAN

Pengkaji telah membuat skop kajian dari jarak masa antara tahun 1892 sehingga tahun 1961.
Pengkaji memilih untuk mengkaji mengenai Syarikat Lombong Emas Australia Raub
(R.A.G.M.) bermula pada tahun 1892 sehingga tahun 1961 kerana dalam jangka masa
tersebut tertubuhnya syarikat sehinggalah kemerosotan syarikat yang membawa kepada
penutupan syarikat.

Selain itu, pengkaji juga telah membuat skop kajian dari aspek tempat iaitu di Raub,
Pahang. Sebelum tertubuhnya syarikat tersebut, kegiatan perlombongan dijalankan oleh
masyarakat tempatan dengan menggunakan kaedah mendulang emas. Kaedah
perlombongan sebegini bersifat tradisional dan tidak mendatangkan hasil pengeluaran yang
banyak.

Pengkaji memilih Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) sebagai subjek
kajian kerana syarikat ini merupakan faktor utama kepada kemajuan kegiatan perlombongan

5
emas di Raub, Pahang. Hal ini dibantu oleh pengenalan kaedah perlombongan emas yang
lebih efisien seperti kaedah melombong di bawah tanah (Lode Mining).

8.0 METODOLOGI KAJIAN

Pengkaji telah menggunakan tiga kaedah bagi mendapatkan maklumat mengenai kajian ini,
iaitu:

Pengkaji menjalankan kaedah kajian arkib dengan mengunjungi Arkib Negara


Malaysia Cawangan Negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat mengenai Syarikat
Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.). Pengkaji juga mendapatkan dokumen-dokumen
yang berkaitan dengan surat perjanjian antara Sultan Pahang dengan Syarikat Lombong
Emas Australia Raub (R.A.G.M.).

Selain itu, pengkaji menjalankan kajian perpustakaan bagi mencari bahan rujukan
yang bersesuaian bagi melengkapkan kajian. Pengkaji membaca buku rujukan dan jurnal
mengenai perlombongan emas di Raub, Pahang.

Disamping itu, pengkaji juga melayari laman sesawang untuk mengakses jurnal-jurnal
online dan laman sesawang yang berkaitan dengan tajuk kajian. Sumber internet
sememangnya sangat membantu saya untuk menyiapkan kajian ini dengan lebih
komprehensif.

9.0 SIGNIFIKAN KAJIAN

Kajian ini penting bagi melengkapkan penulisan sejarah mengenai peristiwa bersejarah di
negeri Pahang iaitu perusahaan perlombongan emas di Raub, Pahang. Umum mengetahui
bahawa daerah Raub sememangnya terkenal dengan perusahaan perlombongan emas sejak
zaman primitif lagi. Manakala Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.)
bertanggungjawab memperkenalkan kaedah perlombongan emas secara moden. Perubahan
kaedah perlombongan dari kaedah tradisional kepada kaedah moden berupaya
meningkatkan pengeluaran emas di Raub, Pahang.

Selain itu, kajian ini memfokuskan kepada sejarah penubuhan, perkembangan dan
kemajuan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) sebagai sebuah syraikat yang
memangkin ekonomi Raub, Pahang melalui perusahaan perlombongan emas. Kemudian,
pengkaji juga akan menjelaskan mengenai faktor-faktor kemerosotan syarikat sehingga
mendorong kepada penutupan syarikat pada tahun 1961.

6
Seterusnya, kajian ini penting kerana walaupun beberapa pengkaji telah menjalankan
kajian mengenai Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) namun pengkaji-
pengkaji lain tidak membincangkan secara menyeluruh tentang perkembangan syarikat sejak
awal penubuhan sehingga kemerosotan syarikat. Kajian ini juga akan membincangkan
dengan faktor-faktor kemajuan dan kemerosotan syarikat bermula pada tahun 1892-1960.

10.0 PEMBAHAGIAN BAB

Kajian ini merangkumi lima bab. Bab satu meliputi pengenalan ringkas mengenai kajian
tentang Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.). Dalam bab satu pengkaji
memasukkan tajuk kajian, permasalahan kajian, tinjauan kajian lepas, objektif kajian, skop
dan batasan kajian, metodologi kajian, signifikan kajian, pembahagian bab dan penutup.

Bab dua menceritakan tentang perkembangan Syarikat Lombong Emas Australia


Raub (R.A.G.M.). Bab ini bermula dengan sejarah penubuhan, perkembangan dan
kegemilangan syarikat dalam industri perlombongan emas di Raub, Pahang.

Bab tiga menceritakan tentang perubahan kaedah perlombongan emas sebelum dan
selepas kedatangan Syarikat Lombong Emas Australia Raub (R.A.G.M.) di Raub, Pahang.
Perubahan kaedah perlombongan emas daripada keadah tradisonal kepada kaedah moden
memberikan kesan terhadap pengeluaran emas.

Bab empat menceritakan tentang pengeluaran emas oleh Syarikat Lombong Emas
Australia Raub (R.A.G.M.) antara tahun 1892 sehingga tahun 1961 Pengeluaran emas
dibahagikan mengikut tiga peringkat iaitu peringkat awal, peringkat pertengahan dan
peringkat akhir.

Bab empat menceritakan tentang kemerosotan Syarikat Lombong Emas Australia


Raub (R.A.G.M.) yang mendorong kearah penutupan syarikat. Dalam bab ini juga dijelaskan
faktor-faktor kemerosotan syarikat yang dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan sosial.

11.0 PENUTUP

Secara tuntasnya, kajian ini dijalankan bagi melihat perkembangan Syarikat Lombong Emas
Australia Raub (R.A.G.M.) antara tahun 1892 sehingga tahun 1961. Syarikat merupakan
pemangkin utama kepada perkembangan perlombongan emas di Raub, Pahang. Pengkaji
berpendapat peranan yang dimainkan oleh syarikat ini mengubah kemajuan negeri Pahang
dan kehidupan masyarakat di kawasan sekitar.

7
12.0 RUJUKAN

SUMBER PRIMER

1892/0002237. Perjanjian Perlombongan Emas Di Raub, Pahang pada tahun 1892.

1895/0002356. Perlombongan emas di Raub, Pahang sekitar tahun 1895.

1915/0005682. Kawasan perlombongan emas di Mukim Semantan, Raub, Pahang pada


tahun 1915.

1913/0005672. Kawasan perlombongan emas di Mukim Batu Talam, Raub, Pahang pada
tahun 1913.

SUMBER SEKUNDER

Amarjit Kaur (1984). An Historical Study Of Transport In Malaya. Kuala Lumpur: United
Selangor Press Sdn. Bhd.

Arnold Wright (1913). The Malay Peninsula (A Record of British in the Middle East). London:
T. Fisher Unwim.

Business World Jilid 40 (1987). Kuala Lumpur: Upa Press Sdn. Bhd.

Cant, R. G. (1972). A Historical Geography of Pahang. MBRAS. Monografi No. 4.

Gibson (1928). The Malay Peninsula and Archipelago. London: J. M. Dent and Sons Ltd.

Kamarudin Mad Slar (1983). Pengwujudan Emas Primer dan Plaser bagi Negeri Pahang.
Kuala Lumpur: Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi Malaysia.

Newbold, N. (1971). British Settlements in the Straits of Malacca. London: Oxford University
Press.

Nicholas N. D. (1977). Mineral Production on the East Coast of Malaysia. JMBRAS. Jilid 50,
Bahagian 2.

Richardson (1992). The Geology and Resources of the Neighbourhood of Raub, Pahang.
London: Oxford University Press.

Sivachandralingam (2011). Sejarah Perlombongan Emas di Pahang antara Tahun 1892


sehingga tahun 1960. Diakses pada 29 Mac 2019 melalui
http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1330/1/MDSS_2001_Bil29_08.pdf

8
Tun Seri Lanang (1961). Sejarah Melayu, W. G. Shallebaer (cetakan ke-10) cetera XIII.
Singapura: Malay Publishing House Ltd.

Victor Bibby (2012). Story of Raub Gold. Diakses pada 29 Mac 2019 melalui
http://raubgold.webplus.net/William%20Mining%20Leases.pdf

Warnford Lock (2012). Mining in Malaya. Memphis: General Books LLC.

Wheatley (1961). The Golden Khersonese. London: Oxford University Press

Zakaria Awang Ali (1977). Sejarah Perlombogan di Raub: Satu Kajian Mengenai Sejarah
Perkembangan Perlombongan Emas Raub Australia 1892-1961. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Zakaria Awang Ali (2002). Latar Belakang Sejarah Perlombongan Emas di Pahang hingga
1914. Diakses pada 29 Mac 2019 melalui
http://www.ukm.my/jebat/images/upload/Zakaria%20Awang%20Ali%207-8.pdf

Anda mungkin juga menyukai