Anda di halaman 1dari 6

PENGEKALAN DAN PEMULIHARAAN SENIBINA RUMAH TRADISIONAL MELAYU BUGIS: KEPENTINGAN DAN CABARAN DI MASA HADAPAN M.A.A.

Rahman, Z.A. Akasah, S.N.F. Zuraidi Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Abstrak: Rumah tradisonal melayu Bugis merupakan antara senibina Bugis yang semakin pupus ditelan zaman. Antara faktor yang mendorong kepada kepupusan ini adalah disebabkan oleh kurang kepekaan di kalangan masyarakat pada hari ini dalam mempertahankan warisan bangsa silam selain daripada faktor penghijrahan dan pengabaian. Keadaan ini telah memberi impak terhadap masa hadapan senibina Bugis ini serta mengurangkan lagi sumber dan khazanah yang dapat dijadikan rujukan untuk generasi-generasi di masa yang akan datang. Oleh yang demikian, menjadi satu kepentingan kepada generasi hari ini untuk terus mempertahan dan melindungi warisan senibina Bugis supaya apa yang masih tinggal akan dapat dikekalkan. Sehubungan dengan itu, kertas ini membincangkan mengenai kepentingan pengekalan dan pemuliharaan warisan senibina rumah tradisional melayu Bugis serta cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam mempertahankan warisan tradisonal yang semakin lupus. Kata kunci: Pengekalan, Pemuliharaan, Rumah tradisional melayu Bugis, Senibina 1.0 Pengenalan

Masyarakat Bugis merupakan antara etnik dagang yang masyhur di Tanah Melayu. Kisah mengenai etnik Bugis ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi masyarakat di Malaysia, malah telah menjadi antara sumber penting dalam kronologi pembentukan negara, terutamanya dalam pensejarahan awal negeri Johor (Rahilah et. al., 2009). Menurut Ahmad Misman (Hafidzah, 1991), masyarakat Bugis dikenali kerana kehandalan mereka dalam ilmu pelayaran. Ini kerana aktiviti pelayaran, pengembaraan, perdagangan dan perantauan telah menjadi tradisi dalam kehidupan seharian masyarakat Bugis. Sehubungan dengan itu, maka tidak hairanlah sekiranya kedudukan mereka sebagai pelaut yang terbilang telah meletakkan etnik Bugis sebagai bangsa yang sangat digeruni di lautan Nusantara. Sementara di daratan pula, peranan mereka sebagai peneroka hutan dan pembina petempatan luar bandar telah menjadi aspek penting dalam pembentukan sejarah penempatan awal masyarakat Bugis di Tanah Melayu. Sebagai bangsa dagang yang kerap berhijrah, mereka telah membina rumah yang mudah dan ringkas bagi tujuan perteduhan pada awalnya. Namun, populasi migrasi yang berterusan telah merubah rumah-rumah teduhan tersebut menjadi rumah-rumah tradisi bagi masyarakat Bugis yang kini semakin sukar untuk dilihat akan kewujudannya. Meskipun rumah tradisional Bugis telah menjadi warisan yang semakin pupus pada hari ini, namun kewujudan senibina etnik dagang ini pernah menjadi antara senibina yang mendapat tempat dalam penempatan Melayu di tanah air. Malah, pengaruh daripada pembinaan rumah yang mudah dan ringkas ini turut diaplikasikan dalam pembinaan rumah-rumah tradisional melayu yang lain seperti rumah Melaka dan rumah Limas. Maka

itu, generasi hari ini memikul tanggungjawab dalam memastikan kelangsungan hayat senibina tradisional Bugis yang masih ada ini untuk terus dipulihara dan dikekalkan sebagai bekalan warisan generasi di masa akan datang. Sebagai permulaan, kertas ini secara ringkasnya menyentuh mengenai kepentingan pengekalan dan pemuliharaan senibina rumah tradisional melayu Bugis serta cabarancabaran di masa hadapan. 2.0 Pengekalan dan pemuliharaan senibina

Istilah pengekalan dan pemuliharaan membawa maksud yang sangat luas dan pelbagai. Ia merujuk penjagaan terhadap sesuatu sumber daripada musnah atau diubah tanpa perancangan yang teliti. Perkataan sumber dalam maksud di atas merangkumi sumber alam semula jadi dan sumber alam bina. Sumber alam semulajadi meliputi sumber air, tanah, udara, bahan mentah, flora dan fauna. Manakala sumber alam bina atau senibina terdiri daripada bangunan, monumen dan artifak seni (Siti Norzilaiha, 2010). Bagi maksud kajian ini, pengekalan dan pemuliharaan merujuk kepada sumber alam bina atau senibina. Pengekalan dan pemuliharaan senibina memberi erti terhadap proses menjaga, memelihara, membaik pulih dan membangunkan semula senibina-senibina yang wujud sama ada masih ada atau telah tiada (Ali Emran, 1990). Melalui langkah-langkah praktikal seperti pengekalan, pengembalian semula, pemulihan, pengeluaran semula, pembinaan semula, pengukuhan, suai guna, suai padan, pencegahan dan penyenggaraan (Fieldan, 2000; Paiman Keromo, 2006; Kamarul Shahril, 2010), sesebuah binaan itu mampu untuk terus wujud dan bertahan. Pengekalan dan pemuliharaan senibina ini menurut Piagam Burra (1981, artikel 2) adalah bertujuan untuk mengekal atau memulih kepentingan budaya yang ada pada tempat termasuk jagaan sementara ke atas keselamatan, penyenggaraan dan masa depan warisan sejarah. 3.0 Senibina Rumah Tradisional Melayu Bugis

Etnik Bugis merupakan antara etnik yang membentuk rumpun masyarakat Melayu di Malaysia. Sebagaimana etnik-etnik melayu lain seperti Jawa, Minangkabau mahupun Acheh, masyarakat melayu Bugis juga kuat berpegang dengan adat. Malah adat-adat ini telah diolah dalam pembentukan masyarakat setempat dari aspek kebudayaan, keagamaan dan sistem sosial. Kepegangan yang kuat terhadap adat dan kepercayaan etnik Bugis ini bukan sahaja dilihat penting dalam mempengaruhi perkembangan politik dan sosio ekonomi sahaja, malah pengaruh etnik ini juga turut dapat dilihat melalui senibina awal di Tanah Melayu, khususnya di negeri Johor. Menurut Hafidzah (1991), ciri-ciri keBugisan yang terdapat pada elemen senibina rumah tradisional melayu Bugis ini adalah berlainan sekali dengan rumah tradisional melayu yang lain. Ini kerana rumah tradisional melayu Bugis dikenali dengan bentuknya yang mudah (Ahmad Misman, 1991).

Tampak hadapan

Tampak sisi

Rajah 1.2: Tampak hadapan dan sisi rumah tradisional melayu Bugis 4.0 Kepentingan pengekalan senibina tradisional melayu Bugis

Seperti kebanyakan rumah tradisional melayu yang lain, rumah tradisional melayu Bugis juga perlu diberikan perhatian akan kewujudannya. Sumbangan rumah tradisonal melayu Bugis ini meskipun tidak memberi pengaruh yang utuh sebagaimana rumah tradisional melayu Melaka, rumah Kutai atau rumah Limas, namun jika dikaji secara terperinci terdapat beberapa kepentingannya yang tersendiri. Antara kepentingan yang dimaksudkan adalah: 4.1 Kepentingan sejarah

Selain daripada bukti bercetak dalam bentuk penulisan atau lakaran, senibina yang masih tinggal juga menjadi bukti sejarah nyata yang turut merekodkan entiti Bugis di Tanah Melayu. Melalui tindakan dan aktiviti pengekalan, senibina-senibina tradisional Bugis ini secara tidak langsung akan dapat dipertahankan sebagai bahan rujukan sejarah bagi generasi-generasi di kemudian hari. 4.2 Kepentingan senibina

Rekabentuk yang ringkas dan mudah menjadi ciri-ciri utama yang unik yang membentuk senibina sesebuah rumah tradisi Bugis. Ciri-ciri tersebut merupakan olahan dari adat dan kepercayaan Bugis yang menjadi teras kepada falsafah pembinaan sesebuah senibina tersebut. Falsafah yang digunapakai ini turut mempengaruhi perancangan dan letak duduknya sesuatu ruang dalam bahagian rumah. Rekabentuk dan gaya senibina yang terdapat pada rumah tradisional Bugis ini juga menjadi rujukan kepada pembinaan rumahrumah tradisional melayu yang lain. Malah, sesetengah elemen yang terdapat pada rumah tradisional Bugis ini telah disuaiguna dalam kebanyakan senibina moden masa kini. 4.3 Kepentingan warisan berpanjangan

Migrasi etnik Bugis bukan sahaja berlaku semasa kedatangan mereka ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu malah sehingga kini etnik Bugis masih terus berterusan bermigrasi. Pengekalan dan pemuliharaan kawasan penempatan bukan sahaja telah membentuk identiti masyarakat melayu Bugis, malah telah menyuburkan ikatan darah dan tali persaudaraan yang terjalin dalam kepelbagaian etnik yang lain. Walaupun zaman awal migrasi mereka ke Tanah Melayu telah lama berlalu, namun warisan yang telah dibangunkan perlulah dipertahankan untuk kepentingan yang berpanjangan. 4.4 Kepentingan pendidikan

Pengekalan dan pemuliharaan senibina tradisional melayu Bugis juga turut memainkan peranan yang penting dalam sektor pendidikan sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat tinggi. Senibina-senibina yang dikekalkan ini dapat dijadikan sumber rujukan pengetahuan para ilmuan. Dengan memahami dan mengkaji warisan senibina Bugis ini, pelbagai ilmu dapat dipelajari termasuk dari aspek kejuruteraan dan senibina. 4.5 Kepentingan pelancongan

Dalam aspek pelancongan, pengekalan dan pemuliharaan mampu untuk menarik pengunjung atau pelancong yang datang sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk berkunjung dan melihat dari dekat akan senibina-senibina tradisional Bugis ini. Selain daripada itu juga, hasil daripada aktiviti pengekalan dan pemuliharaan ini juga dapat dijadikan sumber tarikan yang boleh dibawa ke luar negara sebagai agen mempromosikan negara. 4.6 Kepentingan modal insan

Pengekalan dan pemuliharaan senibina tradisional Bugis juga penting dalam melestarikan pemikiran dan pembentukan minda modal insan pada hari ini terutamanya dalam menghargai khazanah negara. Meskipun dalam kemajuan dunia hari ini telah menenggelamkan adat dan kebudayaan Bugis di masa silam, namun melalui usaha pengekalan dan pemuliharaan ini dapat menjamin warisan senibina Bugis ini untuk terus dipertahankan. 5.0 Cabaran di masa hadapan

Pengekalan dan pemuliharaan mungkin dapat membantu menyelamatkan serpihan-serpihan senibina tradisional Bugis ini untuk terus kekal bertahan pada satu tempoh masa yang tertentu. Namun begitu, cabaran-cabaran yang bakal mendatang di masa hadapan berkemungkinan akan mendatangkan impak terhadap usaha pengekalan dan pemuliharaan ini. Antara cabaran yang dimaksudkan adalah: 5.1 Ancaman kepupusan

Walaupun penempatan masyarakat Bugis ini masih lagi dapat dilihat di kawasan-kawasan majoriti mereka seperti di Johor dan Selangor, namun sebahagian besar daripada mereka tidak lagi memilih untuk tinggal di rumah tradisi, sebaliknya lebih berminat untuk membina penempatan yang lebih moden. Keadaan ini telah mengakibatkan bilangan senibina tradisional Bugis semakin diancam kepupusan dan tidak mustahil sekiranya senibina tersebut hilang lenyap di masa hadapan seandainya tiada langkah pengekalan dibuat. 5.2 Pengabaian

Masalah pengabaian antara masalah yang kerapkali berlaku pada sesebuah senibina tradisional Melayu termasuk senibina Bugis akibat daripada sikap tidak endah sesetengah pemilik. Akibat daripada sikap tidak endah ini mengakibatkan warisan senibina ini semakin uzur dan usang sehingga pada satu tahap yang sukar untuk diperbaiki. Senibina yang dibiarkan tanpa penjagaan ini akhirnya akan menjadi beban kepada pemiliknya dan akhirnya akan digantikan dengan binaan moden. 5.3 Pengubahsuaian tidak terancang

Pengubahsuaian major serta tidak terancang berpotensi menghilangkan sebahagian besar keaslian dan ketulenan yang ada pada sesebuah senibina tradisional Bugis itu. Sebilangan rumah asal tradisional etnik ini telah mengalami transformasi seiring dengan perkembangan zaman dan kehendak semasa. Penggunaan material moden masakini turut mengikis nilai keaslian dan ketulenan yang terdapat pada senibina warisan bugis ini. 5.4 Kemajuan semasa

Kemajuan yang pesat pada masa kini menjadi ancaman kepada kawasan-kawasan penempatan Bugis yang sedia ada memandangkan kawasan pembinaan yang semakin terhad. Telah banyak kawasan-kawasan penempatan yang telah diambil untuk pembangunan mega yang menjanjikan pulangan yang lebih lumayan. 6.0 Kesimpulan

Pengekalan dan pemuliharaan senibina tradisional Bugis pada hari ini mungkin telah terlewat memandangkan bilangan senibina yang tinggal semakin berkurangan. Meskipun usaha tersebut telah terlewat, namun masih belum terlambat untuk terus memastikan bilangan yang masih ada dapat dikekalkan. Usaha pengekalan dan pemuliharaan ini amat penting kepada kelangsungan sejarah, senibina, pendidikan, pelancongan dan modal insan di negara ini. Melalui tindakan-tindakan pemuliharaan, senibina tradisional Bugis ini mampu untuk bertahan dan diwariskan kepada generasi-generasi yang akan datang. Walaubagaimanapun, cabaran-cabaran seperti ancaman kepupusan, pengabaian, pengubahsuaian yang tidak terancang serta kemajuan semasa memberi tekanan terhadap masa hadapan senibina tradisional Bugis ini. Oleh yang demikian, langkah yang lebih

komprehensif perlu diberi perhatian dalam usaha untuk memastikan agar senibina tradisional Bugis ini dapat terus dipertahankan. Penghargaan Setinggi-tinggi penghargaan buat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), rakan penyelidik serta mereka yang terlibat membantu sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam penyiapan kertas kerja ini. Rujukan Ahmad Misman (1989) Falsafah senibena Tradisional Melayu Bugis. Kes kajian : Di Parit Pecah Muar, Johor / Ahmad Misman Bin Angsar. Disertasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Ali Emran, Shaarani (1990) Pemeliharaan rumah rumah kedai di Jalan Pudu, Disertasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Fieldan, B.M. (2000). Conservation of historic buildings. Architectural Press, Oxford. Hafidzah , Mohd Amin (1987) Latarbelakang persejarahan, falsafah dan pengaruh senibina tradisional Melayu Bugis : pengkhususan dibahagian pantai barat Johor / Hafidzah Mohd Amin. Disertasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM). ICOMOS Australia (1981), Charter for the Conservation of Places of Cultural Significant (The Burra Charter), Sydney: Australia ICOMOS Inc. Kamarul Shahril, 2010, Pengenalan kepada pemuliharaan bangunan bersejarah, Proceedings of the 2nd Builders Symposium, 25 Mac 2010, UiTM Paiman Keromo (2006). Konservasi secara umum: Garis panduan konservasi monumen dan tapak tanah bersejarah di Malaysia, Bengkel Konservasi Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah, 27-29 Nov 2006, Melaka. Rahilah Omar, Khazin Mohd. Tamrin, Nordin Hussin, Nelmawarni, 2009, Sejarah kedatangan masyarakat Bugis ke Tanah Melayu: Kajian kes di Johor, JEBAT Vol 36, Ms 41 -61 Siti Norzilaiha, 2010. Definisi, konsep dan prinsip pemuliharaan bangunan bersejarah, UPENA

Anda mungkin juga menyukai