Anda di halaman 1dari 11

BAHASA MELAYU

LATIHAN BAHASA MELAYU 1

Soalan 1: Ringkasan
[15 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu ringkasan tentang impak wujudnya
semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 60
patah perkataan.

Kita tidak wajar berpuas hati dengan tahap semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat
kita. Jika wujud rasa cinta terhadap tanah air, sudah tentu sikap mementingkan diri sendiri tidak akan
wujud lagi. Hal ini demikian kerana, rasa cinta terhadap negara menimbulkan rasa cinta terhadap
masyarakatnya. Apabila wujud rasa cinta, sudah pasti kita akan menyayangi dan menghargai orang
lain. Sikap suka berlumba motosikal secara haram sudah pasti tidak berlaku kerana perbuatan itu
menyusahkan pengguna yang lain. Selain itu, kita tidak mungkin membuang sampah di merata-rata
tempat kerana boleh mencemarkan imej negara, selain menimbulkan penyakit. Umum mengetahui
semangat patriotik dapat memupuk budaya cinta negara, taat setia kepada raja dan nusa. Hal itu amat
penting bagi mengukuhkan perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyat. Usaha ini hendaklah dilakukan
secara berterusan bukan hanya pada hari perarakan sahaja.

Semangat patriotik dapat difahami sebagai semangat mencintai dan mempertahankan


kedaulatan negara serta sebagai pembela agama, bangsa dan negara. Oleh itu, semangat berkenaan
amat penting untuk mendidik hati dan jiwa anak bagi mengelakkan gejala negatif kalangan remaja.
Mereka yang mempunyai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air akan sentiasa menjaga diri
daripada menjadi alat pihak yang tidak bertanggungjawab. Melalui didikan semangat patriotik, dapat
memperkukuh jati diri dalam kalangan masyarakat. Pendidikan semangat patriotik dapat dilakukan di
rumah oleh ibu bapa dan diperkukuhkan oleh guru di sekolah. Ibu bapa boleh menceritakan kisah
lampau zaman penjajahan dan di sekolah dimantapkan lagi melalui pelajaran Sejarah, Pendidikan
Islam dan Moral. Guru boleh menanam semangat patriotik juga boleh disemai melalui pembacaan
buku biografi tokoh pahlawan, perdana menteri dan negarawan tanah air.

Sesungguhnya, mereka yang mengamalkan nilai cinta akan negara, sentiasa sedar akan
tanggungjawab kepada negara dan sedia memberi khidmat kepada tanah air. Malahan, golongan ini
akan menjaga dan memelihara imej negara serta sentiasa bersikap positif dengan menyokong dan
bekerjasama bagi menjayakan dasar pembangunan negara. Seterusnya tidak menjual rahsia negara
walaupun diberikan tawaran yang lumayan. Muhammad Iqbal pernah berkata, “Patriotisme adalah
berkat yang sepenuhnya bersifat fitrah dan mempunyai tempat dalam kehidupan moral manusia”.
Semangat patriotisme yang mendalam ini menyebabkan bersedia bertugas di pedalaman yang masih
belum dilengkapi kemudahan infrastruktur, selain sentiasa menghindari anasir negatif yang
mengancam keselamatan dan kedaulatan negara. E R Bulwer Lytton pernah menyatakan setiap orang
harus mencintai dan bangga pada negaranya sendiri kerana ia tempat dia dilahirkan.

Dalam arus globalisasi, kita perlu menangkis sebarang bentuk ancaman terhadap bangsa dan
negara yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi, dan sosial. Mereka yang dididik dengan
semangat patriotisme yang tinggi akan sentiasa membuka minda dan fikiran bagi menghadapi saingan
globalisasi dalam semua aspek. Untuk itu, kita harus bijak membezakan antara yang baik dengan yang
buruk. Sesungguhnya, dengan semangat patriotisme, sikap bertolak ansur dan bersatu mengukuhkan
perpaduan serta menyelesaikan sendiri masalah dalaman negara adalah cara terbaik mengelakkan
pihak lain yang cuba mencari peluang memecahbelahkan masyarakat kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Memperkasa Semangat Patriotisme Rakyat” , oleh Aminuddin
Mansor, Harian Metro, 27 Ogos 2008)
Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2 (a) Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

(i) Berikan maksud mengukuhkan perpaduan dalam petikan.


[2 markah]

(ii) Ibu bapa dan guru dikatakan boleh melahirkan semangat patriotisme dalam kalangan
remaja. Nyatakan pendapat pengarang mengenai pernyataan tersebut.
[3 markah]
RUMUSAN SET 2

Soalan 1: Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan kerajaan
untuk meningkatkan hasil pertanian dan kepentingannya. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.

Sektor pengeluaran makanan pertanian kini diberi suntikan nafas baharu supaya sektor yang
berpotensi tetapi agak ketinggalan dapat dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan baharu. Kaedah
ini merupakan peluang bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai penggubal dasar
dan agensi pelaksana untuk merangka satu pelan tindakan untuk memajukan sektor ini sebagai industri
yang dinamik dan berdaya maju. Peluang ini akan diterjemahkan sebagai pelan tindakan yang akan
dilaksanakan dalam perancangan pembangunan lima tahun yang dibukukan sebagai Rancangan
Malaysia Kesembilan (2006-2010). Perancangan ini akan menggariskan dasar dan hala tuju strategik
baharu dan penyediaan program dan projek-projek khusus bagi menyokong dasar dan hala tuju
tersebut selaras dengan usaha ke arah memartabatkan sektor pengeluaran makanan pertanian sebagai
penjana pertumbuhan ekonomi negara.

Adakah bidang pertanian dan pemakanan negara kurang penting jika dibandingkan dengan
bidang pertahanan dan keselamatan? Pekerja pertanian sejak dari awal pembabitan mereka dalam
kerja-kerja di sawah tidak pernah menjalani sebarang latihan. Mereka mewarisi sahaja kerja orang tua
yang terdahulu dan tidak ada badan yang mengambil peduli tentang tahap kebolehan dan kebajikan
mereka. Petani hanyalah dianggap sebagai “kelas hamba” dalam masyarakat untuk menyediakan
pemakanan negara; tetapi mereka tidak pernah dianggap sepenting anggota tentera yang menjaga
keselamatan negara. Di Jepun umpamanya, petani yang menghasilkan padi dibayar imbuhan yang
lumayan dalam bentuk subsidi pertanian sehingga empat kali ganda nilai hasil yang berjaya
dikeluarkan. Di Amerika Syarikat pula, kerajaan mempertahankan keluasan kawasan dan menjaga
kesuburan tanah-tanah pertanian.

Kerajaan mesti bersedia berbelanja besar untuk memberi imbuhan dan insentif kepada para
petani agar mereka mengusahakan pertanian dalam skala besar. Kerajaan juga perlu menyediakan
latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka, selain membeli peralatan canggih yang
diperlukan dalam perusahaan pertanian. Malahan hasil pertanian hendaklah diuruskan oleh kerajaan
tanpa penglibatan orang tengah. Kita akui bahawa imbangan dagangan tahun 2004 menunjukkan
imbangan defisit yang dicatatkan ialah RM6.6 bilion. Defisit tahun 2004 telah meningkatkan 53.4
peratus berbanding dengan defisit tahun 2003 sebanyak RM 4.3 bilion. Statistik awal imbangan
dagangan bagi tempoh Januari – April 2005 menunjukkan negara telah mencatatkan defisit sebanyak
RM2.6 bilion. Mengikut unjuran, imbangan dagangan sektor makanan dijangka akan meningkat
kepada RM10.9 bilion pada tahun 2010 jika tiada campur tangan polisi dilaksanakan untuk
membendung pola imbangan defisit yang kian meningkat ini.

Banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk membantu para petani bagi
meningkatkan industri pertanian negara. Oleh itu, kerajaan juga mesti mengambil peranan langsung
dalam mengawal penghasilan dan menentukan penyimpanan stok makanan sentiasa mencukupi untuk
berhadapan dengan apa-apa sahaja kemungkinan sama ada perubahan cuaca atau konflik serantau yang
boleh menjejaskan pengeluaran makanan asas negara. Keadaan prasarana perlu dibaiki untuk
memudahkan hasil pertanian dibawa keluar. Pada waktu yang sama, kita mengharapkan kerajaan
menambah kawasan pertanian sebagai aset strategik negara, selain mempertahankan status tanah
pertanian daripada ditukar kepada kegunaan lain. Usaha kerajaan Thailand menjadikan sektor
pertanian sebagai pemacu ekonomi negara haruslah kita contohi.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Kepentingan Sektor Tani”,
oleh Zahari Man, Utusan Malaysia, 20 Mei 2008)

Soalan 2 (a) Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mewarisi sahaja kerja. [2


markah]

(ii) Berikan contoh negara luar untuk meningkatkan hasil pertanian di negara masing-masing.
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah anak muda sekarang tidak berminat dalam kerja-kerja
Pertanian?
[3 markah]
Soalan 2: Ringkasan
[15 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu ringkasan tentang langkah-langkah
membendung jenayah kanak-kanak. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 60 patah
perkataan.

Anak-anak memerlukan ibu bapa sebagai tempat perlindungan daripada sebarang anasir dan
ancaman negatif dari luar. Setiap ibu bapa mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-
anak mereka sama ada di rumah atau di luar rumah. Akan tetapi, amatlah mustahil dan sukar bagi ibu
bapa untuk memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam. Ada ibu bapa
yang sibuk dengan tugasan kerja dan ada juga yang lebih senang membiarkan anak mereka bebas
untuk pergi ke mana-mana sahaja. Namun, ada juga anak-anak yang merajuk dan berasa diri mereka
dikongkong akibat perhatian berlebihan ibu bapa mereka. Kongkongan ini menyebabkan terjadi satu
lagi fenomena yang membimbangkan iaitu lari dari rumah. Disebabkan kemustahilan untuk
mengawasi anak-anak pada setiap masa, para ibu bapa dan penjaga perlu merangka strategi
menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri dalam membuat keputusan walaupun tanpa
ibu bapa di sisi.

Tindakan yang mudah ialah anak-anak hendaklah berteman ke mana sahaja mereka pergi.
Penjenayah selalunya akan menyerang mangsa yang sedang berseorangan. Serigala tidak akan
menangkap kambing yang meragut dalam kumpulan, tetapi akan menyerang kambing yang meragut
bersendirian. Kanak-kanak malang, Nurin Jazlin hilang ketika dia berjalan seorang diri. Selain itu,
ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling dan melaporkan kepada ibu bapa
sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau ada orang yang memerhatikan mereka. Malahan, kanak-
kanak perlu diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah. Mereka juga diingatkan agar tidak boleh
mengikut seseorang yang tidak dikenali ke tempat-tempat yang tidak diketahui. Had bagi seorang yang
tidak dikenali ialah setakat menegur dan bertanya soalan sahaja.

Selain itu, gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada. Teknologi
paling murah dan mudah didapati ialah dengan membekalkan anak anda telefon bimbit. Melalui
telefon bimbit ibu bapa boleh mengetahui tempat anak mereka berada. Jumlah penduduk di negara
kita semakin bertambah dan ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah. Selain itu,
strategi dan kaedah yang digunakan oleh penjenayah pada masa sekarang adalah lebih licik dan bijak.
Ibu bapa pasti tidak mampu untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka sentiasa terjamin.
Kaedah yang paling baik ialah mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka
sendiri.

Oleh sebab banyak kejadian jenayah kanak-kanak di luar rumah, peranan masyarakat amatlah
penting dalam membendung gejala ini daripada terus menular. Masyarakat perlu bersikap peka dengan
bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak dianiaya oleh orang dewasa. Dengan kemajuan teknologi
moden, kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis. Sikap enau dalam belukar yang
pucuk masing-masing perlu dielakkan. Ingatlah, hari anak orang menjadi mangsa jenayah, hari-hari
mendatang mungkin keluarga pula menjadi mangsa manusia yang bersikap zalim. Dalam era menuju
kemajuan ini, kita tentu berasa sedih apabila kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus
meningkatkan. Sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia memang sudah “sakit” menyebabkan kanak-
kanak menjadi mangsa.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Beri Kanak-kanak Kuasa”, oleh Raffaro Affandy Salim,
dalam Utusan Malaysia, 22 September 2007)

Soalan 2: Pemahaman

Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dalam membendung jenayah yang
melibatkan anak mereka?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, selain faktor ibu bapa dan masyarakat, mengapakah kadar jenayah
yang melibatkan kanak-kanak terus bertambah?

[3 markah]
JAWAPAN RUMUSAN 01
(a) Pendahuluan
Petikan membincangkan kesan mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat
Malaysia.
(b) Isi tersurat [Impak Semangat Patriotisme]
S1 Semangat patriotik dapat memupuk budaya cinta negara, taat setia kepada raja dan nusa.
S2 Mendidik hati dan jiwa anak bagi mengelakkan gejala negatif kalangan remaja.
S3 Sentiasa menjaga diri daripada menjadi alat pihak yang tidak bertanggungjawab.
S4 Dapat memperkukuh jati diri dalam kalangan masyarakat.
S5 Sentiasa sedar akan tanggungjawab kepada negara dan sedia memberi khidmat kepada tanah air.
S6 Akan menjaga dan memelihara imej negara serta sentiasa bersikap positif.
S7 Tidak menjual rahsia negara walaupun diberikan tawaran yang lumayan.
S8 Bersedia bertugas di pedalaman yang masih belum dilengkapi kemudahan infrastruktur.
S9 Sentiasa menghindari anasir negatif yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
S10 Sentiasa membuka minda dan fikiran bagi menghadapi saingan globalisasi dalam semua aspek.
(c) Isi Tersirat [Kekangan untuk melahirkan semangat patriotisme]
T1 Masyarakat menganggap hal berkaitan patriotisme sesuatu yang remeh, sedangkan banyak perkara
lain yang lebih penting seperti ekonomi.
T2 Masyarakat menyerahkan bulat-bulat aktiviti berkaitan patriotisme kepada kerajaan.
T3 Aktiviti berkaitan patriotisme dianggap membuang masa.
T4 Masyarakat mengutamakan sesuatu yang memberi keuntungan peribadi.
[Pendapat yang sesuai diterima.]
(d) Penutup
Kesimpulannya/Konklusinya/Natijahnya setiap lapisan masyarakat perlulah berusaha meningkatkan
patriotisme dalam diri agar perasaan sayang terhadap negara dapat diperteguh.

Soalan 2: Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum

(i) Rangkai kata membawa maksud merapatkan hubungan kaum.


[2 markah]
(ii) Peranan ibu bapa dan guru dalam melahirkan semangat patriotisme dalam kalangan
remaja ialah pendidikan semangat patriotik dapat dilakukan di rumah oleh ibu bapa dan
diperkukuhkan oleh guru di sekolah. Selain itu, ibu bapa boleh menceritakan kisah lampau
zaman penjajahan dan di sekolah dimantapkan lagi melalui pelajaran Sejarah, Pendidikan
Islam dan Moral. Akhir sekali, guru boleh menanam semangat patriotik juga boleh
disemai melalui pembacaan buku biografi tokoh pahlawan, perdana menteri dan
negarawan tanah air.

[3 markah]

(iii) Semangat patriotisme dalam kalangan remaja agak merosot kerana anak muda tidak
menghayati sejarah lampau menyebabkan golongan ini tidak mencintai negara sendiri.
Selain itu, anak muda terdedah dengan pengaruh Barat yang mendidik remaja hidup
bebas, tanpa perlunya mencintai negara sendiri jika ingin berjaya dalam hidup. Akhir
sekali, anak muda tidak menganggap patriotisme itu penting untuk mewujudkan keamanan
negara.
[4 markah]
JAWAPAN RUMUSAN SET 2

(a) Pendahuluan
Petikan membincangkan usaha-usaha yang kerajaan lakukan untuk meningkatkan hasil
pertanian negara.
(b) Isi Tersurat [Peranan kerajaan meningkatkan hasil pertanian]
S1 Sektor pengeluaran makanan pertanian kini diberi suntikan nafas baharu.
S2 Merangka satu pelan untuk menjadikan sebagai industri yang dinamik dan berdaya maju.
S3 Kerajaan bersedia berbelanja besar untuk memberi imbuhan dan insentif kepada petani.
S4 Kerajaan menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan.
S5 Membeli peralatan canggih yang diperlukan dalam perusahaan pertanian.
S6 Hasil pertanian diuruskan oleh kerajaan tanpa penglibatan orang tengah.
S7 Kerajaan mengawal penghasilan dan penyimpanan stok makanan.
S8 Keadaan prasarana dibaiki untuk memudahkan hasil pertanian dibawa keluar.
S9 Kerajaan menambah kawasan pertanian sebagai aset strategik negara.
S10 Mempertahankan status tanah pertanian daripada ditukar kepada kegunaan lain.
(c) Isi Tersirat [Kepentingannya]
T1 Dapat menambahkan hasil pertanian negara sejajar dengan pertambahan penduduk.
T2 Kerajaan tidak bergantung lagi hasil pertanian eksport.
T3 Masyarakat lebih berminat untuk memajukan tanah pertanian masing-masing.
T4 Kerajaan dapat menjadikan pertanian sebagai sektor komoditi negara.
(d) Penutup
Kesimpulannya/Konklusinya/Natijahnya, masyarakat harus mengambil tindakan positif
terhadap usaha yang kerajaan lakukan agar pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat.

Soalan 2: Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum
(i) Rangkai kata membawa maksud meneruskan apa-apa sahaja pekerjaan yang diberikan.
[2 markah]
(ii) Di Jepun, petani yang menghasilkan padi dibayar imbuhan yang lumayan dalam bentuk
subsidi pertanian sehingga empat kali ganda nilai hasil yang berjaya dikeluarkan. Di Amerika
Syarikat pula kerajaan mempertahankan keluasan kawasan dan menjaga kesuburan tanah-
tanah pertanian. Usaha kerajaan Thailand menjadikan sektor pertanian sebagai pemacu
ekonomi negara haruslah kita contohi.

[3 markah]

(iii) Anak muda sekarang menganggap pekerjaan dalam bidang pertanian tidak glamor,
berbanding kerja di pejabat. Selain itu, mereka menganggap pertanian tidak menjanjikan
pendapatan yang tinggi, kerana pengalaman mereka di kampung melihat para petani terdiri
golongan yang miskin. Akhir sekali banyak pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan
berdasarkan kelulusan yang dimiliki. [Pendapat yang sesuai diterima.]
[3 markah]
JAWAPAN RUMUSAN SET 3

Soalan 1: Rumusan
(a) Pendahuluan
Petikan membincangkan usaha-usaha membendung jenayah kanak-kanak daripada terus
menular.
(b) Isi Tersurat [(Langkah-langkah membendung jenayah kanak-kanak]
S1 Ibu bapa bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka di
rumah atau di luar rumah.
S2 Ibu bapa merangka strategi menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri
dalam membuat keputusan.
S3 Anak-anak hendaklah berteman ke mana-mana sahaja mereka pergi.
S4 Ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling.
S5 Kanak-kanak diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah.
S6 Diingatkan agar tidak boleh mengikut seseorang yang tidak dikenali.
S7 Gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada.
S8 Mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka sendiri.
S9 Masyarakat perlu bersikap peka dengan bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak
dianiaya.
S10 Kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis.
(c) Isi Tersirat [Sikap negatif ibu bapa terhadap anak]
T1 Ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah tanpa berteman.
T2 Ibu bapa meninggalkan anak-anak di rumah pengasuh yang tidak diketahui latar
belakangnya.
T3 Anak-anak dibiarkan tinggal bersendirian ketika ibu bapa keluar bekerja.
T4 Ibu bapa tidak prihatin terhadap aduan anak-anak tentang orang dewasa.
(d) Penutup [Cadangan dan harapan daripada cadangan]
Kesimpulannya/Konklusinya/Natijahnya, ibu bapa perlulah lebih prihatin terhadap anak-
anak agar kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak dapat dibendung.

Soalan 2: Pemahaman
Soalan 2 (a) Petikan Umum
(i) Rangkai kata membawa maksud sesuatu yang sukar untuk memastikan keadaan /
ketidakmampuan untuk mengawal.
[2 markah]
(ii) Ibu bapa sukar untuk mengawasi anak mereka kerana sukar bagi ibu bapa untuk
memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam. Selain itu,
ibu bapa yang sibuk dengan tugasan kerja. Malahan ibu bapa ada juga yang lebih
senang membiarkan anak mereka bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja.

[3 markah]

(iii) Kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus meningkat kerana peluang
untuk penjenayah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak terbuka luas. Sebab
yang kedua, tekanan hidup dalam kalangan masyarakat akibat kos hidup yang tinggi
menyebabkan ramai yang sakit jiwa, lalu tidak teragak-agak untuk melakukan jenayah.
Sebab yang ketiga, jumlah pendatang asing yang bertambah menyumbang kepada
peningkatan jenayah ini. Sebab yang terakhir ialah penguatkuasaan yang lemah
menyebabkan masyarakat tidak takut untuk melakukan jenayah.

[4 markah]

Anda mungkin juga menyukai