Anda di halaman 1dari 2

5

Dua Utas Tali

Seorang petani tua tinggal di sebuah Kampung Sepadu dengan isteri dan
dua orang anak lelaki. Anak-anak itu sangat malas dan tidak mahu membantu ibu
bapa mereka. Mereka selalu bergaduh seperti anjing dengan kucing. Petani itu
berasa sangat kecewa akan sikap anak-anaknya. Dia mati akal untuk
menyedarkan mereka.
Pada suatu hari,petani itu memberikan seutas tali kepada anaknya yang
sulung dan seutas tali kepada anaknya yang bongsu. Petani menyuruh mereka
pergi ke dalam hutan untuk mengambil selonggok kayu api yang telah dipotong
olehnya. Petani itu ingin kayu api diberkas dalam satu berkas sahaja.
Setelah sampai di hutan, kedua-dua anaknya cuba mengikat kayu api itu
dengan tali masing-masing tetapi gagal kerana kayu api itu terlalu banyak.
Berlakulah pertengkaran antara mereka. Anak bongsu berasa sangat marah. Dia
ingin berputus asa. Dia terus membuang talinya dan berehat di bawah sepohon
pokok.
Tiba-tiba, anak yang sulung ternampak sekumpulan semut yang sedang
mengangkat cebisan makanan yang besar bersama-sama ke dalam sarang
mereka. Walaupun mereka berbadan kecil, tetapi sikap mereka yang bekerjasama
membolehkan mereka berupaya untuk mengangkat cebisan makanan yang besar
itu. Anak yang sulung sedar akan kepentingan kerjasama.
“Adikku, marilah kita menyambung kedua-dua utas tali kita supaya dapat
mengikat semua kayu api yang dipotong oleh ayah!” Anak sulung pun
mencadangkan kedua-dua tali itu disambung.
Akhirnya, mereka berjaya membawa pulang semua kayu api itu dalam satu
berkas sahaja.
“Wahai anak-anakku, kamu ibarat tali! Seutas tali tidak dapat mengikat kayu
api yang banyak tetapi kayu api tersebut dapat diikat jika kedua-dua utas tali
disambungkan. Anak-anakku, jika kamu bersatu hati dan bekerjasama seperti
ikatan sambungan tali ini, kamu tentu akan lebih berjaya.” Kata petani tua itu
sambil menitiskan air mata kegembiraan.
Akhirnya, anak-anaknya insaf. Mereka semakin rajin dan bermuafakat
untuk menolong ibu bapa mereka. Ternakan mereka semakin banyak
mengeluarkan hasil manakala tanaman di ladang mereka hidup subur. Petani itu
dan isterinya berasa sangat gembira kerana anak-anak mereka sudah
bekerjasama.
Hai kawan-kawan, nilai dan pengajaran daripada cerita ini adalah kita
mestilah selalu bekerjasama dan bersatu hati. Bak kata pepatah “Bersatu teguh,
bercerai roboh”.
Masak ranum buah rambutan,
Sungguh enak untuk dimakan;
Kisah ini jadikanlah teladan,
Bukan sekadar untuk diceritakan.
Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai