Anda di halaman 1dari 13

Pembentukan sahsiah remaja melalui penglibatan diri di dalam aktiviti di luar kelas

Wardatul Aishah bt Musa


(wardatulaishah@unikl.edu.my)

Azis Jakfar b Soraji


(Azisjakfar@unikl.edu.my)

Norsazali b Abdullah
Norsazali@unikl.edu.my)

Student Development & Campus Lifestyle


Universiti Kuala Lumpur
Malaysian Institute of Information Technology, Malaysia
1016 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur.

Abstrak

Artikel ini membincangkan mengenai pembentukan sahsiah remaja melalui penglibatan


mereka di dalam aktiviti yang dijalankan di luar waktu pembelajaran. Artikel ini turut
membincangkan mengenai pandangan Islam mengenai keterlibatan remaja di dalam aktiviti-
aktiviti tersebut beserta faedah yang akan diperolehi. Definisi mengenai aktiviti di luar kelas
ini turut dibincangkan di dalam artikel ini berdasarkan teras yang telah ditetapkan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

Kata kunci : sahsiah, remaja, aktiviti di luar kelas, Pendidikan Islam

Pengenalan

Sistem Pendidikan di Malaysia adalalah bertujuan untuk membolehkan masyarakat


Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang
berdaya saing tinggi serta bersifat global (Ramli Basri, 2011). Manakala Dasar Pendidikan
Kebangsaan dan Peraturan-Peraturan Pendidikan telah menyatakan bahawa ilmu, kemahiran
dan nilai murni amat penting untuk membangunkan diri remaja agar menjadi remaja yang
sempurna. Menurut Khairanum (Metro, 2013), memperkasakan nilai jati diri dan kemahiran
insaniah adalah kepentingan utama dan bukan satu pendekatan popular.

Remaja yang cemerlang adalah remaja yang seimbang antara pencapaian akademik
dan sahsiahnya. Remaja yang sempurna pembentukan dirinya mempunyai empat elemen
utama iaitu dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek. Gabungan kepada empat elemen
tersebut akan menjadikan pembentukan sahsiah mereka adalah secara holistik.

Sesungguhnya Allah swt amat menyukai akhlak yang baik sebagaimana dalam hadis
Rasul saw yang bermaksud :Daripada Sahl b Saad r.a Nabi saw bersabda: ;Sesungguhnya
Allah Azzawajalla adalah mulia. Ia menyukai kemuliaan. Ia juga menyukai akhlak yang
tinggi dan membenci akhlak yang rendah." (Riwayat al-Hakim al-Tabrani yang dipetik
daripada 300 Hadis Bimbingan ke arah mencari reda Allah).

Artikel ini akan membincangkan mengenai pembentukan sahsiah remaja melalui


penglibatan mereka di dalam aktiviti di luar kelas serta faedah-faedahnya berdasarkan kajian-
kajian yang telah dijalankan.

Sahsiah dan aktiviti di luar kelas

Sahsiah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) ialah keperibadian atau
peribadi. Menurut Abdullah Nasih Ulwan (1994), pembinaan sahsiah terdiri daripada empat
unsur utama iaitu akidah, ibadah, akhlak dan penampilan.

Sahsiah menurut Hassan (1983) ialah susunan tertentu yang terdiri dari kebiasaan-
kebiasaan. Susunan itulah yang menentukan tingkah laku seseorang dan membezakan
sahsiahnya dari orang lain. Definisi ini menunjukkan sahsiah adalah satu keperibadian yang
boleh dibentuk secara sistematik. Istilah membentuk sahsiah di dalam artikel ini adalah
beradasarkan kepada kamus Dewan Edisi Keempat (2007) iaitu membaiki kelakuan orang ;
mendidik dan mengajar orang.

Pembentukan sahsiah di dalam artikel ini adalah berdasarkan kepada keterlibatan


mereka di dalam aktiviti di luar kelas. Aktiviti di luar kelas juga dikenali sebagai aktiviti
kokurikulum. Menurut Warta Kerajaan, akta Pendidikan 1995, bertarikh 31.12.1997
kokurikulum adalah kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan pelajar untuk menambah, mengukuh dan
mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari dalam bilik darjah.
Selain itu, kokurikulum juga adalah aktiviti pendidikan yang dirancang dan
diperlaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah, berasas dan
lanjutan pelajaran sesi persekolahan (Mok Soon Sang, 2009)

Pembelajaran tidak cukup dengan hanya apa yang dipelajari di dalam kelas semata.
Pelajar harus di beri kebebasan untuk meneroka dan berinteraksi dengan alam sekitar supaya
mereka lebih mengetahui peranan sebagai seorang pelajar dan remaja kepada masyarakat dan
negara. Penilaian yang berasaskan gred dan yang terlalu berorientasikan sistem peperiksaan
bertulis dan proses pembelajaran pasif yang berpusatkan pensyarah dikatakan menjadi
halangan kepada proses pembelajaran yang efektif dan penguasaan kemahiran insaniah
(Jumali et al, 2011).

Secara prinsipnya, Intelligent Quotient (IQ) dikembangkan melalui kurikulum tetapi


Emotional Quotient (EQ) pula lebih mudah dikembangkan melalui aktiviti-aktiviti
kokurikulum. IQ penting dalam menentukan kejayaan akademik pelajar tetapi EQ adalah
penting dalam membentuk kejayaan keseluruhan pembentukan pelajar dalam kehidupan
sebenar dan alam pekerjaan (Tuan Ismail, 1999).

Selain itu, kokurikulum merupakan satu platform yang boleh membentuk remaja,
mengembangkan bakat dan kemahiran insaniah mereka. Pernyataan ini disokong oleh Chin
Pek Lian, Low Li Chuen & Vivian Low Yen Yeong (2005) yang mengatakan kokurikulum
dapat memberikan banyak manfaat dan kepentingan kepada pelajar. Penglibatan remaja di
dalam aktiviti kokurikulum membolehkan mereka menggabungjalinkan ilmu yang dipelajari
di dalam kelas kepada tindakan mereka di luar kelas.

Keterlibatan remaja di dalam aktiviti kokurikulum membolehkan mereka


menggunakan segala kemahiran yang ada bagi menjalankan sesuatu aktiviti. Pendedahan ini
akan membolehkan mereka mencungkil potensi-potensi diri yang ada tanpa mereka sedari.
Kelaziman dalam melibatkan diri dengan aktiviti kokurikulum akan menjadikan mereka
seorang yang berkemahiran hasil dari pengalaman-pengalaman yang diperolehi ketika
menjalankan aktiviti-aktiviti kokurikulum tersebut.
Aktiviti luar kelas dan Pendidikan Islam

Ilmu yang dipelajari secara praktikal akan lebih dihayati oleh remaja berbanding
dengan ilmu yang diperolehi secara teori kerana pengalaman yang diperolehi akan
memberikan impak yang besar kepada diri remaja. Oleh kerana itulah, ajaran di dalam Islam
amat menekankan gabungan antara teori dan praktikal. Teorinya, remaja akan dapat
mempelajari ilmu berkaitan ajaran Islam dalam matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah
rendah dan di sekolah menengah. Di sekolah juga, remaja akan didedahkan dengan
penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Keterlibatan dan keaktifan pelajar dalam bidang
kurikulum akan menjadikan pelajar tersebut selangkah lebih maju berbanding dengan mereka
yang tidak aktif.

Pendidikan Islam adalah pendidikan yang wajib dipelajari sama ada di sekolah
rendah atau di sekolah menengah. Matlamat Pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan
muslim yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia
berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah supaya menjadi hamba dan khalifah Allah yang
bertakwa dan menyumbang ke arah mempertingkat tamadun bangsa dan negara.

Berdasarkan matlamat Pendidikan Islam tersebut, jelas menunjukkan bahawa


Pendidikan Islam adalah mediator untuk membentuk peribadi dan akhlak remaja melayu
sehingga dijadikan matlamat utama Pendidikan Islam di Malaysia. Rasulullah saw bersabda
maksudnya:“Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari akhirat) selain
dari akhlak yang mulia”. (Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas amat jelas menunjukkan bahawa Islam amat menekankan kepada
pembentukan akhlak yang mulia. Pembentukan akhlak yang mulia ini boleh dipelajari di
sekolah secara formal dan di rumah secara tidak formal melalui asuhan keluarga dan
persekitaran. Silibus Pendidikan Islam yang di ajar di sekolah amat sempurna untuk
membentuk peribadi dan akhlak remaja melayu. Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN)
akan memperkenalkan modul ‘Smart Solat’ bagi membantu pelatih Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) yang tidak menguasai kemahiran dan mendalami ibadah solat untuk
membantu mereka menguasainya (Harian Metro, 2012).
Tiada jalan pintas untuk membentuk akhlak yang mulia dalam kalangan remaja
melayu melainkan kembali kepada ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah saw. Setiap
bentuk ibadah sama ada ibadah umum atau ibadah khusus mempunyai etika dan adabnya yang
tersendiri dalam proses melaksanakannya dan ini menunjukkan kehebatan dan kecantikan
ajaran Islam. Kerana itu Rasulullah saw diutuskan sebagai model kepada umatnya
sebagaimana maksud hadis ini iaitu ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan
akhlak yang mulia’.( Riwayat Ahmad dan Al-Hakim).

Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan


pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya dapat menghadapi alam dewasa (Musliha Salma,
Rohana &Amimudin, 2011) dan strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai
sasarannya. Walaubagaimanapun, apa yang dilihat pada masa kini masih terdapat pelbagai isu
yang ditimbulkan berkaitan dengan pembentukan sahsiah remaja dan hujah ini di sokong oleh
Sufean (2004) yang mengatakan kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan
menjadi isu kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah
atau pelajar rendah yang naik ke tingkatan empat memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik.

Agama Islam mengajar pengikutnya untuk berperibadi dengan peribadi Islam sejak
dari dalam alam rahim lagi kerana konsep agama Islam ini sangat luas. Pembentukan peribadi
terbahagi kepada dua iaitu secara semulajadi dan secara didikan. Maka, kerana itu pendidikan
dan pembentukan peribadi secara semulajadi sangat penting untuk ditekankan kepada ibu-ibu
yang mengandung agar menjaga peribadi mereka sepanjang tempoh kehamilan tersebut
kerana sifat ibu akan mempengaruhi sifat anak di dalam rahim. Setiap perkara atau amalan
yang dianjurkan di dalam Islam mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Sebagai contoh,
umat Islam diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam bermula daripada
waktu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya'. Kelebihan menunaikan solat secara jelas adalah
untuk kebaikan kesihatan dan juga sebagai benteng untuk mengelakkan diri daripada
melakukan perkara yang tidak baik. Hal ini dijelaskan dalam surah al-Ankabut : 45 yang
bermaksud " Dirikanlah olehmu akan sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu menegah
dari perbuatan keji dan mungkar". Sesungguhnya, walaupun setiap ibadat itu adalah berlainan
rupa tetapi matlamatnya adalah satu iaitu sebagai anak tangga untuk mendaki kemuncak
kesempurnaan, dan sebagai strategi untuk melindungi dari kerosakan dan kerendahan moral
(Muhammad al-Ghazali,1998).
Penekanan pendidikan akhlak dan sahsiah dari kecil amat ditekankan dalam agama
Islam untuk membentuk anak-anak yang cemerlang kerana usaha mendidik ini memerlukan
masa dan proses yang panjang. Isu berkaitan masalah sosial tidak boleh dipandang rendah
kerana matlamat pendidikan Islam negara adalah untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang
dan seimbang antara dunia dan akhirat.

Faedah melibatkan diri di dalam aktiviti di luar kelas

Kementerian Pengajian Tinggi telah mengenalpasti lapan teras utama kursus-


kursus kokurikulum iaitu Teras Sukan, Teras Kebudayaan, Teras Daya Usaha dan Inovasi,
Teras Pengucapan Awam, Teras Kesukarelawanan, Teras Khidmat Komuniti, Teras
Keusahawanan dan Teras Kepemimpinan. Kerana itu, bermula dari bulan September 2008,
Jabatan Pengajian Tinggi telah menyasarkan pelaksanaan kursus Kokurikulum berkredit di
semua institusi pengajian tinggi (IPT) seawal sesi pengajian 2010/2011 ( Jamaludin et al,
2009). Kursus berkredit ini merupakan kursus yang wajib di ambil oleh setiap pelajar bagi
membolehkan mereka bergraduasi.

Lapan teras kokurikulum yang telah dinyatakan adalah seperti di bawah:

1. Teras Sukan
Teras sukan adalah aktiviti kokurikulum yang melibatkan aktiviti sukan dan
pergerakan fizikal seperti permainan badminton, bola sepak, ping pong, bola tampar, bola
jaring dan sebagainya. Aktiviti sukan ini boleh dinilai dari peringkat kolej sehingga ke
peringkat antarabangsa.

2. Teras Kebudayaan
Teras kebudayaan merupakan aktiviti yang melibatk Teras kebudayaan merupakan
aktiviti yang boleh memberikan peluang kepada remaja untuk menguasai bidang kemahiran
profesional kebudayaan dan kesenian yang akan menjana pembangunan jati diri, perwatakan
dan keperibadian. Remaja juga akan lebih memahami masyarakat dan budaya setempat agar
sifat hormat menghormati antara satu sama lain dapat di pupuk dan diperkukuhkan di dalam
diri mereka.

3. Teras Daya Usaha dan Inovasi


Daya kreativiti dan inovasi masih belum dimasyarakatkan.Justeru, usaha ini harus
dipupuk dan disemai dikalangan remaja agar pembudayaan kreativiti dan inovasi ini dapat
disegarkan. Sifat untuk hanya menerima sudah tidak releven pada masa kini dan seharusnya
usaha untuk mewujudkan idea-idea yang baru dan berinovasi dipasakkan di dalam diri
remaja.

4. Teras Pengucapan Awam


Pengucapan awam adalah satu garapan sains kemanusiaan dan seni bujukan yang
diterjemahkan dalam bentuk komunikasi berkesan dan menarik (Jamaludin et al, 2011).
Komunikasi yang berkesan penting dalam setiap organisasi agar penyampaian maklumat
dapat disampaikan dengan tepat.

5. Teras Kesukarelawanan
Mendidik remaja melakukan sesuatu pekerjaan secara sukarela adalah tidak mudah.
Walaubagaimanapun, sekiranya dilatih dengan kerap maka melakukan sesuatu pekerjaan
tanpa disuruh akan menjadi lebih mudah. Kesukarelawanan akan menjadikan remaja lebih
berani ketika berhadapan dengan masyarakat kerana jiwa kesukarelawanan tanpa
mengharapkan upah telah sebati dalam diri mereka.

6. Teras Khidmat Komuniti


Khidmat komuniti penting dipupuk dalam diri remaja. Remaja yang biasa melakukan
kerja-kerja komuniti akan menjadikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri
dan masyarakat sekitar. Golongan ini juga akan lebih yakin terhadap diri mereka walau
dimana jua mereka berada.

7. Teras Keusahawanan
Aktiviti keusahawanan dalam kalangan remaja adalah kurang
memberansangkan.Justeru, KPT telah mengambil langkah untuk memupuk semangat niaga
dalam kalangan remaja di institusi pengajian tinggi.Penggubalan modul keusahawanan di
IPT adalah untuk menarik minat pelajar untuk mencambahkan minda keusahawanan dalam
kalangan remaja kerana sesetengah remaja mempunyai minat yang mendalam di dalam
bidang perniagaan tetapi tidak tahu bagaimana hendak menyalurkannya.Justeru, dengan
adanya teras keusahawanan di IPT membolehkan mereka menggunakan bakat yang ada
untuk memperkembangkan lagi kemahiran dalam perniagaan ini.

8. Teras Kepemimpinan
Kepemimpinan perlu ada dalam diri setiap individu.walaubagaimanapun, kebolehan
ini masih boleh di semai, di bina dan dimantapkan dengan adanya kursus dan aktiviti yang
melibatkan aspek ini di IPT. Menurut KPT terdapat empat subteras utama modul
kepemimpinan iaitu Kepemimpinan MPP atau Majlis Perwakilan Pelajar, kepemimpinan
fakulti, kepemimpinan kolej kediaman dan kepemimpinan persatuan

Antara faedah yang diperolehi dari keterlibatan remaja di dalam aktiviti kokurikulum
berdasarkan kajian-kajian yang telah di jalankan adalah seperti berikut:

1. Melahirkan individu yang positif


Dalam kajian Mohamad Zaid et al (2008) yang telah dijalankan ke atas pelajar
Politeknik kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pula mendapati tahap
kecenderungan min untuk kefahaman pelajar terhadap kepentingan Modul Soft Skills
dalam membina personaliti individu yang positif adalah tinggi. Dapatan kajian
menunjukkan responden sangat faham terhadap kepentingan Modul Soft Skills
berdasarkan pelaksanaan Modul SoftSkills di Politeknik dalam membina personaliti
individu yang positif

2. Tahap keterampilan yang tinggi


Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Ahmad & Hisham (2009) ke atas 107
orang pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan teknikal, UTHM mendapati bahawa
tahap keterampilan pelajar setelah mengikuti matapelajaran kokurikulum adalah
tinggi. Tahap keterampilan yang dikaji adalah keterampilan kemahiran komunikasi,
keterampilan kemahiran kepimpinan, keterampilan bekerja dalam kumpulan dan
keterampilan penampilan diri yang kemas. Kesemua keterampilan ini penting untuk
dikuasai oleh remaja sebagai satu bonus kepada diri mereka ketika berada di alam
pekerjaan. Selain itu, keterampilan itu juga pasti membantu mereka untuk menjadi
remaja yang cemerlang ketika berada di kampus masing-masing. Setiap keterampilan
yang telah dikaji turut seiring dengan kajian yang sedang dijalankan oleh pengkaji di
dalam kajian ini yang meliputi semua aspek dari sudut pemikiran, emosi dan
kecergasan fizikal bagi menghasilkan seorang remaja yang bersifat unggul.

3. Remaja yang berkemahiran


Keterlibatan remaja di dalam aktiviti kokurikulum akan memberikan impak yang
positif kepada remaja bertepatan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Hassaan &
Raja Roslan (2010) ke atas 104 orang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka
iaitu 71 orang pelajar lelaki dan 33 orang pelajar perempuan mendapati Program
Latihan Kecergasan Fizikal (PLKF) dapat membantu dalam peningkatan tahap
komunikasi, kesihatan, minda dan keyakinan diri di kalangan pelajar-pelajar UTeM.
Dapatan kajian juga menunjukkan aktiviti luar memberi impak yang positif kepada
pelajar dalam membentuk modal insan yang mempunyai kemahiran kepimpinan,
mampu berkmunikasi dengan berkesan, berdisiplin dalam mengurus diri dan
membentuk gaya hidup yang sihat kepada pelajar melalui kegiatan kokurikulum.
Dapatan ini juga memberi ruang dan sokongan yang jelas kepada pengkaji untuk
menjalankan kajian ini bagi membolehkan objektif kajian ini dicapai dengan
sempurna.

4. Berkeyakinan tinggi
Penyepaduan ilmu antara pelajar dengan persekitaran pembelajaran lebih memberi
keyakinan dari sudut kognitif, afektif dan psikomotor kepada pelajar dalam usaha
untuk menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan masyarakat dan apabila
berhadapan dengan sebarang masalah yang timbul. Ini kerana, setiap aktiviti
kokurikulum yang dijalankan memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu dalam
menjadikan aktiviti-aktiviti tersebut berjalan dengan lancar.
Petro Marais (2011) mengesahkan bahawa pelajar-pelajar atau remaja-remaja yang
bercita-cita untuk menjadi guru sebagai kareer di masa akan datang perlu terlibat aktif
dengan aktiviti kokurikulum. Kajian ini dijalankan ke atas 51 orang pelajar tahun
empat dalam bidang perguruan di UNISA, Republic of South Africa. Antara dapatan
kajian ini lagi ialah, aktiviti kokurikulum boleh menyumbang kepada pembentukan
pelajar secara holistik, aktiviti kokurikulum boleh meransang deria pelajar mengikut
perkembangan mereka, aktiviti kokurikulum boleh meningkatkan kepercayaan kendiri
serta merasakan diri mereka bernilai. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan
aktiviti kokurikulum dapat membantu pelajar untuk membina kemahiran diri serta
dapat memberikan tenaga yang positif, membentuk remaja untuk tidak mudah
berputus asa serta boleh mengelakkan pelajar dari terjerumus dalam keruntuhan moral.

Siti Rahayah (2004) yang menyatakan terdapat korelasi yang kukuh antara verbal-
linguistik dan intrapersonal menunjukkan individu yang berkebolehan dalam
penguasaan bahasa dan penyampaian idea mampu berfikir secara rasional, melihat ke
dalam diri dan menganalisis diri sendiri. Dapatan ini menunjukkan, individu yang
menguasai kemahiran insaniah akan membolehkan mereka mengawal diri mereka dari
melakukan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada diri mereka seperti
menjadi pelajar yang nakal sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Azizi (2010).

5. Berdaya saing
Keterlibatan remaja dalam aktiviti kokurikulum juga akan menjadikan remaja
menguasai pelbagai kemahiran supaya mereka menjadi remaja yang berdaya saing dan
boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan tekanan yang diberikan. Remaja
yang memiliki keterampilan yang baik dapat menyesuaikan diri dengan sebarang
persekitaran walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Hasil kajian yang telah dijalankan oleh Iskandar, Rohaty & Zuria (2009) ke atas 265
orang pensyarah universiti di Daerah Jambi di Indonesia mendapati dimensi
kemahiran sosial dalam kecerdasan emosi menyumbang secara signifikan kepada
komitmen pekerjaan. Kerana itu, kemahiran-kemahiran yang pelbagai perlu dikuasai
oleh remaja ketika berada di institusi pengajian tinggi bagi membolehkan mereka
komited dan mempunyai nilai positif yang tinggi ketika berada di alam pekerjaan
serta menjadikan mereka lebih bernilai berbanding dengan rakan-rakan yang tidak
berkemahiran.

Penutup

Penglibatan remaja di dalam aktiviti kokurikulum membolehkan mereka membentuk


sahsiah secara tidak langsung. Selain daripada memperolehi pengalaman, remaja akan lebih
mengenali diri hasil daripada pembelajaran secara tidak langsung ini. Aktiviti luar kelas
merupakan aktiviti terancang yang membolehkan remaja berdisiplin di dalam menjalani
urusan harian mereka.

Agama Islam turut menekankan pendidikan yang boleh membentuk sahsiah remaja.
Hatta, subjek Pendidikan Islam sendiri mempunyai modul yang perlu dijalankan di luar waktu
kelas seperti program Smart Solat atau Kem Bestari Solat yang dianjurkan oleh sekolah
rendah bagi memperbaiki cara solat pelajar-pelajarnya.

Terdapat pelbagai faedah yang positif hasil penglibatan remaja di dalam aktiviti
kokurikulum berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan. Faedah-faedah ini boleh
dijadikan sebagai garis panduan untuk remaja lebih terlibat dengan aktiviti-aktiviti di luar
kelas.

Rujukan

1. Ahmad Esa & Hisham Jamaludin. 2009. Peranan Kokurikulum di Universiti dalam
Membantuk Keterampilan Mahasiswa. International Conference on Teaching and
Learning in Higher Education 2009 (ICTLHE09), 23-25 November 2009,
Kuala Lumpur
2. Azizi, et al. 2010. Kecerdasan emosi dan hubungannya dengan Pencapaian Akademik
dan Tingkahlaku Pelajar. Retrived 19.08.2013 daripada
http://eptints.utm.my/2265/1/AziziYahaya_Kecerdasan_Emosi_dan_Hubungan_Penca
paian.pdf
3. Chin Pek Lian, Low Li Chuen & Vivian Low Yen Yeong. 2005. Masalah Disiplin
Pelajar, Pendekatan dan Penyelesaian. UTM : Skudai
4. Harian Metro, 14 September 2012
5. Hassan Langgulung. 2003. Asas-asas Pendidikan Islam. Edisi Kelima. Jakarta.
Pustaka Al Husna Baru. College Student Development, 45(4), 391-406
6. Hassan Adnan & Raja Roslan Raja Abd Rahman. 2010. Keberkesanan Pelaksanaan
aktiviti Fizikal Terhadap Pembangunan Diri pelajar. Satu Tinjauan. ISSN: 1985-
7012 VOL. 3, July-Dec 2010
7. Jamaludin Haji Badusah, Rosna Awang Hashim, Mohd Majid Konting, Turiman
Suandi, Maria Salih & Norhafezah Yusof. 2009. Pembangunan Pelajar :
Memperkasakan Kokurikulum Institusi Pengajian Tinggi. Penerbit Universiti Putra
Malaysia. Selangor.

8. Jumali Hj Selamat, Khaidzir Hj Ismail & Shaharudin Ahmad. 2010. Objektif dan
faedah berpersatuan Dlm Shaharudin Ahmad, Khaidzir Hj Ismail & Jumali Hj
Selamat. Mengurus Persatuan: Proses dan Kemahiran, Bangi. Penerbit UKM.

9. Kamus Dewan Edisi Keempat. 2007. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
10. Mok Soon Sang. 2009. Pengurusan kokurikulum & Pendidikan Sukan. Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.
11. Muhammad al-Ghazali. 2008. Akhlak Muslim. Percetakan Yayasan Islam Terengganu
Sdn Bhd. Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.

12. Musliha Salma Mohd Radzi, Rohana Hamzah & Amimudin Udin. 2011.
Menyelesaikan masalah pembangunan akhlak pelajar: Analisis penerapan kemahiran
generik dalam amalan pendidikan. Journal of Edupres, Volume 1 September 2011,
Pages 223-229.

13. Petro Marais. 2011. The significance of Student Teachers’ Involvement in Co-
curricular Activities. International Journal For e-Learning Security (iJeLS), Vol 1.
Issues 3/4. September/December 2011.

14. Siti Rahayah Arifin, T. Subhan Mohd Meerah, Norasmah Othman & Ibrahim
Mohamed Zin. 2004. Analisis Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) Di
kalangan pensyarah di Sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Jurnal Teknologi, 41 €
Dis.2004 : 33-42. Universiti Teknologi Malaysia.
15. Sufean Hussin. (2004). Educational development policy in Malaysia: Theory and
Analysis. Malaysia

16. Tuan Ismail Tuan Soh. 1999. Kokurikulum dari Perspektif Falsafah Pendidikan
Negara. Fakulti Pendidikan UKM (1999). Prosiding isu-isu Pendidikan Negara.
Bangi. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai