Anda di halaman 1dari 31

TEKNOLOGI PENANAMAN HALIA

SECARA FERTIGASI DI
TANAH RENDAH
SECARA FERTIGASI DI
Yasser Suhaimi Mohd • Mohamad Abd Manas

Penerbit MARDI
M A N U A L

Teknologi Penanaman Halia Secara Fertigasi


di Tanah Rendah

i
ii
M A N U A L

Teknologi Penanaman Halia Secara


Fertigasi di Tanah Rendah
Yasser Suhaimi Mohd
dan
Mohamad Abd Manas

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia

iii
Diterbitkan oleh:
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
Ibu Pejabat MARDI, Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang, Selangor

Cetakan pertama 2016

©Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia 2016


Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana
bahagian artikel, ilustrasi, isi kandungan buku ini dalam apa juga bentuk
dan dengan apa cara pun sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik,
rakaman atau lain-lain sebelum mendapat izin bertulis daripada MARDI.

iv
KANDUNGAN

Penghargaan VI
Prakata VII
Pengenalan 1
Keperluan penanaman 2
Kaedah penanaman 4
Analisis ekonomi 6
Gerak kerja penanaman halia secara fertigasi 19
Lampiran 1. Kaedah membuat 100 liter lautan stok baja 22
Alamat perhubungan 58

v
PENGHARGAAN
Penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan dan
kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyediakan
Manual Teknologi Penanaman Halia secara Fertigasi di Tanah Rendah ini.

Terima kasih.

vi
PRAKATA
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan
pengarang Manual Teknologi Penanaman Halia Secara Fertigasi
di Tanah Rendah. Manual ini dihasilkan khas untuk mereka yang
berminat untuk mengusahakan tanaman halia secara fertigasi.

Halia merupakan tumbuhan yang mempunyai nilai komersial


yang tinggi. Keluasan tanaman halia di Malaysia adalah sekitar
2,560 hektar pada tahun 2009 dengan pengeluaran sebanyak
12,956 tan metrik, manakala permintaan untuk halia pada tahun
yang sama ialah dua kali ganda daripada jumlah pengeluaran.

Pada masa kini, tanaman halia dijalankan secara konvensional


dengan konsep penanaman berpindah-randah bagi mengelak
penyakit bawaan tanah yang menjangkiti rizom halia yang akan
mengurangkan hasil tanaman secara drastik. Kaedah ini juga
merosakkan alam sekitar. Selain itu, kekurangan tanah yang
sesuai untuk penanaman halia juga mengehadkan pengeluaran
halia negara.

Sistem fertigasi ialah satu teknik alternatif dalam penanaman halia


yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah
dan penyakit bawaan tanah. Penanaman halia secara fertigasi
turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem
konvensional. Menggunakan sistem fertigasi juga membolehkan
halia ditanam di tanah rendah secara berulang-ulang di tempat
yang sama secara berterusan.

Manual ini boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan


penanaman halia secara moden dan komersial kepada petani,
pengusaha, penyelidik dan pelajar. Dengan adanya manual ini
juga diharap petani dan usahawan tani lebih yakin mengusahakan
tanaman halia bagi memenuhi permintaan yang semakin
meningkat.

Dato’ Dr. Sharif bin Haron


Ketua Pengarah MARDI

vii
viii
PENGENALAN
Halia (Zingiber officinale Roscoe) ialah tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan
dan komersial yang tinggi dan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk
bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga
seperti orkid yang berwarna kuning kehijauan yang menjadikan halia sesuai sebagai
tanaman hiasan dan biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 – 1,500 m dari
aras laut. Di Malaysia, halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau
dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha
ialah Bentong, Bara, Cina, Tanjung Sepat dan Indonesia. Tanaman ini dikatakan dapat
membantu menghadam makanan, menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan
membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada
halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain,
sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada.

Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi
terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi jika dibandingkan dengan halia
daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia
Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain.
Tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan
kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah
(soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem fertigasi ialah satu teknik
alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit
bawaan tanah. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia
secara komersial di seluruh dunia.

Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah
terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah
meningkat 3 – 5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia
secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan
sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat
ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan.

Penanaman halia secara fertigasi

1
KEPERLUAN PENANAMAN
• Sebelum memulakan proses menanam halia secara fertigasi, pengusaha perlu
menyediakan dua infrastruktur utama iaitu struktur pelindung hujan (SPH) dan sistem
pengairan fertigasi. Kedua-dua infrastruktur ini perlu disediakan terlebih dahulu
sebelum proses menanam dimulakan.

Struktur pelindung hujan


• Pada masa kini, pelbagai jenis sayur-sayuran dan bunga-bungaan ditanam di bawah
struktur pelindung hujan. Struktur pelindung hujan dapat mengurangkan kerosakan
tanaman daripada serangan penyakit akibat hujan seperti antraknos, hawar pucuk dan
kerosakan akibat timpaan hujan yang lebat dan secara langsung dapat mengurangkan
penggunaan racun kulat.

• Struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis serangga digunakan untuk tanaman halia
di tanah rendah. Struktur jenis ini dapat memberi kesan lindungan kepada tanaman,
sekali gus mengurangkan cahaya yang sampai kepada tanaman serta mengurangkan
lembapan udara kerana peredaran udara di bawah struktur tidak terganggu.

• Struktur pelindung hujan yang sesuai bagi pengeluaran halia di tanah rendah terdiri
daripada bumbung yang diperbuat daripada plastik telus cahaya (lut sinar) atau
diperbuat daripada jaring hitam 50 – 70%. Anggaran kos pembinaan seunit rumah
pelindung hujan berdimensi 100’ x 20’ x 8’ berkerangka besi galvani ialah RM15,500.
Manakala kos pembinaan rumah pelindung hujan berkerangka kayu dianggarkan
kurang 40% daripada kos pelindung hujan berkerangka besi galvani.

Struktur pelindung hujan dengan jaring kalis


serangga yang diperbuat daripada kerangka
besi galvani

Struktur berjaring hitam 50% kegelapan untuk penanaman halia secara fertigasi

2
Sistem fertigasi
• Komponen utama sistem pengairan fertigasi halia ialah tangki air baja 900 atau
600 gelen, tong stok baja, pam air berkuasa 2 hp, pengatur masa digital, penapis,
injap dan sistem paip yang membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman. Sistem
paip terbahagi kepada paip utama (polipipe HDPE) 32 mm, paip sekunder (polipipe
HDPE) 32 mm, paip pembahagi (polipipe LDPE) 16 mm atau 20 mm dan tiub mikro
1.0 mm berserta penitis panah. Pengusaha juga perlu mendapatkan alat pengukur
konduktiviti elektrik (EC) untuk menentukan kepekatan baja dan pH meter untuk
mengukur nilai pH air.

• Bagi penanaman halia secara fertigasi, polibeg tegak boleh digunakan. Polibeg
berwarna hitam bersaiz 24’’ x 16’’ adalah disyorkan. Medium tanaman yang disyorkan
bagi halia ialah 100% coco peat. Kajian MARDI telah menunjukkan penggunaan
polibeg hitam sesuai bagi tanaman halia dan dapat meningkatkan hasil rizom bagi
setiap meter persegi.

• Pemberian air baja boleh dikawal secara manual atau menggunakan pengatur masa
automatik. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum halia ditanam ke dalam polibeg.
Jarak di antara polibeg yang disyorkan ialah 1’, manakala jarak di antara barisan
tanaman ialah 5’.

Tangki larutan baja


Pintu kembar Tangki air bersih
Tiub mikro
Paip utama 32 mm

Paip sekunder 32 mm

Paip pembahagi (16 mm)

Polibeg

Lakaran sistem pengairan fertigasi halia

3
Beg tanaman 1 mm tiub mikro

Paip
pembahagi
16 mm

30 cm

Susunan paip pembahagi, penyambung, tiub mikro dan penitis secara terperinci

KAEDAH PENANAMAN
Terdapat lapan langkah dalam penanaman halia secara fertigasi yang melibatkan
persediaan sebelum tanam dan pengurusan selepas tanam. Lapan langkah tersebut
adalah seperti yang berikut:
1. Memilih varieti halia
2. Menyediakan benih halia
3. Memilih medium dan menyediakan polibeg
4. Memindahkan anak pokok halia
5. Membuat larutan stok baja
6. Menguruskan tanaman
7. Kawalan penyakit dan serangga perosak
8. Menuai

Memilih varieti halia


Pemilihan varieti halia yang sesuai adalah penting untuk memastikan hasil yang tinggi.
Selain itu, dengan mengenal pasti jenis halia yang digunakan oleh masyarakat sekitar
akan memudahkan proses pemasaran hasil. Pada masa kini, terdapat lima varieti utama
yang menjadi pilihan pengusaha untuk dikomersialkan di Malaysia iaitu halia Tanjung
Sepat, Cina, Indonesia, Bara dan Bentong. Ciri-ciri halia yang baik adalah seperti
yang berikut:
• Rizom besar
• Rizom berwarna pucat kekuningan
• Isi rizom berwarna kuning cair
• Mempunyai serat yang rendah
• Tahap kepedasan yang tinggi

4
Menyediakan benih halia
• Benih halia dihasilkan daripada rizom halia matang yang berusia 9 – 10 bulan.
Halia matang yang dipilih dilerai dan dipotong 7 – 11 cm panjang dengan memastikan
2 – 3 mata tunas pada setiap potongan supaya benih cepat bercambah.
• Rizom benih kemudiannya dirawat dengan cara merendamkan ke dalam racun kulat
seperti previcur N selama 3 – 5 minit sebelum disemai. Rizom benih halia boleh
ditanam dengan dua cara iaitu disemai di dalam bekas semaian atau disemai terus
ke dalam polibeg.
• Bekas semaian (5 m x 1 m) diisi dengan coco peat dan benih disemai pada jarak
setengah kaki di antara satu sama lain. Selepas 21 hari, anak benih halia yang
disemai boleh dipindahkan ke dalam polibeg.

Halia matang untuk dijadikan rizom benih halia Rizom benih halia dengan 2 – 3 mata tunas

Anak benih halia di dalam bekas semaian dengan Anak benih halia berusia 21 hari yang sedia
medium percambahan coco peat dipindahkan ke dalam polibeg

Memilih medium dan menyediakan polibeg


• Medium tanaman yang disyorkan ialah
100% coco peat kerana mudah diperoleh,
murah dan lebih mesra alam. Coco peat
dimasukkan ke dalam polibeg hitam
berukuran 24’’ lebar x 16’’ tinggi tanpa
lubang. Sebanyak 3 – 4 lubang lebihan air
dibuat 2’’ dari dasar polibeg di bahagian
tepi kiri dan kanan.

• Coco peat dibasah dan ditoskan terlebih


dahulu sebelum dimasukkan ke dalam Medium tanaman coco peat yang telah siap
polibeg untuk mengelak masalah hidung diisi ke dalam polibeg

5
atau mata berair. Polibeg disusun rapat kiri dan kanan paip pembahagi. Setiap polibeg
dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan nutrien dari
tangki larutan baja.

Memindahkan anak pokok halia


• Sebelum menanam, medium tanaman di dalam polibeg dibilas dengan mengalirkan air
bersih menggunakan sistem pengairan fertigasi yang telah disediakan selama 2 jam
setiap hari sehingga air jernih keluar daripada beg tanaman melalui lubang lebihan air
yang mungkin mengambil masa 3 – 4 hari.

• Anak benih halia daripada bekas semaian yang sudah berakar (21 hari disemai),
dialih ke dalam setiap polibeg. Selepas proses memindahkan anak pokok halia
selesai, pengairan tanpa baja diberi dua kali sehari, selama 4 minit setiap kali selama
2 hari. Larutan baja akan disalurkan kepada beg tanaman mulai hari ketiga selepas
menanam.

Anak benih halia yang siap dipindahkan ke dalam polibeg

Membuat larutan stok baja


• Tumbuh-tumbuhan memerlukan 16 unsur nutrien untuk pertumbuhan yang sempurna.
Ia dibahagi kepada 2 unsur iaitu unsur makro dan mikro. Unsur makro iaitu unsur yang
diperlukan dengan kuantiti unsur mikro iaitu unsur yang diperlukan dalam kuantiti
yang sedikit.

• Unsur makro termasuklah nitrogen (N), fosforus (F), kalium (K), kalsium (Ca),
sulfur (S) dan magnesium (Mg). Unsur mikro pula adalah seperti besi (Fe),
mangan (Mn), boron (B), zink (Zn), tembaga (Cu), natrium (Na), ammonium (NH4) dan
molibdenum (Mo).

• Kepekatan unsur ini dalam tumbuhan berbeza antara satu dengan yang lain. Unsur
mikro sangat kecil kuantitinya, tetapi diperlukan dan sangat penting bagi pertumbuhan
dan kesuburan tanaman. Manakala unsur lain seperti oksigen, hidrogen dan karbon
diperoleh daripada udara.

6
• Unsur dalam sebatian ini akan diadunkan mengikut formulasi yang ditetapkan dan
dilarutkan di dalam air menjadi larutan stok baja sebelum dibancuh ke dalam air.
Ia kemudiannya diagihkan ke setiap pokok dengan seragam. Formulasi baja berbeza
mengikut jenis tanaman.

• Rumusan baja halia fertigasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok
B. Kaedah membuat larutan stok baja adalah seperti dalam Lampiran 1. Larutan
stok baja disediakan dengan kepekatan 100 kali ganda daripada yang diperlukan
oleh pokok, tetapi boleh juga disediakan dalam kepekatan 200 kali ganda untuk
mengurangkan ruang menyimpan tangki larutan stok.

• Kalsium nitrat disediakan secara berasingan daripada sebatian yang mengandungi


fosfat dan sulfat untuk mengelak berlakunya tindak balas kimia dan terjadinya
pemendakan. Biasanya kalsium nitrat dan zat ferum disatukan dan disediakan
berasingan daripada 9 sebatian lain.

• Larutan stok yang mengandungi CN dan zat ferum dilabelkan sebagai larutan stok
A. Manakala larutan stok B mengandungi sebatian-sebatian lain seperti kalium nitrat,
monokalium fosfat, magnesium sulfat, mangan sulfat, kuprum sulfat, zink sulfat,
asid borik, ammonium molibdat atau natrium molibdat.

• Sebatian stok A dan B ditimbang berasingan dan dilarutkan di dalam air yang bersih
satu persatu. Larutan stok (pati baja) disyorkan supaya sentiasa tersedia dan dicairkan
di dalam tangki larutan apabila diperlukan. Semasa membuat larutan baja, kedua-
dua larutan stok tidak boleh dicampurkan serentak ke dalam tangki air. Larutan stok
hendaklah dituang satu persatu bagi mengelak berlakunya tindak balas kimia yang
mewujudkan sebatian lain yang tidak larut.

Pengurusan tanaman
• Pemberian larutan baja dilakukan mengikut masa yang ditetapkan dengan bantuan
pengatur masa. Tanaman halia memerlukan larutan nutrien dengan kepekatan
yang tertentu di beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur
menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap
kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya
sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah µS.

• Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara


EC 1.5 – 4.0. Bagi pokok halia, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 – 2.4.
Pada umur pokok yang baru dipindahkan ke dalam polibeg, EC yang diberi ialah
1.8. Ia kemudiannya dinaikkan kepada 2.4 selepas minggu ketiga sehingga tamat
musim penanaman.

• Kejadian penimbunan sisa garam galian di dalam medium tanaman sering terjadi
di kawasan tanah rendah tropika. Selepas 30 hari, medium tanaman di dalam polibeg
perlu dibilas dengan air bersih yang dilakukan setiap 15 hari bagi melarut dan
seterusnya menyahkan timbunan garam yang boleh menyebabkan toksik kepada
tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama 1 jam
tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok.

7
• Satu lagi faktor yang penting dalam pengeluaran tanaman adalah aras keasidan
larutan nutrien yang dinamakan pH iaitu pengukuran asid atau alkali sesuatu larutan.
Larutan itu berasid jika pHnya kurang daripada 7, neutral pada nilai 7 dan alkali
jika nilai bacaannya lebih daripada 7. Bagi tanaman halia secara fertigasi, pH yang
disyorkan adalah antara 5.5 – 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau
menggunakan kertas litmus.

• Pengairan baja hendaklah dilakukan setiap hari dengan kekerapan 4 – 6 kali sehari,
bergantung pada keadaan cuaca dan peringkat umur pokok. Pada hari yang panas
pembajaan fertigasi dilakukan 4 – 6 kali sehari. Pada hari hujan atau mendung dan
lembap pembajaan dilakukan 1 – 2 kali sehari.

• Pokok yang baru ditanam tidak memerlukan banyak baja berbanding dengan pokok
yang telah mengeluarkan rizom. Jangka masa penitisan ini dilakukan bergantung pada
saiz paip dan tekanan air (pam) iaitu 3 – 5 minit. Biasanya pam dimatikan apabila
kelihatan tanda-tanda lembap pada medium tanaman dan lebihan air mula keluar
daripada lubang lebihan air. Secara umumnya, tanaman memerlukan 1 – 1.5 liter
air sehari.

• Pada peringkat awal iaitu selepas dipindahkan ke dalam polibeg, kuantiti larutan
baja yang diperlukan adalah antara 200 – 300 ml sehari. Selepas minggu
ketiga dipindahkan ke dalam polibeg, keperluan larutan baja bertambah kepada
500 – 800 ml  sehari.

• Pokok perlu diperiksa setiap hari untuk mengesan penitis yang tersumbat bagi
mengelak pokok layu kerana tidak mendapat larutan baja. Pemeriksaan yang
cekap boleh dilakukan antara jam 9.00 –10.00 pagi. Biasanya pokok halia akan
layu bermula daripada daun. Apabila ini terjadi, cabut penitis daripada tiub mikro
dan bersihkan. Penggunaan penapis lazimnya boleh mengurangkan masalah ini.

Kerja pengurusan halia secara fertigasi perlu dilakukan secara berkala

8
Walau bagaimanapun, penapis perlu sentiasa dibersihkan dari semasa ke semasa
supaya dapat berfungsi dengan baik.

Mengawal penyakit dan serangga perosak


• Penanaman halia secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan menghadapi
beberapa masalah serangga perosak dan penyakit. Faktor seperti kebersihan
persekitaran ladang, kebersihan sistem pengairan fertigasi dan amalan kultur oleh
pengusaha dan pekerja ladang memainkan peranan penting dalam mencegah
sebarang serangan serangga perosak dan penyakit.

• Serangan serangga perosak dan penyakit utama tanaman halia boleh dikawal dengan
cara amalan kultur yang betul atau menggunakan racun perosak atau kedua-duanya
sekali. Penyemburan racun perosak hanya digunakan apabila perlu sahaja dan semua
tatasusila penggunaan racun kimia mesti betul dan dipatuhi.

Jadual pengurusan serangga dan penyakit

Jenis perosak dan penyakit Cara kawalan


Ulat pengorek (Udaspes folus) Sembur racun Permethrin
Layu bakteria (Pseudomonas Musnahkan pokok berserta polibeg dan
solanacearum) medium yang berpenyakit.
Gunakan rizom benih yang sihat.
Tentukan saliran yang baik.
Bintik daun Sembur racun kulat Benomyl.
(Phyllosticta zaingibera) Daun berpenyakit dibuang.
Penyakit akar (Fusarium oxysporum) Sembur racun Previcur N.
Gunakan rizom benih yang sihat.
Tentukan saliran yang baik.

Tanaman halia fertigasi diserang ulat pengorek

• Cara mengawal serangga perosak dan penyakit masing-masing adalah dengan


semburan racun serangga dan melaksanakan amalan kultur yang baik iaitu
membersihkan kawasan ladang daripada sisa-sisa tanaman seperti daun
yang berpenyakit.

9
Menuai hasil
• Halia boleh dituai sebagai halia muda atau halia tua/matang. Halia boleh dipungut
sebagai halia muda selepas 4 – 6 bulan selepas dipindahkan ke dalam polibeg.
Manakala halia tua atau matang boleh dituai dalam tempoh 9 bulan selepas
dipindahkan ke dalam polibeg.

• Antara tanda-tanda halia sudah matang atau tua adalah berlakunya nekrosis
di bahagian hujung daun dan daun halia mulai kering pada usia 7 – 8 bulan. Secara
purata setiap rumpun halia di dalam polibeg akan menghasilkan 2.4 sekilo halia muda
manakala bagi halia tua, rizomnya mampu mencecah 5.4 sekilo.

• Penggredan dilakukan berdasarkan saiz rizom, timbangan berat dan rasa kepedasan
rizom halia. Pengendalian lepas tuai yang teratur bagi halia amat penting untuk
mengawal kerosakan dan kemerosotan mutu kualiti rizom. Mutu dan harga pasaran
halia boleh menurun akibat jangkitan kulat, kehilangan air (kecut dan berkedut-kedut)
dan juga percambahan tunas.

• Polibeg halia dialihkan ke bangsal atau tempat yang redup pada awal pagi ataupun
petang. Halia akan dikeluarkan daripada polibeg dan dicuci dalam keadaan
persekitaran yang redup bagi mengelak kehilangan kandungan air yang boleh
menyebabkan halia menjadi kecut.

• Kesan pancaran matahari juga boleh menyebabkan penghijauan yang akan


menjejaskan mutu halia. Rumpun halia akan dipotong dan diasingkan daripada beg
tanaman. Halia dan medium tanaman akan dikeluarkan daripada beg tanaman.

• Seterusnya, rizom akan diasingkan daripada medium tanaman dengan menggunakan


semburan air separa kuat supaya tidak menjejaskan rupa dan bentuk halia. Halia yang
telah dibasuh dimasukkan ke dalam bakul plastik. Bahan pengalas seperti kertas atau
span perlu bagi mengelak geseran antara bakul dan rizom halia. Kutipan harus dibawa
dengan secepat mungkin ke tempat pengumpulan atau rumah pembungkusan bagi
operasi penyediaan yang seterusnya.

Halia muda (4 – 6 bulan) yang telah dituai Halia tua (9 bulan) yang telah dituai

10
Simptom nekrosis daun halia pada usia 7 – 8 bulan menunjukkan halia hampir matang

Proses penuaian halia muda oleh pengusaha

ANALISIS EKONOMI
Analisis ekonomi ini mengambil kira kesemua kos yang terlibat serta pulangan (hasil) yang
diramalkan daripada projek ini.

Kos pembangunan
Projek ini melibatkan kos pembangunan (kos permulaan) yang tinggi terutama untuk
pembinaan struktur pelindung hujan dan sistem pengairan fertigasi. Bagi satu hektar
tanah, sebanyak 30 unit struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis serangga sesuai
dibangunkan yang melibatkan kos sebanyak RM355,400.

11
Jadual anggaran kos pembangunan

Perkara Jumlah kos (RM)


• Struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis 300,000
serangga (30 unit berkembar 3)
• Sistem pengairan fertigasi   55,400
Prasarana (jalan, pagar, perparitan, bangunan   60,000
pejabat, stor dan utiliti)

Peralatan kecil (ladang dan pejabat)   20,000


Jumlah 435,400

Kos operasi dan penyelenggaraan


Kos operasi dan penyelenggaraan meliputi upah/gaji serta kos untuk kerja membaik pulih
infrastruktur. Kos penyelenggaraan merangkumi 5% daripada jumlah kos pembangunan.

Kos pengeluaran
Kos pengeluaran merangkumi kos input (baja fertigasi, benih, racun dan lain-lain.
Anggaran kos pengeluaran bagi halia muda dan tua adalah seperti dalam jadual berikut:

Jadual anggaran kos pengeluaran

Kos semusim (RM) Kos setahun (RM) Jumlah kos setahun


(1 SPH) (RM) (30 SPH)
Halia muda 647 2,586 77,600
Halia tua 1,416 1,416 42,500

Hasil dan pulangan


Jumlah hasil yang diperoleh dianggarkan daripada bilangan [satu SPH x hasil sepokok
x bilangan musim setahun x jumlah SPH (30 unit sehektar)]. Anggaran harga purata ini
diambil daripada harga purata jualan di ladang bagi tempoh 3 tahun (2011 – 2013).

Halia muda
Anggaran hasil = 2.4 kg/pokok/musim
Bilangan musim/tahun = 3 kali
Bilangan pokok/SPH = 500
Jumlah hasil = 108,000 kg
Harga ladang = RM3
Jumlah pendapatan/tahun = RM324,000

Halia tua
Anggaran hasil = 5.4 kg/pokok/musim
Bilangan musim/tahun = 1 kali
Bilangan pokok/SPH = 500
Jumlah hasil = 81,000 kg
Harga ladang = RM3.60
Jumlah pendapatan/tahun = RM291,600

12
Analisis kedayamajuan projek
Kedayamajuan projek ini diukur dengan menggunakan tiga petunjuk seperti yang berikut:
• Nilai kini bersih
• Kadar pulangan dalaman
• Jangka masa pulang balik modal

Jadual kedayamajuan projek penanaman halia

Penunjuk daya maju Halia tua Halia muda


Nilai kini bersih (NKB) @ 10% 493,420 36,674
Kadar pulangan dalaman (KPD) 34.57 12.31
Tempoh pulangan modal (tahun) 3 5
Nisbah kos faedah (NKF) @ 10% 1.78 1.68
Berdasarkan analisis di atas, projek ini boleh dijalankan bagi pengeluaran halia muda dan
tua yang berupaya memberi pulangan yang baik kepada pelabur yang ingin menceburi
bidang ini.

13
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
HARI SEBELUM/ AKTIVITI CATATAN
SELEPAS TANAM
PENYEDIAAN SEBELUM MENANAM
30 HST • Mengira keperluan baja dan
coco peat.
• Pembelian beg tanaman berwarna
hitam bersaiz 24 in x 16 in.
• Membeli baja.
• Membeli keperluan lain seperti bekas
semaian, pisau kecil, racun serangga
dan racun kulat.
• Membeli halia matang untuk
dijadikan rizom benih.
21 HST • Mengisi bekas semaian dengan Pastikan halia matang
coco peat tidak terlalu padat dipotong 7 – 11 cm
atau longgar. panjang dengan
• Memotong rizom halia matang untuk memastikan 2 – 3 mata
dijadikan rizom benih halia. tunas pada setiap
• Rizom benih dirawat dengan potongan rizom benih.
merendam dalam racun kulat seperti
Previcur N selama 3 – 5 minit
sebelum disemai.
• Rizom benih halia boleh disemai
di dalam bekas semaian (5 m x 1 m)
pada jarak setengah kaki di antara
satu sama lain.
• Menyembur bekas semaian berisi
rizom benih dengan air bersih
sekadar lembab sahaja.
• Letakkan bekas semaian di tempat
redup atau di dalam rumah semaian.
14 HST • Menyembur bekas semaian berisi Pada ketika ini pucuk
rizom benih dengan air bersih daun akan kelihatan
sekadar lembap. di permukaan medium
• Menyediakan larutan stok baja coco peat.
fertigasi halia.
13 HST • Menyembur anak benih halia dengan Pastikan anak benih
air bersih menggunakan penyembur sentiasa lembap.
tangan 3 – 4 kali sehari.
• Mengalirkan larutan baja ke dalam
bekas semaian pada kepekatan
EC 1.6.
(samb.)

14
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
(samb.)
HARI SEBELUM/ AKTIVITI CATATAN
SELEPAS TANAM
6 – 5 HST • Membilas, mengetus dan mengisi
coco peat lembap ke dalam polibeg.
• Mengalirkan larutan baja di bawah
bekas semaian pada kepekatan
EC 1.6.
4 – 3 HST • Mengangkut dan menyusun polibeg
di struktur pelindung hujan (SPH).
• Mencucuk alat penitis ke dalam
setiap polibeg berisi medium
tanaman.
• Mengalirkan larutan baja di bawah
bekas semaian pada kepekatan
EC 1.8.
2 HST • Menghidupkan pam dan memeriksa
semua paip pengagihan termasuk
alat penitis.
• Mengalirkan larutan baja di bawah
bekas semaian pada kepekatan
EC 1.8.
1 HST • Menghidupkan pam dan memeriksa
semua paip pengagihan termasuk
alat penitis.
• Membasahkan coco peat dengan
larutan baja.
PENANAMAN
0 HARI • Mengorek lubang tanaman pada Pastikan medium
medium tanaman setiap polibeg tanaman basah sebelum
untuk menanam anak benih. anak benih dipindahkan.
• Mengubah anak benih halia ke
dalam medium tanaman.
• Memadatkan pangkal anak pokok
dengan medium tanaman.
• Mencucuk penitis berhampiran
pangkal anak benih.
(samb.)

15
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
(samb.)
HARI SEBELUM/ AKTIVITI CATATAN
SELEPAS TANAM
PENGURUSAN POKOK SELEPAS MENANAM
1 HLT • Periksa semua polibeg. Tempoh 5 – 10 minit
• Pastikan tidak ada penitis yang setiap titisan bergantung
tercabut atau tidak dicucuk pada kepada kekuatan
pangkal pokok. pam air.
• Pam air sekali awal pagi dan sekali
pada sebelah petang.
• Menebuk lubang menggunakan Lubang tidak sekali-kali
pisau, 3 – 4 lubang di kiri dan ditebuk di bahagian
kanan polibeg, 5 cm dari dasar bawah beg tanaman
polibeg untuk mengelak air daripada untuk mengurangkan
bertakung terlalu banyak di dalam pembaziran larutan baja.
polibeg.
2 HLT • Periksa semua polibeg.
• Pastikan tidak ada polibeg yang tidak
ditebuk agar pokok tidak mati lemas.
• Pastikan tidak ada penitis yang
tercabut atau tidak dicucuk pada
pangkal pokok.
• Pam air sekali pada awal pagi dan
sekali pada sebelah petang.
PENGURUSAN POKOK SELEPAS MENANAM
3 HLT • Periksa semua polibeg. Bacaan EC 1.8.
• Pastikan tidak ada penitis yang
tercabut atau tidak dicucuk pada
pangkal pokok.
• Baja 2 kali. Pukul 8.00 pagi dan
12.00 tengah hari
4 HLT • Baja 2 kali. Pukul 8.00 pagi dan Bacaan EC 1.8.
12.00 tengah hari Sekiranya cuaca
• Periksa setiap pokok pada awal pagi. redup atau berjerebu,
• Perhatikan tanda-tanda serangan penambahan kekerapan
penyakit atau serangga perosak. pemberian larutan baja
• Jika terdapat pokok yang layu, boleh ditangguhkan.
periksa medium tanaman, sekiranya Sekiranya cuaca
kering, kemungkinan alat penitis panas, pam pemberian
tersumbat atau tercabut. air biasa boleh diberi
bagi mengelak pokok
daripada layu.
(samb.)

16
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
(samb.)
HARI SEBELUM/ AKTIVITI CATATAN
SELEPAS TANAM
5 – 6 HLT • Baja 2 kali. Pukul 8.00 pagi dan Bacaan EC 1.8.
12.00 tengah hari.
• Periksa setiap pokok pada awal pagi.
• Perhatikan tanda-tanda serangan
penyakit atau serangga perosak.
PENGAWALAN PENYAKIT DAN SERANGGA PEROSAK
7 HLT • Buat rawatan pencegahan penyakit Larutkan 10 ml Previcur
akar (Pythium). N atau 13 ml Foli-R-Fos
• Pastikan pam tidak dihidupkan ke dalam 10 liter air.
sebelum rawatan ini.
• Siram 100 ml bancuhan ini
ke pangkal setiap pokok. Tong
penyembur boleh digunakan dan
jumlah racun yang perlu disembur
pada setiap pokok perlu diketahui
terlebih dahuu
• Baja boleh diberi selepas 2 jam
rawatan dilakukan.
8 HLT • Periksa setiap pokok awal pagi. Actara = lalat putih
• Perhatikan tanda-tanda serangan Pagasus/kotetsu = lalat
penyakit atau serangga perosak. putih
• Memeriksa pucuk pokok untuk Confidor = pelombong
mengesan serangan ulat ratus, daun dan kutu trip
hama dan kutu trip (lihat di bawah Mitac = hamama
daun bahagian pertengahan 2/3 Kotetsu = hamama
bahagian pokok) untuk mengesan Agrimec = kutu afid
kehadiran afid, hamama, kutu trip Dipel/Nurelle = ulat ratus
ulat pelombong daun, ulat ratus dan
lalat putih.
• Memeriksa sistem fertigasi agar
berfungsi dengan baik.
(samb.)

17
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
(samb.)
HARI SEBELUM/ AKTIVITI CATATAN
SELEPAS TANAM
21 HLT • Buat rawatan pencegahan penyakit Larutkan 10 ml Previcur
akar (Pythium) N atau 13 ml Foli-R-Fos
• Pastikan pam tidak dihidupkan ke dalam 10 liter air.
sebelum rawatan ini.
• Siram 100 ml bancuhan ini
ke pangkal setiap pokok.Tong
penyembur boleh digunakan dan
jumlah racun yang perlu disembur
pada setiap pokok perlu diketahui
terlebih dahulu.
• Baja boleh diberi selepas 2 jam
rawatan ini dilakukan.
22 HLT • Tingkatkan kekerapan baja kepada Tingkatkan bacaan EC
4 kali. Pukul 8.00 pagi, 9.00 pagi, baja kepada 2.4.
10.00 pagi dan 12.00 tengah hari.
• Periksa setiap pokok awal pagi
• Perhatikan tanda-tanda serangan
penyakit atau serangga perosak.
Jika terdapat pokok yang layu,
periksa medium tanaman, sekiranya
kering, kemungkinan alat penitis
tersumbat atau tercabut.
MEMBILAS MEDIUM TANAMAN
30 HLT dan 2 kali • Membilas medium tanaman dengan Bertujuan untuk
sebulan melalukan air bersih (tanpa baja) membersih timbunan
pada semua pokok mengikut garam galian dan
kekerapan biasa sepanjang hari. meningkatkan pH
medium tanaman.
Guna racun kulat
Benlate atau Redomil
untuk mencegah
serangan penyakit kulat.
MENAMBAH KEKERAPAN PENITISAN
60 HLT sehingga • Menambah kekerapan penitisan 4 kali kemudian 5 kali
tamat larutan baja. dan seterusnya 6 kali
• Penambahan tempoh masa sehari mengikut
tidak digalakkan kerana boleh pembesaran pokok.
menyebabkan pembaziran. Bacaan EC 2.4.
(samb.)

18
GERAK KERJA PENANAMAN HALIA SECARA FERTIGASI
(samb.)

HARI SEBELUM/ AKTIVITI CATATAN


SELEPAS TANAM
PENUAIAN HALIA MUDA
120 – 180 HLT • Tanaman halia boleh dituai sebagai
halia muda.
• Halia akan dikeluarkan daripada
polibeg dan dicuci dalam keadaan
persekitaran yang redup.
• Rizom akan diasingkan daripada
medium tanaman dengan
menggunakan semburan air separa
kuat supaya tidak menjejas dan
merosakkan rupa dan bentuk halia.
• Halia yang telah dibasuh
dimasukkan ke dalam bakul plastik.
PENUAIAN HALIA TUA

225 – 240 HLT • Hujung daun pada tanaman halia


kelihatan kering.
• Banyak daun halia kering
menunjukkan halia hampir matang.
• Buang kesemua daun kering bagi
memudahkan urusan penuaian.
270 HLT • Tanaman halia telah matang dan
boleh dituai sebagai halia tua.
• Halia akan dikeluarkan daripada
polibeg dan dicuci dalam keadaan
persekitaran yang redup.
• Rizom akan diasingkan daripada
medium tanaman dengan
menggunakan semburan air separa
kuat akan tidak menjejas dan
merosakkan rupa dan bentuk halia.
• Halia yang telah dibasuh
dimasukkan ke dalam bakul plastik.
MENAMATKAN TANAMAN
275 HLT • Sisa tanaman yang tinggal
dibersihkan semula.
• Polibeg disusun semula untuk musim
penanaman seterusnya.
• Medium tanaman di dalam polibeg
yang kurang ditambah.
• Plot penanaman direhatkan selama
2 minggu sebelum penanaman
musim seterusnya bermula.

19
Lampiran 1. Kaedah membuat 100 liter larutan stok baja

Lampiran IV: KAEDAH MEMBUAT 100 LITER STOK BAJA

1. Larutkan kalsium nitrat iron (EDTA) 2. Tuangkan ke dalam tong 3. Tambah air bersih
(Buat satu persatu di dalam baldi, yang telah ada penanda jadikan 100 liter
buat sedikit-sedikit) 100 liter
Tanda 100 liter

TONG A

Tong 100 liter

4. Larutkan kalium nitrat, monokalium 5. Tuangkan ke dalam tong 6. Tambah air bersih
fosfat, magnesium sulfat, mangan yang telah ada penanda jadikan 100 liter
sulfat, asid borik, zunk sulfat, kuprum 100 liter
sulfat, ammonium molibdat atau Tanda 100 liter
natrium molibdat

TONG B

Apabila hendak digunakan ambil larutan dari TONG A dan tuangkan ke dalam
tangki larutan baja dan kacau hingga semuanya terlarut.

Kemudian ambil larutan dari TONG B dalam jumlah isi padu yang sama dan tuangkan ke dalam tangki larutan
baja dan kacau hingga semuanya terlarut.

SEBAGAI PANDUAN 1 BAHAGIAN LARUTAN BAJA


UNTUK 100 BAHAGIAN AIR

JANGAN SEKALI-KALI MENCAMPURKAN KEDUA-DUANYA SERENTAK

20
ALAMAT PERHUBUNGAN

Untuk maklumat lanjut tentang teknologi dan khidmat perunding, sila hubungi:

Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan


Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor

www.mardi.gov.my

21
TEKNOLOGI PENANAMAN HALIA
SECARA FERTIGASI DI
TANAH RENDAH
SECARA FERTIGASI DI
Yasser Suhaimi Mohd • Mohamad Abd Manas

Penerbit MARDI

Anda mungkin juga menyukai