Anda di halaman 1dari 6

1.

0 Pengenalan

Jurnal ini telah ditulis oleh Dakota Baird dari Universiti Toronto. Tajuk jurnal ini ialah
‘Integrating the Arts in Mathematics Teaching’. Jurnal ini membincangkan tentang
pengintegrasian seni dalam pendidikan bagi kurikulum matematik dengan menyelitkan Teori
Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner untuk menjadikan persekitaran pembelajaran lebih
komprehensif dan inklusif untuk murid-murid. Penulis telah melakukan kajian dan temu bual
bersama guru-guru yang menggunakan kurikulum berasaskan seni untuk mengajar
matematik kepada murid-murid. Hal ini bertujuan untuk mengetahui kaedah dan amalan
terbaik yang digunakan oleh mereka semasa mengintegrasikan seni dalam kurikulum
matematik. Pada masa yang sama, kajian ini dijalankan bagi membuktikan pengintegrasian
seni dalam kurikulum matematik dapat menyediakan alternatif berguna kepada murid-murid
untuk belajar, memahami dan menyatakan pengetahuan mereka. Melalui integrasi seni visual,
seni muzik dan seni pergerakan, murid-murid dapat terlibat sepenuhnya dalam pembelajaran
melalui aktiviti yang menarik dan penuh bermakna. Penyelidikan ini juga berusaha dalam
menyediakan panduan dan rangka kerja kepada guru-guru untuk melaksanakan pendekatan
berasaskan seni dalam matematik di bilik darjah.

2.0 Ulasan Kritis

Buat julung kalinya, kajian ini membuktikan bahawa murid-murid memerlukan


pendekatan alternatif dalam kurikulum matematik supaya pembelajaran menjadi efektif dan
boleh dikaitkan dengan pengalaman hidup. Kajian ini telah menegakkan kepentingan untuk
meneroka kurikulum matematik melalui pengintegrasian seni dalam pendidikan (SDP). Hal ini
bagi memastikan murid-murid memahami konsep pembelajaran sepenuhnya dengan cara
yang bermakna. Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa penulisan jurnal ini
penting sebagai pengetahuan dan dapat memberi input tambahan kepada pembaca
terutamanya kepada warga pendidik. Penulisan jurnal ini juga menggunakan bahasa yang
mudah difahami dan mempunyai kesinambungan di antara satu topik dengan topik seterusnya
walaupun diselitkan dengan laras bahasa matematik.

Terdapat banyak kekuatan yang telah ditunjukkan oleh penulis dalam penulisan jurnal
ini. Dalam kajian ini, kekuatan yang telah ditonjolkan oleh penulis ialah pengintegrasian seni
dalam bilik darjah dengan melibatkan tarian, drama, muzik dan seni visual dalam bidang
kurikulum. Menurut Davis (1999), pendekatan berasaskan seni diperlukan dalam pelbagai
bidang kurikulum. Misalnya dengan melibatkan pengintegrasian seni dalam pembelajaran
subjek teras seperti matematik. Penulis telah menyatakan satu contoh program
pengintegrasian seni iaitu ‘Learning Through the Arts’ (LTTA) yang dibangunkan oleh The

1
Royal Conservatory of Music pada 1994. LTTA menggunakan aktiviti berasaskan seni untuk
mengajar kurikulum teras dengan menyediakan guru dengan kit kreatif untuk melibatkan
murid-murid dalam pembelajaran. Program ini menjadikan pembelajaran bagi kurikulum teras
lebih menarik dan relevan. Pendekatan berasaskan seni dalam kurikulum telah memberi
kesan ke atas murid-murid yang mempunyai pelbagai gaya dan kebolehan pembelajaran
pada pelbagai peringkat. Hal ini membolehkan mereka menggunakan keupayaan kognitif
ketika belajar melalui pengintegrasian seni dalam pendidikan.

Selain itu, kajian penulis tentang kurikulum berasaskan seni dan teori kecerdasan
pelbagai membuktikan bahawa setiap kecerdasan mempunyai kaitan dalam pelbagai bidang
seni. Pendekatan berasaskan seni yang diaplikasikan dalam kurikulum matematik dapat
merangsang pembelajaran murid melalui kepelbagaian kecerdasan yang berbeza. Gardner
(1983) bangkit dengan konsep Kecerdasan Pelbagai yang mengetengahkan cara untuk tahu,
belajar dan melahirkan apa-apa yang diketahui. Konsep ini menjadi panduan kepada guru
dalam mendorong pembelajaran murid dan merangsang murid untuk tahu menggunakan
kelebihan yang dimiliki. Menurut Gardner (2006), kegagalan murid dalam pembelajaran
adalah kerana setiap individu mempunyai profil kecerdasan yang tidak sekata tetapi diajar
dengan cara yang sama. Murid-murid yang kurang memahami sesuatu konsep perlu
dibimbing melalui kecerdasan alternatif untuk membolehkan mereka mengeksploitasi
kekuatan kecerdasan yang sedia ada untuk pembelajaran. Dalam konteks ini, kurikulum
matematik yang berpusatkan seni akan mengasah kemahiran tertentu murid dan menjadikan
pembelajaran konkrit dan lebih bermakna.

Berdasarkan penulisan jurnal ini, Nolen (2003) telah mengenalpasti lima kecerdasan
yang penting untuk memahami kepentingan seni dalam kurikulum matematik. Antaranya ialah
verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik dan muzik. Setiap kecerdasan yang
dikenalpasti berkait rapat dan terikat dengan seni. Misalnya, kecerdasan muzik dan matematik
saling berkaitan kerana muzik mengandungi nisbah dan keteraturan sama seperti pola
matematik (Nolen, 2003). Muzik dan tarian mempunyai corak di mana murid yang mempunyai
kecerdasan matematik yang tinggi dapat mengenalpasti corak-corak tersebut dengan mudah.
Pada pendapat saya, individu yang mempunyai kecerdasan kinestatik juga dapat
meningkatkan kualiti pembelajaran matematik berasaskan pendekatan seni. Sebagai contoh,
murid-murid dapat menggunakan pergerakan tubuh badan melalui tarian. Irama yang dirasai
dapat melahirkan pembelajaran berasaskan muzikal, dramatik dan tarian yang membolehkan
mereka mengungkapkan matematik melalui pergerakan tubuh.

Di samping itu, kajian ini menyatakan bahawa guru yang menggunakan pendekatan
holistik berjaya mengintegrasikan seni dalam kurikulum matematik. Perkara ini menjelaskan

2
bahawa tumpuan yang seimbang harus diberikan dalam bidang seni dan matematik bagi
membolehkan program yang dijalankan bermanfaat kepada murid-murid. Penulis ada
menyatakan satu contoh kaedah pembelajaran yang melibatkan aktiviti seni visual, muzik dan
pengerakan. Guru meminta murid-murid mencipta lagu dan memikirkan pergerakan yang
sesuai berdasarkan tajuk pembelajaran. Mereka dikehendaki untuk menghasilkan karya seni
menggunakan unsur dan teknik dalam seni visual untuk menyampaikan idea dan pemahaman
konsep. Pada pandangan saya, pendekatan ini bersesuaian dengan Teori Hoka Hoki yang
diperkenalkan oleh Nerd Hermann. Hermann (1991) mengkaji tentang perkembangan otak
kiri dan kanan serta menyata seni membantu pemikiran rasional dan intuitif seseorang. Aktiviti
yang sesuai untuk memperkembangkan otak kiri dan kanan murid-murid ialah alat perkusi
dan pergerakan kreatif. Murid-murid perlu mencipta lagu berdasarkan melodi yang sedia ada
dan mereka perlu berfikir pergerakan yang sesuai untuk lagu yang digubah. Hal ini
menunjukkan bahawa murid-murid akan belajar menggunakan kemahiran berfikir dengan
menggunakan otak kanan melalui imaginasi, emosi, ekspresi dan kreativiti.

Dalam penulisan jurnal ini, terdapat banyak kekuatan yang telah ditonjolkan oleh
penulis. Namun demikian, terdapat sedikit kelemahan yang dijumpai. Kelemahan yang
pertama ialah kajian ini tidak melibatkan pemerhatian pendekatan kurikulum matematik
berasaskan seni secara praktikal. Penulis hanya melakukan temubual bersama empat orang
guru tetapi tidak berpeluang untuk melakukan pemerhatian terhadap persekitaran bilik darjah
semasa guru melaksanakan program tersebut. Penulis juga tidak dapat berinteraksi dengan
murid-murid. Hal ini telah menunjukkan bahawa kajian yang dijalankan lebih tertumpu kepada
perspektif guru terhadap faedah yang diterima oleh murid. Walaubagaimanapun, tanggapan
guru bahawa murid-murid menerima manfaat terhadap program yang dijalankan mungkin
mencerminkan perspektif yang berbeza bagi mereka. Dalam pada itu, tiga daripada peserta
temuduga mempunyai latar belakang seni. Kelemahannya di sini adalah peserta yang
mempunyai latar belakang dalam seni mempunyai pandangan yang berbeza dengan mereka
yang kurang berpengalaman. Oleh itu, penulis seharusnya melibatkan peserta yang
berpengetahuan lama dalam bidang seni untuk membantu dalam menjayakan kajian tentang
pengintegrasian seni dalam kurikulum matematik.

3.0 Kesimpulan

Secara keseluruhan, jurnal ini telah membincangkan secara terperinci berkaitan


dengan pengintegrasian seni dalam kurikulum matematik serta kepentingan menggunakan
kurikulum berasaskan seni dalam pembelajaran. Kurikulum berasaskan seni penting bagi
mewujudkan suasana pembelajaran yang komprehensif dengan menggalakkan pembelajaran

3
secara fizikal melalui aktiviti seni visual, seni muzik dan seni pergerakan. Sebagai warga
pendidik, menjadikan pembelajaran matematik menarik dan menyeronokkan kepada murid-
murid adalah satu kewajipan. Pengintegrasian seni dalam pendidikan adalah kaedah yang
terbaik untuk melibatkan pelajar dan memastikan pemahaman serta pengetahuan mereka
kukuh terhadap konsep matematik.

Kajian ini telah membuktikan bahawa seni merupakan alternatif yang sesuai untuk
memberi pendekatan dan pembaharuan kepada kurikulum matematik seiring dengan
keperluan pembelajaran pada abad ke-21. Setiap guru haruslah mengetahui bahawa setiap
murid mempunyai cara berfikir, mengetahui dan mengintepretasikam maklumat yang
berbeza. Dengan mengaplikasikan aktiviti-aktiviti seni yang berteraskan kecerdasan pelbagai
dapat meningkatkan kualiti pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar. Kecerdasan
pelbagai dapat memenuhi keperluan, minat dan kecenderungan yang berbeza bagi setiap
murid. Oleh itu, setiap murid berpeluang untuk mengikuti dan menjalankan aktiviti
pembelajaran matematik yang menarik bagi mereka serta dapat merangsang mereka belajar
secara aktif dan menguasai isi pelajaran matematik secara optimum.

(1173 patah perkataan)

4
Rujukan

Ahmad Syahmi. (t.t.). Seni dalam Pendidikan. Dicapai pada 20 Februari 2019 daripada
https://www.academia.edu/25030067/seni_dalam_pendidikan

Dakota Baird. (2015). Integrating the Arts in Mathematics Teaching. Dicapai pada 13
Februari 2019 daripada
https://tspace.library.utoronto.ca/bitstream/1807/68768/1/Baird_Dakota_L_201506_M
T_MTRP.pdf

Davis, J. (1999). Nowhere, Somewhere, Everywhere: The Arts in Education. Arts Education
Policy Review, 100(5), 23-28.

Gardner, H. (1983). Frames of mind: Theory of Multiple Intelligences. New York: Basic Books.

Gardner, H. (2006). Multiple Intelligences: New Horizons (2nd ed). New York: Basic Books.

Hasmani Ghazali. (2012). Teori Kepelbagaian Kecerdasan Gardner. Dicapai pada 17 Februari
2019 daripada https://www.slideshare.net/hasnini9/teori-kepelbagaian-kecerdasan-
gardner

Hermann, N. (1991). “The Creative Brain”, The Journal of Creative Behavior 25.4, 275-295.

Mohd Rushdin. (2013). Teori Kecerdasan Pelbagai dalam PdP Matematik Sekolah Rendah.
Dicapai pada 17 Februari 2019 daripada
https://www.academia.edu/13847775/Teori_Kecerdasan_Pelbagai_dalam_PdP_Mat
ematik_Sekolah_Rendah

Nolen, J.L. (2003). Multiple Intelligences in the Classroom. Education, 124 (1), 115-119.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Kecerdasan
Pelbagai: Murid dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Pensyarah Institut Pendidikan Guru. (2015). Modul Pensyarah Seni dalam Pendidikan.
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Royal Conservatory of Music. (2014). Learning Through the Arts. Dicapai pada 21 Februari
2019 daripada http://learning.rcmusic.ca/learning-through-arts/about-learning-
through-arts

5
LAMPIRAN

Anda mungkin juga menyukai