Anda di halaman 1dari 4

1.

0 Pengenalan

Jurnal ini telah ditulis oleh Dakota Baird dari Universiti Toronto dan diterbitkan pada April 2015.
Tajuk jurnal ini ialah ‘Integrating the Arts in Mathematics Teaching’. Jurnal ini membincangkan
tentang pengintegrasian seni dalam pendidikan bagi kurikulum matematik dengan
menyelitkan Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner untuk menjadikan persekitaran
pembelajaran lebih komprehensif dan inklusif untuk murid-murid. Penulis telah melakukan
kajian dan temu bual bersama guru-guru yang menggunakan kurikulum berasaskan seni
untuk mengajar matematik kepada murid-murid. Hal ini bertujuan untuk mengetahui kaedah
dan amalan terbaik yang digunakan oleh mereka semasa mengintegrasikan seni dalam
kurikulum matematik. Pada masa yang sama, kajian ini dijalankan bagi membuktikan
pengintegrasian seni dalam kurikulum matematik dapat menyediakan alternatif berguna
kepada murid-murid untuk belajar, memahami dan menyatakan pengetahuan mereka. Melalui
integrasi seni visual, seni muzik dan seni pergerakan, murid-murid dapat terlibat sepenuhnya
dalam pembelajaran matematik melalui aktiviti yang menarik dan penuh bermakna.
Penyelidikan ini juga berusaha dalam menyediakan panduan dan rangka kerja kepada guru-
guru untuk melaksanakan pendekatan berasaskan seni dalam matematik di bilik darjah.

2.0 Ulasan Kritis

Buat julung kalinya, kajian ini membuktikan bahawa murid-murid memerlukan


pendekatan alternatif dalam kurikulum matematik supaya pembelajaran menjadi efektif dan
boleh dikaitkan dengan pengalaman hidup. Kajian ini telah menegakkan kepentingan untuk
meneroka kurikulum matematik melalui pengintegrasian seni dalam pendidikan (SDP). Hal ini
bagi memastikan para pelajar memahami konsep pembelajaran sepenuhnya dengan cara
yang bermakna. Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa penulisan jurnal ini
penting sebagai pengetahuan dan dapat memberi input tambahan kepada pembaca
terutamanya kepada warga pendidik. Penulisan jurnal ini juga menggunakan bahasa yang
mudah difahami dan mempunyai kesinambungan di antara satu topik dengan topik seterusnya
walaupun diselitkan dengan laras bahasa matematik.

Terdapat banyak kekuatan yang telah ditunjukkan oleh penulis dalam penulisan jurnal
ini. Dalam kajian ini, kekuatan yang telah ditonjolkan oleh penulis ialah pengintegrasian seni
dalam bilik darjah dengan melibatkan tarian, drama, muzik dan seni visual dalam bidang
kurikulum. Menurut Davis (1999), pendekatan berasaskan seni diperlukan dalam pelbagai
bidang kurikulum. Misalnya dengan melibatkan pengintegrasian seni dalam pembelajaran
subjek teras seperti matematik. Penulis telah menyatakan satu contoh program
pengintegrasian seni iaitu ‘Learning Through the Arts’ (LTTA) yang dibangunkan oleh The
Royal Conservatory of Music pada 1994. LTTA menggunakan aktiviti berasaskan seni untuk
mengajar kurikulum teras dengan menyediakan guru dengan kit kreatif untuk melibatkan
murid-murid dalam pembelajaran. Program ini menjadikan pembelajaran bagi kurikulum teras
lebih menarik dan relevan. Pendekatan berasaskan seni dalam kurikulum telah memberi
kesan ke atas murid-murid yang mempunyai pelbagai gaya dan kebolehan pembelajaran
pada pelbagai peringkat. Hal ini membolehkan mereka menggunakan keupayaan kognitif
ketika belajar melalui pengintegrasian seni dalam pendidikan.

Selain itu, kajian penulis tentang kurikulum berasaskan seni dan teori kecerdasan
pelbagai membuktikan bahawa setiap kecerdasan mempunyai kaitan dalam pelbagai bidang
seni. Pendekatan berasaskan seni yang diaplikasikan dalam kurikulum matematik dapat
merangsang pembelajaran pelajar melalui kepelbagaian kecerdasan yang berbeza. Gardner
(1983) bangkit dengan konsep Kecerdasan Pelbagai yang mengetengahkan cara untuk tahu,
belajar dan melahirkan apa-apa yang diketahui. Konsep ini menjadi panduan kepada guru
dalam mendorong pembelajaran murid dan merangsang murid untuk tahu menggunakan
kelebihan yang dimiliki. Menurut Gardner (2006), kegagalan murid dalam pembelajaran
adalah kerana setiap individu mempunyai profil kecerdasan yang tidak sekata tetapi diajar
dengan cara yang sama. Pelajar yang kurang memahami sesuatu konsep perlu dibimbing
melalui kecerdasan alternatif untuk membolehkan mereka mengeksploitasi kekuatan
kecerdasan yang sedia ada untuk pembelajaran. Dalam konteks ini, kurikulum matematik
yang berpusatkan seni akan mengasah kemahiran tertentu pelajar dan menjadikan
pembelajaran konkrit dan bermakna.

Berdasarkan penulisan jurnal ini, Nolen (2003) telah mengenalpasti lima kecerdasan
yang penting untuk memahami kepentingan seni dalam kurikulum matematik. Antaranya ialah
verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik dan muzik. Setiap kecerdasan yang
dikenalpasti berkait rapat dan terikat dengan seni. Misalnya, kecerdasan muzik dan matematik
saling berkaitan kerana muzik mengandungi nisbah dan keteraturan sama seperti pola
matematik (Nolen, 2003). Muzik dan tarian mempunyai corak di mana pelajar yang
mempunyai kecerdasan matematik yang tinggi dapat mengenalpasti corak-corak tersebut
dengan mudah. Pada pendapat saya, individu yang mempunyai kecerdasan kinestatik juga
dapat meningkatkan kualiti pembelajaran matematik berasaskan pendekatan seni. Sebagai
contoh, pelajar dapat menggunakan pergerakan tubuh badan melalui tarian. Irama yang
dirasai dapat melahirkan pembelajaran berasaskan muzikal, dramatik dan tarian yang
membolehkan pelajar mengungkapkan matematik melalui pergerakan tubuh.

Di samping itu, kajian ini menyatakan bahawa guru yang menggunakan pendekatan
holistik berjaya mengintegrasikan seni dalam kurikulum matematik. Perkara ini menjelaskan
bahawa tumpuan yang sama harus diberikan dalam bidang seni dan matematik bagi
membolehkan program yang dijalankan bermanfaat kepada murid-murid. Penulis ada
menyatakan satu contoh kaedah pembelajaran yang melibatkan aktiviti seni visual, muzik dan
pengerakan. Guru meminta murid-murid mencipta lagu dan memikirkan pergerakan yang
sesuai berdasarkan tajuk pembelajaran. Murid-murid juga dikehendaki untuk menghasilkan
karya seni menggunakan unsur dan teknik dalam seni visual untuk menyampaikan idea dan
pemahaman konsep. Pada pandangan saya, pendekatan ini bersesuaian dengan Teori Hoka
Hoki yang diperkenalkan oleh Nerd Hermann. Hermann (1991) mengkaji tentang
perkembangan otak kiri dan kanan serta menyata seni membantu pemikiran rasional dan
intuitif seseorang. Aktiviti yang sesuai untuk memperkembangkan otak kiri dan kanan
murid- murid ialah alat perkusi dan pergerakan kreatif. Murid-murid perlu mencipta lagu
berdasarkan melodi yang sedia ada dan murid perlu berfikir pergerakan yang sesuai untuk
lagu yang digubah. Hal ini menunjukkan bahawa murid-murid akan belajar menggunakan
kemahiran berfikir dengan menggunakan otak kanan melalui imaginasi, emosi, ekspresi dan
kreativiti.

Dalam penulisan jurnal ini, terdapat banyak kekuatan yang telah ditonjolkan oleh
penulis. Namun demikian, terdapat sedikit kelemahan dalam jurnal ini. Kelemahan yang
pertama ialah kajian ini tidak melibatkan pemerhatian pendekatan kurikulum matematik
berasaskan seni secara praktikal. Penulis hanya melakukan temu bual bersama empat orang
guru tetapi tidak berpeluang untuk melakukan pemerhatian terhadap persekitaran bilik darjah
semasa guru melaksanakan program berasaskan seni. Penulis juga tidak dapat berinteraksi
dengan pelajar. Hal ini telah menunjukkan bahawa kajian yang dijalankan lebih tertumpu
kepada perspektif guru terhadap faedah yang diterima oleh pelajar. Walaubagaimanapun,
tanggapan guru bahawa pelajar menerima manfaat terhadap program yang dijalankan
mungkin mencerminkan perspektif yang berbeza bagi pelajar. Dalam pada itu, tiga daripada
peserta temuduga mempunyai latar belakang seni. Kelemahannya di sini adalah peserta yang
mempunyai latar belakang dalam seni mempunyai perspektif yang berbeza dengan mereka
yang kurang berpengalaman. Oleh itu, penulis seharusnya melibatkan peserta yang
berpengetahuan lama dalam seni untuk membantu dalam menjayakan kajian tentang
pengintegrasian seni dalam kurikulum matematik.

3.0 Kesimpulan

Secara keseluruhan, jurnal ini telah membincangkan secara terperinci berkaitan


dengan pengintegrasian seni dalam kurikulum matematik serta kepentingan menggunakan
kurikulum berasaskan seni dalam pembelajaran. Kurikulum berasaskan seni penting bagi
mewujudkan suasana pembelajaran yang komprehensif dengan menggalakkan pembelajaran
secara fizikal melalui aktiviti seni visual, seni pergerakan dan seni muzik. Sebagai warga
pendidik, menjadikan pembelajaran matematik menarik dan menyeronokkan kepada pelajar
adalah satu kewajipan. Pengintegrasian seni dalam pendidikan adalah kaedah yang terbaik
untuk melibatkan pelajar dan memastikan pemahaman serta pengetahuan mereka kukuh
terhadap konsep matematik.

Kajian ini telah membuktikan bahawa seni merupakan alternatif yang sesuai untuk
memberi pendekatan dan pembaharuan kepada kurikulum matematik seiring dengan
keperluan pembelajaran pada abad ke-21. Setiap guru haruslah mengetahui bahawa setiap
murid mempunyai cara berfikir, mengetahui dan mengintepretasikam maklumat yang
berbeza. Dengan mengaplikasikan aktiviti-aktiviti seni yang berteraskan kecerdasan pelbagai
dapat meningkatkan kualiti pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar. Kecerdasan
pelbagai dapat memenuhi keperluan, minat dan kecenderungan yang berbeza bagi setiap
murid. Oleh itu, setiap murid berpeluang untuk mengikuti dan menjalankan aktiviti
pembelajaran matematik yang menarik bagi mereka serta dapat merangsang mereka belajar
secara aktif dan menguasai isi pelajaran matematik secara optimum.

(1981 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai