Anda di halaman 1dari 3

SEOLAH-OLAH telah lali, pelbagai gejala keruntuhan moral seperti salah guna

kuasa, rasuah, buli, penagihan dadah dan kelahiran anak luar nikah yang
dilaporkan hampir setiap hari menjadikannya bukan lagi asing dalam masyarakat
hari ini.

Kesannya, bukan sahaja boleh menjejaskan pegangan akidah pelaku, malah


perkara itu turut membawa kepada keruntuhan tamadun dan membantutkan
pembangunan negara apabila terhakisnya nilai integriti dalam diri individu.

Lebih membimbangkan, gejala negatif yang ternyata bertentangan dengan syariat


Islam itu menjadi ukuran tahap keimanan umat Islam, sekali gus menggambarkan
imej buruk dan mendatangkan kebencian terhadap Islam secara keseluruhannya.

Kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia, Penasihat Agama kepada Perdana


Menteri merangkap Pengerusi, Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Tan Sri Dr.
Abdullah Muhammad Zin mengulas perkara tersebut.

Mimbar: Bagaimana pemerhatian awal Tan Sri berkenaan isu ini?

Abdullah Muhammad Zin: Masalah ini bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi
bersifat global termasuk seluruh rantau ASEAN dan negara-negara Islam lain. Dalam isu
ini banyak punca yang boleh disentuh, bagaimanapun saya memilih yang utama iaitu
disebabkan masalah hati atau kerohanian Islam.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Ingatlah bahawa dalam jasad itu ada segumpal darah.
Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah bahawa ia adalah hati,” - Riwayat Bukhari

Ulama terkemuka, Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya ‘al-Janibu al-A’thifi


Mina al-Islam’ menjelaskan kerohanian Islam adalah sangat penting dalam pengajian
dan penghayatan Islam, tetapi ia diabaikan sekian lama dengan tidak diberi penumpuan
secukupnya serta sedikit sekali dibicarakan. Umat Islam lebih menumpukan dalam
bidang fikah, berbanding ilmu berkaitan hati dan kerohanian.

Kerohanian Islam adalah ilmu berkait rapat dengan akhlak dan hati. Ia perlu diberi
penekanan seperti bidang fikah yang sentiasa bergerak mengikut peredaran semasa. Ini
penting kerana solat bukan sahaja dinilai daripada syarat sahnya secara zahir (luaran)
tetapi kekhusyukkan yang diperoleh menerusi hati (dalaman).

Boleh huraikan lebih lanjut mengenai kerohanian Islam?


Diisyaratkan oleh Rasulullah SAW menerusi hadis dinyatakan tadi, ia adalah hati. Jika
tubuh sihat tetapi hati tidak sihat, tidak seimbang juga, malah lebih penting. Ideologi ini
membawa maksud bukan sahaja kekuatan luaran, tetapi dalaman adalah sangat
penting.

Hati yang dimaksudkan ini bagaikan kuasa penggerak. Jika kuasa penggerak itu tiada,
maka seseorang itu akan mati sebelum sampainya ajal. Malah firman Allah SWT
maksudnya: “..sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga
mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..” (ar-Ra’d: 11)

Jika ingin menjadi insan yang baik, kita perlu berusaha menjadi yang terbaik. Begitu juga
dengan hati, kita perlu berusaha menjadikan hati yang penuh nilai kerohanian tinggi
sebagai benteng utama dalam kehidupan seharian.

Bagaimana contoh yang ditunjukkan Rasulullah dalam membentuk kerohanian


Islam?

Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8 merupakan satu manhaj atau petunjuk jalan yang
sangat unggul untuk seluruh umat Islam hayati dan ikuti. Antaranya Allah menyuruh
mendirikan solat malam (qiyamullail) walaupun hanya sedikit. Selain itu, Allah juga
menggalakkan membaca al-Quran dengan tertib dan berzikir.

Ketiga-tiga manhaj ini adalah tarbiah rohani yang mampu membentuk kekuatan Islam
sebenar bagi setiap individu. Buktinya, inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah pada
peringkat awal untuk membentuk kerohanian Islam.

Sejauh mana nilai kerohanian dapat mencegah perkara mungkar dalam situasi hari
ini?

Nilai kerohanian Islam ini adalah seperti imuniti. Oleh kerana kurangnya penumpuan
terhadap nilai ini, maka tiada kawalan dalam diri kita, lebih-lebih lagi dalam dunia
moden yang semakin mencabar hari ini.

Terdapat dua jenis musuh utama, yang pertama adalah diri kita sendiri manakala kedua
dibantu dengan bisikan dan hasutan syaitan. Sebagai contoh, institut integriti sentiasa
memperkasa kempen tetapi gejala rasuah masih berpanjangan dan tidak selesai. Nilai
kerohanian inilah memainkan peranan besar sebagai benteng membawa kebaikan
kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Usaha yang boleh dilakukan dalam menularkan kesedaran nilai kerohanian Islam
kepada masyarakat?
Tidak lain tidak bukan menerusi pendidikan pada semua peringkat umur termasuk di
pusat pengajian tinggi. Aspek pendidikan yang perlu diterapkan adalah:

1 Tarbiah ruhiah (kerohanian) bagi memperkukuh akidah dan keimanan

2 Tarbiah khulqiah (akhlak) - Ibu bapa memainkan peranan besar dalam menunjukkan
contoh teladan yang baik

3 Tarbiah jismiah (fizikal) - Memberi penekanan terhadap kekuatan dan kesihatan tubuh
dengan bersukan

4 Tarbiah al-Ijtima’iyah (kemasyaratan) - Menanam nilai kemasyarakatan dan rasa


tanggungjawab terhadap orang lain bermula dari kanak-kanak seperti membantu serta
berbuat baik kepada masyarakat

Usaha dalam melahirkan Muslim terbaik?

Muslim terbaik adalah insan abrar iaitu didefinisikan sebagai seorang yang mukhsin
(bersifat ihsan), muttaqin (bertakwa), kathirul birri (banyak melakukan kebaikan), soleh
wal muslih (seorang yang baik dan menyebarkan kebaikan).

Golongan mukhsin ini sebagaimana dalam hadis maksudnya: “(Jibril) bertanya: “Apakah
ihsan itu? Rasulullah menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan
jika kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu,” - Riwayat Bukhari

Pendidikan kerohanian berkait rapat dengan ilmu tasawuf, manakala tasawuf pula
sering dikaitkan dengan tarekat. Perlukah umat Islam mengikuti tarekat dalam
usaha mendalami ilmu kerohanian?

Tarekat adalah satu jalan untuk mencapai kesempurnaan, namun terdapat banyak jalan
lain. Bagi setiap syeikh atau guru contohnya, masing-masing mempunyai cara tersendiri.
Tetapi pendiri tarekat ini bersetuju tiada amalan lebih afdal daripada membaca al-Quran
dan zikir ‘lailahaillallah’.

Oleh itu, pelbagai saluran 
ilmu lain juga boleh dipelajari 
dan diamalkan bagi memupuk
nilai kerohanian Islam yang sempurna.

Anda mungkin juga menyukai