Anda di halaman 1dari 16

BAB 6

PROSES-PROSES DALAM
PUSINGAN BELANJAWAN

OBJEKTIF BAB

Setelah anda mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mengenal pasti peringkat-peringkat utama yang dilalui oleh
sesuatu belanjawan negara.
2. Mengetahui institusi dan aktor yang terlibat di dalam setiap
proses dalam pusingan belanjawan.
3. Meninjau strategi-strategi yang dijalankan oleh aktor-aktor yang
terlibat dalam pemeriksaan belanjawan.
4. Memahami cara pusingan belanjawan menjadi alat pengurusan
kepada eksekutif kerajaan dan alat akauntabiliti kepada legislatif.

6.1 PENGENALAN

Kini marilah kita beralih pula kepada satu topik yang melihat secara
terperinci jenis-jenis proses yang mesti dilalui oleh sesuatu belanjawan.
Setiap benda bernyawa atau tidak biasanya mengalami kitaran hayat
hidup yang bermula daripada percambahan, pertumbuhan sehinggalah
kepada peringkat matang. Tamatnya kitaran tersebut adalah apabila ia
mati atau rosak. Pepatah ada mengatakan bahawa harimau mati
meninggalkan belang. Hal ini sama dengan belanjawan yang sudah
lengkap putarannya yang akan meninggalkan pelbagai warisan data dan
peristiwa kewangan dan bukan kewangan yang dijana keluar selama
berlangsungnya kitar hayat belanjawan itu.

Bab ini akan meneliti peringkat-peringkat yang dilalui dalam kitaran hayat
belanjawan yang dikenali sebagai pusingan belanjawan (budget cycle). Bab
ini turut mengupas pihak yang terlibat dalam peringkat-peringkat
belanjawan, strategi-strategi yang mereka gunakan dan pengaruh
pengurusan yang terdapat dalam pusingan belanjawan.

Pusingan belanjawan mengandungi lima peringkat utama iaitu


1) Penyediaan
2) Pemeriksaan
3) Kelulusan

75
4) Pelaksanaan
5) Pengauditan

Kelima-lima peringkat ini berlangsung dalam tempoh beberapa tahun


bermula dari tahun anggaran tersebut mula dirangka di peringkat agensi
sehinggalah ia dinilai oleh Ketua Audit Negara. Terdapat pelbagai isu dan
perkara yang boleh diperiksa dengan hanya memberi tumpuan kepada
lima peringkat pusingan belanjawan ini sebentar lagi.

6.2 PENYEDIAAN BELANJAWAN

Secara rasminya, proses penyediaan bermula apabila Perbendaharaan


menghantar surat pekeliling kepada semua agensi dan jabatan kerajaan
lalu mengarahkan mereka supaya menyediakan cadangan anggaran
belanjawan bagi tahun akan datang. Surat pekeliling yang dikirim pada
bulan Januari tersebut mengandungi objektif, dasar-dasar, proses dan
prosedur penyediaan belanjawan yang mesti dipatuhi oleh agensi dan
jabatan kerajaan. Ia juga meliputi format dan borang yang perlu diisi
dalam melengkapi keperluan yang diminta oleh Perbendaharaan.
Peringkat ini dikenali sebagai “call for estimates”.

Boleh dinyatakan di sini bahawa proses pusingan belanjawan di negara


kita dimulai oleh pihak eksekutif. Pihak legislatif masih tidak terlibat di
peringkat pertama ini. Fasa permulaan ini walaupun nampak kompleks
tetapi oleh kerana amalan ini telah pun dibuat berulang-ulang kali pada
setiap tahun maka ia bertukar menjadi kebiasaan kepada agensi pelaksana
dan pusat.

Di peringkat organisasi, setelah menerima surat pekeliling ini, ketua


agensi dan jabatan akan menghantar surat arahan dalaman kepada pusat
tanggungjawab dan kos untuk mula menyediakan permohonan masing-
masing. Pusat tanggungjawab dan kos adalah unit-unit dalam agensi
yang menyumbang kepada penyediaan perkhidmatan yang dikeluarkan
oleh agensi kepada orang ramai. Oleh itu mereka perlu menganggarkan
perbelanjaan mereka setiap tahun. Pusat tanggungjawab dan kos akan
mengadakan perbincangan atau mesyuarat bagi merangka dan
menyiapkan anggaran. Mereka akan menyediakan keterangan berkenaan
fungsi, program, aktiviti, jumlah kakitangan dan keterangan-keterangan
lain berhubung dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang memerlukan
perbelanjaan. Anggaran dibuat berdasarkan rancangan strategik agensi
dengan mengambil kira perbelanjaan tahun semasa sebagai panduan.

Setelah siap, anggaran tersebut akan dihantar ke bahagian yang akan


mengumpul semua cadangan anggaran dari pusat tanggungjawab dan
kos. Biasanya jabatan yang berkenaan ialah jabatan bendahari atau

76
bahagian kewangan. Jabatan bendahari atau bahagian kewangan akan
bertindak sebagai penyelaras dengan mengumpulkan semua permohonan
unit-unit kos ke dalam satu anggaran keseluruhan. Permohonan anggaran
akan diteliti seperti mengambil kira polisi-polisi yang dipakai, rasional,
kesesuaian dan sama ada ia menepati arahan-arahan perbelanjaan dari
agensi pusat.

Di bawah sistem sekarang ini, iaitu Sistem Belanjawan Diubahsuai atau


MBS, agensi pelaksana akan diberi satu batas perbelanjaan bersama-sama
dengan surat pekeliling yang dihantar oleh Perbendaharaan kepada
mereka. Jumlah wang yang ditetapkan oleh Perbendaharaan adalah
sebagai had yang ditentukan dalam memohon perbelanjaan mengurus
yang sedia ada. Sebarang perbelanjaan bagi program baru dan khas
mestilah dibuat secara berasingan.

Dalam Bab 5 yang lalu, anda telah diterangkan tentang komponen


perbelanjaan yang terdiri daripada perbelanjaan mengurus dan
pembangunan. Sila ulangkaji bab tersebut bagi melancarkan lagi
pemahaman anda tentang bab ini.

Bagi perbelanjaan pembangunan, Unit Perancang Ekonomi (UPE) di


Jabatan Perdana Menteri akan mengeluarkan surat pekeliling berhubung
dengan penyediaan cadangan projek-projek pembangunan agensi
pelaksana melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). UPEN
seterusnya akan menghantar atau memanjangkan pekeliling tersebut
kepada semua agensi dan jabatan kerajaan negeri mengenai projek
pembangunan yang akan mereka laksanakan dalam tahun belanjawan
berkenaan. Cadangan belanjawan pembangunan mestilah menerusi
UPEN masing-masing sebelum UPEN mengemukakan kepada UPE. Di
peringkat negeri, UPEN akan mengkaji terlebih dahulu cadangan
pembangunan sama ada ia sesuai dan selaras dengan dasar-dasar
pembangunan kerajaan dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Tindakan seterusnya bagi agensi dan jabatan adalah menghantar anggaran


belanjawan yang telah siap mengikut format yang ditetapkan kepada
bahagian Belanjawan di Perbendaharaan selewat-lewatnya dalam bulan
Mac tiap-tiap tahun.

6.3 PEMERIKSAAN BELANJAWAN

Pada bulan April, Bahagian Belanjawan mula menerima ratusan anggaran


belanjawan untuk diperiksa. Peringkat pemeriksaan memerlukan tempoh
yang mencukupi bagi mempastikan pemeriksaan yang berkesan dapat

77
dijalankan. Skop pemeriksaan anggaran belanjawan tahunan di bawah
MBS akan meliputi kepatuhan batas perbelanjaan, permohonan dasar
baru, dasar one-off dan jumlah peruntukan perbelanjaan keseluruhan.

Bahagian Belanjawan pula akan meneliti, memeriksa dan menyediakan


cadangan anggaran perbelanjaan, mengurus pindah peruntukan dan
menjalankan kuasa bagi pihak Menteri Kewangan seperti yang telah
ditetapkan di bawah Seksyen 15(3) Akta Prosedur Kewangan 1957.

Di bawah Sistem Belanjawan Program dan Prestasi, skop pemeriksaan


adalah kepada perancangan strategik agensi, perancangan pengurusan,
perancangan operasi dan kawalan, dan prestasi agensi-agensi di masa
yang lalu. Tetapi di bawah MBS, skop pemeriksaan telah didelegasikan ke
peringkat agensi dan jabatan, dan ia juga telah menjadi hal ehwal dalaman
organisasi. Perbendaharaan hanya menumpukan kepada persoalan
peruntukan dan jumlah yang akan diberikan sahaja.

Di peringkat yang ‘high profile’ ini, Perbendaharaan membentuk satu panel


pemeriksaan belanjawan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari
agensi-agensi pusat yang lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),
Jabatan Statistik, Bank Negara dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Setiap agensi akan memainkan peranan tersendiri di dalam menyemak
dan memeriksa anggaran agensi. Pegawai-pegawai Perbendaharaan yang
terlibat dalam pemeriksaan ini dipanggil budget review officers.

Tugas Jabatan Perkhidmatan Awam adalah mempastikan semua agensi


mematuhi polisi kakitangan dan perjawatan yang dikeluarkan olehnya.
Manakala Bank Negara yang bertindak sebagai penasihat kewangan
kepada kerajaan akan memberi ulasan-ulasan berhubung dengan jumlah
dan corak perbelanjaan agensi. JPM pula berfungsi bagi memastikan
bahawa cadangan anggaran perbelanjaan mengurus tidak bercanggah
dengan dasar perbelanjaan pembangunan. Sementara Jabatan Perangkaan
pula akan menyemak penggunaan data perangkaan yang betul dan terkini
oleh agensi semasa menganggarkan perbelanjaan dan kos agensi.

Bahagian Belanjawan akan mengeluarkan satu jadual waktu pemeriksaan


bagi mengatur tarikh dan masa untuk memanggil ketua-ketua agensi dan
jabatan ke mesyuarat pemeriksaan tersebut. Penglibatan mereka adalah
perlu kerana mereka akan membuat justifikasi dan memberi hujah
kepada panel pemeriksaan belanjawan dengan lebih jelas dan lengkap
mengenai cadangan anggaran belanjawan mereka. Peringkat ini boleh
menjadi ‘panas’ jika kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan cadangan
yang dikemukakan oleh pihak yang terlibat. Ada agensi pelaksana yang

78
terpaksa bertarik tali tentang jumlah peruntukan dan apabila kelulusan
program-program baru yang diminta tidak diterima oleh panel pemeriksa,
rasa tidak puas hati mungkin akan timbul.

Jika Perbendaharaan memohon agensi berkenaan membuat perubahan


maka agensi mestilah menghantar semula anggaran belanjawan kepada
Perbendaharaan. Setelah memeriksa semua anggaran belanjawan agensi
pihak Perbendaharaan seterusnya akan membuat rumusan kepada hasil
pemeriksaan tersebut. Rumusan ini dipanggil kertas turus dan ia
disediakan oleh Pengarah Belanjawan kepada Menteri Kewangan dan
kabinet menteri.

Kandungan kertas turus terdiri daripada


1. Cadangan anggaran belanjawan semua agensi;
2. Justifikasi mengapa sesetengah cadangan ditolak atau diterima;
3. Memberi justifikasi mengenai jumlah peruntukan yang diluluskan.

Kertas turus yang telah dibuat oleh Pengarah Belanjawan akan


diserahkan kepada Menteri Kewangan untuk dibawa masuk ke mesyuarat
Kabinet Menteri pada bulan September. Kabinet pula akan memeriksa
cadangan anggaran dan akhirnya bersetuju kepada jumlah perbelanjaan
dan hasil yang akan dibentangkan di Parlimen.

Pada peringkat ini, tamatlah peranan eksekutif di pusingan awal sehingga


anggaran tersebut bersedia untuk dilaksanakan.

SOALAN DALAM TEKS 6.1

1. Sebutkan nama dan agensi yang terlibat dalam


peringkat pemeriksaan belanjawan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.4 KELULUSAN

Peringkat seterusnya adalah peringkat yang memulakan peranan legislatif


di negara kita. Adakah pelajar tahu siapakah yang dimaksudkan dengan
legislatif? Ya, betul! Mereka ialah anggota Parlimen iaitu ahli-ahli Dewan
Rakyat dan Dewan Negara. Di peringkat negeri pula, legislatif ini ialah
ahli-ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing. Setiap anggaran
belanjawan mestilah melalui meja legislatif kerana mereka adalah wakil
79
kepada rakyat. Mereka akan meluluskan apa-apa cadangan berkenaan
cukai yang ingin dikutip oleh kerajaan. Dalam kata lain peringkat ini
dipanggil peringkat kelulusan (authorization).

Dewan Rakyat ialah satu-satunya badan legislatif yang berhak memulakan


sesuatu Rang Undang-undang Kewangan kerana Perkara 67(1)
Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa Dewan
Rakyat berkuasa dalam hal ehwal kewangan. Perkara 99 Perlembagaan
Persekutuan ada menyebut tentang satu anggaran kewangan tahunan
dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum permulaan tahun fiskalnya.
Yang dimaksudkan dengan peruntukan tersebut ialah anggaran
belanjawan agensi-agensi awam yang dihantar dan diperiksa oleh panel
belanjawan dalam bahagian 6.3 tadi.

Peringkat kelulusan berlangsung pada bulan Oktober iaitu apabila


Menteri Kewangan akan membawa cadangan anggaran perbelanjaan
yang telah dipersetujui ke Parlimen. Mesyuarat berhubung dengan
belanjawan di Parlimen merupakan agenda mesyuarat terakhir Parlimen
bagi setiap tahun. Dokumen belanjawan tersebut beserta ucapan Menteri
Kewangan akan disediakan oleh Unit Penyelarasan dan Kajian Bahagian
Belanjawan yang akan menyelaras dan menyediakan Buku Anggaran serta
Rang Undang-undang Perbekalan yang hendak dibentang oleh menteri.

Marilah kita memerhati sejenak jenis prosedur yang harus dilalui oleh
anggaran belanjawan yang ingin diluluskan.

6.4.1 Prosedur Kelulusan

Rang Undang-Undang Perbekalan dan Pembangunan akan melalui tiga


peringkat bacaan Dewan Rakyat seperti apa-apa rang undang-undang
hibrid iaitu

(a) Bacaan pertama;


(b) Bacaan kedua; dan
(c) Bacaan ketiga.

a) Bacaan pertama

Bacaan yang pertama ialah bacaan atas tajuk rang undang-undang itu
sahaja oleh Setiausaha Dewan Rakyat, pada ketika rang undang-undang
itu dikemukakan oleh pencadangnya. Peringkat kelulusan ini bermula
secara rasminya apabila bacaan pertama bagi Rang Undang-undang
Kewangan akan dibaca buat pertama kalinya oleh Menteri Kewangan dan
diluluskan pada dasarnya. Apabila rang undang-undang perbekalan telah

80
dibaca buat kali pertama, rang undang-undang itu akan dicetak (pada
kebiasaannya, Kementerian Kewangan telah siap mencetaknya) dan
menunggu untuk bacaan kedua.

b) Bacaan kedua

Bagi Rang Undang-undang Perbekalan, usul untuk bacaan kedua dibuat


pada hari bacaan pertama yang Menteri Kewangan telah memberi satu
notis kepada Setiausaha Dewan lebih awal lagi.

Bacaan kedua oleh Menteri Kewangan adalah merangkumi ucapan


menteri yang pelajar lihat di kaca televisyen pada setiap Jumaat yang
terakhir pada bulan Oktober setiap tahun.

Dalam bacaan ini Menteri Kewangan akan membuat ucapan belanjawan


dan membuat laporan berkenaan hasil yang dianggar dan perbelanjaan
sebenar pada tahun fiskal. Beliau juga akan membentangkan cadangan
anggaran perbelanjaan pada tahun akan datang dan cadangan kerajaan
untuk mengutip hasil untuk tahun hadapan. Hal yang termasuk di dalam
ucapan ini ialah cadangan berhubung dengan kenaikan, pengurangan,
penghapusan atau mengadakan cukai-cukai baru.

Apabila usul bacaan kedua itu dicadangkan, perbahasan ke atasnya akan


ditangguhkan sekurang-kurangnya selama dua hari. Pada ketika ini, teks
rang undang-undang tersebut masih belum diedarkan dan tiada
perdebatan akan dilakukan. Setiap ahli Parlimen akan mendapat senaskah
rang undang-undang perbekalan tersebut manakala Menteri Kewangan
pula akan memberi keterangan berkenaan sebab-sebab sesuatu
belanjawan itu diperlukan.

Sementara itu, perbincangan dalam jawatankuasa kewangan ke atas rang


undang-undang perbekalan akan dibuat tidak lebih dari 14 hari.
Perbincangan dalam jawatankuasa bermaksud supaya cadangan untuk
membelanjakan wang mengikut permohonan kementerian-kementerian
dan agensi-agensi awam yang lain. Perbincangan juga berkisar tentang
butiran yang dimasukkan ke dalam buku anggaran. Perdebatan tidak
dibenarkan bagi perkara-perkara seperti polisi atau prinsip kerana
perbincangan itu dibuat pada waktu persidangan dewan rakyat yang lain.
Jawatankuasa akan membincang dan meluluskan setiap fasal, jadual dan
peruntukan-peruntukan lain bagi setiap agensi atau kementerian. Setiap
menteri protfolio akan bersedia untuk menjawab pertanyaan yang akan
ditanya oleh ahli-ahli dewan. Pindaan boleh dibuat atau dikemukakan ke
atas mereka yang berkenaan dalam perbincangan jawatankuasa hanya
setelah ia selesai dipertimbangkan.

81
Apabila selesai sahaja perbahasan oleh dewan, cadangan belanjawan
tersebut sama ada dengan pindaan atau tanpa pindaan akan dibawa ke
Dewan Rakyat semula untuk diluluskan bagi bacaan ketiga. Pada ketika
itu, Speaker Dewan akan membuka perbincangan kepada seluruh dewan
dan ahli-ahli dewan pula berhak memberi komen terhadap rang undang-
undang kewangan tersebut. Baru-baru ini Parlimen telah mengumumkan
satu peraturan baru dewan yang menyatakan bahawa had masa sepuluh
minit sahaja diberikan kepada anggota yang ingin bercakap mengenai
perbahasan angaran bagi tahun 2001. Perkara ini berlaku kerana hari
perbincangan telah dipendekkan akibat sebab-sebab yang tidak dapat
dielakkan.

c) Bacaan ketiga

Setelah perbahasan bacaan kedua tamat, Setiausaha dewan akan


mengisytiharkan agar rang undang-undang kewangan tersebut diluluskan.
Pada bacaan ketiga ini, satu undian akan dibuat dan jika terdapat majoriti
2/3 undian maka rang undang-undang kewangan akan diluluskan oleh
Dewan Rakyat.

Selepas itu, cadangan belanjawan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat itu
akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan semula. Jika
belanjawan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat mendapat persetujuan
atau kelulusan oleh Dewan Negara tanpa pindaan dalam tempoh sebulan,
maka ia hendaklah diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk
persetujuan baginda mengikut Perkara 68 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam konteks ini, walaupun senator-senator Dewan Negara tiada
memiliki kuasa seperti ahli dewan rakyat kerana bukan dipilih oleh rakyat
tetapi dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, namun mereka juga ada hak
untuk membahaskan anggaran tersebut.

Dalam sejarah Malaysia, belum pernah ada keadaan yang Dewan Rakyat
dan Negara menolak atau tidak mempersetujui belanjawan seperti yang
pernah berlaku di Amerika Syarikat. Di negara tersebut, belanjawannya
ditangguhkan kerana tidak mendapat persetujuan senat.

Setelah kedua-dua dewan bersetuju dan meluluskan belanjawan tahunan


berkenaan, ia dipersembahkan ke bawah Yang Dipertuan Agong dan
baginda pula hendaklah memperkenankannya dalam tempoh 30 hari
selepas dipersembahkan (Perkara 66 (4) Perlembagaan Persekutuan).
Ringkasnya, ketiga-tiga elemen dalam institusi Parlimen iaitu Dewan
Rakyat, Dewan Negara dan YDA terlibat dalam meluluskan rang
undang-undang perbekalan ini.

82
Mengikut Perkara 66 (4B) Perlembagaan, jika belanjawan yang telah
diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak diperkenankan
dalam tempoh yang dikehendaki seperti di atas, maka belanjawan itu
hendaklah menjadi belanjawan yang sah selepas tamatnya tempoh (30
hari) seolah-olah baginda telah memperkenankannya. Persetujuan
baginda dimeterai dengan cop mohor negara. Setelah itu, perintah akan
dikeluarkan agar ia disiarkan kepada orang ramai. Siaran tersebut dibuat
dalam warta kerajaan dan pada tarikh yang sama siaran ini dibuat,
undang-undang kewangan tersebut akan berkuatkuasa.

SOALAN DALAM TEKS 6.2

1. Cuba anda teliti bagaimana legislatif menjalankan


peranan mereka dalam meluluskan anggaran
belanjawan yang dibuat oleh Menteri Kewangan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.5 PELAKSANAAN

Peringkat ketiga ini bermula secara rasmi pada 1 Januari tahun fiskal. Di
peringkat ini, belanjawan dikembalikan kepada pihak eksekutif agar
penguatkuasaannya dapat dilaksanakan. Selepas Yang Dipertuan Agong
meluluskan anggaran belanjawan tersebut, maka Menteri Kewangan akan
mengarahkan Waran Am dikeluarkan oleh Akauntan Negara bagi
menandakan wang boleh dikeluarkan dari KWDS. Akauntan Negara pula
akan memberitahu Pegawai-pegawai Pengawal bahawa perbelanjaan bagi
tahun baru boleh dilakukan melalui waran peruntukan yang dihantar
kepada setiap agensi awam.

Seterusnya di peringkat kementerian dan jabatan pula, Pegawai Pengawal


akan menghantar waran peruntukan kecil kepada pusat tanggungjawab
atau kos yang menyatakan bahawa anggaran mereka telah diluluskan di
Parlimen. Melalui waran peruntukan ini, mereka dibenarkan membuat
perbelanjaan yang dibuat daripada vot peruntukan yang diberi kepada
mereka.

Peringkat pelaksanaan akan berlangsung selama dua belas bulan pada


tahun kalendar yang dipanggil tahun fiskal. Sepanjang tempoh tersebut,
pelbagai perkara boleh berlaku di peringkat agensi yang membelanjakan
jutaan ringgit. Oleh sebab itu, satu bentuk kawalan pusat biasanya akan
83
diwujudkan ke atas semua pihak yang terlibat dalam membelanjakan
peruntukan daripada belanjawan yang telah diluluskan. Pihak
Perbendaharaan akan mempastikan bahawa agensi-agensi tidak
menggunakan semua wang yang diberi dalam tempoh kurang daripada 12
bulan tahun fiskal itu. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan agensi
meminta tambahan wang. Oleh itu, waran peruntukan yang dihantar
hanya menguntukkan peruntukan untuk tempoh enam atau empat bulan
yang pertama sahaja.

Peringkat pelaksanaan adalah amat penting dalam mempastikan


perancangan belanjawan kerana perbelanjaan yang dibuat mesti tidak
melampaui wang yang diperuntukkan. Walau bagaimanapun, sekiranya
berlaku keadaan terdesak akibat perkara-perkara yang tidak dijangkakan,
maka tambahan anggaran belanjawan adalah dibenarkan tertakluk kepada
kelulusan Parlimen.

Unsur-unsur pengesanan (monitoring) adalah sangat penting di peringkat


pelaksanaan bagi mempastikan perbelanjaan sebenar adalah mengikut
perbelanjaan yang telah diluluskan. Pengesanan dibuat oleh agensi yang
diminta menghantar laporan perbelanjaan suku tahunan kepada pihak
Perbendaharaan.

Sistem pengurusan kewangan yang baik biasanya mempunyai sistem


perakaunan yang menetapkan cara-cara yang tepat dalam membuat
perbelanjaan. Sistem ini bertujuan untuk mengawal agar perbelanjaan
sentiasa berada dalam lingkungan sumber-sumber yang telah diluluskan
oleh legislatif.

Mewujudkan sistem perakaunan dan kawalan dalaman adalah merupakan


tanggungjawab yang sangat penting dan ia terletak di bahu pihak
pengurusan agensi. Mempunyai kakitangan yang terlatih dan baik juga
adalah perlu. Kakitangan pentadbiran yang mengutip hasil di kaunter
mestilah amanah apabila berhadapan dengan wang tunai. Sistem
perakaunan mestilah memastikan bahawa kawalan adalah mencukupi dan
semua maklumat perakaunan yang wajib direkodkan telah pun
direkodkan.

Pegawai pengawal hendaklah mempastikan bahawa pegawai-pegawai


yang bertanggungjawab mengenai kewangan benar-benar faham akan
kawalan kewangan, prosedur dan undang-undang. Sekiranya berlaku
kesilapan, pegawai bertanggungjawab akan disoal siasat oleh Ketua Audit
Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam. Tindakan ‘surcaj’ atau
tata tertib boleh dikenakan kepada yang melakukan kecuaian.

84
6.6 PENGAUDITAN

Pengauditan ialah peringkat terakhir dalam pusingan belanjawan. Setelah


tamat tahun fiskal semua agensi mestilah melaporkan penyata kewangan
mereka. Bagi agensi yang mempunyai bendahari sendiri maka laporan
kewangan akan dibuat sendiri oleh bendahari. Jika tidak, agensi tersebut
mestilah melantik akauntan bertauliah untuk menyediakan akaun bagi
pihak mereka. Prosedur-prosedur perakaunan yang seragam digunakan
oleh jabatan kerajaan. Selepas siap akaun-akaun mereka, maka
bermulalah peringkat yang terakhir dalam kitaran hayat belanjawan.

Tujuan peringkat ini dibuat adalah untuk memeriksa sama ada eksekutif
kerajaan telah melaksanakan belanjawan mengikut peruntukan yang telah
diluluskan, memeriksa akauntabiliti awam dan kejujuran dalam
membelanjakan wang awam dan mengelakkan pembaziran.

Skop pengauditan adalah meliputi audit kewangan dan audit prestasi.


Audit kewangan berfungsi mempastikan kesahihan penyata kewangan.
Audit prestasi pula memeriksa sama ada program-program kerajaan telah
berkesan dalam mencapai objektif yang diharapkan dan operasinya
dibuat dengan cekap. Dalam kata lain, pengauditan ini adalah demi untuk
mempastikan bahawa wang rakyat yang digunakan oleh agensi
dibelanjakan mengikut ketetapan yang telah diberikan.

Juruaudit biasanya menentukan skop pengauditan ke atas penyata-


penyata kewangan agar ia selaras dengan kehendak-kehendak undang-
undang dan peraturan-peraturan oleh badan-badan profesional yang
berkaitan. Kerja-kerja pengauditan mestilah dirancang terlebih dahulu
agar ia merangkumi segala aspek penyata kewangan yang sepatutnya
diaudit. Pejabat Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit ialah pihak yang
akan menjalankan pengauditan.

Sebelum mengeluarkan sijil audit, seseorang juruaudit perlu memperolehi


kepastian bahawa maklumat-maklumat yang terkandung di dalam rekod-
rekod perakaunan dan sumber-sumber data yang lain boleh dipercayai
dan mengikut asas penyediaan penyata kewangan. Juruaudit boleh
menilai kebolehpercayaan dan kecukupan terhadap maklumat-maklumat
yang terkandung di dalam rekod-rekod perakaunan dan sumber-sumber
data yang lain dengan:

a) Dengan menjalankan satu kajian dan penilaian ke atas sistem


perakaunan dan kawalan dalaman yang mana beliau akan
bersandar dan menguji kawalan-kawalan dalaman tersebut untuk
menentukan bentuk (nature), liputan (extent) dan pemasaan (timing)
tatacara-tatacara audit.

85
b) Menjalankan ujian-ujian lain, pertanyaan dan tatacara pengesahan
ke atas urusniaga perakaunan.

Pengauditan yang dibuat itu mestilah membandingkan penyata kewangan


dengan kutipan yang telah dibuat. Semasa pengauditan ini dibuat,
perhatian diberi kepada penyediaan penyata kewangan.

6.6.1 Prinsip-Prinsip Asas yang Menguasai Pengauditan

Pengauditan disifatkan sebagai pemeriksaan bebas ke atas penyata


kewangan mana-mana organisasi yang berorientasikan keuntungan atau
tidak. Ia dilaksanakan dengan tujuan untuk melahirkan pendapat yang
mengesahkan maklumat-maklumat kewangan yang dibuat oleh agensi.
Oleh sebab itu, tugas pengauditan diiringi oleh prinsip-prinsip seperti
i) Tulus, objektif dan bebas;
ii) Merahsiakan semua maklumat yang diperolehinya;
iii) Menyediakan laporan dengan cermat dan berhati-hati;
dan
iv) Mengemaskini pengetahuan dengan pengauditan
antarabangsa.

Juruaudit hendaklah merancang kerja-kerjanya supaya beliau dapat


menjalankan audit yang berkesan secara cekap dan mengikut susunan
masa yang teratur. Di antara perkara-perkara yang perlu diambilkira
dalam perancangan tersebut adalah
i) Memahami sistem perakaunan, polisi dan tatacara
kawalan dalaman yang diamalkan sebelumnya;
ii) Menentukan dan membentuk program, pemasaran dan
liputan tatacara audit yang akan dilaksanakan; dan
iii) Penyelarasan kerja yang akan dilaksanakan.

Juruaudit perlu memperolehi bukti-bukti yang sesuai dengan secukupnya


melalui pelaksanaan tatacara-tatacara pematuhan (compliance procedures) dan
tatacara-tatacara penyokongan (substantive procedures) supaya beliau boleh
membuat kesimpulan-kesimpulan sebagai asas untuk melahirkan
pendapat mengenai penyata kewangan.

Peringkat yang terakhir, Ketua Audit Negara akan membentangkan hasil


pemeriksaan audit di Parlimen. Laporan beliau akan disemak oleh
Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan segala teguran audit terhadap
agensi awam wajib diberi perhatian yang sewajarnya. Melalui penyemakan
yang dilakukan oleh jawatankuasa ini, maka tamatlah kitaran sesuatu
belanjawan yang pada hakikatnya beredar untuk lebih daripada satu
tahun.

86
SOALAN DALAM TEKS 6.3

1. Huraikan apakah yang berlaku kepada belanjawan


di peringkat pengauditan. Siapakah yang
memainkan peranan yang utama di peringkat ini.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.7 STRATEGI-STRATEGI AGENSI YANG TERLIBAT

Ada pengkaji belanjawan yang melihat proses pembelanjawan sebagai


satu bentuk permainan (budget game). Mungkin benar! Pembelanjawan
melibatkan komunikasi iaitu satu elemen utama dalam mengartikulasi
kehendak agensi ke dalam anggaran belanjawan tahunan mereka. Jika
komunikasi tidak dibuat dengan baik maka permainan tidak akan
berlangsung dengan baik. Bagi mempastikan permainan ini berlangsung
dengan baik, maka peraturan dan strategi yang baik mestilah digunakan
oleh pihak-pihak yang terlibat. Permainan yang tidak seimbang akan
menghasilkan pemotongan belanjawan yang tidak munasabah dan
diinginkan.

Marilah kita menyelidiki apakah bentuk-bentuk strategi yang dimainkan


oleh pihak-pihak yang terlibat dalam pemeriksaan belanjawan.

6.7.1 Agensi Pelaksana (Spenders)

Dalam istilah permainan, pembelanjawan agensi pelaksana dipanggil


spenders sementara agensi pusat seperti Perbendaharaan dipanggil cutters.
Matlamat permainan oleh spenders adalah untuk mempastikan bahawa
cadangan belanjawan mereka diluluskan tanpa pemotongan. Antara
strategi-strategi yang mereka lakukan ialah

i) Membuat penokokan kepada jumlah agar terdapat


lebihan yang mungkin berguna bagi keperluan kontigensi
atau menjadi ‘pampasan’ kepada jumlah yang akan
dipotong.
ii) Membelanjakan keseluruhan peruntukan yang diberi pada
tahun lepas tanpa meninggalkan apa-apa baki yang akan
digunakan oleh cutters sebagai alasan untuk tidak
meluluskan jumlah baru yang diminta.

87
iii) Cuba mengalih tumpuan dan fokus pemeriksaan panel
belanjawan kepada pencapaian terbaik agensinya – ini
memberi gambaran agensinya mampu bertanggungjawab
kepada anggaran yang dipohon.
iv) Mengemukakan hujah ekonomi seperti peruntukan yang
diminta adalah kepada program yang akan mendatangkan
hasil dalam bentuk bayaran masuk, lesen dan bayaran-
bayaran tertentu. Oleh itu peningkatan belanjawan
mereka secara langsung akan meningkatkan produktiviti.
v) Menggunakan hujah emosi iaitu mempertikaikan
sekiranya hasil negara telah bertambah maka agensi
mestilah dibenarkan untuk menambah anggaran mereka
dan perkara ini dibuat hanya untuk kepentingan rakyat
semata-mata.

Strategi-strategi yang mereka gunakan bergantung kepada penilaian ketua


jabatan yang akan berdepan dengan cutters.

6.7.2 Agensi Pusat (Cutters)

Strategi-strategi oleh agensi pusat seperti Perbendaharaan adalah


berbentuk hujah asal dan hujah balas (counter argument) kepada argumen
dan permainan pihak agensi pelaksana. Matlamat cutters adalah untuk
membuat pemotongan kepada permohonan yang kurang munasabah.
Antaranya ialah

i) Mempersoalkan aspek-aspek hasil yang dikutip oleh


agensi yang boleh digunakan bagi menampung kos agensi
tanpa perlu memohon pebelanjaan tambahan.
ii) Membuat pemotongan kepada objek-objek perbelanjaan
yang kurang nampak secara nyata, perbelanjaan ini
sebenarnya jika dipotong tidak akan menjejaskan operasi
agensi.
iii) Menyuruh agensi mencari penjimatan daripada program-
program yang sudah lama berlangsung.
iv) Melewatkan pemberian keputusan dengan meminta
agensi memberikan maklumat-maklumat tambahan
sebelum kelulusan dapat diberikan.
v) Menggunakan hujah balas kepada hujah yang diberikan
oleh spenders. Misalnya jika peruntukan dipohon tidak
besar, maka ia boleh diserap ke dalam bahagian-bahagian
lain tanpa perlu menambah anggaran belanjawan.

88
vi) Meminta spenders menyenaraikan apakah keutamaan item-
item perbelanjaan yang tidak boleh dipotong dan yang
boleh dipotong. Strategi ini tidak boleh berulang kerana
spenders akan mencari hujah baru.

6.8 RUMUSAN

Pusingan belanjawan ialah satu proses atau kitaran aktiviti-aktiviti yang


berhubung dengan perbelanjaan. Ia mengandungi lima aktiviti utama
iaitu penyediaan, pemeriksaan kelulusan, pelaksanaan dan pengauditan
belanjawan. Banyak agensi yang terlibat dalam setiap peringkat yang
biasanya mengambil masa melebihi daripada setahun. Pelbagai strategi
telah dibincangkan untuk memahami bahawa agensi-agensi yang terlibat
berhadapan dengan cabaran dalam memperolehi segala yang dihajati.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Susurgalurkan aktiviti-aktiviti yang terkandung di peringkat


penyediaan dan pemeriksaan belanjawan.

2. Beri 3 strategi oleh ‘spenders’ dan ‘cutters’ dalam memperolehi


jumlah peruntukan yang dikehendaki.

Semak jawapan anda di akhir modul ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 6.1

1. i) Pengarah Bahagian Belanjawan, Perbendaharaan


ii) Wakil daripada Bank Negara Malaysia
iii) Wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam
iv) Wakil daripada Jabatan Perangkaan
v) Wakil daripada Unit Perancang Ekonomi dan
vi) Wakil daripada MAMPU.

89
SDT 6.2

1. Apabila Rang Undang-undang Perbekalan dibentangkan oleh


Menteri Kewangan di Dewan Rakyat maka bermula peranan ahli-
ahli legislatif untuk menimbangkan cadangan anggaran belanjawan
tahunan yang diformulasi oleh pihak eksekutif. Rang undang-
undang tersebut akan melalui bacaan pertama, kedua dan ketiga
untuk tempoh selama 15 hari. Kemudian, anggaran tersebut akan
diundi yang suara majoriti 2/3 mesti diperolehi untuk
membolehkan ia dikuatkuasakan.

Dewan Negara juga akan membahaskan anggaran tersebut selepas


tamat di Dewan Rakyat. Akhir sekali, Yang Dipertuan Agong akan
menurunkan persetujuan akhir yang membolehkan kuasa
membelanjakan wang diberikan kepada agensi-agensi awam.

SDT 6.3

1. Setelah akauntan negara mengemukakan penyata akaun-akaun


awam yang telah siap dibuat oleh beliau, maka bermula peringkat
pengauditan. Biasanya ia berlaku pada bulan April setiap tahun.
Individu yang berperanan utama di peringkat ini ialah Ketua Audit
Negara. Beliau akan mendelegasikan kuasa menjalankan audit
pihak ketiga kepada juruaudit negeri. Mereka akan menyiapkan
skop pengauditan yang diminta oleh Ketua Audit Negara. Laporan
beliau akan dibentangkan di Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam
di Parlimen sebelum dikeluarkan sebagai bahan tatapan awam.

90

Anda mungkin juga menyukai