Anda di halaman 1dari 5

Terlepas dari soal setuju atau tidak, cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai isyarat positif

bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula
kerelevanan sistem pelajaran kita secara menyeluruh dan mendasar. Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-
PMR) tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh, tetapi dilatari kesedaran tentang
wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu yang terkait
dengannya, tetapi masalah yang lebih fundamental dan mendasar.

Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya (hampir) memutlakkan
prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar. Orientasi
dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai
proses pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang. Justeru, antara implikasi yang sangat
memprihatinkan termasuklah:

 Misi besar pendidikan telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang mendera dan menegangkan. Di
situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting
kependidikan lainnya. Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem
kita lebih banyak menguji daripada mendidik (more testing than educating).

 Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan, maka lahirlah generasi yang berprestasi
(akademik) cemerlang, tetapi gagal menjadi manusia berakhlak dan berwatak mulia.

 Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya", betapa pula nasib mereka yang menjadi "korban"
peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai "gagal" dalam usia yang sedemikian muda.
Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib hidup mereka. Demikianlah, persekolahan kita telah melahirkan
generasi yang mengalami kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri. Keleluasaan gejala penyakit sosial
ketika ini mungkin salah satu jelmaannya.

 Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan anak didik dibebani harapan
yang seringkali tidak tertanggung, dan dipaksa bersaing meskipun tidak mampu. Akibatnya persekolahan kita telah
mencipta generasi yang mengalami ketegangan (stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana
sentiasa disaingi).

 Sistem yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak, sesungguhnya hanya menghargai hasil
terakhir suatu proses pendidikan yang panjang. Yang berharga hanya jumlah A yang terkumpul pada peperiksaan
akhir, sedang susah payah guru mengasuh dan mengasah dari hari ke hari seolah-olah tidak ada harganya.

 Menjadikan prestasi dalam peperiksaan sebagai penentu persaingan merebut peluang pekerjaan, selalu memacu
persaingan mencapai prestasi tanpa memperhitungkan cara, etika dan aturannya. Akibatnya peperiksaan, di mana-
mana, selalu diwarnai penipuan, manipulasi dan pelbagai kecurangan lainnya.

 Mereka yang kalah dalam persaingan, atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-menerus dipaksa bersaing rata-
rata merasakan persekolahan suatu penderaan. Mereka selalu merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai. Mereka
tidak senang ke sekolah, kerana sekolah memang tidak menyenangkan.

Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah satu cara penilaian
dalam proses pendidikan. Yang dipermasalahkan adalah kadar pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi
peperiksaan, dan terlalu dimutlakkan sebagai ukuran kemampuan, walhal peperiksaan mempunyai pelbagai
keterbatasan di samping selalu mengandungi unsur kemujuran.

Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan, tetapi menyarankan peninjauan semula dan
mengemukakan modifikasi-modifikasi seperlunya dengan semangat korektif-reformatif pembaikan sistem
pendidikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.

Tanpa ragu, kami menyimpulkan bahawa sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi orientasi
peperiksaan yang keterlaluan. Untuk itu kekerapannya harus dikurangi, di samping peranannya sebagai ukuran
kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-dimensi kependidikan lainnya rohani,
jasmani, intelek dan emosi. Perlu dicatat bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput
dalam proses pendidikan. Secara pedagogis, peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas. Ia hanya
mencakup aspek kognitif, tidak mencakup aspek psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif.

Selain itu peperiksaan juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil,
dan ini jelas mereduksi kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang tidak
termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.

Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya, ia tidak harus bersifat sekadar bubble test
yang dangkal dan tidak substantif. Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus dianjak ke arah soalan yang bersifat
high order thinking questions, soalan yang mencabar pemikiran, menguji kemampuan berfikir, dan merangsang
pemikiran analitikal, kreatif dan kritis. Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji
hafalan dan ingatan semata-mata, di samping ia juga tidak dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan soalan-
soalan peperiksaan yang lalu. Untuk melakukan anjakan ini, corak pengajaran dan pembelajaran perlu diorientasikan
semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.

Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti, tetapi ia tetap tidak boleh
dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad. Kerana itu modifikasi peperiksaan harus
beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya.
Dalam kaitan ini pencapaian matlamat pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula. Untuk
mempastikan tercapainya objektif pengutuhan manusia, subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus
diberikan penekanan semula. Tanpa menafikan kepentingan sains dan matematik, obsesi yang berlebihan terhadap
subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan terhadap bidang-bidang lain yang
sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan.
Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain, tetapi
dengan pendekatan integratif penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan
disiplin-disiplin yang dikategorikan sebagai subjek-subjek arts itu.

Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi, sistem pendidikan kita (termasuk orientasi
peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan daya kreatif-inovatif anak didik. Tanpa
menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya kreatif, tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan
yang sangat kaya dengan unsur kreativiti adalah suatu kesilapan fatal. Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa
kreativiti adalah faktor penting daya maju bangsa, khususnya dalam bidang ekonomi. Kerana itu negara-negara maju
umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa. Dan apabila gejala ini timbul,
yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya. Apakah sekolah mampu menjadi lahan yang subur bagi
kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?

Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang, harus pula diakui bahawa sistem persekolahan kita dari
satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan berdikari. Yang terhasil rata-rata adalah
generasi yang lemah, generasi yang meminta-minta, generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan
pekerjaan. Pendidikan yang komited terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan
generasi yang berkompetensi tinggi. Untuk itu kita memerlukan sistem persekolahan yang berorientasi pengupayaan
pelajar mencipta pekerjaan, bukan menunggu peluang pekerjaan.

Tidak semua subjek dapat dinilai prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga rasmi. Harus diakui
hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang pelajar lebih daripada gurunya yang saban
hari mendampinginya. Kerana itu ruang penilaian guru (sekolah) perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang
sewajarnya. Dalam kaitan inilah relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan. Amalan
pengijazahan oleh guru dalam sistem pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan.

Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti moral yang
cukup tinggi. Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan integriti keguruan. Dengan
demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang
setinggi-tingginya.

Untuk membina generasi yang religious, berwatak dan berakhlak mulia, pendidikan Islam memainkan peranan yang
sangat menentukan. Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek istimewa, bukan sekadar subjek pengetahuan,
tetapi sebagai disiplin penghayatan. Sesuai dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian, ia memerlukan cara
penilaian tersendiri. Tidak cukup dinilai dari segi kefahamannya, tetapi juga dari segi internalisasi dan
penghayatannya.

Selama ini sistem peperiksaan kita telah melahirkan golongan yang dianggap berprestasi akademik. Bagaimanapun
yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat cintakan ilmu. Tetapi isu inilah pula yang masih
menjadi tanda tanya besar. Untuk menepati makna pendidikan sebagai proses sosialisasi dan internalisasi nilai,
sistem pendidikan kita harus lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu, pembinaan sikap
menyintai ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).

Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada justifikasinya.
Bagaimanapun ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan untuk mengurangi komitmen
sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik. Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa
alternatif. Sistem pentaksiran alternatif PBS itulah yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya, tanpa mengurangi
komitmen terhadap kecemerlangan akademik. Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah untuk kembali ke
falsafah pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat membina insan seutuhnya sebagaimana yang
diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus cukup berkesan dari
segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai "hujung tombak"
sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada
sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi
kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.

Pendirian Terhadap Cadangan Pemansuhan UPSR-PMR

Mengambil kira perkara-perkara di atas, kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan, sementara PMR boleh
dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:
1. Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat
rendah.
2. Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama
Penuh (SBP). Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan menjadikannya tumpuan seluruh
kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi pendidikan lainnya. Untuk tujuan pemilihan
ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif dengan mengambil kira penilaian-penilain selain prestasi
akademik.
3. UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan untuk seterusnya
dicari jalan mengatasinya.
4. Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama setahun untuk tujuan
korektif dan pemulihan.
5. Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah
memadai dengan peperiksaan SPM.
6. Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan
penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).
7. Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)
dirasakan paling sesuai. Untuk memastikan keberkesanannya PBS perlu dilaksanakan dengan prosedur yang
kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan baku. Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan
guru, maka perlu dipastikan mereka (guru-guru) mencapai tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-
tingginya. Dengan demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti,
berautoriti dan tidak dipertikai.

Cadangan

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan UPSR-PMR, kami ingin
mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:

1. Untuk mempastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia
dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan
penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan
kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni,
pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.
2. Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah pendidikan harus
digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas
lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.
3. Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh
diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan
untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan
lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian
mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan.
Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses
pengukuhan dan interaksi guru-murid.
4. Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan keseluruhannya, telah sampai masanya kementerian
mempertimbangkan secara serius pelaksanaan sistem semester dan seterusnya pemakaian sistem penilaian
CGPA dalam sistem persekolahan negara.
5. Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki kadar nisbah guru-
murid. Jumlah murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang berlaku ketika ini mengakibatkan
kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada murid-murid, dan seterusnya ini membawa pelbagai
masalah yang sukar diatasi.
6. Tujuan pemansuhan peperiksaan tertentu untuk mengurangi orientasi peperiksaan tidak akan tercapai
sepenuhnya jika sistem pengkelasan (grading) sekolah-sekolah yang diamalkan ketika ini tidak dirubah.
Pengkelasan sekolah berasaskan prestasi akademik/SKPM akan menjadikan orientasi peperiksaan terus
menguat.
7. Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan
kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan
khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami
menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga
hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam.
Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan
penyimpangan. Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.
8. Agama seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh itu pendidikan
keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan impak transformatifnya terhadap
murid. Sesuai dengan tuntutan zaman the age of wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan
prinsip pendidikan berhikmah sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.
9. Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian
melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem
persekolahan ABIM yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem
persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu
pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.

Kenyataan bersama;
Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
Muhamad Razak Idris (Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia)
Muhamad Faisal Abdul Aziz (Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)

Anda mungkin juga menyukai