Anda di halaman 1dari 4

Isu Aktiviti Kokurikulum

AKTIVITI KOKURIKULUM Kokurikulum pelengkap akademik Keseimbangan dalam sistem pendidikan mampu lahirkan insan cemerlang SEKIRANYA kita percaya kepada matlamat melahirkan insan yang sepadu dan seimbang, paradigma yang sepatutnya digunakan ialah memberikan penekanan seimbang terhadap kedua-dua komponen-akademik dan kokurikulum-dalam sistem pendidikan kita hari ini. Keseimbangan ini tidak semestinya sama dari segi masa, tenaga dan dana diperuntukkan. Jika kita mempunyai alasan kukuh untuk membahagikan masa, tenaga dan dana yang lebih kepada akademik, maka, ia adalah wajar. Maksud seimbang di sini ialah kedua-dua komponen itu perlu diberikan perhatian sewajarnya, yang bersesuaian dengan kepentingannya dan tidak ada komponen dipinggirkan. Malangnya, sistem pendidikan kita terlalu menekankan akademik malah kita terlalu berorientasi peperiksaan. Justeru, apabila pada Januari lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan langkah mengkaji semula sistem peperiksaan hari ini bagi mengurangkan sistem pendidikan daripada terlalu berorientasi peperiksaan, maka kita berasa lega. Namun, masih ada tanda tanya. Tidak terlalu berorientasi peperiksaan tidak secara automatis bermakna tidak hanya menekankan akademik semata-mata. Orientasi peperiksaan mungkin dikurangkan. Tetapi, sekiranya perhatian terhadap kokurikulum masih juga kurang, maka matlamat kesepaduan dan keseimbangan itu masih juga tidak dipenuhi. Pada kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi Julai 2006/2007 lalu, buat pertama kali Kementerian Pengajian Tinggi mengambil kira markah kokurikulum sebagai 10 peratus daripada keseluruhan markah yang dimiliki calon. Langkah ini baik dan dialu-alukan. Tetapi, ia dibuat dengan kaedah pengiraan mereka sendiri, dan dengan tiba-tiba tanpa perancangan bersama warga sekolah menengah maka ia menimbulkan kekeliruan. Isnin lalu, Hishammuddin mengumumkan mulai tahun depan, kementeriannya akan mula menilai dan memberi markah kepada kegiatan kokurikulum di sekolah rendah dan menengah. Pembabit\tan pelajar sama ada dalam kegiatan sukan, pakaian seragam atau kelab/persatuan akan diberi merit mengikut peringkat diwakili (sekolah, daerah, negeri, negara), jawatan (presiden, setiausaha, bendahari, jawatankuasa) dan tempoh masa penglibatan dan kehadiran. Markah kokurikulum dicatatkan pada sijil peperiksaan, misalnya SPM, iaitu sama seperti kelulusan ujian lisan dicatatkan. Jika diteliti Panduan Penilaian Aktiviti Kokurikulum yang akan digunakan, jelas bahawa untuk pertama kali dalam sejarah pendidikan kita, satu skim kokurikulum yang komprehensif diwujudkan. Lebih 90 peratus warga sekolah diberi taklimat mengenai panduan penilaian itu. Perincian mengenainya akan diumumkan selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed bersetuju dengan panduan penilaian itu. Seperti tahun lalu, markah kokurikulum 10 peratus diambil kira bagi kemasukan ke IPTA mulai sesi 2007/2008. Bezanya kali ini, ia dilaksanakan dengan lebih sistematik. Sebenarnya, pengumuman terbaru Menteri Pelajaran itu adalah satu mercu tanda amat signifikan. Dengan mengambil kira pelbagai aspek tidak dibicarakan dalam tulisan ini, misalnya aspek spiritual, ini bermakna sistem pendidikan di sekolah akan menggunakan nisbah 90:10, iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum. Ia bermakna kokurikulum mula mendapat tempat lebih wajar. Ia juga bermakna sebahagian daripada persoalan kesepaduan dan kesimbangan itu mula kelihatan penyelesaiannya. Bagaimanapun, nilai 10 peratus bagi kokurikulum adalah masih rendah dan peruntukan lebih wajar ialah 25 peratus. Dalam konteks syarat kemasukan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dzulkifli Abd Razak menyatakan bahawa universiti ternama di luar negara memberikan pemberatan lebih besar terhadap kokurikulum dan cirii disebut Profesor Universiti Harvard, Henry Rosovsky (1990) dalam bukunya The University: An Owners Manual sebagai subjektif, qualitatif dan tak-kuantitatif. Menurut Richard Bradley (2005) dalam bukunya Harvard Rules untuk memasuki Universiti Harvard, iaitu universiti terbaik di dunia, kelulusan akademik sahaja tidak memadai. Calon juga perlu mempunyai ciri seperti ahli muzik, saintis, usahawan, ahli sukan dan sebagainya yang bertaraf dunia.

Berbalik kepada nisbah 90:10 tadi, persoalannya, bagaimana dengan sistem pendidikan di IPTA? Adakah nisbah 90:10 ini hanya digunakan untuk syarat kemasukan sahaja? Atau, adakah seluruh sistem pendidikan IPTA akan juga menggunakan nisbah sama, sehingga apabila mahasiswa menerima ijazah atau diplomanya, maka manuskripnya akan menunjukkan markah pada nisbah itu? Bagaimana pula halnya dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)? Sekiranya nisbah 90:10 ini hanya digunakan sebagai syarat kemasukan ke IPTA sahaja, maka calon yang kurang markah kokurikulumnya akan bertumpu ke IPTS. Kita tidak mahu kokurikulum hanya digunakan untuk memenuhi syarat kemasukan ke IPT semata-mata; atau, dalam konteks mahasiswa, hanya memenuhi syarat mendapatkan pekerjaan semata-mata. Jika ini paradigmanya, maka persoalan insan yang sepadu dan seimbang itu masih belum dijawab. Ada yang menolak kepentingan kokurikulum kerana mereka gagal dalam akademik akibat kokurikulum. Premis ini tidak betul. Memang ada yang gagal akademik, tetapi bukan akibat kokurikulum. Ia akibat faktor pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya, yang langsung tiada kaitannya dengan kokurikulum. Maknanya, kalau ia tidak terbabit dengan kokurikulum sekalipun, ia akan gagal juga. Sekiranya ada yang gagal akademik kerana terlalu banyak menghabiskan masa dalam kokurikulum, maka ini bukan masalah kokurikulum. Ia masalah pengurusan masa. Janganlah kokurikulum pula dipersalahkan. Sekiranya ada yang gagal akademik walaupun masa digunakan untuk akademik dan kokurikulum adalah seimbang, maka, seperti dinyatakan seorang lagi Profesor Universiti Harvard, Harry R. Lewis (2006) dalam bukunya Excellence Without A Soul, kajian membuktikan bahawa penglibatan dalam kokurikulum yang seimbang tidak menggugat prestasi akademik. Masalah kita ialah apabila pelajar merosot akademiknya, fokus kita ialah kokurikulum. Sepatutnya, fokus kita ialah kualiti akademik ditawarkan kepadanya. Jika masalah pelajar itu ialah akademiknya, maka perbaikilah akademiknya, bukannya menyekat kokurikulumnya. Menyekat pelajar terhadap kokurikulum diminatinya bukanlah caranya untuk meningkatkan minatnya terhadap akademiknya. Kokurikulum mesti dilihat dengan paradigma bahawa ia mempunyai kepentingan seimbang dengan akademik. Kokurikulum mesti dilihat sebagai pelengkap kepada akademik. dan sebagai sebahagian daripada cara hidup. Justeru, kokurikulum mesti diberikan ruang lebih luas dari sekolah rendah hinggalah ke universiti. INTI PATI Keseimbangan antara kokurikulum, akademik Maksud seimbang ialah kokurikulum, akademik perlu diberikan perhatian bersesuaian dengan kepentingan dan tiada komponen dipinggirkan. Orientasi peperiksaan mungkin dikurangkan, tetapi jika perhatian terhadap kokurikulum masih kurang, maka matlamat kesepaduan dan keseimbangan masih tidak dipenuhi. Ada pendapat menolak kepentingan kokurikulum kerana mereka gagaldalam akademik akibat kokurikulum. Sekiranya ada gagal akademik kerana banyak menghabiskan masa dalam kokurikulum, ia bukan masalah kokurikulum. Kokurikulum mesti dilihat pelengkap kepada akademik dan sebahagian cara hidup.

Contoh Karangan Cemerlang SPM Berilah aku seratus orang tua,aku hanya mampu menggoncangkan perahu yang tertangkup. Jika aku diberi sepuluh orang pemuda,aku mampu menggoncangkan dunia". Memetik kata-kata Soekarno,mantan Presiden Indonesia,jelaslah bahawa pemuda-pemudi khususnya mereka yang masih berada di bangku sekolah merupakan harapan bangsa dan negara pada masa hadapan.Justeru,menyedari akan hakikat sistem pendidikan hari ini tidak hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pencapaian dalam bidang kokurikulum, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh negara. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada negara. Kegiatan kokurikulum sememangnya mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar. Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan dan mencergaskan tubuh badan pelajar. Dalam hal ini,para pelajar berkemungkinan bebas

daripada masalah obesiti yang dialami oleh sesetengah remaja.Sebagai bukti,perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan di Amerika Syarikat,membuktikan bahawa 60 peratus kanak-kanak di negara itu menghadapi masalah perut yang gendut kerana kurang senaman.Bagaimana kegiatan kokurikulum dapat memberikan kecergasan? Hal ini kerana melalui kegiatan kokurikulum yang dijalankan,pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal. Sebagai contoh,aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki gunung boleh meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar.Dalam masa yang sama juga,peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya akan dibuang.Di samping itu,daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit juga meningkat.Oleh itu,berbekalkan tubuh badan yang sihat,mereka akan dapat menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran,bak kata pepatah "otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas".Oleh itu,jelas bahawa kegiatan kokurikulum mampu menjamin kesihatan serta mencerdaskan otak pelajar sekali gus membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Seterusnya,kegiatan kokurikulum telah dijadikan salah satu syarat untuk melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi.Hal ini kerana KPM telah mengambil langkah drastik dengan menetapkan sepuluh peratus daripada syarat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi melalui penglibatan dan pencapaian yang baik dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Menurut Dato' Hishamuddin Tun Hussin,Menteri Pelajaran Malaysia dalam Berita Harian 21 Jun 2006,keputusan tersebut bertujuan untuk melahirkan graduan yang serba boleh dalam pelbagai bidang.Berdasarkan keputusan itu,para pelajar diwajibkan menyertai pelbagai badan kokurikulum yang terdapat di sekolah.Dalam hal ini juga,segelintir pelajar yang aktif akan diberi jaminan dan kemudahan untuk memohon dan mendapatkan sesuatu pekerjaan.Oleh itu, para pelajar tidak lagi boleh memandang remeh terhadap aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah kerana berkemungkinan akan menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran sekali gus mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pelajaran. Selain itu,pelajar dapat memenuhi masa senggang dengan berfaedah melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum.Hal ini kerana dengan menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Dalam masa yang sama juga,pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang dan sentiasa berpegang kepada kata-kata bahawa masa itu emas.Sebagai contoh,sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan alam.Mereka akan ditanamkan dengan perasaan cinta akan alam sekitar,di samping mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing dengan peserta perkhemahan yang lain.Dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berfaedah remaja akan kurang berhadapan dengan eisiko dipengaruhi oleh gejala yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat timue seperti budaya 'punk',hedonisme,vandalisme dan lain-lain lagi.Pada masa yang sama,pelajar tidak akan mudah kehilangan arah atau petunjuk hidup sekiranya masa yang terluang diuruskan secara efektif dan efisien.Justeru,remaja akan lebih bersikap positif dan cenderung untuk melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan pelbagai faedah kepada diri,keluarga dan masyarakat sekeliling. Seterusnya,kegiatan kokurikulum yang dijalankan dapat menjalin hubungan silaturahim serta menyemai nilainilai murni dalam diri para pelajar,Hal ini kerana melalui sesuatu aktiviti,mereka akan berganding bahu melaksanakan tugasan yang diberikan.Mereka akan bergaul mesra dan mengenali pelajar-prlajar lain yang terdiri daripada pelbagai etnik.Para pelajar juga berpeluang memahami adat resam dan kepercayaan kaumkaum lain.Dengan ini perpaduan dapat diwujudkan dan impian Malaysia untuk mempunyai masyarakat majmuk yang harmoni tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin.Di samping itu,aktiviti kokurikulum juga merupakan satu wahana untuk menyemai nilai-nilai murni dalam sanubari pelajar supaya menjadi insan yang kamil dan soleh.Melalui aktiviti berpasukan,nilai-nilai murni seperti bekerjasama hormat-menghormati,kesopanan dan sebagainya dapat diterapkan dan disebatikan dalam diri para pelajar. Dalam masa yang sama,mereka juga diterbiah untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.Secara tidak langsung,mereka juga turut melalui proses pembentukan peribadi yang sempurna seperti peribahasa Melayu,sambil menyelam minum air. Selain itu,mungkin tidak pernah terlintas dalam kotak fikiran para pelajar bahawa penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mengharumkan nama sekolah dan negara.Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum merupakan titik permulaan untuk para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka.Sebagai contoh,atlit-atlit negara seperti Nicol David,Shalin Zulkifli dan Lim Keng Liat dicungkil dan digilap melaui aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah.Bermula dengan bakat yang semakin terserlah kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang berpengalaman.Oleh itu,untuk membolehkan negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sukan,maka lebih banyak bakat harus dicungkil bagi mengharumkan nama Malaysia.Hari ini,kita tidak harus terus bergantung kepada atlet veteran sahaja yang semakin menuju ke kemuncak kerjaya mereka.Sebailiknya sebagai persediaan banyak usaha harus dilakukan supaya bakat-bakat pelajar yang berpotensi dapat dicungkil dan dikembangkan. Konklusinya,tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa aktiviti kokurikulum tidak membawa kebaikan dan

membuang masa sahaja haruslah dikikis,Demi mencapai visi kudsi Wawasan 2020 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)2006-2010,Malaysia memerlukan generasi penggerak wawasan yang berkaliber,berwibawa dan berintelek selari dengan modal insan yang memiliki minda kelas pertama.Amalan peribahasa sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna haruslah dihayati dan direnungi bersama kerana peribahasa ini mempunyai konotasinya yang tersendiri.Justeru,sama-samalah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga menjayakan visi ini.

Anda mungkin juga menyukai