Anda di halaman 1dari 4

Bacakan ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud ayat tersebut.

LATIHAN 1

(i) Ratu cantik itu kelihatan cantik dan anggun sekali bersama-sama peserta ratu cantik yang lain di atas pentas.

(ii) Encik Mutalib merotan anaknya sehingga berdarah akibat berkelakuan tidak senonoh dengan mengganggu gadis-gadis kampung
yang pergi dan balik dari tempat kerja.

(iii) Bandar raya Shah Alam menjadi tumpuan orang dari daerah dan negeri lain kerana terdapat banyak peluang pekerjaan .

LATIHAN 2

(i) Walaupun Haji Ahmad seorang yang berharta tetapi hidupnya bukanlah sentiasa senang, kadangkala terpaksa meminjam daripada
saudara-mara untuk membayar yuran pelajaran anak-anaknya yang ramai.

(ii) Kamisah hanya mendiamkan diri apabila ditanya oleh suaminya sama ada membenarkan suaminya berkahwin lagi atau tidak, dia
hanya mengikut sahaja walaupun hatinya tidak bersetuju.

(iii) Rashid begitu meminati permainan badminton sejak kecil kerana sering mengikut ayahnya bermain badminton, akhirnya dia juga
bermain untuk negara seperti ayahnya.

LATIHAN 3

(i) Johan suka menyampuk perbualan orang dan akan bercerita seolah-olah semua perkara diketahuinya walhal sebenarnya dia tidak
tahu langsung tentang perkara itu .

(ii) Noh tidak langsung mengenang jasa kedua-dua ibu bapanya yang telah memberinya pelajaran hingga menjawat jawatan yang
tinggi dan bergaji besar.

(iii) Raihan terus tidak kembali ke kampung halamannya atau menghubungi sanak saudara selepas berkahwin, seolah-olah ingin
memutuskan tali persaudaraan dengan keluarganya.

LATIHAN 4

(i) Rahim menasihati anaknya agar reda dan mengambil iktibar segala kesilapan yang telah dilakukan sehingga syarikatnya rugi
kerana sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

(ii) Walaupun Bapa Kemerdekaan negara kita Tunku Abd. Rahman dan pemimpin-pemimpin terdahulu telah tiada, namun jasa dan
pengorbanan mereka membebaskan negara daripada penjajah tetap dikenang oleh semua rakyat .

(iii) Pengetua baharu di sekolah saya telah mengarahkan semua murid tinggal di asrama walhal pengetua yang lama memberi
kebebasan kepada semua murid untuk memilih sama ada mahu tinggal di asrama atau tidak.

LATIHAN 5

(i) Johari susah untuk bergerak kerana terlampau kenyang selepas makan tengah hari, dia hanya berbaring di sofa serambi rumahnya.

(ii) Pemandu kereta Ferrari itu memang cekap, pergerakannya begitu pantas sehingga tidak dapat ditandingi oleh pelumba kereta
yang lain.

(iii) Maria dan Zulaikha telah berbaik-baik semula selepas tidak bertegur sapa selama setahun tetapi mereka tidak akrab seperti
dahulu.
LATIHAN 6

(i) Apabila sudah berjawatan besar dan tinggal di ibu kota dia tidak ingat akan kampung halaman dan sanak saudaranya lagi.

(ii) Walaupun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan tetapi kerja itu dapat disiapkan oleh Haris.

(iii) Keadaan hidup seseorang itu sukar dijangkakan kerana ada masa susah, ada masa senang .

LATIHAN 7

(i) Langkah pencegahan sesuatu penyakit perlu dilakukan segera bagi mengelakkan penyakit tersebut terus menular. Hal ini dikatakan
demikian kerana untuk mengubati atau membasmi sesuatu penyakit sudah tentu memerlukan wang yang banyak. Justeru, langkah
pembasmian amat perlu berbanding dengan mengubati.

(ii) Sejak pulang daripada perantauan, beliau lebih matang dalam membuat sesuatu keputusan. Pengalaman banyak mengajarnya
tentang erti kehidupan. Beliau juga mampu menyelesaikan masalah dengan lebih rasional.

(iii) Kesepakatan rakyat di negara ini yang berbilang kaum menjadi penyebab utama negara berkembang dengan pesat dan
bertambah kukuh. Pergaduhan dan persengketaan sudah pasti akan menyumbang kepada pelbagai kemusnahan.

LATIHAN 8

(i) Kemajuan dalam bidang pendidikan membuka banyak peluang kepada golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran. Hanya
melalui pendidikan sahaja para remaja dapat didik supaya mempunyai akhlak yang terpuji. Mereka adalah harapan negara pada masa
akan datang. Sebahagian daripada mereka akan menjadi pemimpin dan mentadbir dan memajukan lagi negara ini .

(ii) Membaca adalah amalan yang mulia dan melalui bacaan seseorang itu dapat menambahkan pelbagai ilmu pengetahuan. Selain
lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, ilmu pengetahuan yang dimiliki dapat membantu seseorang itu meneruskan kehidupan
dengan lebih selesa pada masa akan datang. Dengan ilmu yang dimiliki, sesuatu perkara dapat dilakukan dengan mudah .

(iii) Maisarah berasa tertipu dengan barangan yang baru dibelinya. Dia masih teringat kata-kata jurujual yang datang mempromosikan
barangan tersebut di rumahnya. Setelah seminggu memakai produk tersebut, ternyata kesannya tidak sehebat seperti yang diceritakan
oleh jurujual tersebut .

LATIHAN 9

(i) Meskipun beliau berasal daripada keluarga bangsawan dan mempunyai harta yang banyak, namun beliau masih bersikap
merendah diri dan bergaul dengan masyarakat golongan bawahan tanpa sebarang rasa sombong dan bongkak.

(ii) Sebagai pekerja di syarikat swasta itu, dia menyedari bahawa kedudukannya tidak akan tetap dan akan dibuang pada bila-bila
masa sahaja apabila bermasalah atau tidak lagi diperlukan di syarikat tersebut.

(iii) Shafiza mengisi masa lapang dengan bekerja sebagai seorang jurujual di sebuah syarikat sambil memohon jawatan yang lebih
sesuai dengan kelulusan yang dimilikinya.

LATIHAN 10

(i) Pasangan pengantin yang sedang bersanding itu kelihatan sepadan kerana kedua-duanya kelihatan cantik dan kacak.

(ii) Oleh sebab Azura anak tunggal, ibu bapanya memeliharanya dengan penuh kasih sayang.

(iii) Ramlah merupakan anak yang paling disayangi oleh Encik Radzi kerana sangat pandai dalam pelajaran dan menghormati orang
tua .
LATIHAN PERIBAHASA SPM
PERIBAHASA
Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:
A. Membina ayat daripada peribahasa:Contoh:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka
dewasa.

2. seperti katak di bawah tempurung


Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di
bawah tempurung.

3. seperti paku dengan penukul


Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam
peperiksaan.

4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus


Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam
mengajar anaknya berjalan lurus.

B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan
cerita yang diberi.

1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang
terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya
yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.

i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)

2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap
pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa
sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying akhirnya akan lenyap. Hal ini
boleh menyebabkan perceraian berlaku.

i. bagai pinang dibelah dua.


ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.

C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:Contoh:

1. Setelah Berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki
yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang semula ke kampung halamannya kerana
berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir
dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:Contoh:


1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula
bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)……………
Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung
perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha
untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.

i. rumah siap pahat berbunyi


ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah

Anda mungkin juga menyukai