Anda di halaman 1dari 6

1.

0 Pengenalan perkembangan bahasa

Bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh seseorang individu dalam
pergaulannya atau dalam perhubungannya dengan orang lain. Perkembangan bahasa
adalah meningkatnya kemampuan penguasaan alat berkomunikasi, sama ada secara lisan,
tanda-tanda dan isyarat. Menurut Adrian Akmajian(1995), perkembangan bahasa adalah
seerti dengan penguasaan bahasa iaitu proses menguasai kosa kata, menyusun perkataan
yang sederhana serta menyusun tatabahasa yang sederhana hingga ke kompleks.
Perkembangan bahasa merupakan kemampuan manusia yang paling kompleks dan
mengagumkan. Sungguhpun bahasa itu kompleks, namun pada umumnya berkembang
pada individu dengan kecepatan luar biasa pada awal masa kanak-kanak(Laura E.
Berk,1999). Dalam pemerhatian dan penyelidikan kali ini, terdapat empat perkara yang
difokuskan iaitu menilai tahap penguasaan kemahiran membaca, kemahiran lisan,
kemahiran pemahaman murid dan intervensi bahasa yang dipraktikkan oleh guru.

Menurut Abdul Rahim Mat Yassim(2007), kemahiran membaca adalah lanjutan


daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Pembacaan yang aktif
akan menyebabkan seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat
diperoleh menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain dalam kehidupan seharian.
Melalui pembacaan, individu dapat meningkatkan tahap pemikiran dan menjana idea kreatif
dan kritis dalam pelbagai aspek. Manakala menurut Siti Hajar Abdul Aziz(2009), kemahiran
lisan merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap murid terlebih dahulu
sebelum menguasai kemahiran-kemahiran bahasa yang lain seperti membaca dan menulis.

Pemahaman pula merupakan keupayaan atau kemampuan seseorang murid akan


sesuatu perkara, isu atau persoalan yang diketahui, dipelajari atau difahami sama ada
secara lisan atau penulisan. Kefahaman melibatkan pengetahuan dalam fikiran seseorang
yang dapat melahirkan sesuatu reaksi atau maklum balas sama ada bersetuju atau menolak
dengan penuh yakin dan dapat menyatakan pandangan dan mmbuat penaakulan berkaitan
sesuatu persoalan yang diperkatakan(Noorasmaedah Ahmad, 2016).
2.0 Hasil dapatan berdasarkan analisis data pemerhatian

Berdasarkan pemerhatian dan penelitian sepanjang Pengalaman Berasaskan


Sekolah(PBS) terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Pemulihan
Khas, murid-murid pemulihan telah menunjukkan tahap penguasaan Bahasa Melayu
mereka melalui aktiviti pembelajaran di dalam kelas. Seterusnya, direkodkan pada jadual
analisis data. Data yang dinyatakan adalah berdasarkan catatan rekod pemerhatian tahap
penguasaan bahasa yang dijalankan ke atas 6 orang murid pemulihan tahun 2 Usaha di SK.
Indersabah, Tawau. Berikut merupakan analisis data yang telah dijadualkan mengikut
kemahiran-kemahiran yang telah diuji :

Rajah1: Analisis data bagi kemahiran membaca.

Berdasarkan Rajah 1 iaitu laporan kemahiran membaca murid pemulihan tersebut,


secara keseluruhannya murid didapati lemah dalam penguasaan kemahiran membaca dan
perlu meningkatkan lagi usaha untuk melancarkan kemahiran membaca murid khususnya
dalam memahami maksud yang dibaca. Sebanyak 75% bersamaan dengan 6 perkara
daripada 8 perkara yang diuji, murid memperoleh skor markah yang lemah iaitu dalam skop
kemahiran membaca menggunakan sebutan jelas dan betul, membaca menggunakan
intonasi yang tepat, membaca ayat panjang,membaca perkataan yang mempunyai vokal
bergandingan dengan diftong, memahami maksud setiap perkataan yang dibaca dan lemah
dalam membaca perkataan yang mempunyai homofon berdasarkan gambar.

Kekurangan ini dapat dikaitkan dengan persekitaran murid pemulihan tersebut.


Sebagai contoh, bahasa dan budaya. Intonasi dan sebutan murid apabila membaca,
dipengaruhi oleh dialek atau bahasa ibunda yang mereka sering gunakan sewaktu di
rumah(Fishman J.A.,1972). Selain itu, faktor diri di mana murid tidak berkeyakinan untuk
menyebut perkataan dengan baik kerana malu ditertawakan oleh rakan-rakan sekelas.
Menurut Hasmah Binti Iberahim (2010), faktor keluarga yang miskin pula mengehadkan
kehendak anak-anak untuk membaca di rumah kerana tidak berkemampuan untuk membeli
bahan-bahan bacaan yang sesuai semasa berada di rumah. Prinsip intervensi bahasa yang
digunakan oleh guru juga telah menyebabkan murid kurang menguasai kemahiran
membaca kerana, berdasarkan pemerhatian guru tidak menggunakan pelbagai bahan yang
boleh merangsang murid untuk membaca dengan baik. Namun begitu, sebanyak 25%
bersamaan dengan 2 perkara daripada 8 perkara yang diuji, murid memperoleh skor markah
sederhana dalam mengeja perkataan yang mudah dan mematuhi peraturan tanda baca
dengan baik.

Rajah 2 : Analisis data bagi kemahiran lisan.

Berdasarkan Rajah 2, hasil daripada pemerhatian dan penelitian penguasaan


kemahiran lisan pula, pencapaian murid mengalami sedikit peningkatan di mana sebanyak
25% bersamaan 2 daripada 8 perkara yang diuji telah memperoleh skor baik dalam
kemahiran lisan. Terdapat sebilangan murid pemulihan yang boleh memberi respon apabila
dipanggil dan dapat mengujar bunyi yang didengar dengan baik. Namun begitu, sebanyak
37.5% bersamaan dengan 3 daripada 8 perkara yang diuji telah memperoleh skor lemah
dan sederhana; iaitu lemah dalam menyampaikan maklumat secara terus, berbual dengan
rakan dan berkomunikasi dengan bahasa yang betul. Bagi skor sederhana, sebilangan
murid boleh bertutur dengan baik, memahami bunyi bahasa yang didengar dan mendengar
soalan yang diajukan oleh guru dengan baik.

Faktor yang boleh dikaitkan dengan masalah ini, murid pemulihan dipengaruhi oleh
faktor persekitaran khususnya penggunaan bahasa yang tidak betul iaitu dengan
mencampurkan dialek ketika berkomunikasi (Irfan Khalil, 2011). Selain itu, murid kurang
didedahkan dengan cara bertutur dengan betul berlandaskan Bahasa Melayu baku. Faktor
keluarga, kebanyakkan murid di sekolah ini, di lahirkan daripada latar belakang yang kurang
berkemampuan, di mana ibu bapa tidak dapat mendidik anak untuk bertutur dengan betul
kerana kekurangan ilmu bahasa. Selain itu, guru tidak mempraktikkan murid untuk
menggunakan bahasa baharu dalam pelbagai situasi dan ini telah menyebabkan murid
kekurangan kosa kata untuk bertutur dengan baik. Secara keseluruhannya, terdapat murid-
murid pemulihan yang perlu memperbaiki dan mempertingkatkan lagi kemahiran
penguasaan bahasa mereka khususnya dalam penggunaan bahasa yang betul.

Rajah 3 : Analisis data bagi kemahiran pemahaman murid.


Berdasarkan Rajah 3, dapat disimpulkan bahawa tahap pemahaman murid dalam
penguasaan Bahasa Melayu berada pada tahap yang rendah berbanding penguasaan
dalam kemahiran membaca dan kemahiran lisan. Dapat dibuktikan bahawa sebanyak 50%
bersamaan 4 daripada 8 perkara yang diuji murid sangat lemah untuk menyusun perkataan
menjadi ayat yang betul, gagal menggunakan kata hubung yang betul berdasarkan ayat,
gagal mengisi tempat kosong dengan perkataan yang betul dan gagal untuk membetulkan
kesalahan ejaan pada ayat. Faktor yang menyebabkan murid sangat lemah dalam
pemahaman ialah, daya kognitif murid tersebut yang rendah. Sebilangan murid sukar untuk
menerima sesuatu yang baharu dan memerlukan masa yang lama untuk memahaminya.
Murid yang mengalami masalah kesihatan telah mengganggu proses pemahamannya
contoh murid sering kali sakit telah menyebabkannya kerap tidak hadir ke sekolah hingga
menjejaskan pembelajarannya di sekolah. Selain itu, prinsip intervensi guru yang tidak
dipraktikkan seperti tidak menggunakan pelbagai bahan bantu mengajar tidak dapat
merangsang daya kefahaman murid dengan lebih lagi.

Seterusnya, sebanyak 37.5% bersamaan 3 daripada 8 perkara yang diuji, murid


pemulihan mendapat skor lemah dalam melengkapkan suku kata berdasarkan gambar,
gagal memadankan perkataan dengan gambar dan menjawab soalan berdasarkan petikan
yang diberi dengan baik. Namun begitu sebanyak 12.5% bersamaan 1 daripada 8 perkara
yang diuji murid boleh memadankan huruf besar dan huruf kecil dengan skor sederhana.
Melalui data ini, murid-murid pemulihan tahun 2 Usaha sangat lemah dalam penguasaan
pemahaman dan perlu diperbaiki dengan meningkatkan usaha guru pemulihan dalam
membantu murid dan meningkatkan daya kognitif mereka untuk dimasukkan semula ke
kelas perdana.

3.0 Rumusan

Sebagai kesimpulannya bagi laporan analisis data ke atas murid pemulihan tahun 2
Usaha dan prinsip intervensi yang dipraktikkan oleh guru pemulihan perlulah diperbaiki
dengan lebih lagi. Hasil daripada pemerhatian ini, murid pemulihan sangat memerlukan
bimbingan dan perhatian daripada guru khususnya guru pemulihan, ibu bapa dan
masyarakat setempat. Menurut Hasyim Awang(1988), kemahiran membaca, lisan dan
pemahaman murid sangat mudah dipengaruhi dengan faktor persekitaran yang ada
disekeliling mereka sewaktu kecil hingga dewasa. Bagi seorang guru pemulihan, kaedah
dan teknik pengajaran perlulah disesuaikan dengan tahap kognitif murid pemulihan dan
mempelbagaikan lagi usaha dalam membantu mereka.
RUJUKAN

Abdul Rahim Mat Yassim.(2007). Pemprosesan pertuturan bahasa. Universiti Malaya :


Fakulti Bahasa dan Linguistik.

Adrian Akmajian. (1995). Linguistik pengantar bahasa dan komunikasi. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP).

Azizi Yahaya. (2007). Menguasai penyelidikan dalam pendidikan: teori,analisis & interpretasi
data. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Hasmah Binti Iberahin. (2010). Pengaruh faktor persekitaran terhadap kecemerlangan


akademik pelajar. Diakses pada 23 Ogos 2017 daripada
http://eprints.uthm.edu.my/5348/1/HASMAH_BINTI_IBERAHIM.pdf.

Hasyim Awang. (1988). Isu-isu perancangan bahasa. Kuala Lumpur : PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.

Irfan Khalil. (2011). Faktor-faktor yang mempengaruhi pendengaran dan pertuturan. Diakses
pada 23 Ogos 2017 daripada http://irfankalil.blogspot.my/2011/04/faktor-faktor-yang-
mempengaruhi.html.

Laura E. Berk.(1999). Language edisi terjemahan bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Noorasmaedah Ahmad. (2016). Meningkatkan keupayaan murid menjawab soalan


kefahaman. Diakses pada 21 0gos 2017 daripada
http://malaylanguagecentre.moe.edu.sg/qql/slot/u181/Khazanah%20Ilmu/Seminar%2
0Bahasa%20Melayu/Seminar%20Bahasa%20Melayu%202016/SBM16-13.pdf

Siti Hajar Abdul Aziz.(20 April 2014). Apa itu kemahiran lisan?. Diakses pada 21 Ogos 2017
daripada http://jskogilan.blogspot.my/2014/04/apa-itu-kemahiran-lisan.html.

Fishman J. A. (1972). Sosiologi bahasa. Jerusalem : Universiti Yeshiva.

Anda mungkin juga menyukai