Anda di halaman 1dari 13

KEPENTINGAN PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF

(KBKK) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

ABSTRAK

FAIZAH BINTI OTHMAN


SAEMAH BINTI RAHMAN
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
 
Pada masa kini, kemahiran berfikir merupakan aspek yang penting untuk diterapkan kepada pelajar-
pelajar. Hal ini kerana kemahiran berfikir dapat memperkembangkan lagi potensi setiap individu
khususnya pelajar untuk menghasilkan idea-idea baru.Peranan guru menjadi faktor utama dalam
merealisasikan pelajar yang mampu mengaplikasikan kemahiran berfikir dalam pembelajaran
mereka. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti bagaimana guru-guru mengaplikasikan
KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan ini meliputi tiga aspek penting
yang diperlukan oleh seorang guru iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap guru.
Selain itu, kertas konsep ini membincangkan berkenaan perbezaan corak kemahiran berfikir dalam
bidang sains, bahasa dan teknikal. Ketiga-tiga bidang ini mempunyai perbezaan corak kemahiran
berfikir yang diaplikasikan dan bersesuaian bagi setiap bidang. Memandangkan kemahiran
berfikir penting dalam sistem pendidikan, maka kertas kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut
aspek-aspek penting tentang pengaplikasian kemahiran berfikir dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di Malaysia. Perbincangan ini juga akan mengemukakan beberapa cadangan bagi
meningkatkan pengaplikasian kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas.
 

1.0              PENGENALAN
 
Kertas konsep ini membincangkan kepentingan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif (KBKK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyebatian kemahiran berfikir secara
kritis dan kreatif menjadi aspek penting di dalam sistem pendidikan negara Malaysia.
Kepentingannya telah dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dalam Mok Soon Sang
(2002) iaitu ” ……. memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan……..”.  

            Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini perlu dilaksanakan mengikut
kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Menurut Abdul Rahim (1999) dalam Sarimah (2008),
pemikiran kritis perlu diperkembangkan untuk melahirkan warganegara yang dapat memainkan
peranan mereka dengan lebih bertanggungjawab kepada negara. Pendidikan tanpa mengutamakan
perkembangan fikiran ibarat ’jasad tanpa roh’. Pendidikan perlu melahirkan golongan yang
berkeupayaan berfikir dan mendorong kepada penerusan tradisi intelektual dalam masyarakat.
            Kertas konsep ini akan mengupas kepentingan penyebatian KBKK dalam proses pengajaran
dan pembelajaran di Malaysia. Berbagai kepentingan dapat dilihat dari aspek politik, ekonomi dan
masyarakat. Perlaksanaan penyebatian KBKK dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga
akan dilihat dari sudut kesediaan guru, kemahiran pedagogi dan sikap individu yang terlibat secara
khusus mahupun tidak. Seterusnya bagaimana penyebatian KBKK ini dijalankan oleh guru-guru.
Setiap guru mata pelajaran perlu untuk melaksanakan penyebatian KBKK ini di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

2.0       KONSEP PENYEBATIAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF


 
Penguasaan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif pada masa kini merupakan suatu perkara
yang penting dalam bidang pendidikan. Di Malaysia, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
telahpun diberikan penekanan sejak penggubalan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) pada tahun 1988 (Sulaiman 2000) dalam Sarimah (2008). Proses pengajaran dan
pembelajaran akan menjadi lebih sempurna dengan menyebatikan unsur-unsur kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif. Menurut Rajendran (1998a) dalam Rajendran (2001), pelaksanaan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1981 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah pada tahun 1989 telah menuntut beberapa perubahan dalam pembinaan kurikulum,
pendidikan perguruan, penggunaan strategi pengajaran pembelajaran dan pentadbiran sekolah.
Dalam konteks ini, satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah
program menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran
pembelajaran. Program ini telah diperkenalkan secara rasmi dalam kurikulum sekolah pada tahun
1992 dan dalam kurikulum pendidikan guru pada tahun 1993.  

            Beyer (1985) dalam Selva Ranee (2007), menyatakan bahawa ramai pendidik beranggapan
bahawa pelajar akan belajar bagaimana berfikir. Menurut Ennis dan Norris (1989), pemikir yang baik
tidak semestinya pemikir yang kritis tetapi pemikir yang kritis adalah pemikir yang baik.  Kemahiran
berfikir ialah proses menerima maklumat atau rangsangan. Edward de Bono (1990) dalam buku
beliau yang berjudul ’I Am Right You Are Wrong’ menurut  Rafiei (1998) mendefinisikan  berfikir
sebagai satu proses yang kompleks yang berlaku dalam minda seseorang apabila seseorang itu
menerokai pengalamannya secara terperinci untuk mencapai sesuatu tujuan. Tujuan yang
dimaksudkan itu mungkin untuk pemahaman, memberi makna sesuatu, menilai sesuatu, membuat
keputusan atau menyelesaikan masalah. George (1990) dalam Adnan, Mimi & Kamalularifin (2006)
melihat pemikiran  sebagai satu proses penyelesaian masalah dan perlakuan semulajadi yang
kompleks.

                        Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif adalah proses menyebatikan
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap
guru perlulah menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif bagi melaksanakan proses
penyebatian KBKK ke dalam mata pelajaran yang diajar masing-masing. Kajian-kajian yang
dilakukan oleh penyelidik-penyelidik seperti Bloom et al. (Beyer,1988) menunjukkan orang tidak
menguasai secara sendiri proses-proses pemikiran yang kompleks seperti pemikiran kritis dan
membuat keputusan. Oleh kerana kemahiran berfikir tidak tumbuh secara automatik atau semula
jadi, kita perlu mengembangkannya dalam pendidikan formal.

            Teori Roger Sperry (1970) dalam Mok Soon Sang (2009) menghuraikan fungsi otak kiri
manusia yang secara kritis dan otak kanan berfikir secara kreatif. Otak kiri mempunyai kemahiran
berfikir dalam bidang berupa logik, analitik, urutan atau susunan, bahasa, fakta, matematik dan
ingatan. Manakala otak kanan mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang berupa kreatif, sintesis,
warna, reka bentuk seperti corak, pola, ruang, lukisan, gambar, di samping perasaan, irama, muzik
dan imaginasi.  Untuk melahirkan pelajar yang sanggup berfikir secara kritis dan kreatif, kedua-dua
bahagian otak hendaklah dikembangkan secara seimbang dengan pelbagai aktiviti pembelajaran
yang bercorak kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

2.1  Pemikiran Kritis

            Beyer (1988) mendefinisikan pemikiran kritis sebagai proses menilai ketulenan, ketepatan
dan nilai (worth) sesuatu pengetahuan, dakwaan (claim), kepercayaan atau perbahasan (argument).
Model pemikiran kritis yang dikemukanak oleh Forgarty dan Bellanca (1990) ialah mencirikan,
membanding beza, mengklasifikasi, membuat urutan, menyusun mengikut keutamaan, membuat
kesimpulan, menentukan sebab dan akibat, menganalisa untuk menentukan bias, menganalisis
untuk menentukan andaian, membuat analogi dan menilai. Manakala model pemikiran kritis yang
digunakan oleh Kementerian Pelajaran (1994) adalah seperti mencirikan,membanding dan
membeza, mengumpul dan mengelas, membuat urutan, menyusun mengikut keutamaan,
menganalisis, menilai dan membuat kesimpulan.
            Jelaslah bahawa pemikiran kritis melibatkan proses menilai satu-satu pengetahuan,
dakwaan, kepercayaan atau perbahasan berdasarkan maklumat atau pemerhatian dan
menimbangkannya secara menyeluruh bagi menyokong kesimpulan yang hendak dibuat. Berfikir
secara kritis dapat meningkatkan kefahaman, kejelasan dan keupayaan menggunakan maklumat
secara berkesan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dalam kehidupan
seharian.

            2.2       Kemahiran berfikir kreatif

            Mengikut Perkins (Beyer, 1988) pemikiran kreatif didorong oleh keinginan untuk mencari
keaslian (original). Ia menghargai mobiliti, penjelajahan, fleksibiliti dan diversiti. Pemikiran kreatif
memberi perhatian bukan sahaja kepada tujuan tetapi juga kepada hasil, berfungsi di tahap tinggi
kecekapan dan didorong oleh motivasi intrinsik untuk bertindak secara asli (original). Model
pemikiran kreatif yang dikemukakan oleh Forganty dan Bellanca (1990) adalah seperti sumbang
saran, memvisualisasi, personafikasi, mencipta, membuat hubungan, membuat inferens,
mengeneralisasi, meramal, membuat hipotesis, membuat analogi dan menangani ketaksamaan dan
paradok. Manakala model pemikiran kreatif yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan (1994)
pula adalah seperti menjana idea, membuat inferens dan menghubungkait.
            Pemikiran  kreatif sering dikaitkan dengan usaha-usaha memperkembangkan daya
imaginasi, inovasi dan kreativiti untuk mendapatkan idea-idea yang banyak, pelbagai dan baru.
Orang-orang yang berfikiran kreatif dikatakan berupaya menggunakan mindanya untuk meneroka
pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai.

3.0       KEPENTINGAN KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS DAN KREATIF. 


 
Terdapat beberapa kepentingan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.  Kepentingannya meliputi 3 aspek penting bagi menjamin
peningkatan taraf hidup Malaysia iaitu :

            3.1  Kepentingan dari aspek ekonomi

Menurut Selva Ranee (2007), perkembangan sains dan teknologi yang pesat adalah penting untuk
sebuah negara membangun seperti Malaysia untuk menaikkan taraf ekonomi dan menjadikannya
sebagai sebuah negara industri baru. Kini, aktiviti ekonomi tradisional telah diambil alih oleh sektor
perkilangan serta perkhidmatan yang kompetitif dalam pasaran eksport dan mempunyai nilai tambah
yang tinggi. Perancangan masa depan mengandaikan perantaian yang meningkat terhadap pekerja-
pekerja mahir Sains untuk menemui permintaan pasaran buruh yang meningkat. Untuk mencapai
matlamat ini, pekerja yang mahir perlu mempunyai kemahiran berfikir kritis dan kreatif di samping
menguasai kemahiran saintifik dan kemahiran teknologi.  

            Dalam proses mencapai hasrat ini, sistem pendidikan di Malaysia kini lebih menekankan
aspek kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah. Ini jelas tertera dalam Kurikulum Sekolah
Bestari yang dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada perkembangan keupayaan kognitif
dan kreatif pelajar selain daripada pemupukan nilai-nilai murni. Pemikiran dijadikan asas kepada
semua aktiviti “ putting thinking at the centre of all that happens “ (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 1996) dalam Selva Ranee (2007).  Aktiviti peningkatan ekonomi negara akan menjadi
lebih efektif dengan dilingkungi oleh pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran berfikir kritis dan
kreatif.
            Menurut Sarimah (2008), dalam menuju sebuah negara maju, rakyat Malaysia juga perlu
memiliki ilmu dan kemahiran untuk bersaing dengan negara maju yang lain. Sistem pendidikan
bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada rakyatnya. Oleh itu,
penyebatian kemahiran berfikir kritis dan kreatif dapat menerapkan unsur-unsur berfikir secara kritis
dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran agar pelajar-pelajar kita mampu menyelesaikan
sesuatu masalah dengan berkesan dan bijak terutamanya tuntutan di alam pekerjaan dalam era
teknologi kini.

 
            3.2  Kepentingan dari aspek politik

Pembangunan sesebuah negara amatlah bergantung kepada minda dan potensi rakyatnya.
Kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada tahap ilmu dan kemahiran yang dikuasai oleh
rakyat negara tersebut. Rakyat Malaysia pada masa kini memerlukan bukan sahaja pencapaian
akademik yang cemerlang malah kebolehan berfikir agar dapat memenuhi keperluan negara maju
iaitu sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia mempunyai keyakinan
ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah negara
demokrasi, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur
dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing. (Mahathir 1991) dalam Sarimah
(2008). Kestabilan politik negara akan menjamin untuk menjadikan sesebuah negara itu mencapai
matlamat pembangunannya. Menyedari kepentingan pelajar menguasai kemahiran berfikir kritis dan
kreatif ini bagi kestabilan negara menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran mengalami satu
perubahan dengan menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalamnya. Menurut
kenyataan Alimuddin Mohd Dom, soalan-soalan peperiksaan sekarang memerlukan pelajar untuk
berfikir secara kritis dan kreatif (News Straits Time , 9 Januari 2006) dalam Sarimah (2008).

            3.3  Kepentingan dari aspek sosial

Kestabilan ekonomi dan politik negara tidak akan terlaksana seandainya masyarakat yang meliputi
sesebuah negara itu berada dalam keadaan yang tidak seperti dikehendaki oleh pihak kerajaan. Kini
kita hidup di dalam masyarakat yang sangat kompleks dan berkembang maju. Maklumat dan ilmu
pengetahuan sering kali berubah. Tambahan pula dengan kemajuan sains dan teknologi yang
semakin canggih menyebabkan penyebaran ilmu dan maklumat berlaku dengan cepat. Jadi kita
seharusnya bersedia dan sentiasa terbuka untuk terus menimba ilmu pengetahuan bagi menempuh
cabaran yang bakal ditempuhi. Ilmu pengetahuan yang dituntut juga perlulah sejajar dengan
keperluan negara. Di sinilah peranan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Ilmu pengetahuan yang diperolehi tanpa kemahiran berfikir
kritis dan kreatif akan menjadikan rakyat tidak mampu bersaing dengan negara maju yang lain.
Menurut Chaffee (1977) dalam Siti Rahayah et. al. (  ).

            Dalam kehidupan seharian kita sering diajukan dengan soalan-soalan yang mencabar minda
dan kritis. Manakala dalam bidang pendidikan juga kita sering berhadapan dengan situasi yang
memerlukan kita menyoal soalan yang relevan kemudian disokong dengan fakta yang kukuh
tentang sesuatu isu yang telah dinyatakan serta memperolehi suatu rumusan berdasarkan kajian
yang telah dijalankan. Jelaslah di sini terdapat keperluan untuk kita mempersiapkan masyarakat
secara amnya dan juga para pelajar khususnya untuk memiliki kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif. Menurut pakar-pakar pendidikan (Goldman, Hasselbring et. al. 1997; Montague, Wagner &
Morgan 2000) dalam  Siti Rahayah et. al. (  ) menegaskan keperluan untuk mempersiapkan diri
dengan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran komunikasi
berkesan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya. Manakala dalam Cornell Critical
Thinking Skills (1989) dalam  Siti Rahayah et. al. (  ) menekankan keperluan untuk
mengintegrasikan kemahiran berfikir di dalam kurikulum di peringkat pengajian tinggi. Jadi adalah
penting bagi seseorang graduan untuk memperolehi kemahiran berfikir untuk menjadi pemimpin
yang efektif. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu kepentingan untuk
disebatikan dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.  

            Menurut Poh Swee Hiang (1999) dalam Adnan et. al (2006), menyatakan pemikiran kritis
amat penting untuk membentuk warganegara yang tahu dan mampun menggunakan pemikiran
mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan perubahan manakala pemikiran kreatif
dapat membentuk individu lebih inovatif mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal, imaginatif dan
mempunyai unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi. Apabila kedua-dua kemahiran ini
dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan yang diberi seterusnya pelajar
mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka pembelajaran yang optimum akan berlaku.

 
4.0     ISU-ISU           
 
Hasil tinjauan literatur, kajian-kajian lepas yang telah dijalankan kebanyakannya secara terus
mahupun tidak pasti membincangkan mengenai kepepentingan penyebatian kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan  pembelajaran. Di dalam kertas konsep ini,
terdapat dua isu utama yang akan diperbincangkan. Isu pertama, adakah penyebatian kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif mempunyai kepentingan untuk melayan gaya pembelajaran? Isu
kedua, bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?
 

4.1       Isu pertama: Adakah penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
mempunyai kepentingan untuk melayan gaya pembelajaran?
Peranan yang dimainkan oleh guru dalam menyebatikan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah begitu penting. Proses pengajaran dan
pembelajaran yang berlaku tanpa unsur-unsur kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif akan
menjadi tidak efektif. Namun begitu pelajar-pelajar  mempunyai gaya pembelajaran dan pelbagai
kecerdasan yang berbeza. Oleh itu penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
merupakan strategi yang berkesan untuk melayan gaya pembelajaran dan pelbagai kecerdasan
pelajar.

            Setiap manusia mungkin mempunyai lebih daripada satu atau dua jenis gaya pembelajaran.
Fungsi gaya pembelajaran ini juga mungkin berbeza mengikut masa, alam sekitar, isu pembelajaran
serta juga beberapa ciri mental, fisikal dan psikologi orang yang berkenaan.  Dan mungkin juga,
seseorang itu lebih cenderung kepada satu atau eberapa gaya pembelajaran tertentu sahaja. Gaya
pembelajaran seseorang itu mungkin juga bersifat dinamis. Ia boleh dikembangkan dan boleh
berubah ( Guild, 1994) dalam K.Narayanasamy (2000).

            Menurut Felder (1996) dalam Mohd Noor Badlishah (2009), gaya pembelajaran merujuk
kepada kecenderungan dan kekuatan pada sesuatu gaya bagi mendapat dan memproses
maklumat. Setiap individu mempunyai kekuatan serta kecenderungan yang unik untuk memahami
dan memproses memproses maklulmat. Dengan lain perkataan, setiap individu mempunyai gaya
pembelajaran yang tersendiri. Gaya pembelajaran ditakrifkan sebagai cara unik yang digunakan
oleh individu untuk mengambil, memproses, memahami dan mempersepsi maklumat. Gaya
pembelajaran juga sering dikaitkan dengan gaya kognitif. Ada individu yang cenderung untuk belajar
maklumat yang konkrit (seperti fakta dan konsep, simbolik dan model matematik). Sebilangan besar
pelajar lebih suka sekiranya maklumat dipaparkan secara visual (seperti carta alir,gambar rajah,
skema) dan ada pula yang lebih gemar sekiranya maklumat diberikan dalam bentuk verbal (seperti
kuliah). Sebilangan individu lebih suka belajar secara aktif seperti berbincang dengan rakan serta
belajar dengan ’berbuat’, manakala ada sebilangan individu yang belajar secara reflektif iaitu
dengan berfikir dan lebih gemar belajar secara sendirian. Ada juga individu yang belajar secara
urutan dan memahami perincian dahulu kemudian mendapat gambaran keseluruhan sesuatu
konsep, manakala ada pula yang belajar dengan memahami gambaran keseluruhan kemudian
barulah memahami perincian sesuatu konsep.

            Sekiranya gaya pembelajaran pelajar adalah sama atau selari dengan gaya pengajaran
guru, maka proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif. Sebaliknya, jika gaya
pembelajaran pelajar tidak selari dengan gaya pengajaran guru, kemungkinan besar pelajar akan
mudah berasa bosan, tidak selesa, kurang memberi tumpuan, mempunyai tanggapan yang negatif
terhadap subjek atau kemungkinan menyebabkan prestasi yang kurang memuaskan dalam sesuatu
subjek. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran perlulah seiring dengan keadaan realiti ini.
Penyebatian  kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran merupakan strategi yang dapat mengisi hasrat ini.

            Menurut K.Narayanasamy (2000), seseorang guru yang mengajar kemahiran berfikir akan
memberi tumpuan kepada beberapa elemen penting di dalamnya. Di antara elemen-elemen
tersebut adalah, salah satu kemahiran berfikir yang spesifik, proses kemahiran berkenaan,
metakognisi, pengurusan lisan dalam bentuk soalan dan pengurusan grafik dalam bentuk visual.
Misalnya, seorang guru cuba menyebatikan kemahiran berfikir membuat ’banding-beza’ di dalam
mata pelajarannya. Beliau akan memberi penekanan terhadap proses-proses utama kemahiran
berfikir berkenaan dalam pengajaran dan pembelajarannya. Proses-proses utama kemahiran berfikir
membuat banding dan beza yang ditekankan oleh guru tersebut seperti :

 Mengenal pasti perkara/objek yang dibanding bezakan


 Mencari aspek-aspek persamaan di antara perkara/objek tersebut
 Mencari perbezaan
 Sebelum mencari perbezaan, menentukan komponen-komponen perbezaan
 Mencari perbezaan berdasarkan komponen-komponen tersebut
 Memberi pendapat/membuat keputusan berdasarkan perbandingan dan perbezaan.
Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dengan konteks dan isi kandungan
pembelajaran memberi peluang untuk pelajar memproses informasi secara aktif dan reflektif. Teks
atau bahan isi kandungan yang digunakan oleh guru membolehkan pelajar beranjak dalam satu
kontinum gaya pembelajaran.

            Apabila guru menggunakan pengurusan lisan (soalan-soalan berpandukan proses tersebut)
pelajar analitik dapat terlibat secara aktif. Mereka dapat mengamati proses berfikir secara abstrak
dan memikir secara reflektif. Mereka dapat menganalisis, menaakul dengan lebih berkesan.

            Malahan, dengan menggunakan pengurusan grafik, pelajar bukan sahaja melihat proses
kemahiran berfikir tersebut secara eksplisit dan konkrit tetapi juga berfikir dan memproses secara
aktif. Secara lazimnya, pengajaran dan pembelajaran kemahiran berfikir menjadi lebih berkesan
dengan menggunakan pengurusan grafik. Pengurusan grafik adalah bentuk visual proses berfikir
berkenaan. Pengurusan grafik membolehkan pelajar melihat secara konkrit dan visual, proses
berfikir yang terbentang secara abstrak. Kombinasi menggunakan pengurusan lisan dan grafik
dalam jangka masa panjang akan membolehkan concrete perceivers menjadi abstract
perceivers((McCarthy 1987) dalam K.Narayanasamy (2000).
 

4.2 Isu kedua: Bagaimanakah pendekatan penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan
kreatif dijalankan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran?
           
Setiap guru mata pelajaran selain memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap yang
sesuai, harus bijak untuk mengatur perancangan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru mesti
berusaha menukar amalan pengajaran pembelajaran di kelas mereka supaya amalan tersebut
benar-benar berbeza dari amalan di kelas konvensional. Menurut Bereiter & Scardamalia, 1987
dalam N.S.Rajendran (2001), pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir memerlukan suasana di
bilik darjah yang memberangsangkan pelajar-pelajar supaya mereka turut serta dalam keseluruhan
proses tersebut. Ini bermakna pelajar seharusnya terlibat secara langsung dari masa bahan ataupun
kandungan sukatan pelajaran dipilih untuk sesi pelajaran dan dalam pemilihan dan pengendalian
aktiviti pengajaran pembelajaran.

            Pendekatan penyebatian menstruktur semula isi kandungan mata pelajaran untuk mengajar
pemikiran secara langsung. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran Pendekatan penyebatian,
guru mengajar kemahiran berfikir secara eksplisit, menyebatikan pengajaran pemikiran dalam
kandungan pelajaran, membincangkan kemahiran yang digunakan oleh pelajar semasa berfikir dan
berusaha untuk meningkatkan cara pemikiran pelajarnya.  
            Masa pelajaran diperkongsikan untuk mengajar kedua-dua komponen pelajaran, kandungan
pelajaran dan kemahiran atau proses berfikir secara saling berkait. Pendekatan penyebatian
mengutamakan empat amalan pengajaran yang mencirikan cara berfikir secara eksplisit iaitu :

 Guru memperkenalkan kemahiran atau proses berfikir dengan menunjukkan pentingnya


melakukan kemahiran atau proses berkenaan dengan bijak.
 Guru menggunakan rangsangan yang eksplisit untuk membimbing pelajar mengamalkan
pemikiran yang bijak sambil pelajar mempelajari fakta, konsep dan kemahiran yang berkaitan
dengan kandungan mata pelajaran.
 Guru bertanya soalan-soalan, refleksi yang dapat menjauhkan pelajar daripada kandungan
pelajaran supaya pelajar sedar akan bagaimana dirinya berfikir dan mempelajari cara berfikir
yang bijak.
 Guru mengukuhkan lagi stategi berfikir dengan cara menyediakan peluang-peluang
tambahan untuk melatih pelajar menggunakan kemahiran atau proses yang sama secara
berdikari.
 

5.0      CADANGAN
 
Pada masa kini, sistem pendidikan di Malaysia lebih menekankan aspek penyebatian kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif. Gaya pengajaran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran
akan mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar. Menurut (Lortie, 1975) dalam N.S.Rajendran
(2001), guru-guru telah menerima orientasi yang sungguh berbeza daripada apa yang mereka
sendiri dikehendaki lakukan di kelas-kelas sebagai pendidik. Mereka memilih untuk mencontohi
gaya guru mereka sendiri. Faktor ini menjadi penghalang utama kepada usaha guru dalam
membuat inovasi ke atas proses pengajaran pembelajaran mereka. Perlu diakui bahawa perubahan
yang dihasratkan bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan oleh guru-guru. Namun demikian,
guru-guru haruslah dibimbing supaya mereka melihat kepentingan inovasi ini dan membuat
perubahan yang diperlukan. Dalam hubungan ini, (Duckworth 1987) dalam N.S.Rajendran (2001),
mencadangkan bahawa, ”one of the two aspects of teaching is to have the students try to explain
the sense they are making and instead of explaining things to students do try to understand their
sense”.
            Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, perkara penting yang perlu diteliti oleh guru-
guru ialah merancang pengajaran pembelajaran dengan baik dan teratur. Namun perkara yang
menjadi cabaran utama kepada guru-guru ialah ketidaktentuan dalam mengendalikan proses
pengajaran pembelajaran.Menurut Atan Long dalam bukunya Pedagogi, Kaedah Am Mengajar
(Rafiei, 1998), pengajaran dan pembelajaran merupakan proses interaksi yang berlaku antara tiga
komponen penting iaitu guru, murid dan isi pelajaran dalam bilik darjah. Di dalam mengatur
perancangan pengajaran pembelajaran guru perlulah mengambil kira dari setiap sudut. Cazden
(1979) dalam N.S.Rajendran (2001) telah menunjukkan bahawa penggunaan kemahiran mendengar
dan bertutur oleh guru dan pelajar mewujudkan suasana bilik darjah yang boleh menyokong atau
menghalang perkembangan beberapa jenis kemahiran berfikir. Memberi klu (clue) dan menyoal juga
adalah dua strategi utama yang boleh digunakan oleh guru untuk menggalakkan kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
            Inovasi pendidikan pada tahun 1981 dan 1989 telah berusaha mengubah pemikiran guru
dalam mengendalikan pengajaran dan  pembelajaran di bilik darjah. Inovasi tersebut telah
mengharapkan bahawa guru akan menjalankan sebahagian besar daripada pengajaran yang
berpusatkan pelajar dan akan menggunakan pelbagai strategi dan teknik untuk melibatkan pelajar
dengan aktif ( Pusat Perkembangan Kurikulum, 1981) dalam N.S Rajendran ( 2001). Guru-guru
perlu diberi sistem sokongan untuk melaksanakan inovasi di dalam bilik darjah di sekolah masing-
masing. Sistem sokongan ini meliputi aspek-aspek seperti bahan rujukan, sumber untuk
mengendalikan pengajaran pembelajaran, dan wacana untuk guru-guru membincangkan isu-isu
berkaitan pengajaran pembelajaran kemahiran berfikir. Guru-guru juga diberi kebebasan untuk
membuat keputusan masing-masing berhubung dengan pendekatan dan strategi yang bakal
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing. Tidak dapat dinafikan
bahawa guru-guru mempunyai kreativiti tersendiri dalam mengendalikan proses pengajaran dan
pembelajaran yang dipengaruhi oleh faktor-faktor termasuk keperluan kurikulum yang begitu padat
dan isu peperiksaan pusat.

            Penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kelas penting untuk
mewujudkan suasana yang memberangsangkan kepada pelajar. Guru mestilah berusaha menukar
amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mereka supaya amalan tersebut benar-benar
berbeza daripada amalan di kelas konvensional.  Oleh itu, guru perlu memiliki ilmu pengetahuan,
kemahiran pedagogi dan sikap yang sesuai untuk melakukan perubahan tersebut. N.S Rajendran
( 2001) menyatakan terdapat perkara-perkara yang asas yang perlu dimiliki oleh guru  iaitu ilmu
pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam konteks mengajar kemahiran berfikir dalam mata pelajaran di sekolah, guru-guru perlu
memiliki perkara tersebut untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih
berkesan.

            Guru juga boleh menggunakan pengajaran kemahiran membaca untuk menggalakkan
pelajar supaya mereka menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Satu daripada cara
ialah teknik ’reciprocal teaching’ yang diperkenalkan oleh Pallnscar dan Brown (1994) dalam
N.S.Rajendran (2001).Teknik ini menggunakan satu proses koperatif di antara guru dan pelajar
dalam mengemukakan soalan dan mendapatkan respons dengan tujuan menunjukkan ciri-ciri
metakognitif dalam proses membaca. Ini bermakna proses metakognitif boleh digunakan sebelum,
semasa dan selepas membaca.
            Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan yang meliputi aspek
prasarana, pengisian dan latihan guru. Guru-guru setiap matapelajaran boleh mengaplikasikan
penggunaan alat-alat berteknologi untuk memantapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran. Menurut Molnar (1997) dalam N.S.Rajendran
(2001), teknologi-teknologi pendidikan sekiranya digunakan dan diaplikasikan dengan betul, akan
membawa kesan yang bermakna dalam pembelajaran pelajar.

 6.0 KESIMPULAN
 
Salah satu faktor dominan yang menentukan kejayaan sesebuah negara adalah dalam bidang
pendidikan. Pelbagai perancangan dan piawaian dilakukan bagi meningkatkan sistem pendidikan
negara sejak dahulu lagi sehingga kini. Menyedari kepentingan kemahiran berfikir ini Kementerian
Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penyebatian kemahiran berfikir khususnya kemahiran
berfikir kritis dan kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi setiap mata pelajaran.
Oleh itu guru-guru juga perlulah bersama-sama mengembleng tenaga merealisasikan hasrat
kerajaan untuk terus meningkatkan sistem pendidikan negara. Menurut  K.Narayanasamy (2000)
guru yang berinovatif dan kreatif perlulah memikirkan pelbagai cara dan aktiviti lain untuk mengatur
aktiviti pengajaran dan pembelajaran mengikut bidang mereka. Ini secara tidak langsung
menunjukkan betapa pentingnya penyebatian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Kerjasama antara guru dan pelajar amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi
memantapkan lagi adaptasi kemahiran berfikir dalam setiap mata pelajaran. Penyebatian kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif juga dapat mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar. Kepentingan
penyebatian kemahiran kritis dan kritis juga memberikan kesedaran agar melakukan keseragaman
gaya pengajaran mereka dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajar-pelajar juga telah dapat
mengimbas kembali dan membuat refleksi tentang proses kognitif dalam konteks pengajaran dan
pembelajaran. Pelajar telah membuat refleksi dalam menghubungkaitkan apa yang dipelajari
dengan proses berfikir untuk memperolehi pengetahuan serta kemahiran sesuatu bidang yang
dipelajari. Kesediaan guru juga diambilkira dalam melaksanakan segala apa yang telah
dirancangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Rakyat yang berfikiran kritis dan kreatif akan
menjamin negara agar mampu bersaing dan setanding dengan negara maju yang lain selaras
dengan Wasasan 2020.

RUJUKAN
 
Abdul Halim Abdullah & Mohini Mohamed. 2007. Penggunaan Kemahiran berfikir di kalangan
pelajar dalam persekitaran perisian geometri interaktif. 1st International Malaysia Educational
Technology Convention.

Adnan bin Ahmad, Mimi Mohaffyza Mohamad& Kamalularifin Suhari. 2006. Aplikasi corak
pembelajaran  kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar dalam subjek
pengajian kejuruteraan awam sekolah menengah teknik negeri Johor. Latihan Ilmiah. Universiti
Teknologi Malaysia.

Beyer, B.K. 1988. Developing a thinking skills program. Boston: Allyn & Bacon
Forgarty, R & Bellanca, J. 1990. Teach Them Thinking. Australia: Hawker Brownlow Education

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1994. Pukal Latihan Sains Rendah: Modul 3 Kemahiran Berfikir.
Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum

K.Narayaanasamy. 2000. Melayan pelbagai gaya pembelajaran: pengajaran kemahiran berfikir


sebagai satu alternatif berkesan. Jurnal Pendidikan TIGAENF. 2(3): 64-70

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester
1. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester
2 Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Mok Soon Sang. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester
3. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Subang Jaya.

Mohd Noor Badlilshah Abdul Kadir. (  ). Gaya pembelajaran: satu kajian deskriptif terhadap pelajar
kolej matrikulasi Perak.

Mok Soon Sang. 2009. Psikologi Pendidikan dan Pedagogi Murid dan alam Belajar.Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

Mok Soon Sang. 2010. Psikologi Pendidikan Untuk Pengnajaran dan Pembelajaranan.Penerbitan


Multimedia Sdn. Bhd.Selangor.

N.S.Rajendran. 2001. Amalan berdaya fikir pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu dalam bilik
darjah. Kertas Kerja. Konvensyen Pendidikan ke-10.

N.S.Rajendran. 2001. Pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi: kesediaan guru mengendalikan


proses pengajaran pembelajaran. Kertas kerja. Seminar/ pameran projek KBKK.

Poh Swee Hiang. 2002. Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif. Kuala Lumpur. Percetakan
Sentosa

Rafiei Mustapha. 1998. Kajian tentang kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah.

Sarimah Kamrin. (2008). Tahap penguasaan kemahiran berfikir kritis pelajar sains tingkatan empat
di daerah Kulai merentas etnik.
Selva Ranee Subramaniam. 2007. Penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran kimia secara
kontekstual. Jurnal pendidikan.27(1) : 85-98.

Siti Rahayah Ariffin, Rosadah Abd Majid, Zolkepel Haron, Rodiah Idris, Anisa Alias, Shahir Samsuri,
Basri Hassan, Nor Azaheen Abdul Hamid.  (  ). Kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian
masalah pelajar-pelajar sains di Malaysia. 

Zainudin Hassan, Hamdan Said, Jamilah Omar & Haslita Hassan.2006. Pengaplikasian kemahiran


berfikir dalam pengajaran kemahiran hidup bersepadu di sekolah menengah daerah Kota Bahru,
Kelantan.Universiti Teknologi Malaysia.

Mohd izham& Norazah.  http://www.iab.edu.my/Jurnal/Jurnal%202007/IntICT.pdf.  19 Oktober 2010

Anda mungkin juga menyukai