Anda di halaman 1dari 7

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini

faktanya
26 Ogos 2020 |

SEJARAH adalah satu subjek yang cukup menarik untuk diterokai.

Sama ada diceritakan secara mulut ke mulut, direkodkan dalam bentuk bertulis atau mungkin juga
dicatat dalam penemuan-penemuan artifak, setiap warisan sejarah mempunyai nilai yang tersendiri,
apatah lagi apabila melibatkan institusi pendidikan di negara kita.

Disebabkan kemasukan penjajah, banyak warisan sejarah di negara kita dibuat agar mencerminkan
pemerintah sewaktu itu. Sehingga kini kita masih dapat melihat institusi pendidikan terus
mengekalkan nama yang diberi sewaktu zaman penjajahan. Sama ada rasa perlu ditukar atau tidak,
bergantung kepada pandangan masing-masing.

Bagaimanapun, bagi beberapa institusi pendidikan ini, nama yang digunakan pula diambil daripada
tokoh-tokoh yang diakui mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, melayakkan nama mereka
diabadikan sehingga ke hari ini.
Berikut adalah lima tokoh besar yang namanya kekal digunakan sebagai satu simbol penyatuan
sejarah, warisan dan masa depan.

1) Sekolah Tun Fatimah


Ada dua Tun Fatimah terkenal dalam sejarah negara kita. Tun Fatimah Hashim adalah pengerusi
gerakan kaum ibu Malaya yang kini menjadi Wanita UMNO dan juga wanita pertama negara kita
yang dilantik menjadi menteri.

Tun Fatimah yang dipilih sebagai nama Sekolah Tun Fatimah pula hidup semasa zaman kesultanan
Melayu Melaka dahulu.

Beliau adalah anak kepada Bendahara Melaka waktu itu, Tun Mutahir serta anak cucu kepada dua
tokoh besar dalam sejarah Melaka semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan
kelima Melaka.

Diingati kerana memainkan peranan besar dalam menyelamatkan Melaka satu masa dulu, kisah
Tun Fatimah bermula selepas ayahnya yang ketika itu Bendahara, difitnah ingin merampas kuasa.
Ini menyebabkan semua ahli keluarganya termasuklah suaminya sendiri dibunuh kecuali Tun
Fatimah sahaja atas arahan Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud yang teringin benar
memperisterikan Tun Fatimah.

Walaupun enggan, Tun Fatimah terpaksa menerima hakikat dia akan dikahwinkan dengan Sultan
Mahmud. Ekoran Tun Fatimah terhadap tindakan Sultan Mahmud itu, dia bertindak menggugurkan
mana-mana kandungannya di dalam perut selagi Sultan Mahmud belum berjanji akan menjadikan
anak mereka sebagai pewaris kerajaan Melaka ketika itu.

Tun Fatimah dikatakan seorang yang menguasai ilmu persilatan serta pernah mengetuai askar
melawan penaklukan Portugis. Selepas kejatuhan kerajaan Melaka, Sultan Mahmud mengotakan
janjinya untuk melantik anaknya bersama Tun Fatimah sebagai pewaris takhta. Naiklah putera Tun
Fatimah menjadi Sultan Johor yang pertama, kesinambungan Sultan Melaka yang terakhir dengan
gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Tidak ada rekod tentang usia dan tarikh Tun Fatimah ketika meninggal dunia, tetapi pengkaji sejarah
percaya makam Tun Fatimah terletak di Kampar, Sumatera.
2) Kolej Tunku Kurshiah
Kolej Tunku Kurshiah atau Tunku Kurshiah College (TKC) mengambil nama daripada Tuanku Puan
Besar Kurshiah binti Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin. Suami beliau pula adalah Seri Paduka
Baginda Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sekiranya anda melihat
wang kertas kita ketika ini, wajah itu adalah wajah suami kepada Tuanku Kurshiah.

Berasal daripada Seri Menanti, Negeri Sembilan, Tuanku Kurshiah lahir pada 16 Mei 1911. Suami
baginda naik menjadi Yang Dipertuan Agong Pertama menjadi Tuanku Kurshiah sebagai Raja
Permaisuri Agong pertama Malaysia dan memegang jawatan tersebut selama 3 tahun.

Tuanku Kurshiah banyak menaburkan jasa kepada masyarakat, menerusi penubuhan Lembaga
Kebajikan Perempuan Islam Malaysia serta menjadi presiden kepada Persatuan Pandu Puteri
Tanah Melayu yang kini bergelar Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Baginda mangkat pada 2
Februari 1999 pada usia 88 tahun dan disemadikan di Makam Di-Raja Seri Menanti, tanah asal
kelahiran baginda.
3) Sekolah Sultan Alam Shah/ Kolej Islam Sultan Alam
Shah/ Sekolah Menengah Sains Alam Shah
Nama ketiga-tiga institusi pendidikan itu datangnya daripada individu yang sama iaitu Yang
DiPertuan Agong kedua negara kita, Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin
Sulaiman Shah.

Sultan Hisamuddin Alam Shah adalah Sultan Selangor kelima, namun pada awalnya baginda tidak
mempunyai peluang cerah menaiki takhta kerajaan Selangor.

Baginda sebelum ini menggunakan nama Tengku Alam Shah adalah anak ketiga dan abangnya,
Tengku Musa dilantik sebagai Raja Muda. Namun campur tangan Residen British ketika itu
membuatkan Tengku Musa diturunkan dan Tengku Alam Shah dilantik sebagai Raja Muda.

Baginda terpilih menggantikan Tuanku Abdul Rahman, Agong pertama negara kita dan juga suami
kepada Tuanku Kurshiah. Namun, pada tarikh hari pertabalannya yang dijadualkan berlangsung
pada 1 September 1960, baginda mangkat ketika berada di dalam Istana Negara.
4) Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki/
Institut Aminuddin Baki
Banyak institusi pendidikan menggunakan nama beliau kan, tetapi pernahkah anda tahu siapa
sebenarnya individu yang bernama Aminuddin Baki?

Aminuddin Baki adalah seorang lelaki yang lahir pada 26 Januari 1926 di Chemor, Perak. Merantau
jauh sehingga ke London untuk menuntut ilmu, Aminuddin pulang ke negara lalu berkhidmat
sebagai guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah.

Beliau kemudian naik pangkat menjadi pensyarah di Sultan Idris Training College atau nama
sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris. Menjadi antara individu pengasas kepada Gerakan
Pelajar Melayu Semenanjung atau GPMS, Aminuddin menjadi Presiden untuk dua penggal berbeza,
meletakkan dirinya sebagai Presiden kedua dan keempat GPMS.

Buah fikirannya yang mantap membolehkan kerajaan pada waktu itu memanggilnya bagi mengubah
sistem pendidikan negara. Beliau terlibat secara langsung dengan kebanyakan pergerakan yang
memacu sistem pendidikan yang diguna pakai, menerusi penglibatan beliau dalam Jawatankuasa
Bernas, Jawatankuasa Penyata Pelajaran Razak, Jawatankuasa Rahmad Talib dan juga penubuhan
Merancang Pelajaran Tinggi negara.

Kemuncak karier beliau membolehkan beliau memegang portfolio Ketua Pengawal Pelajaran yang
sama dengan Ketua Pengarah Pendidikan ketika ini. Sepanjang karier beliau, Aminuddin Baki
membantah pelaksanaan terus sekolah vernakular yang memecah belahkan masyarakat.
Sumbangan beliau paling ketara menerusi Penyata Aminuddin Baki 1962 dan Laporan Aminuddin
Baki 1964 yang banyak menjadi acuan sistem pendidikan negara kita.

Namun, usia Aminuddin Baki tidak panjang. Pada usia 39 tahun, Aminuddin Baki meninggal dunia
pada tarikh 24 Disember 1965, kerana serangan sakit jantung.
5) Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma
Salah sebuah sekolah harian yang mencatatkan keputusan baik setiap tahun, Sekolah Menengah
Kebangsaan Sultanah Asma sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang, dengan memegang
status sebagai sekolah rendah bantuan Inggeris pertama untuk pelajar wanita di Tanah Melayu.

Mengambil nama Sultanah Asma sempena nama Yang Mulia Tengku Asma Binti Tengku Sulaiman,
isteri kepada DYTM Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah
yang 27.

Lahir pada 25 Oktober 1917, YM Tengku Asma sebenarnya berasal daripada keluarga di-Raja
Terengganu. Baginda merupakan puteri kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ibni Almarhum
Sultan Zainal Abidin III, Sultan ke 13 negeri Terengganu.

Naik menjadi Sultanah Kedah pada 13 Mei 1943 dengan gelaran Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia
Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah,
pasangan itu menjadi pemerintah tertinggi Kedah selama 15 tahun sebelum anak tiri baginda
mengambil alih takhta kerajaan Kedah.

Sultanah Asma sepanjang hidupnya banyak meluangkan masa menjadi tetamu kehormat pada
majlis anugerah yang diadakan di sekolah tersebut yang diperkenankan menggunakan namanya,
selepas Sultanah Asma sendiri meletakkan batu asas pembinaan sekolah tersebut.

Baginda mangkat pada 13 Mei 1996, pada usia 79 tahun dan dimakamkan di Makam Di-Raja
Langgar, Kedah, meninggalkan legasi pendidikan untuk wanita Melayu yang terus menyala
sehingga kini.

Sumber: Iluminasi

Anda mungkin juga menyukai