Anda di halaman 1dari 7

1.

GARIS PANDUAN PENULISAN BICARA KARYA 2018

A. Format Penulisan

 Butiran Buku / Artikel


 Tajuk
 Pengarang / Penulis
 Penerbit
 Tahun diterbitkan
 Salinan kulit depan buku
 Butiran Pengulas
 Nama
 Jabatan/Opsyen/semester/kelas
 E-mel

B. Panduan Menulis Ulasan

Semua ulasan perlu ditulis dalam Bahasa Malaysia, ditulis dua langkau (double
spacing). Keseluruhan penulisan ulasan hendaklah ditaip dalam aplikasi ‘Microsoft
Office Words’ dengan menggunakan font 12 (arial). Tajuk ulasan bersaiz 12 (arial)
berserta bold dan berhuruf besar.

Dalam ulasan tersebut, sila nyatakan:


 Perasaan pengulas setelah membaca buku/artikel yang dipilih.
 Menyatakan kenapa buku/artikel ini perlu dibaca/ impak dan pengajaran
yang diperolehi.
C. Panjang ulasan tidak melebihi 5 mukasurat.
D. Ulasan hendaklah ditulis oleh pengulas sendiri (asli) dan bukan ditiru daripada
internet atau mana-mana sumber yang lain.
2. PROSEDUR PENGHANTARAN

 Ulasan dihantar pada atau sebelum 14 September 2018 melalui emel ke


psipgkpp@gmail.com.

3. PANDUAN PEMBENTANGAN

 Setiap peserta diberi masa selama 5 minit untuk sesi pembentangan.


 Slaid pembentangan 5-10 (bersesuaian dengan masa yang diberikan).
 Simpan salinan slaid persembahan di dalam ‘pendrive’ untuk persediaan
sekiranya berlaku masalah teknikal.

4. Program Bicara Karya akan diadakan pada 14 September 2018 di Dewan Kuliah Utama,
IPGKPP jam 8.30 pagi.
Contoh Ulasan Buku:

Judul : Tun Dr. Ismail : Kejora Timur Yang Mengerdip

Penulis : Thajunnisa Mohamed Ibrahim

Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Tahun terbitan : 2004

ULASAN BUKU
NORHAYATI BINTI AYIT
qisharyati@yahoo.com
Pensyarah
Jabatan Pengajian Melayu
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang

“Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia

mati meninggalkan nama.” Pepatah Melayu ini merujuk kepada insan-insan yang

berjasa dan memberi sumbangan kepada bangsa dan negara tetap akan dikenang

meskipun sudah meninggal dunia. Dalam konteks ini, individu yang dimaksudkan ialah

Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia

yang kedua. Rentetan sumbangan dan jasa beliau telah digalurkan dalam buku yang

bertajuk Tun Dr. Ismail : Kejora Timur Yang Mengerdip. Buku ini merupakan sebuah

biografi yang memaparkan tentang sejarah hidup Tun Dr. Ismail bermula dari zaman

kanak-kanak, juga menceritakan latar belakang pendidikan dan keluarga, pengalaman

sebagai seorang doktor hinggalah kepada penglibatan dalam politik tanah air

seterusnya pencapaian dan sumbangan terhadap bangsa dan negara.


Bab Pertama merupakan bab pendahuluan berkisar kepada tentang beberapa

perkara yang berkaitan dalam menyiapkan kajian ini. Dalam Bab Kedua, penulis

memperihalkan latar belakang tokoh, keluarganya dan juga sikap serta perwatakan

tokoh sama ada sebagai rakyat biasa mahupun sebagai pemimpin. Tun Dr Ismail

dilahirkan pada tanggal 4 November 1915 dalam kalangan keluarga yang kaya dan

mewah yang mementingkan pelajaran. Anak kelahiran Johor Bahru mendapat

pendidikan awal di Sekolah Bukit Zaharah dan kemudian melanjutkan pelajaran di

English College, kedua-duanya di Johor Bahru. Setelah lulus dengan cemerlang dalam

pendidikan peringkat menengah, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Perubatan King

Edward VII di Singapura dari tahun 1936 hingga 1939. Setelah itu, beliau telah

mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Queen's College Melbourne University,

Australia sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan tahun 1945. Beliau

mendapat penghargaan dan menjadi kebanggaan negara kerana menjadi anak Melayu

pertama lulus Ijazah Perubatan dari Universiti tersebut. Sekembali ke tanah air, beliau

menyertai Jabatan Kesihatan Johor dan kemudian membuka klinik perubatannya

sendiri yang dikenali sebagai Klinik Tawakkal di Johor Bahru.

Seterusnya Bab Ketiga menghuraikan penglibatan dan peranan Tun Dr

Ismail dalam politik. Tun Dr.Ismail mula menempa nama dalam bidang politik apabila

dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1948. Di

peringkat persekutuan pula, beliau mula menyertai United Malays National

Organisation (UMNO) pada tahun 1951 setelah Dato' Onn Jaafar meletakkan jawatan

dan Tunku Abdul Rahman diangkat sebagai Presiden UMNO. Di bawah pimpinan

Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Ismail telah bergiat aktif dalam politik khasnya dalam
soal-soal perundingan kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau bersama-sama Tunku

Abdul Rahman dan ahli-ahli UMNO telah berusaha mendapatkan kemerdekaan Tanah

Melayu daripada British.

Dalam Bab Keempat, penulis menelusuri peranan yang dimainkan oleh

Tun Dr. Ismail bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau telah dilantik sebagai menteri

dalam kabinet pertama selepas kemerdekaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul

Rahman. Beliau juga telah menjawat beberapa jawatan penting dalam kerajaan.

Antaranya ialah sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Menteri Kehakiman.

Tun Dr. Ismail juga merupakan wakil tetap Persekutuan Tanah Melayu dalam

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di samping menjadi duta negara ke Amerika

Syarikat.

Dalam Bab Kelima, penulis membuat analisis tentang sikap dan pandangan Tun

Dr. Ismail sepanjang penglibatan beliau dalam politik tanah air. Penulis membahagikan

kepada lima sub topik iaitu, pertama, pemimpin yang tegas dan optimis, kedua,

konsep berbilang kaum, ketiga, pandangan terhadap belia dan golongan pelajar,

keempat, keselamatan dan ekonomi negara dan kelima, hubungan antarabangsa dan

dasar luar negara.

Tun Dr. Ismail merupakan seorang pemimpin yang tegas dan optimis. Sebagai

seorang ahli politik Tun Dr Ismail mempunyai sikap dan pendirian yang tersendiri

terhadap perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam negara. Sesungguhnya

Tun Dr. Ismail mempunyai cita-cita yang sangat tinggi dan berjiwa besar dan sentiasa

berpendirian teguh dalam sesuatu hal yang diperjuangkan. Idea dan pemikiran beliau

sangat bernas bagi meninggikan taraf hidup rakyat serta berusaha ke arah memenuhi
hasrat rakyat dari segi kepentingan ekonomi dan sosial serta menjadikan masyarakat

maju dan moden.

Sebagai individu yang mementingkan pelajaran, beliau sentiasa menggalakkan

pelajar-pelajar menitikberatkan pelajaran dan menjadikan pelajaran sebagai satu yang

amat penting dalam kehidupan di samping menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam

politik yang berkaitan dengan masa depan negara.

Beliau juga sangat prihatin terhadap perpaduan rakyat. Sikap ini ketara dalam

setiap ucapan-ucapan yang diberikan semasa menjadi pemimpin negara. Bagi beliau,

setiap rakyat perlu bersama-sama berfikir untuk memajukan negara tanpa mengira

kaum, agama dan warna kulit. Manakala dalam hubungan antarabangasa dan dasar

luar negara, beliau merupakan diplomat yang memperlihatkan ketangkasan berhujah.

Beliau sentiasa melahirkan pandangan-pandangan dan kritikan-kritikan tajam yang

mampu memperkukuhkan kestabilan politik serantau.

Dalam Bab Keenam penulis membincangkan jasa-jasa Tun Dr Ismail sepanjang

hayatnya. Beliau telah meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 dan jenazahnya

disemadikan di Makam Pahlawan Negara. Beliau merupakan pemimpin negara yang

pertama disemadikan di makam tersebut. Ketokohan beliau sebagai pemimpin

mendapat pengiktirafan dan penghargaan dalam kalangan pemimpin-pemimpin dalam

dan luar negara. Ini dapat dibuktikan melalui pingat-pingat yang telah dianugerahkan

kepada beliau semasa hayatnya.

Kesimpulannya, membaca buku ini dapat menjentik semula minda khalayak

tentang nilai patriotisme yang semakin pudar ditelan arus globalisasi. Melalui buku ini,

khalayak dapat mengetahui bagaimana pemimpin-pemimpin negara pada zaman


dahulu berusaha memerah otak untuk mencapai dan mengisi kemerdekaan negara.

Sebagai generasi muda yang tidak terlibat secara langsung dalam usaha untuk

mencapai kemerdekaan, marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengisi dan

melestarikan kemerdekaan ini dengan menggunakan segala potensi yang ada dalam

diri, supaya kita juga mungkin boleh menjadi “Kejora yang mengerdip” seperti

Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman dengan cara tersendiri.

Anda mungkin juga menyukai