Anda di halaman 1dari 3

1

PENYELIDIKAN DALAM SEJARAH

Perjanjian Pangkor, 20 Januari 1874


Posted on January 20, 2010

Perjanjian Pangkor, 1874. (Source: Arkib Negara Malaysia)

“Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh
ketiadaan pemerintah yang tetap di Negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk
melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka, dan,

Bahawasanya sebilangan besar orang China yang diupah dan sejumlah besar wang yang
dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang
bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta
harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran
sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan
kepentingan British terjejas teruk dan keamanan serta ketenteraman Petempatan British yang
berjiranan dengannya kadang-kadang turut terancam, dan,

Bahawasanya sesetengah Pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketakmampuan


mereka mengawal kacau bilau yang melanda sekarang ini, dan bersama-sama dengan mereka
yang berkepentingan dalam perusahaan negeri  ini telah memohon bantuan, dan,

Bahawasanya Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen terikat oleh Syarat Persetiaan
bagi melindungi Kerajaan tersebut dan membantu pemerintahnya, maka dengan ini,
2

Tuan Yang Terutama Sir Andrew Clarke, K.C.M.G. C.B., Gabenor Tanah Jajahan Negeri-Negeri
Selat, sebagai mematuhi permintaan tersebut, dan dengan tujuan membantu pemerintah tersebut
dan bagi mewujudkan penyelesaian yang berkekalan terhadap masalah di Perak, telah
mencadangkan Perkara perkiraan yang berikut sebagai yang boleh mendatangkan manfaat
bersama kepada Pemerintah Bebas Negeri Perak, rakyatnya, rakyat Duli Yang Maha Mulia
Baginda Queen dan orang lain yang bermastautin atau yang berdagang di Negeri Perak, iaitu:-

1. Pertama. –  Bahawa Raja Muda Abdulah diiktiraf sebagai Sultan Perak.


2. Kedua     –  Bahawa Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan,
dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah Wilayah kecil
diserahkan hak kepadanya.
3. Ketiga     –  Bahawa segala perlantikan Pegawai-pegawai besar lain yang dibuat masa
Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.
4. Keempat –  Bahawa kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri keatas Larut oleh
Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
5. Kelima    –  Bahawa semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan
hendaklah dibuat atas nama Sultan.
6. Keenam  –  Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai
untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana
Baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan
selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
7. Ketujuh   –  Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak
dibawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen
tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
8. Kelapan  –   Bahawa pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka
hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab
pertama daripada hasil Negeri Perak.
9. Kesembilan  –  Bahawa peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan
diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan
seterusnya daripada hasil tersebut.
10. Kesepuluh  –  Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am
negeri dikawal selia dibawah nasihat Residen-residen ini.
11. Kesebelas  –  Bahawa Persetiaan dimana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah
diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka
perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal
Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang
diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut:   Dari Bukit Segari, seperti yang
tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan
bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang [antai laut ke selatan,
ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira
sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.
12. Kedua belas  –  Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang
salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai
membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah
ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat,
dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
13. Ketiga belas  –  Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di
Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-
puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara dibawah kawalan dan
seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi
memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan
alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta
3

bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau
pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad
14. Keempat belas  –  Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan
Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan
ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri
Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak
dan keselamatan perdagangan.
Perkara diatas telah dibaca dan telah dijelaskan kepada mereka yang berkenaan yang telah
memahami perkara-perkara itu dan masing-masing bersetuju dan menerimanya sebagai mengikat
diri mereka dan Waris serta Pengganti mereka.

Perjanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British pada dua puluh
hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat.

Disempurnakan dihadapan saya

ANDREW CLARKE,
Gabenor, Panglima Besar dan Laksamana Madya
Negeri-Negeri Selat”
____________________________________________________________________
Cap Mohor Sultan Perak
Cap Mohor Bendahara Perak
Cap Mohor Temenggung Perak
Cap Mohor Menteri Perak
Cap Mohor Syahbandar Perak
Cap Mohor Raja Mahkota Perak
Cap Mohor Laksamana Perak
Cap Mohor Dato’ Sagor

__________________________________

Nota kaki: Paparan ini merupakan terjemahan isikandung Perjanjian Pangkor ke Bahasa Malaysia
moden oleh Institut Terjemahan Negara dan bukannya transkripsi rumi dari tulisan Jawi yang
asal.
Sumber: Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia (1791-1965), Institut Terjemahan Negara, Kuala
Lumpur, 2008

Anda mungkin juga menyukai