Anda di halaman 1dari 2

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan.

Hal ini bertepatan dengan


maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora.
Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza  tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan
dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula
tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang
berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan
dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan
penderitaan  sehingga tekanan yang dihadapi  itu  membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai
pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor
terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah
telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
             
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk
kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering
dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya
lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan
memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi
tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat
melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab
kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan  tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah
yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya
saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya
dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah
pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah
sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu
cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri,
terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya  memiliki kesihatan yang baik tanpa
menghadapi tekanan, saya  sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan
sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan
memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana  ada udang
di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya
menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan,
saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu
sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan
memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan
yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar
saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima
kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam
kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang
positif.

Anda mungkin juga menyukai