Anda di halaman 1dari 1

Kerja sekolah untuk disiapkan, tanggungjawab di rumah untuk dilaksanakan dan kelas tuisyen untuk dihadiri.

Dari pagi sehinggalah malam, jadual harian seorang murid dibanjiri oleh aktiviti. Selain kegiatan kokurikulum
dan kelas muzik atau sesi latihan sukan, seorang pelajar juga harus mempunyai masa untuk menghabiskan
segala tugas yang diberi oleh guru serta membuat ulangkaji bagi subjek yang dipelajari. Realitinya, kehidupan
seorang pelajar adalah amat memenatkan dan kadang kalanya, kita akan mula berasa tertekan kerana
memikirkan harapan ibu bapa dan guru terhadap kita untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
Segelintir pelajar juga akan terjurumus dalam kancah gejala sosial kerana gagal mengatasi tekanan yang
dihadapi. Sebelum kudis menjadi tokak, apakah sebenarnya inisiatif yang boleh dilakukan untuk menangani
tekanan?

Usaha perdana adalah dengan beriadah. Kita sebagai manusia bukanlah haiwan robotik tanpa rasa dan jiwa.
Luangkanlah sekurang- kurangnya dua kali sebulan untuk melakukan aktiviti riadah seperti berkelah di tepi air
terjun atau meredah hutan. Cara ini dapat menenangkan fikiran kita yang selama ini berasa kusut dan sekali
gus melepaskan segala tekanan kita. Selain itu, amalkanlah pemakanan serta gaya hidup yang sihat dengan
bersenam untuk tiga atau empat kali seminggu. Ini demikian kerana bersukan akan menyebabkan badan kita
untuk berpeluh dan mengeluarkan hormon seperti dopamin yang mampu membuat kita berasa lebih positif
can ceria. Pepatah badan sihat, otak cergas perlulah kita teladani dalam mengatasi tekanan diri. Intiharnya,
dengan beriadah dan bersenam, kita boleh melahirkan pendirian yang lebih optimistik dan tenang dalam
menghadapi aktiviti harian kita.

Tekanan juga boleh diatasi melalui pengurusan masa yang bijak. Individu yang gagal untuk merancang
sebenarnya telah merancang untuk gagal. Oleh demikian, bahagikanlah 24 jam yang ada dengan sebaiknya
kerana masa itu emas. Satu jam yang telah dibazirkan merupakan 60 minit yang tidak boleh ditebus balik.
Apabila kita harus mengagihkan masa, kita juga harus bersikap realistik. Jika kita merupakan seorang yang
tidak boleh berdiam diri untuk masa yang lama, janganlah sesekali menetapkan empat atau lima jam untuk
berlajar tanpa berehat. Hal ini dikatakan begitu kerana kemungkinan besar kita hanya akan memanfaatkan
separuh daripada masa tersebut untuk menelaah pelajaran, manakala waktu yang sehabisnya telah dibazirkan
dengan prokrastinasi. Dalam konteks ini, rancanglah jadual harian mengikut keperibadian kita supaya kita tidak
berasa kesal pada keesokkan hari. Seelok- eloknya dengan memanfaatkan masa dengan sepenuhnya, kita tidak
akan berasa tertekan sehingga mengabaikan segala perkara lain.

Di samping itu, punca utama yang menyumbang kepada tekanan diri adalah cara pemikiran kita. Minda kita
merupakan sebuah ruang pemikiran yang tiada sempadannya. Secara psikologi, corak pemikiran kita
bergantung kepada persepsi kita terhadap sesuatu. Abraham Maslow, seorang ahli psikologi pernah berkata
bahawa jika kita mempunyai pemukul, kita akan melihat semua masalah seperti paku. Oleh hal demikian,
pemikiran kita memainkan peranan yang penting dalam menangani tekanan. Seseorang yang sentiasa berasa
tertekan biasanya tidak mepunyai keyakinan dalam diri mereka. Mereka sentiasa berada dalam keraguan
kerana mereka tidak percaya akan kebolehan mereka. Ada yang juga berasa tertekan kerana mereka takut
dipandang rendah oleh pihak lain jika mereka tidak mengecapi kejayaan pada menara gading. Sebagai seorang
remaja dan pelajar, kita harus percaya pada diri kita bahawa kita boleh berjaya. Halangan utama yang
membantut kejayaan diri ialah halangan ciptaan sendiri. Jadi, sentiasa berkata pada diri sendiri bahawa gagal
sekali bukan gagal selamanya. Kita haruslah teruskan usaha dan fokuskan minda untuk mencapai kejayaan.
Secara ringkas, tekanan diri bolehlah diatasi sekiranya kita mengubah cara pemikiran kita terhadap sesuatu.

Tiada kusut yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Sekiranya kita
menghadapi tekanan, janganlah sesekali tersasar daripada matlamat kita, iaitu untuk menjadi seorang manusia
yang cemerlang dan berjaya. Sekiranya kita bijak mengatasi tekanan, kita boleh mengelakkan diri daripada
mengalami kemurungan. Apabila kita berasa tertekan, kongsikan masalah yang dihadapi kepada seorang yang
kita percayai supaya kita tidak berasa sendirian apabila menghadapi masalah. Mendengar muzik juga mampu
membantu kita dalam mengatasi tekanan. Lakukanlah sesuatu yang diminati supaya dapat menghilangkan
tekanan tersebut. Sesungguhnya melalui pengurusan tekanan yang efektif, kita mampu kembali untuk
berdepan dengan segala cabaran seharian dengan sebaiknya.

Anda mungkin juga menyukai