Anda di halaman 1dari 2

Tazkirah Dhuha 4

Asalamua’alaikum WBT,
Pada pagi ini, saya akan menyampaikan tazkirah ringkas mengenai “Cara
melawan hawa nafsu”.

Menurut Imam al-Ghazali, Nafsu boleh dikekang dengan kekangan takwa.


Dengan itu ia akan menjadi lemah dan tunduk mengalah. Kewarakan seseorang
juga boleh membelenggunya sehingga nafsu tidak berpeluang menjalankan
peranannya. Dengan kesedaran bahawa nafsu itu musuh yang akan
mendatangkan kecelakaan, ia perlu dilemahkan dengan penghinaan. Jangan
sekali-kali diberi muka dan dilayani keinginannya.

Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam Ghazali telah mendedahkan 3 cara untuk
menjinakkan nafsu:

1) Setiap keinginan nafsu itu hendaklah dicegah dan ditahan.


Ini bererti ia dikurung atau dibelenggu. Umpama binatang liar, apabila dikurung
atau ditambat, ia menjadi jinak juga akhirnya. Lemahkan tenaganya agar ia
tidak liar. Amalan berpuasa akan membuatkan badan menjadi lemah dan
sekaligus melemahkan keinginan nafsu. Selain menahan perut daripada banyak
makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya,
menahan mata daripada memandang yang haram, telinga daripada mendengar
yang haram, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat
mazmumah dan lain-lain.

2) Diberikan tekanan atau deraan yang berat ke atasnya.


Umpama keldai yang liar, apabila dilebihkan muatan beban di atas belakangnya,
nescaya ia menjadi lemah dan akan menurut perintah. Cara mendera nafsu ialah
dengan banyak melakukan ibadah. Terus menerus melakukan ibadah dengan
harapan kemanisan beribadah dapat menjinakkan keinginan nafsu.
3) Mohon bantuan Allah.
Kita disarankan untuk berdoa, meinta perlindungan daripada Allah Taala agar
terselamat daripada angkara nafsu jahat (nafsu ammaratun bil-su`).
Sesungguhnya dengan pertolongan Allah jua, kita akan berjaya.

Nafsu adalah ibarat kuda liar, sukar dikawal, merbahaya dan boleh
memudaratkan. Walau bagaimanapun dengan latihan yang betul, ia boleh
dijinakkan, dikawal dan memberi banyak manfaat.

Seorang cendekiawan Islam berkata,"Beruntunglah orang yang menjadikan


akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang
menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".

Imam Al-Ghazali mengatakan, "kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia
itu lebih daripada haiwan dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia
itu lebih daripada Malaikat."

Imam Al-Ghazali juga mengatakan, "Antara tanda kecintaan hamba kepada


Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak
nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara
dasarnya, melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia
mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."

Sekian sahaja tazkirah ringkas saya pada pagi ini. Semoga kita semua beroleh
manfaat dan berjaya menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang di dunia dan di
akhirat. Insya-Allah. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamu’alaikum
wbt.

Anda mungkin juga menyukai