Anda di halaman 1dari 6

CARA PELAKSANAAN AKTIVITI

SEBELUM
Sebelum pelaksanaan aktiviti keyakinan air, para peserta akan menikmati sarapan
sebungkus roti dan sebotol air mineral yang diuruskan oleh AJK Makanan. Sarapan ini
sangat penting dan tidak boleh diabaikan kerana ianya dapat membekalkan tenaga untuk
menjalankan aktiviti sepanjang hari dengan cergas dan produktif. Setelah itu, proses
pendaftaran dijalankan untuk mengetahui bilangan peserta yang dapat mengikuti program
keyakinan air. Dengan adanya sesi pendaftaran, AJK Pendaftaran dapat mengenalpasti
peserta yang tidak sihat seterusnya boleh melaporkan kepada AJK Kebajikan dan jurulatih
untuk tindakan selanjutnya. Seterusnya, ketua jurulatih sepatutnya mengadakan satu
taklimat awal kepada para jurulatih dan para peserta yang terlibat berkaitan perjalanan
program keyakinan air ini seperti corak aktiviti, pembahagian kumpulan dan langkah-langkah
keselamatan yang perlu dipatuhi sepanjang aktiviti ini berlangsung. Oleh hal yang demikian,
tentatif program yang lengkap seharusnya diedarkan kepada setiap peserta sehari sebelum
bergerak ke Pangkor Rimba Kem bagi membolehkan AJK Pendaftaran, AJK Kecergasan,
AJK Peralatan, AJK Aktiviti, AJK Makanan, AJK Keselamatan, AJK Kebajikan, AJK
Perhubungan Luar, AJK Pengangkutan, AJK Fotografi dan Dokumentasi, AJK Majlis
Penutup dan Cenderahati peka akan tindakan dan tugas masing-masing bagi sebelum,
semasa dan selepas pelaksanaan aktiviti keyakinan air. Kemudian, para peserta diminta
melaksanakan ‘warming up’ terlebih dahulu yang diketuai oleh AJK Kecergasan bagi
memastikan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku seperti kekejangan otot.

Sebelum aktiviti keyakinan air ini dijalankan, terdapat beberapa aspek yang perlu
dititikberatkan sebagai persediaan awal. Antaranya ialah, jurulatih, peserta, peralatan dan
taklimat. Pertama sekali, seramai 7 orang jurulatih yang merupakan pensyarah dari Unit
Kokurikulum Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPGKDA) telah ditugaskan untuk
mengajar 40 orang peserta berkaitan aktiviti keyakinan air. Sebelum memulakan aktiviti
keyakinan air ini, para jurulatih bertanggungjawab mengenal pasti tempat atau lokasi aktiviti
berkenaan serta keadaan cuaca dan musim yang bersesuaian untuk menjalankan aktiviti air.
Hal ini termasuklah keadaan laut seperti hujan, ribut, gelombang, arus dan air pasang surut.
Sehubungan dengan itu, para jurulatih dan AJK Perhubungan Luar hendaklah berhubung
dengan pihak pengurusan Pangkor Rimba Kem, pihak Polis Tempatan dan pihak hospital
untuk mendapatkan maklumat tentang kawasan aktiviti serta memaklumkan tentang aktiviti
yang akan dijalankan. Selain itu, mereka juga sepatutnya mempunyai pengetahuan yang
menyeluruh tentang peserta, agihan kumpulan dan aktiviti yang ingin dijalankan dengan
lebih mendalam. Perkara ini dapat memudahkan perjalanan aktiviti dari awal hingga akhir.
Aspek yang seterusnya ialah peserta. Dalam menjalankan aktiviti ini, peserta mestilah
mementingkan keselamatan agar aktiviti dapat berjalan dengan lancar. Sebagai contoh,
peserta dikehendaki memakai pakaian yang bersesuaian untuk berada di air iaitu
mengenakan baju berlengan panjang dan berkasut sewaktu berenang. Hal ini bagi
mengelakkan kecederaan seperti terkena objek tajam dan berbahaya di dalam air. Namun
begitu, peserta juga diingatkan agar tidak memakai baju atau kasut yang berat kerana ianya
akan menyukarkan pergerakan badan. Penggunaan baju berwarna cerah seperti warna
kuning, oren dan merah amatlah digalakkan supaya mudah dilihat dan dikesan oleh rakan
dan jurulatih di dalam laut. Segala aksesori seperti barang kemas dan jam tangan perlulah
ditanggalkan sebelum masuk ke dalam air bagi mengelakkan berlakunya sebarang
kehilangan, keciciran dan kerosakan. Bagi memudahkan aktiviti ini, satu alternatif dirancang
oleh AJK Induk iaitu pemakaian skarf yang berbeza warna untuk setiap kumpulan bagi
membantu setiap ketua kumpulan mengira jumlah dan mengenalpasti ahli-ahlinya.

Di samping itu, peserta wajib memakai jaket keselamatan yang dilengkapi wisel
sepanjang masa tidak kira sama ada mereka pandai berenang atau tidak. Wisel tersebut
boleh ditiup oleh peserta sekiranya mereka berada di dalam situasi kecemasan. Bukan itu
sahaja, peserta hanya dibenarkan mengapungkan badan secara berkumpulan. Hal ini bagi
menjamin semua peserta agar sentiasa berada di dalam kawasan kawalan. Setiap
pergerakan juga mestilah mendapat kebenaran jurulatih terlebih dahulu supaya para
jurulatih cakna akan setiap aktiviti peserta. Akhir sekali, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kebajikan
perlulah memastikan para peserta sentiasa berada dalam keadaan sihat fizikal dan mental
agar mereka dalam keadaan bersedia untuk melakukan kesemua aktiviti yang dirancang.
Oleh itu, para peserta diminta melaksanakan ‘warming up’ terlebih dahulu yang diketuai oleh
AJK Kecergasan bagi memastikan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku seperti
kekejangan otot.

Kemudian, peralatan yang akan digunakan dalam aktiviti keyakinan air ini seperti
‘rescue ring’, jaket keselamatan dan sebagainya hendaklah dalam keadaan baik dan boleh
digunakan. Peralatan yang rosak akan mengganggu kelancaran aktiviti yang hendak
dilaksanakan. Oleh hal yang demikian, AJK Peralatan hendaklah menjalankan pemeriksaan
terhadap peralatan sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibawa ke Pangkor Rimba Kem.
Selepas itu, AJK Peralatan bersama-sama AJK Aktiviti juga memainkan peranan untuk
mengira jumlah peralatan agar mencukupi untuk digunakan oleh peserta dan jurulatih
mengikut kadar yang ditetapkan.
SEMASA
Seperti yang kita sedia maklum, keselamatan adalah perkara penting dan perlu
diutamakan. Hal ini termasuklah membuat tindakan yang tepat untuk mengelakkan
sebarang kemalangan daripada berlaku. Contohnya, jika peserta menghadapi kekejangan
otot, elakkan daripada berasa panik dan melakukan banyak pergerakan kerana ianya akan
mengganggu fokus peserta untuk mencuba menyelamatkan diri. Bukan itu sahaja, nilai
kerjasama juga perlu diambil berat dan ditonjolkan khususnya sewaktu aktiviti berkumpulan.
Sikap mementingkan diri sewajarnya dielakkan bagi membantu kelancaran dan
keberkesanan sepanjang aktiviti ini berlangsung.

Semasa pelaksanaan aktiviti keyakinan air, terdapat lima elemen yang akan diajar
oleh pihak jurulatih kepada para peserta. Antaranya ialah, Kemahiran Apungan Air
(backfloat), Teknik Pernafasan dan Asas Berenang, Kemahiran Asas Menyelamat, Aktiviti
‘One Team One Courage’ dan Aktiviti ‘Practical Without Fear’. Kelima-lima elemen ini
berdasarkan modul Program Keyakinan Air (Water Confident) yang telah disediakan oleh
pihak jurulatih. Tambahan pula, elemen yang akan diajar merupakan perkara asas yang
perlu diketahui oleh para peserta untuk melatih kemahiran serta keyakinan di dalam dan
sekitar air.

Justeru, sebelum memulakan aktiviti-aktiviti ini, peserta perlu didedahkan dengan


sejarah jaket keselamatan, bahagian-bahagian jaket keselamatan serta cara memilih dan
memakai jaket keselamatan yang betul. Hal ini bagi menjamin keselamatan setiap peserta
kerana penggunaan jaket keselamatan adalah penting dan menjadi keutamaan dalam
aktiviti ini. Bukan itu sahaja, para peserta juga hendaklah mempelajari isyarat atau simbol
berenang seperti isyarat berhenti, isyarat penentu arah haluan, isyarat panggil balik, isyarat
panggil balik kerana kecemasan dan isyarat semua peserta dalam keadaan baik. Kesemua
isyarat ini perlulah dititiberatkan oleh para jurulatih kepada peserta agar mereka memahami
arahan dan makna isyarat tersebut.

Pertama sekali, para peserta dibahagikan kepada 7 kumpulan iaitu seramai 5 atau 6
peserta bagi setiap kumpulan. Hal ini bertujuan meningkatkan semangat kerjasama dalam
diri setiap peserta. Bagi memulakan aktiviti yang pertama iaitu kemahiran apungan
(backfloat), setiap kumpulan diminta masuk ke dalam air dengan berpegangan tangan
antara satu sama lain. Kemudian, setiap peserta diarahkan untuk mencuba mengapungkan
diri sambil memegang tangan rakan di sebelah. Sebelum itu, jurulatih akan membuat
simulasi kepada peserta tentang bagaimana cara untuk melakukan apungan dengan betul
semasa di dalam air. Apungan akan dilakukan secara ansur maju iaitu daripada air yang
cetek sehingga air yang dalam. Kemudian, apabila kesemua peserta sudah yakin, mereka
boleh melepaskan tangan rakan dan cuba mengapungkan diri sendiri dengan pengawasan
jurulatih di dalam kawasan kawalan.

Di samping teknik apungan, para peserta turut didedahkan kepada teknik pernafasan
dan asas berenang. Ini termasuklah teknik kuak dan pernafasan, gaya bebas, kuak lentang
asas dan gaya sisi. Sebagai contoh, di dalam teknik asas berenang peserta diajar cara
bernafas dengan betul iaitu tarik nafas melalui mulut dan dilepaskan melalui hidung. Teknik
ini adalah berbeza dengan cara kita bernafas seperti biasa. Justeru, para peserta hendaklah
mempraktikkan dan berlatih membuat teknik pernafasan ini berulang kali agar mereka
mampu bernafas dengan cara yang betul di dalam air.

Berbeza dengan aktiviti pertama dan kedua, aktiviti asas menyelamat ini dijalankan
secara berpasangan (Buddy System). Sebelum itu, para peserta akan diberi taklimat
berkaitan cara untuk menyelamatkan orang di dalam air. Terdapat beberapa cara yang
berbeza untuk menyelamatkan mangsa iaitu dengan menggunakan tali, tong dan juga
(rescue ring). Sehubungan dengan itu, peserta diarahkan membuat latihan asas
menyelamat ini secara berpasangan setelah melihat simulasi oleh para jurulatih. Seterusnya
bersama pasangan masing-masing, ada yang akan berlakon menjadi mangsa dan ada yang
akan berlakon sebagai penyelamat. Peserta akan bergilir-gilir mengadakan aktiviti tersebut
agar masing-masing dapat merasai pengalaman menjadi seorang mangsa dan juga seorang
penyelamat. Sebagai langkah keselamatan, aktiviti ini akan dipantau oleh jurulatih-jurulatih
yang bertugas.

Elemen yang keempat di dalam modul tersebut pula ialah aktiviti ‘One Team One
Courage’. Aktiviti ini diteruskan selepas semua peserta makan tengahari. Para jurulatih
menyasarkan peserta untuk membuat aktiviti ini di dalam formasi kumpulan. Untuk
melaksanakan aktiviti ini, para peserta diarahkan bepegangan tangan, membuat formasi
kumpulan dan menyusuri tasik bersama-sama. Walaupun aktiviti air ini diminati ramai dan
seringkali dianggap mudah atau remeh, namun ramai dikalangan peserta didapati tidak
mampu mengapungkan badan dengan baik semasa latihan apatah lagi sewaktu
kecemasan. Oleh itu, amat penting untuk melatih para peserta supaya tetap bertenang dan
menguasai asas apungan serta pernafasan ini terutamanya di dalam detik-detik kecemasan
dan sebagainya.

Aktiviti yang terakhir dinamakan sebagai aktiviti ‘Practical Without Fear’. Aktiviti ini
memerlukan peserta mengaplikasikan segala kemahiran dan teknik yang telah dipelajari.
Sebelum melaksanakan aktiviti ini, para peserta diminta bergerak ke kawasan darat terlebih
dahulu untuk membuka jaket keselamatan. Kemudian, mereka diarahkan untuk turun
semula ke dalam tasik di kawasan yang cetek. Kesemua peserta hendaklah berada di dalam
kumpulan masing-masing dan mencuba mengapungkan diri bersama-sama tanpa memakai
jaket keselamatan sambil dipantau oleh jurulatih. Bagi peserta yang tidak berjaya
mengapungkan diri, bimbingan akan diberikan oleh jurulatih sehingga mereka mampu
melakukannya.
SELEPAS

Setelah semua peserta selesai menjalani aktiviti keyakinan air, mereka hendaklah
pulang ke pengkalan mengikut arahan para jurulatih. AJK yang bertanggungjawab seperti
AJK Keselamatan perlu mengira jumlah peserta untuk memastikan kesemua peserta
selamat tiba di pengkalan. Hal ini bagi mengelakkan tiada peserta yang tercicir atau hilang di
tempat tersebut.

Bukan itu sahaja, segala peralatan yang digunakan perlulah diselenggara sebelum
dibawa pulang. Oleh itu, AJK Peralatan perlulah bekerjasama dengan para peserta yang lain
untuk memastikan bilangan alatan yang dipulangkan mencukupi. Selain itu, alatan yang
telah digunakan seperti jaket keselamatan dan (rescue ring) perlulah dibersihkan dan dibilas
terlebih dahulu dengan air bersih kemudiannya dijemur sebelum dibawa masuk ke dalam
bas. Sebarang alatan yang rosak atau hilang hendaklah dilaporkan kepada jurulatih dengan
segera untuk tindakan selanjutnya.

Sebagai kesimpulan, sesi refleksi diadakan untuk mengenalpasti perasaan dan respon
para peserta sepanjang program keyakinan air dijalankan. Para jurulatih juga bersoal jawab
dengan peserta berkaitan rasional aktiviti yang dijalankan agar peserta faham dan mampu
mengaplikasikannya pada situasi-situasi tertentu pada masa akan datang. Kemudian,
peserta melakukan persiapan diri, solat Jama’ Takhir Asar dan Zohor serta minum petang.
Sebelum bersurai, sebuah majlis penutup yang dikendalikan oleh AJK Majlis Penutup dan
AJK Cenderahati diadakan secara ringkas sebagai penghargaan kepada para jurulatih dan
peserta yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini. Sesudah tiba di IPGKDA, peralatan-
peralatan yang dibawa seperti jaket keselamatan dan (rescue ring) hendaklah diletakkan
semula ke tempat asal mengikut jenis dan saiz sambil diperiksa oleh AJK Peralatan.
Seminggu kemudian, sebuah mesyuarat ‘Post mortem’ diadakan dan setiap ketua AJK
dikehendaki memberi maklum balas akan tugasan masing-masing untuk melihat sebarang
kekurangan dan kelemahan yang boleh diperbaiki dan ditambahbaik pada masa akan
datang.

Anda mungkin juga menyukai