Anda di halaman 1dari 6

TRANSKRIP VIDEO RUJUKAN KURSUS FALSAFAH DAN ISU SEMASA

KULIAH 2: FALSAFAH DAN KEHIDUPAN


TEMUBUAL NURFA FAILASUF (PENGACARA) DAN
PROF. HAZIM SHAH (PENSYARAH UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

NURFA FAILASUF: Kembali lagi kita dalam Kuliah Kedua, Falsafah dan Kehidupan. Banyak orang tahu
apa itu falsafah tetapi tidak banyak orang tahu apakah maksud falsafah. Jadi, Nurfa nak terangkan
definisi falsafah. Falsafah ataupun philosophy berasal dari perkataan Greek iaitu philosophia. Philo
bermaksud cinta dan Sophia bermaksud kearifan iaitu cinta kepada kearifan. Bolehkah Prof. terangkan
apakah takrifan-takrifan lain tentang philosophy atau falsafah dalam falsafah itu sendiri?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, tadi Nurfa telah memberikan satu takrifan istilah falsafah itu yang berbunyi
bahawa falsafah adalah kecintaan terhadap kearifan (love of wisdom). Ini adalah takrifan yang biasa
diberikan apabila merujuk kepada Falsafah Greek dimana konsep ini terhasil. Semenjak konsep itu
dikemukakan, terdapat fahaman-fahaman lain tentang apakah yang dimaksudkan dengan falsafah itu.
Maksud-maksud ini juga membawa orientasi yang berlainan terhadap kajian falsafah itu sendiri.
Hinggakan pada hari ini terdapat aliran-aliran yang berbeza berasaskan kepada pentakrifan yang
berbeza tentang apa yang dimakusdkan dengan aktiviti atau ilmu falsafah itu dan sama ada falsafah
itu merupakan ilmu yang statik atau suatu yang dinamik atau sesuatu yang bukannya bersifat
dogmatik atau doktrinal tetapi merupakan satu aktiviti pemikiran. Ini juga termasuk dalam
pendekatan berlainan dalam falsafah. Jika kita lihat falsafah dari segi love of wisdom maka di situ
penekanannya adalah terhadap kehidupan iaitu falsafah bertujuan untuk memberikan kita satu
panduan tentang bagaimana untuk melahirkan suatu kehidupan yang baik yang membawa kepada
kebahagiaan.

Jadi, falsafah itu bukan hanya suatu ilmu atau bentuk pemikiran tetapi mempunyai kesan dan hasil
terhadap kehidupan itu sendiri. Inilah satu pendekatan yang terdapat dalam kegiatan berfalsafah pada
masa dahulu dan juga tamadun-tamadun yang lain selain daripada Tamadun Greek misalnya tamadun
Asia seperti Tamadun Cina dan India di mana falsafah itu mempunyai kaitan rapat dengan fahaman
keagamaan yang juga mempunyai tujuan untuk melahirkan satu kehidupan yang baik, satu kehidupan
insan yang mulia dan bagaimana mencari kebahagiaan. Fokus falsafah itu adalah insan dan
kemanusiaan itu sendiri.

Tetapi selepas perkembangan itu, terdapat juga perkembangan-perkembangan lain dimana falsafah
tidak lagi memberi penekanan terhadap soal kearifan dan kehidupan dan kebahagiaan manusia tetapi
lebih kepada alam tabi’i iaitu (natural philospophy). Ahli-ahli falsafah cuba mendirikan teori masing-
masing tentang apakah sifat alam tabi’i atau alam semula jadi ini. Itu menunjukkan peralihan fokus
daripada manusia kepada alam tabi’i. Dan wujud teori-teori falsafah yang mengisahkan tentang
apakah sifat alam ini dan ini termasuk dalam bidang metafizik dalam kajian falsafah iaitu cuba
mengkaji persoalan apakah bentuk realiti sebenar, apakah alam ini cuma bersifat material ataupun
mengandungi unsur-unsur lain yang real yang bukan bersifat material. Jadi, ini semua adalah
persoalan apakah hakikat yang terdapat dalam alam ini. Disitu kita lihat persoalannya sudah beralih
bukan kepada manusia tetapi kepada alam tabi’i. Ini adalah satu lagi bentuk falsafah dan apa
dimaksudkan dengan falsafah.

Satu lagi perkara yang berlaku dalam perkembangan falsafah ini ialah wujudnya satu konsep falsafah
sebagai suatu aktiviti intelektual yang cuba menyelesaikan masalah-masalah falsafah. Dalam
pendekatan tersebut, penekanan diberikan kepada apakah masalah falsafah tersebut dan apakah

1
penyelesaian dan bentuk-bentuk penyelesaiannya. Kalau kita lihat dari segi itu, falsafah telah beralih
arah kepada suatu bidang yang bersifat akademik yang cuma menghuraikan persoalan-persoalan
intelektual dengan penyelesaian-penyelesaian yang tertentu tanpa mengaitkannya dengan kearifan
dan kehidupan manusia. Maka timbullah gerakan-gerakan seperti positivisme logical, analytic
philosophy, falsafah bahasa (philosophy of language) dan sebagainya sama ada falsafah itu genuine
ataupun tidak seperti yang dikatakan oleh Wittgenstein, “there are no real philosophical problems”;
“there are only linguistic misunderstanding that are construed as philosophical problems”. Jadi kita
dapati bahawa falsafah itu sendiri mempunyai orientasi yang berbeza dan dengan itu kita boleh
memberikan takrifan-takrifan berbeza menurut fahaman orientasi yang berbeza tadi. Sehinggakan
pada hari ini, tidak ada konsensus sebenarnya tentang apakah kegiatan atau ilmu yang dianggap
falsafah itu.

Tetapi satu perkara yang dikongsi bersama oleh kegiatan-kegiatan atau ilmu falsafah yang terdapat di
Barat adalah penekanan mereka terhadap kegiatan penyelesaian masalah (problem solving) dan
falsafah itu sebagai sesuatu yang cuba menyelesaikan masalah dengan menggunakan hujah-hujah
yang rasional dan juga di abad ke-19 dan ke-20 dengan secara logikal ataupun penggunaan kaedah
logik yang melibatkan logik simbolik yang bersifat matematikal. Jadi penghujahan rasional dan
penglibatan logik dalam kegiatan berfalsafah itu mendirikan satu bentuk falsafah yang agak berlainan
dan baru yang mungkin selaras dengan ilmu itu sebagai sesuatu yang mempunyai justifikasi tersendiri
yang dalam kes falsafah bersifat justifikasi rasional dan konseptual. Ini merupakan sesuatu yang agak
berbeza bukan sahaja dalam falsafah yang terdapat dalam zaman Greek berteraskan kepada persoalan
kehidupan dan kebahagiaan tetapi juga berbeza dari falsafah-falsafah yang terdapat dalam falsafah
Timur yang tidak bersifat konseptual tetapi lebih kepada kata-kata hikmah yang apa yang kita
harapkan sebagai wisdom dan sebagainya. Mungkin tidak berhujah secara mendalam menggunakan
logik dan rasionaliti, tetapi lebih kepada kaedah induktif dan metafizikal keinginan untuk
menghuraikan realiti mengikut pandangan ataupun vision masing-masing yang tidak semestinya
berdasarkan hujah rasional semata-mata.

NURFA FAILASUF: Falsafah boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu falsafah teoritikal dan
falsafah praktikal. Boleh tak Prof. terangkan apa itu maksud falsafah teoritikal?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Apa yang dimaksudkan dengan falsafah teoritikal terlebih dahulu. Seperti
yang dikatakan tadi falsafah boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu satu yang berbentuk
teoritis ataupun teoritikal dan satu lagi berbentuk praktis atau praktikal. Yang pertama, falsafah
teoritikal atau yang bersifat teoritikal itu adalah falsafah yang merujuk kepada persoalan-persoalan
dasar yang memerlukan satu usaha intelektual yang agak mendalam, untuk menjawab persoalan-
persoalan dasar tadi dimana perbincangannya atau diskusinya mungkin tidak mempunyai apa-apa
kegunaan yang nyata tetapi ianya memuaskan intellectual curiosity ataupun keinginan untuk
mengetahui sesuatu perkara yang dasar itu misalnya dalam bidang metafizik yang dianggap sebagai
satu cabang falsafah teoritikal.

Selain daripada metafizik, kita juga mempunyai cabang falsafah seperti ilmu logik dan juga
epistemologi. Kesemua ini dianggap sebagai cabang falsafah atau contoh ilmu di bawah falsafah
teoritikal. Kalau kita lihat logik, epistemologi dan metafizik, mereka mempunyai ciri teoritikal ini
dimana ilmu-ilmu tersebut cuba memberi jawapan kepada persoalan falsafah yang asas dan dasar
seperti metafizik, apakah yang dimaksudkan dengan realiti itu? Dan apakah realiti perkara yang wujud

2
itu? Ini semua perkara yang asas dan dasar tentang hakikat kewujudan. Dan mungkin tidak ada suatu
kegunaan yang praktikal hasil daripada ilmu mengenai perkara tersebut. Dan juga kalau kita lihat
dalam kajian epistemologi ia cuba menjawab persoalan-persoalan seperti apakah sifat ilmu itu? Dan
apakah ilmu itu boleh dipercayai dan jika boleh atas dasar apa? Jadi, ianya bukan merujuk kepada
mana-mana ilmu-ilmu yang tertentu ataupun disiplin-disiplin ilmu yang khusus tetapi ilmu secara
menyeluruh. Dengan itu, mungkin tidak ada aplikasi secara langsung yang boleh didapati daripada
perbincangan tentang ilmu yang sedemikian. Begitu juga dengan logik. Logik dalam bentuk logik
matematik begitu abstrak sekali sehingga ianya tidak mempunyai kegunaan secara langsung. Jadi ini
semua mendirikan apa yang dikatakan falsafah terotikal itu.

NURFA FAILASUF: Bagaimana pula dengan praktikal?

PROF. HAZIM SHAH: Yang dimaksudkan dengan praktikal adalah bidang-bidang falsafah yang dimana
perhasilan perbincangan falsafah tersebut boleh digunakan dalam disiplin-disiplin yang tertentu.
Apakah contoh-contoh falsafah yang boleh dikategorikan dalam falsafah praktikal. Antara bidang-
bidang yang boleh saya berikan sebagai contoh adalah falsafah politik, falsafah ekonomi dan falsafah
sosial. Jadi dalam falsafah-falsafah tersebut kita lihat bahawa ianya mempersolkan tentang sesuatu
bidang yang mempunyai aplikasi misalnya bidang ekonomi. Falsafah ekonomi membincangkan
tentang perkara-perkara dan persoalan dasar mengenai ekonomi. Contoh, apakah yang dimaksudkan
degan keadilan ekonomi (economic justice). Jadi kalau hanya sebut tentang ekonomi, mungkin tidak
ada aspek falsafah disitu. Tetapi jika dimasukkan unsur keadilan, bagaimana kita boleh mencapai
keadilan dalam allocation of resources secara adil kepada semua lapisan masyarakat dan sebagainya
ini menimbulkan persoalan falsafah. Kerana apa? Kerana membincangkan soal keadilan. Bagaimana
keadilan itu boleh dipraktikkan dalam konteks ekonomi khususnya dalam pembahagian sumber
antara lapisan masyarakat yang berbeza-beza. Tetapi hasil daripada pemikiran falsafah mengenai
ekonomi atau melalui persoalan economic justice tadi boleh digunapakai supaya dasar ekonomi itu
akan lebih adil lagi dalam pembahagian economic resources atau sumber ekonomi. Jadi ini nyata
mempunyai kegunaan untuk membantu kerajaan dalam membentuk polisi-polisi yang lebih adil dan
dengan itu lebih mudah diterima oleh masyarakat umum. Dan tidak ada pertikaian yang fundamental
mengenai dasar kerajaan mengenai pembahagian ekonomi misalnya. Jadi itu satu contoh. Mungkin
dalam bidang-bidang falsafah yang lain juga begitu.

Misalnya dalam falsafah politik. Apakah yang dimaksudkan dengan government atau konsep kerajaan?
Apakah bentuk kerajaan yang baik? Apakah ciri-ciri good governance? Semua ini hasil perbincangan
falsafah dan boleh memberi hasil yang praktikal dan boleh menjadi nasihat kepada kerajaan tentang
bagaimana untuk mentadbir sesuatu negara itu dalam sistem kerajaan seperti demokrasi dan
sebagainya dengan sebaik mungkin supaya rakyat mendapat manfaat daripada sistem politik yang
dihasilkan melalui pemikiran falsfah dan melalui nasihat yang boleh diberikan oleh ahli-ahli falsafah.
Dalam sejarah falsafah pun kalau kita lihat dalam tulisan Plato bukunya The Republic. Disitu dia
menganjurkan satu masyarakat yang ideal, prinsip-prinsip politik yang ideal yang mungkin boleh
dipraktikkan oleh sesuatu pemerintah itu. Jadi itu yang dimaksudkan dengan falsafah praktikal tadi.

NURFA FAILASUF: Sekarang baru Nurfa dapat penjelasan dan tahu bahawa sistem kerajaan seperti
demokrasi, liberal demokrasi, Marxisme dan Komunisme adalah berkaitan dan berpunca daripada
falsafah. Sungguh besar peranan falsafah dalam kehidupan kita.

3
PROF. HAZIM SHAH: Ya, memang benar seperti apa yang diperkatakan Nurfa tadi. Saya anggap ini
adalah satu rumusan yang tepat sekali mengenai sifat falsafah khususnya falsafah yang berbentuk
praktikal. Kalau kita lihat kepada falsafah misalnya Marxisme. Ianya berasaskan kepada pemikiran ahli
falsafah yang bernama Karl Marx. Jadi ramai yang tidak mengetahui bahawa Karl Marx bukan sahaja
ahli ekonomi tetapi bermula sebagai seorang ahli falsafah. Ini nyata apabila kita lihat bahawa Ph.D
tesisnya adalah mengenai bidang falsafah. Kalau tak silap saya mengenai falsafah Hegel. Jadi, kita lihat
disini bagaimana pemikiran falsafah itu boleh menggoncang dunia. Kerana pada suatu masa dahulu,
fahaman Komunis yang berasaskan kepada falsafah Marxisme telah mempengaruhi negara-negara
besar seperti Rusia dan Cina yang menganuti fahaman sosialis ala Karl Marx.

NURFA FAILASUF: Selain daripada falsafah-falsafah yang telah dibincangkan oleh Prof. tadi. Namun
terdapat juga falsafah baru iaitu falsafah alam sekitar dan falsafah teknologi. Boleh tak Prof. terangkan
apakah itu falsafah alam sekitar dan falsafah teknologi?

PROF. HAZIM SHAH: Boleh tiada masalah. Falsafah teknologi dan falsafah alam sekitar yang
merupakan dua jenis falsafah yang relatively new secara relatifnya boleh dianggap baru berbanding
falsafah teoritikal, falsafah etika dan sebagainya. Falsafah alam sekitar misalnya merujuk kepada
persoalan-persoalan dasar dan bercorak falsafah mengenai alam sekitar. Kenapa persoalan ini wujud?
Salah satu sebab kenapa ia wujud ialah kerana adanya masalah-masalah alam sekitar yang telah
melanda manusia dan tamadun kita pada masa kini hingga mencetuskan satu macam krisis yang
disebut sebagai ecological crisis. Ini mencetuskan satu pemikiran baharu dalam kalangan ahli fikir dan
ahli falsafah yang menimbulkan persoalan-persoalan seperti; apakah hubungan manusia dengan alam
sebenarnya? Apakah makna alam ini bagi kehidupan manusia? Adakah alam ini hanya untuk manusia
menggunakan bagi kepentingan ekonominya bagi keselesaan atau adakah alam ini sesuatu yang lebih
dari sumber ekonomi semata-mata? Jadi ini semua mempunyai kesan terhadap cara kita berfikir
tentang alam sekitar. Misalnya kalau kita menganggap alam ini adalah sesuatu yang merupakan
tempat kita bernaung, tempat kita mencari rezeki dan tempat kita menjalinkan hubungan yang
harmoni antara manusia dan manusia, manusia dan alam sekitar dan persekitarannya sudah tentulah
etika yang timbul terhadap alam sekitar akan berbeza. Kita akan lebih menjadi eco-friendly terhadap
alam sekitar dan kita tidak melakukan sesuatu yang memusnahkan alam sekitar seperti apa yang
didapati pada hari ini.

Begitu juga dengan falsafah teknologi. Kenapa falsafah teknologi muncul? Kerana munculnya
teknologi-teknologi baru yang kemunculannya begitu pesat selepas revolusi industri yang kedua di
abad yang ke-19 kita ada banyak revolusi industri-industri baru seperti teknologi pembuatan kereta,
kapal terbang, telefon, television dan sekarang ini internet dan sebagainya. Jadi teknologi-teknologi
tersebut mempunyai impak yang sangat besar terhadap kehidupan manusia, sosial dan individu. Dan
dengan itu memerlukan sesuatu pemikiran yang dasar iaitu pemikiran falsafah tentang apakah yang
dimaksudkan dengan teknologi itu dan apakah hubungan teknologi dengan manusia dan apakah sifat
teknologi itu sendiri dan sama ada teknologi itu boleh kita anggap sebagai sambungan kepada diri
manusia itu (Is technology an extension of the human itself?) ataupun teknologi itu dianggap sebagai
sesuatu yang boleh mengancam kemanusiaan itu sendiri seperti misalnya teknologi membuat bom
atom, senjata-senjata nuklear, ataupun baru-baru ini teknologi berasaskan artificial intelligence yang
boleh menghasilkan robot-robot yang mungkin mengambil alih kehidupan manusia suatu hari nanti.

4
Jadi kita lihat betapa relevennya falsafah teknologi kepada perkembangan-perkembangan pesat yang
berlaku dalam bidang teknologi yang mempunyai kesan yang mendalam terhadap manusia dan
kemanusiaan itu sendiri.

NURFA FAILASUF: Apa pula tentang falsafah Confucianisme dan falsafah Taoisme? Adakah falsafah
sebegini diiktraf oleh Barat dan diguna pakai pada dunia moden ini?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Sebenarnya ini telah menjadi tajuk atau topik perdebatan dalam kalangan
ahli-ahli falsafah dan ahli akademik, dimana terdapat dua pandangan utama yang berbeza sama ada
falsafah-falsafah bukan Barat seperti yang terdapat dalam falsafah Timur, India, Cina dan juga falsafah
Islam. Falsafah-falsafah tersebut sama ada boleh diterima sebagai falsafah juga sepertimana falsafah
yang terdapat di dunia Barat. Jadi, ada yang mengatakan ya, falsafah Timur yang bukan Barat yang
mempunyai ciri-ciri sendiri boleh juga dianggap sebagai ilmu falsafah sebagaimana ilmu falsafah yang
terdapat dalam dunia Barat itu sebagai ilmu falsafah. Itu satu pandangan. Ada juga yang menentang
pandangan ini dan berpendapat bahawa apa yang disebut sebagai falsafah dalam pemikiran Timur itu
tidak sama sifatnya seperti falsafah di Barat. Dengan itu mereka mengatakan bahawa mungkin apa
yang terdapat dalam pemikiran Timur itu lebih bersifat kajian mengenai cara-cara hidup yang betul
dan baik (virtual living) dan sebagainya seperti yang terdapat dalam keagamaan mereka dan juga
mungkin merupakan cara mereka membentangkan pandangan alam mereka yang tak semestinya
mempunyai satu sokongan yang rasional kerana mungkin bersifat metafizikal dan juga bersifat emosi
dan sebagainya yang tidak diterima sebagai kaedah yang legitimate ataupun yang sahih dalam falsafah
Barat. Jadi itu pandangan mereka yang menentang klasifikasi falsafah Timur sepertimana yang
difahami dalam falsafah Barat.

Tetapi secara peribadi saya berpandangan sikap yang sedemikian mencerminkan satu sikap yang
bersifat eorosentrik terhadap ilmu. Saya rasa ini tidak boleh diterima dan tidak wajar kerana falsafah
Barat juga ada yang bersifats edemikan umpanay teori2 metafizik mereka mencerminkan [andangan
alam mereka yang mungkin juga tidak mempunyai sokongan yang rasioal 100% tetapi lebih bersfat
imaginatif tentang alam dan sebagainya. Kalau kita lihat falsafah Barat itu sendiri ianya tidak bersifat
monolitik. Kalau dikatakan faslafah bara itu berasaskan hujah-hujah rasional dan sebagainya.
Bagaimana pula dengan faslafah Pascamodenisme? Yang tidak berteraskan kepada hujah-hujah
rasional tetapi merupakan penentangan kepada rasionaliti sendiri. Dimana aspek bukan rasional
seperti emosi dan intuisi yang menentang apa yang difahami oleh pascamodenis sebagai
logocentrisme bagaimana ini semua tidak selari dengan konsepsi falsafah yang diterima oleh setengah
ahli falsafah Barat.

Jadi saya lihat isu adakah falsafah bersifat rasional ataupun tidak adalah satu isu yang mempunyai
kesan terhadap konsepsi falsafah dalam kalangan ahli-ahli falsafah Barat sendiri. Jadi semua ini bagi
saya menandakan konsepsi falsfah ituntidak harus disempitkan tetapi dilonggarkan supaya semua
jenis pemikiran yang boleh kita anggap sebagai apa yang dikatakan oleh Wittgenstein tentang family
resemblance walaupun tidak ada persamaan yang menyeluruh atau 100% tetapi mencukupi jika ada
kesamaan sedikit sebanyak dalam ciri-ciri falsafah itu dalam kalangan ahli falsafah serata dunia. Semua
itu saya rasa boleh diterima sebagai falsafah. Falsafah itu haruslah bersifat inklusif supaya kita boleh
menerima ilmu-ilmu yang lain tentang alam, manusia dan sebagainya dari luar masyarakat Barat juga
sebagai pemikiran falsafah.

5
NURFA FAILASUF: Rumusannya kita perlu lihat falsafah ini merupakan satu skop yang sangat luas. Kita
tidak boleh lihat falsafah hanya sekadar teori sahaja tetapi juga praktikal. Teori demokrasi ini telah
dipraktiskan oleh kerajaan dan sampai sekarang kita ada praktikal yang telah dianjurkan oleh falsafah.

Anda mungkin juga menyukai