Anda di halaman 1dari 4

KISAH NABI SULAIMAN DAN BURUNG HUD-HUD

Surah Al-Namlu Ayat 20-28

Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam Al Quran. Kisah ini
dirakamkan di dalam surah An Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia menjadi pengajaran kepada manusia, kisah
mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah
Sulaiman A.S.

Pada satu ketika, Nabi Sulaiman A.S mengumpulkan seluruh pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka
baik dari kalangan manusia, jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir
sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman A.S murka kepada Hud-Hud dan bertekad akan menyembelihnya
sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh
pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang diwajibkan
oleh Baginda Sulaiman. Hud-Hud menjelaskan kepada Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang
wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba’ yang memiliki singgahsana yang besar, tetapi
malangnya ratu tersebut tidak beriman dan tunduk kepada Allah Taala.

Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Baginda mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat
perkara itu dan membawa surat perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah
seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
Keistimewaan yang dimiliki oleh Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan dahagakan maklumat.
Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan
membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya.

Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-
Hud memiliki sifat berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi
Sulaiman.
Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan,
apalagi jika ucapan tersebut ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya Nabi Sulaiman
mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya
menyerlahkan sisi lain yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih menguasai diri Nabi
Sulaiman, “…Kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas”.

Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba’ untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-
prinsip umum seperti mengabaikan perintah pemimpin dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke
perbarisan Nabi Allah Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan
politik di negeri Saba’. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi men-tauhidkan umat manusia,
bukannya misi-misi berbentuk sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi
misi menyelamatkan manusia dari menjadi ‘parasit’ kekufuran.

Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan untuk bersikap tidak Wala’ kepada pimpinan, iaitu wabak
‘meroyan’ dan ‘hilang kawalan’ dan ’emosional‘, atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan
pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah
ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis gerakan Islam untuk buat ‘kepala sendiri’ atau ingin
berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, iaitu mahu meninjau ‘kawasan’ sahaja tanpa melakukan kerja lain. Ini kerana
yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi Sulaiman, tetapi mungkin seekor gagak hitam
yang merayau-rayau meninjau timbunan sampah.

Hud-Hud tetap meletakkan ketaatan kepada Nabi Sulaiman kerana ketaatan kepada pemimpin adalah perkara dasar
(thawabit) dalam berjamaah, bukan mengabaikannya. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa
seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk
menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah,
kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-
rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak
yang baik. Baginda Nabi Muhammad S.A.W sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik,
Baginda S.A.W pada awalnya dikenal melalui akhlak yang mulia sehingga digelar oleh sahabat dan musuh sebagai
“Al Amin”.

Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah
memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak semberono dan
menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman dapat dilihat melalui katanya di dalam surah An
Naml ayat 27:

Ketegasan ini menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera percaya dengan setiap alasan yang diberikan
tanpa penelitian. Dalam lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan
yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya.
Periksa betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan
realitinya ‘jauh panggang dari api’. Ini kerana informasi yang tepat & boleh dipercayai sangat penting untuk
meneruskan kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju tanpa ‘tempang’.

Itulah yang ditekankan oleh Nabi Allah Sulaiman, Baginda tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-
Hud, sebaliknya memeriksa intipati kebenarannya:

Di dalam Surah An Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman juga mengajarkan bahawa seseorang
pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin harus
memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang
mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmum-nya. Kata Umar Al Khattab
R.A,

Nabi Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak meremehkan perkara kecil, kerana
seringkali sesuatu yang besar bermula dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil
jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera
kecilnya bernama Hud-Hud tetap direkodkan di dalam Al Quran kerana “kejujuran”nya. Selain itu, sebagai manusia
kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu
mengajak manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut tanpa menunggu arahan
khusus.

Dalam medan dakwah, pada awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu, kemudian akhirnya nanti ia
menjadi garapan organisasi sebagaimana kejayaan dakwah Nabi Muhammad S.A.W yang bermula dari era pembinaan
umat di Madinah, tetapi impak mutakhirnya Baginda berjaya mencipta pelbagai versi tamadun kerajaan dan
ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah Islam.
Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci “Misi & Visi”. Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki
visi dan misi-nya iaitu “MENTAUHIDKAN ALLAH”, maka apatah lagi manusia yang diberikan kudrat
menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi ini. Dengan visi dan misi inilah Salahuddin Al
Ayyubi dapat menguasai kembali Baitul Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin Qutuz berjaya menewaskan
tentera Tatar yang dianggap umat Islam waktu itu sebagai Ya’juj wa Ma’juj, dengan visi dan misi ini juga
menyebabkan Khalid Al Walid tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai panglima perang oleh
Khalifah.

Penutup

Marilah kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata mentauhidkan Allah Taala. Elakkan cara berfikir “ia
bukan kerja saya”, sebaliknya bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan ‘lewat’nya, tetapi
komitmen-nya, ke-ikhlasannya, kejujurannya dan gerak kerjanya dipertaruhkan semata-mata demi usaha
mentauhidkan Allah Taala. Kita belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk mentauhidkan Allah
Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan kepartian untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-
kecil perkara sekalipun seperti menulis di “wall facebook” dan sebagainya juga demi mentauhidkan Allah Taala.

Ini kerana, jika anda benar-benar jujur, kesalahan bukanlah ukuran seseorang itu melakukan kederhakaan, tetapi
adalah kejayaan yang akan menjadi renungan pada hari ‘esok’. Kejujuran adalah sifat para pendokong kemenangan.
Hal ini dapat kita pelajari dari kekalahan umat Islam di perang Mu’tah, iaitu ketika ketiga-tiga orang panglima perang
yang dilantik Rasulullah S.A.W gugur syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib, dan Abdullah bin
Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih tempat ketua tentera, atas permintaan beberapa individu di dalamnya.
Khalid Al Walid melihat bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tentera Rom. Oleh itu, Khalid
membuat keputusan membawa tentera pulang ke Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah, mereka telah
disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata, “Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah
lari daripada medan jihad di jalan Allah”.

Lantas Rasulullah S.A.W membela Para Sahabatnya yang jujur, “Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi
mereka adalah orang yang akan mengulangi peperangan, Insya Allah” [ Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/292 ]

Sumber Rujukan:

[1] Min Fiqhil Aulawiyyat, Dr. Majdi Hilali


[2] Feqh Nasr wa Tamkin, Dr. Mohamad Ali As Solabi

Anda mungkin juga menyukai