Anda di halaman 1dari 3

TEMA : HIKMAH DISEBALIK UJIAN

TAJUK : MENELUSURI TELADAN TELAGA ZAM ZAM

Oleh: Nuraina Aqilah Binti Saleh

Cuaca di padang pasir memang tidak lari dari sifatnya yang panas membahang. Jika difikir dengan logik akal,
mana mungkin akan ada tamadun yang hidup dengan suasana sebegitu. Namun, dengan kekuasaan Allah,
segala yang mustahil boleh terjadi. Ditengah-tengah kepanasan itu, terdapat suatu bangsa yang menjadi
penjaga dan pengguna kawasan tandus berbahang ini. Ya, mereka adalah bangsa Arab Quraisy. Bangsa yang
mempunyai banyak kabilah dan bani. Sumber kehidupan mereka adalah dengan berdagang, mengembala
haiwan ternakan dan mereka turut dikenali dengan ketinggian bahasa-bahasa puitis dalam memuji begitu juga
dalam mencerca.

Di sebalik dinding rumah yang diperbuat daripada susunan batu, kelihatan si anak yang sedang memberikan
sepenuh perhatian pada setiap bait ayat yang keluar daripada mulut si ibu. Kadang-kadang mukanya berkerut,
kadang-kadang mukanya kembali tenang. Barangkali sangat khusyuk mendengar cerita si ibu.

“Tahu tak bagaimana boleh mengalirnya air zam-zam yang menjadi sumber keperluan utama di
kawasan kita?” Soal si ibu kepada anaknya.

“Tidak tahu ibu. Ceritalah bagaimana kejadiannya?” Pinta si anak

“Kisahnya bermula apabila Nabi Ibrahim diperintahkan untuk meninggalkan isterinya Siti Hajar bersama
anaknya Nabi Ismail yang ketika itu masih kecil di kawasan tandus yang tidak punya apa-apa. Cuba anakku
bayangkan, kawasan padang pasir yang panas membahang. Tiada pokok, bahkan punca air.”

“Pasti mereka tersangat lapar dan dahaga. Adakah mereka akan mati kelaparan?” Pintas si anak
sebelum sempat si ibu menyambung ayatnya. Sambil tersenyum, si ibu meneruskan kata-katanya.

“Bijak anakku. Sudah pasti mereka akan terasa amat lapar dan dahaga. Jika anakku nak tahu, disaat
itulah bermulanya kisah yang menjadi tauladan dan pengajaran buat seluruh umat manusia.”

“Kisah ini diabadikan oleh Allah swt didalam Al-Quran surah Ibrahim ayat ke 37. Maksudnya; “Ya Tuhan,
sesungguhnya aku telah menempatkan sebagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-
tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan (yang demikian itu) agar mereka
melaksanakan salat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka
rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” Si anak mula khusyuk mendengar.
“Ismail yang ketika itu masih kecil mula kelaparan dan menangis. Ketika itu susu ibunya Siti Hajar telah kering
kerana tidak makan dan minum.

“Kemudian …..” soal si anak sambil membuat mimik muka yang sedih.

“Kemudian, apabila Ismail mula menangis dengan kuat, Siti Hajar mula panik dan resah. Dia cuba menenangkan
anaknya namun tidak berjaya. Siti Hajar ketika itu ibarat cacing kepanasan kerana buntu tidak tahu nak buat
apa. Di dalam hatinya tidak putus-putus doa memohon pertolongan daripada Tuhan.”

Si anak mula mengangguk-angguk.

“Ketika itu, Siti Hajar mula bangun dari tempat mereka berdua duduk. Dia perlu lakukan sesuatu bagi
memastikan anaknya tidak kelaparan. Dia meninggalkan anaknya sebentar lalu pergi mencari air. Di suatu
kawasan yang disangkakan air, Siti Hajar mula berlari ke arah tersebut. Setibanya disana, dia mula hampa.
Ditoleh kebelakang, lalu kelihatan takungan air lantas dia pon berlari kearahnya. Rupa-rupanya ia merupakan
fatamorgana sahaja. Anakku tahu, berapa kali Siti Hajar berulang alik dari dua kawasan tersebut?” Si ibu
menyoal anaknya yang tekun mendengar.

Si anak menggelengkan kepalanya.

“Anakku, Siti Hajar berlari dari Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali. Tujuh kali anakku” Si
ibu menekan tiga perkataan terakhirnya.

“Apa jadi selepas itu? Adakah mereka menjumpai air” Si anak mula mendesak, meminta agar ibunya
menghabiskan cerita itu.

“Ketika Siti Hajar berlari dari Bukit Safa ke Bukit Marwah, Ismail mula menghentakkan kakinya ke tanah
kerana terlalu lapar dan dahaga. Dengan kekuasaan Allah, maka terpancutlah air keluar daripada tanah
menyebabkan Siti Hajar berlari mendapatkan anaknya semula. Diberi minum anaknya daripada air tersebut.
Maka terselamatlah mereka berdua daripada mati kelaparan”

“Daripada kisah ini, apa yang anakku pelajari?”

Si anak meletakkan tangannya di bawah dagu lalu memikirkan jawapannya. “Kita perlu berusaha dalam
mendapatkan sesuatu dan bertawakal kepada Allah sesudahnya.” Jawab si anak.

Ibunya tersenyum kagum mendengarkan jawapan anaknya


“Iya betul. Berkat usaha, kesabaran, ketabahan dan doa yang tidak putus-putus, Allah pasti akan memberikan
sesuai dengan kehendak hambaNya. Hanya kita sebagai hamba perlu yakin dengan pertolongan Allah swt.
Begitulah juga dengan kita anakku. Manusia ini tidak akan terlepas daripada ujian. Allah akan menguji
hambaNya sesuai dengan kemampuan hambaNya. Daripada surah Al-Baqarah ayat 286, maksudnya; “Allah
tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Si anak mula kagum dengan bait kata ibunya.

“Anakku, Allah menguji hambaNya itu bukan saja-saja. Allah ingin melihat sejauh mana ketaatan dan
keikhlasan hambaNya dalam menjadi seorang hamba yang benar-benar bertaqwa. Dan ingatlah anakku, apabila
kita mula merasa berat dengan ujian yang mendatang, jangan pernah sesekali kita berputus harap dengan
rahmat Allah. Ingatlah Allah dalam apa jua keadaan baik senang mahupun susah. Bila hati kita mula kosong,
kembalilah semula kepada Allah Azza wa Jalla. Allah berfirman dalam surah Ar-Rad ayat 28, maksudnya; “Iaitu
orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan
mengingati Allah-lah hati akan menjadi tenang”. Tambah si ibu.

“Baik ibuku, akanku ingat setiap kata-katamu itu. Sesungguhnya sepanjang perjalanan hidup kita ini,
pasti akan ada ujian yang Allah berikan supaya kita belajar untuk menjadi lebih kuat dan tabah. Tarbiyah Allah
bukan saja-saja kerana ia merupakan bukti kasih sayangNya buat kita. Tidak begitu ibuku?”

Kali ini si ibu pula kagum dengan kata-kata anaknya.

Tiba-tiba kedengaran pintu rumah mereka diketuk beberapa kali.

“Barangkali ayahmu sudah pulang daripada berdagang. Marilah kita menyambutnya dan makan
bersama.” Kata si ibu kepada anaknya.

“Baiklah ibuku.” Anaknya yang cerdik itu segera menuruti perintah ibunya.

TAMAT

Anda mungkin juga menyukai