Anda di halaman 1dari 3

Pak Pandir dan Umpan Rusa

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera. Terima kasih buat barisan panel hakim yang

arif sentiasa, penjaga masa yang siap siaga. Saya, Muhammad Syahmi bin Azhar

ingin bercerita tentang Pak Pandir dan Umpan Rusa.

Kawan-kawan sudah tentu pernah mendengar nama Pak Pandir, bukan? Pak

Pandir seorang yang bodoh dan lurus tetapi baik hati dan penyabar orangnya. Dia

mempunyai isteri yang bernama Mak Andeh. Mak Andeh pula seorang isteri yang

cerdik. Dia cekal menjalani kehidupan bersama-sama suaminya, Pak Pandir.

Suatu hari kawan-kawan, Mak Andeh menyuruh suaminya Pak Pandir

memancing ikan. Pak Pandir menurut sahaja, tetapi dia bertanyakan apakah jenis

umpan yang akan digunakan. Mak Andeh meminta Pak Pandir menangkap belalang

rusa. Kemudian, Mak Andeh menyuruh Pak Pandir mencangkukkannya pada mata

pancing. Pak Pandir pun mengiyakan sahaja dan terus meminta diri untuk

memancing.

Pak Pandir terus mengambil pancing ikan. Kemudian kawan-kawan, dia

berjalan untuk mencari umpan. Sampai di sebatang anak sungai kecil, dia hendak

menyeberang tetapi tidak ada titi. Pak Pandir berfikir bagaimana caranya untuk dia

melintas ke seberang tanpa titi.

Tiba-tiba, dia ternampak sebatang ranting pokok merentangi anak sungai itu.

Dia berfikir sejenak. Bolehlah ranting ini dijadikan jambatan. Di atas titian ranting itu,

dilihatnya beratus-ratus ekor semut sedang melaluinya. Pak Pandir berfikir, semut

yang begitu banyak boleh menyeberangi sungai itu dengan titian tersebut, takkanlah

dia tak boleh menggunakan titian itu juga.


Tanpa berifikir panjang lagi kawan-kawan, Pak Pandir pun terus

menyeberangi anak sungai itu. Apa lagi! Sekali pijak sahaja ranting kayu yang kecil

itu pun patah dan jatuhlah Pak Pandir ke dalam air. Nasib baik anak sungai itu kecil

dan cetek sahaja. Tidaklah Pak Pandir berasa sakit sangat. Dia terus bangun untuk

mencari umpan belalang rusa yang dikatakan oleh Mak Andeh.

Tidak berapa lama kemudian, Pak Pandir ternampak seekor rusa jantan

sedang tidur lena di bawah sebatang pokok. Pak Pandir memikirkan inilah dia

agaknya umpan rusa yang dikatakan oleh Mak Andeh itu. Dia sangat teruja. Rezeki

kan!

Kawan-kawan nak tahu, dengan perlahan-lahan, dia menghampiri rusa itu lalu

ditangkapnya. Dengan pantas Pak Pandir mengikat keempat-empat kaki rusa itu

dengan tali. Rusa itu dipikulnya lalu dibawa ke tebing sungai berdekatan dengan

rumah Pak Pandir. Kemudian, Pak Pandir mencangkukkan mata pancing ke kaki

rusa itu lalu mencampakkannya ke dalam sungai. Rusa itu meronta-ronta kerana

takut lemas.

Pak Pandir duduk di bawah sebatang pokok yang rendang sambal menunggu

pancingnya mengena ikan. Rusa yang dicampak oleh Pak Pandir ke dalam sungai

itu terus menjerit dan menggelupur, kawan-kawan. Bunyi riuh rendah di sungai itu

didengari oleh Mak Andeh.

Mak Andeh menjerit bertanyakan kepada Pak Pandir tentang bunyi tersebut

sambil dia sendiri turun menuju ke sungai. Pak Pandir dengan selambanya

menjawab bahawa itu ialah bunyi umpan pancing ikan mereka. Mak Andeh terkejut

beruk mendengar jawapan Pak Pandir itu. Dia bertanyakan kepada Pak Pandir,

umpan apakah yang digunakan dengan rasa pelik. Pak Pandir sekali lagi menjawab
umpan yang digunakan itu umpan rusa. Mak Andeh yang menyuruhnya menangkap

rusa untuk dijadikan umpan tadi.

Mak Andeh menggeleng-gelengkan kepala, kawan-kawan. Dia kehairanan

dan terkejut. Dia menyuruh Pak Pandir menangkap belalang rusa, bukannya rusa.

Kalau Pak Pandir sudah dapat menangkap rusa, buat apalah nak cari ikan lagi.

Mereka bolehlah sembelih rusa itu. Dagingnya bolehlah dibuat lauk! Mak Andeh

berasa sangat geram.

Pak Pandir tersenyum kelat. Rusa itu ditarik naik ke tebing sungai lalu

disembelihnya. Puaslah mereka makan daging rusa selama beberapa hari. Mak

Andeh juga tersenyum. Walaupun suaminya Pak Pandir lurus dan bodoh, adalah

juga hikmahnya. Dapatlah mereka berlaukkan rusa. Rezeki!

Apa pengajaran daripada cerita ini, kawan-kawan? Ada! Pertamanya, kita

perlu berwaspada jika berurusan dengan seseorang yang kurang arif dalam sesuatu

bidang. Jika tidak, mungkin berlaku salah faham. Selain itu, berilah arahan dengan

jelas. Sebaik-baiknya ulang kali ingatkan supaya arahan kita mudah difahami. Akhir

sekali kawan-kawan, berilah peluang kepada orang yang kurang boleh diharap

seperti Mak Andeh. Walaupun dia dah tahu Pak Pandir bodoh dan lurus, dia tetap

memberi kepercayaan kepada suaminya itu untuk menjalankan tanggungjawabnya

untuk mencari rezeki.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai