Anda di halaman 1dari 5

Cerpen ‘Aniaya’ karya Fara

Shamsul memakai baju lusuh dan berlubang-lubang. Tidak mampu baginya untuk
membeli baju baharu disebabkan kesempitan wang selepas dia diberhentikan kerja sebulan
yang lalu. Dia mengigil kesejukan disebabkan tiupan angin malam yang sangat dingin.
Sudah hampir sebulan dia hanya meminta sedekah untuk mencari sesuap nasi di tepi jalan
walaupun dia mempunyai kudrat untuk mencari kerja tapi baginya meminta sedekah lebih
mudah daripada bekerja kerana dia tidak perlu berusaha lebih untuk membanting tulang.

Pada suatu hari yang tenang, aku menaiki kereta seperti biasa untuk pergi ke kerja.
Aku turun dari kereta dengan penuh semangat untuk memulakan hari aku. Baru sahaja aku
ingin melangkah masuk ke pejabat, aku melihat seorang pemuda berumur 30-an datang
mendekati aku. Rupanya dia mahu meminta wang untuk makan tengahari. Aku
mengeluarkan dompet dan menghulurkan kepadanya duit berwarna merah berjumlah
sepuluh ringgit. Aku pun bertanya kepadanya “Siapa nama kamu? Kenapa muda begini tapi
sudah minta sedekah? Bukankah kamu masih sihat tubuh badan. Banyak lagi kerja diluar
sana yang akan menerima kamu.” Pemuda itu pula menjawab, “Nama saya Shamsul. Tiada
siapa ingin menjadikan saya sebagai pekerja mereka. Lihatlah baju saya, sangat buruk dan
lusuh. Tiada siapa yang ingin mendekati diri dengan saya.” Aku berasa sangat kasihan
kepadanya lalu aku berkata,” Tidak apa. Tempat kerja saya mempunyai kekosongan
pekerja. Nanti selepas saya balik kerja, kita berjumpa di warung depan itu. Saya ingin
menolong kamu.” Shamsul pun menyahut dengan mengata, “Alhamdulillah. Semoga Allah
melimpahkan rezeki kepada Tuan.” Lalu aku tersenyum dan melangkah masuk ke pejabat.
Aku sedar, bukan semua rezeki yang kita miliki sekarang adalah rezeki kita 100% ada
diantaranya terselit rezeki orang lain. Menolong orang telah menjadi rutin harian aku. Aku
sangat gembira diberikan kesempatan untuk menolong orang yang lebih memerlukan.

Selepas waktu bekerja aku berakhir, aku terus ke warung di hadapan pejabat aku.
Aku melihat Shamsul duduk di meja warung itu. Aku menyapa dia,” Sudah lama kamu
menunggu?” Dia pula menjawab “Tidak. Saya baru sahaja sampai ke sini.” Dengan itu, aku
mengajak Shamsul untuk membeli baju baharu di pusat membeli-belah yang berhampiran.
Aku membelikan dia kemeja, seluar dan tali leher untuk dipakai di temuduga yang akan
diadakan untuk jawatan kosong di pejabat aku. “Terima kasih kerana sanggup menolong
saya. Tiada apa yang saya ada untuk membalas segala jasa dan budi kamu.” Ujar Shamsul
kepada aku, Aku hanya mampu tersenyum dan mengatakan “Saya yang patut berterima
kasih dengan kamu kerana kamu memberikan saya peluang untuk membantu kamu.” Aku
yakin Shamsul pulang ke rumah dengan perasaan yang sangat gembira dan bersyukur.

Selepas temuduga diadakan. Shamsul datang berjumpa aku. Dia mengatakan “Saya
dilantik sebagai pekerja disini. Alhamdulillah. Terima kasih tak terhingga kerana menolong
saya. Jika Tuan tidak menolong saya, mungkin saya sudah mati kelaparan di lorong-lorong
tikus.” Aku pula menjawab,” Alhamdulillah. Saya menolong sedaya upaya saya sahaja.
Tuhanlah yang membuka hati saya untuk menolong.” Aku sangat gembira dengan berita itu.
Kami menjadi kawan sepejabat lalu menjadi kawan akrab yang sangat rapat.

Hidup ini penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Kerana bukan hidup
namanya kalau tidak menempuhi cabaran dan dugaan yang telah ditentukanNya buat kita.
“Kau dianiaya,” kata Rosli. “Sabar” balas aku dalam nada suara yang penuh tenang. “Dalam
keadaan macam ni pun kau masih nak bersabar lagi!” tegas Rosli. “Semua ni dah ketentuan
Allah buat aku. Aku redha menerimanya,” ujar aku. Kemudiannya aku menarik nafas yang
panjang. Tak semua yang indah sepertimana yang kita impikan akan datang dalam hidup
kita. Sebaliknya yang pahit juga akan datang dan harus ditelan. Itulah hakikat dan
kenyataan dalam kita mengharungi perjalanan hidup ini. Masih lagi segar dan jelas
terbayang di ingatan aku. Pada satu pagi sebaik-baik sahaja tiba di pejabat aku telah
dipanggil oleh Encik Borhan pengurus syarikat tempat aku bekerja. “Masuk!” kata Encik
Borhan apabila mendengar bunyi pintu bilik diketuk. Pintu bilik lalu terbuka. “Encik Borhan
nak berjumpa saya ke?” ucap aku. “Ya!” jawab Encik Borhan dalam nada suara yang keras.
Aku sudah dapat mengagak. Daripada raut wajah yang ditunjukkan oleh pengurus syarikat
tempat aku bekerja itu ada sesuatu yang tak kena. Macam ada perasaan marah. Namun
aku tetap tenang dan sabar. Menanti apa yang ingin dikatakan oleh Encik Borhan kepadaku.
Perlahan-lahan aku duduk di atas kerusi. “Awak tak perlu lagi bekerja di syarikat ni!” tegas
Encik Borhan. Aku lantas terkejut apabila mendengar apa yang dikatakan oleh pengurus
syarikat tempat aku bekerja itu. Tapi aku menyambutnya dengan sabar dan tenang.
“Kenapa ya, Encik Borhan? Adakah saya ada membuat kesilapan?” “Macam-macam saya
dengar tentang awak!” kata Borhan. “Saya minta maaf. Kalau saya ada membuat kesalahan.
Saya minta sangat-sangat…” sebelum aku habis berkata Encik Borhan memotong kata-kata
aku. “Sudah! Saya tak mahu dengar apa pun alasan awak. Saya tak mahu orang macam
awak bekerja di syarikat ini. Awak cari kerja di tempat lain!” Rasa sedih hanya Tuhan sahaja
yang tahu. Siapa sahaja tidak akan sedih apabila dengan tiba-tiba sahaja diberhentikan
kerja. Sekarang bukan senang nak dapat kerja. Tertanya-tanya juga dalam hati aku. Kenapa
dengan tiba-tiba sahaja Encik Borhan bertindak sedemikian. Sedangkan aku sentiasa patuh
dan memberi sepenuh komitmen dalam melaksanakan setiap kerja yang telah diarahkan.
Mungkin dah nasib aku agaknya kena diberhentikan kerja dan sampai di sini sahaja rezeki
aku bersama-sama dengan syarikat ini.

Hari ini adalah hari terakhir aku bekerja. Petang itu sebelum pulang aku ingin
bertemu dengan Encik Borhan untuk mengucapkan terima kasih kerana mengambil aku
bekerja dengan syarikat ini dan memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap mahupun
terkasar bahasa. Tetapi Encik Borhan tidak mahu berjumpa dengan aku. Marah betul Encik
Borhan dengan aku. Apa boleh buat. Takkan nak paksa dia pulak. Tapi sebagai pekerja aku
tetap menghormati dia sebagai pengurus. Aku kemudiannya lalu mencari Shamsul untuk
mengucapkan selamat tinggal. Aku lihat Shamsul tersenyum melihat aku pergi, Aku berasa
hairan tetapi aku ketepikan perasaan itu.

Selama sebulan aku mencari kerja di tempat lain. Tapi sukar bagiku untuk dilantik
bekerja. Namun aku tetap bersabar. Mungkin rezeki aku belum sampai lagi. Aku berpegang
kepada kata-kata bahawa kalau dah rezeki tak ke mana. Cuma cepat atau lambat sahaja.
Semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan.

“Aku tahu siapa yang punya angkara sehingga kau diberhentikan kerja,” ujar Rosli.
Aku hanya tenang dan diam sahaja apabila mendengar perkataan itu dari mulut Rosli. “Ini
dah tentu kerja Shamsul!” kata Rosli lagi. “Tak baik tuduh macam tu, Li,” dia membalas.
“Betul!” angguk Rosli pula sebaliknya dengan pantas. “Dia memang cemburu apabila
melihat kau sentiasa dipuji dan mendapat kepercayaan daripada Encik Borhan. Sebab itulah
dia hasut Encik Borhan sehingga kau dibuang kerja,” dia menyambung lagi. Aku hanya
mampu untuk bertenang dan sabar. Sedikit pun aku tidak kelihatan rasa marah. Apabila
mendengar apa yang dikatakan oleh bekas rakan sekerja aku itu. Sebenarnya apa yang
diberitahu oleh Rosli itu mungkin benar. Aku baru sahaja sedar mengapa Shamsul
tersenyum ketika aku mengucapkannya selamat tinggal. Kemungkinan Shamsul memang
irihati dan cemburu dengan aku apabila Encik Borhan bercadang untuk menaikkan pangkat
aku. Sebab itulah Shamsul tergamak untuk menabur fitnah dan memburuk-burukkan aku
pada Encik Borhan. Sehingga Encik Borhan terpengaruh dengan cakapnya.

Walaupun aku tahu disebalik perbuatan keji Shamsul itu. Tetapi aku tidak
menyimpan langsung dendam kepadanya. Mungkin bukan rezeki aku untuk meneruskan
pekerjaan di syarikat itu. Aku tidak berputus asa untuk mencari pekerjaan yang baharu.
Tetapi makin sukar untuk mendapat kerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan
dilaksanakan disebabkan penyakit berjangkit itu. Aku masih terbayangkan nasib isteri dan
anak-anak aku di rumah. Mujurlah ada duit dalam simpanan. Dapat jugalah aku menampung
belanja dapur dan persekolahan anak-anak. Tapi simpanan ini tidak akan bertahan selama-
lamanya. Tambahan pulak kehidupan hari ini memerlukan banyak duit yang perlu
dikeluarkan. Tetapi aku berasa sangat bersyukur kepada Tuhan kerana mempunyai seorang
isteri yang memahami dan mengerti dengan keadaan yang dialami aku sekarang. Isteri aku
tanpa jemu memberikan aku sokongan dan dorongan

Pada satu petang ketika aku sedang duduk di balkoni rumah dengan tiba-tiba sahaja
aku mendapat ilham untuk membuka perniagaan sendiri. Bagi aku semua ini datangnya
daripada Allah SWT. Bagi aku kalau orang lain boleh buat kenapa aku tidak. Mereka juga
macam aku. Manusia yang dikurniakan dengan akal dan fikiran. Kudrat dan tenaga. Bak
kata pepatah di mana ada jalan di situ pasti ada kemahuan “Inilah masanya untuk aku
membuktikan kemampuan dan kemahiran yang ada pada diri aku. Bukannya mudah
mengalah atau berputus asa apabila diuji dalam hidup ini,” kata aku di dalam hati kecilku.

Sementara itu semakin ramai pekerja yang berhenti daripada bekerja dengan Encik
Borhan. Silap sedikit sahaja akan dikenakan tindakan potong gaji. Sedangkan yang menjadi
punca adalah Shamsul. Apabila mereka memberikan penjelasan Encik Borhan langsung
tidak mahu mendengarnya. Ternyata Shamsul sudah dapat mempengaruhi Encik Borhan.
Ini memudahkan lagi cita-citanya untuk merampas syarikat daripada Encik Borhan pada
satu hari nanti. Encik Borhan tidak menyedari langsung permainan yang sedang diatur dan
dirancang oleh Shamsul yang menjadi orang kanan dan orang kepercayaannya. Dalam
pada itu perniagaan yang dihasilkan oleh aku dari sehari ke sehari semakin maju. Malahan
pekerja yang berhenti bekerja dengan Encik Borhan juga telah diambil oleh aku untuk
bekerja. Ternyata mereka berasa begitu amat seronok sekali apabila bekerja dengan
syarikat yang aku miliki. Tambahan pula mereka sudah kenal dan mengetahui latarbelakang
aku yang pernah bekerja bersama-sama dengan mereka sebelum ini. Aku sangat menjaga
kebajikan para pekerja. Bekerja sebagai satu pasukan dan saling tolong-menolong itulah
yang menjadi pegangan utama sehingga membawa kejayaan yang cemerlang kepada
syarikat.

Selepas dua tahun aku menubuhkan perniagaan ini, aku sudah pun berjaya tetapi
aku tetap merendah diri dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan oleh
Allah SWT. Rancangan jahat Shamsul akhirnya diketahui juga oleh Encik Borhan tetapi
semuanya sudah terlambat apabila perniagaan Encik Borhan telah muflis. “Tak sangka
saya. Selama ni awak yang menjadi orang kepercayaan dan orang kanan di syarikat ni rupa-
rupanya musuh dalam selimut!” dia berkata dalam nada suara yang marah. “Apa maksud
Encik Borhan ni? Saya tak faham!” Shamsul sebaliknya berpura-pura. “Sudah! Awak jangan
nak berdolak-dalik lagi. Saya ada cukup bukti!” tegasnya. “Bukti? Bukti apa, Encik Borhan?”
tanya Shamsul pula “Cukup! Saya tak nak tengok awak lagi!”
Semenjak perniagaan Encik Borhan muflis, hidup Shamsul menjadi tidak tentu arah.
Dia berasa amat kecewa. Cita-citanya untuk mengambilalih syarikat kepunyaan Encik
Borhan tidak menjadi kenyataan. Dia kembali semula menjadi peminta sedekah di tepi jalan
seperti aku jumpa dia dahulu. Tetapi sekarang aku tidak menolong dia lagi kerana aku sedar
setelah aku menolong dia, dia menganiayai aku, bagai melepaskan anjing tersepit. Sia-sia
sahaja aku menolongnya jika dia tidak mahu menolong dirinya sendiri. Mungkin inilah
balasan Tuhan terhadap perbuatan yang dilakukannya selama ini.

Anda mungkin juga menyukai