Anda di halaman 1dari 15

PENERAPAN KEMAHIRAN BERFIKIR KRITIS DAN KREATIF DALAM

PENGAJARAN MENULIS KARANGAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

Mumtaz Solehah Hamir


mumtaz09-721@epembelajaran.edu.my

Dr. Juairiah Binti Marjonet


Juairiah09-31@epembelajaran.edu.my

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Bahasa Melayu Pendidikan Rendah

ABSTRAK

Kemahiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK) adalah salah satu kemahiran pengajaran yang
sesuai untuk diserapkan oleh guru melalui aktiviti pengajaran kemahiran menulis karangan.
Namun, hal ini menjadi isu apabila didapati masih ramai tenaga pengajar yang kurang
memberi penekanan terhadap KBKK dalam pengajaran. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan
untuk meninjau penerapan kemahiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK) dalam pengajaran
menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah. Kajian ini dijalankan berdasarkan dua
objektif utama iaitu meninjau kekerapan dan mengkaji keberkesanan penerapan KBKK
dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah. Reka bentuk kajian
adalah kaedah penyelidikan tinjauan menggunakan satu set borang soal selidik yang
mengandungi 36 item. Responden kajian terdiri daripada 59 orang guru Bahasa Melayu di
lapan buah sekolah rendah sekitar zon Bangsar dan Pudu. Data yang diperoleh dianalisis
menggunakan statistik deskriptif yang melibatkan analisis skor min dan sisihan piawai. Hasil
dapatan kajian ini mendapati kekerapan penerapan KBKK dalam pengajaran menulis
karangan bahasa Melayu sekolah rendah berada pada tahap tinggi (skor min 4.49 bagi
penerapan kemahiran berfikir kritis dan 4.42 bagi penerapan kemahiran berfikir kreatif).
Dapatan kajian ini juga telah menemukan keberkesanan penerapan KBKK dalam pengajaran
menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah berada pada tahap yang tinggi (skor min
4.48). Kesimpulannya, guru-guru bahasa Melayu perlu mengekalkan penerapan KBKK
terutamanya dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu bagi memperoleh
keberkesanannya pada tahap maksimum.
Kata kunci: penerapan KBKK, pengajaran guru, karangan bahasa Melayu, bahasa Melayu.

ABSTRACT

Critical and creative thinking skills (CCTS) is one of the appropriate teaching skills to be
absorbed by teachers through the teaching activities of essay writing skills. However, this
becomes an issue when it is found that there are still many teachers who give less emphasis
on CCTS in teaching. Therefore, this study was conducted to observe the implementation of
critical and creative thinking skills (CCTS) in the teaching of Malay essay writing in primary
schools. This study was conducted based on two main objectives, namely to observe the
frequency and to examine the effectiveness of the implementation of CCTS in the teaching of
Malay essay writing in primary schools. The study design was a survey research method
using a set of survey form containing 36 items. The respondents of the study consisted of 59
Malay language teachers in eight primary schools around the Bangsar and Pudu zones. The
data obtained were analyzed using descriptive statistics involving analysis of mean scores
and standard deviations. The results of this study found that the frequency of implementation
of CCTS in the teaching of Malay essay writing in primary schools is at a high level (mean

1
score 4.49 for the application of critical thinking skills and 4.42 for the application of creative
thinking skills). The results of this study also found that the effectiveness of the
implementation of CCTS in the teaching of Malay essay writing in primary schools is at a high
level (mean score 4.48). In conclusion, Malay language teachers need to maintain the
application of CCTS, especially in the teaching of Malay language essay writing to obtain its
effectiveness at the maximum level.
Keywords: CCTS implementation, teacher’s teaching, Malay language essay, Malay
language.

PENGENALAN
Kemahiran menulis karangan merupakan salah satu kemahiran menulis yang
diterapkan sebagai pembelajaran murid di sekolah. Kemahiran menulis karangan
didapati telah mula diterapkan sebagai pembelajaran bahasa Melayu dari Tahun 1
iaitu kemahiran menghasilkan penulisan naratif secara terkawal (Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), 2016). Hal ini bermakna, guru bahasa Melayu perlu
bijak memilih dan menggunakan kaedah atau kemahiran mengajar menulis karangan
yang baik dan sesuai untuk mengajar karangan kepada murid-murid tersebut yang
boleh dikatakan sebagai golongan yang baru ingin mengenali kemahiran mengarang.
Nik Safiah Karim (2004), menyatakan bahawa tahap kemahiran yang paling sukar
adalah proses menulis karangan jika dibandingkan dengan kemahiran-kemahiran
bahasa yang lain. Dalam pada itu, kemahiran menulis karangan juga dikatakan
berkait rapat dengan kemahiran berfikir (Lai et al., 2017). Hal ini kerana, penghasilan
karangan melibatkan hubungan pemikiran dan peluahan dalam bentuk tulisan.

Menyedari hakikat tersebut, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)


telah memperkenalkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) sejak
dahulu lagi iaitu melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1994 (Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi Aplikasi di Sekolah (KBAT), 2014). Dalam kajian ini, KBKK dikaji
melalui tinjauan terhadap kadar kekerapan dan keberkesanan guru menerapkan
KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah. Hal ini
kerana, KBKK dilihat sebagai salah satu kemahiran pengajaran yang sesuai untuk
diimplementasikan dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu. Pemilihan
dan pengaplikasian kemahiran pengajaran yang sesuai adalah amat penting kerana
mempengaruhi penguasaan sesuatu kemahiran dalam diri murid. Sehubungan
dengan itu, penerapan KBKK dalam pengajaran berupaya membantu murid menjana
idea untuk menghasilkan penulisan karangan yang baik dan dapat menjadikan
proses PdP lebih bersifat praktikal. Tambahan pula, kurikulum pendidikan perlulah
sentiasa seiring dengan peredaran zaman untuk melahirkan murid yang bukan

2
sahaja menguasai ilmu pengetahuan malah menguasai kemahiran abad ke-21 agar
mampu mendepani era globalisasi pada masa ini (Mashira Yahaya et al., 2020).
Oleh itu, kajian ini difokuskan pada KBKK kerana KBKK juga merupakan dua
daripada enam elemen yang terkandung dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21).

Berdasarkan model kemahiran berfikir yang dikemukakan oleh Pusat


Perkembangan Kurikulum (KPM, 2002), KBKK mempunyai elemen-elemen tersendiri
yang berbeza dari setiap kemahirannya. Elemen-elemen tersebut memperlihatkan
KBKK telah merangkumi kemahiran berfikir yang luas bermula daripada tahap
elemen kemahiran yang paling mudah kepada tahap elemen kemahiran yang lebih
sukar. Hal ini jelas dapat membantu meningkatkan KBKK murid dalam penulisan
karangan dengan bimbingan penerapan KBKK daripada guru secara terperinci dan
pelbagai. Seterusnya, dengan memiliki pengetahuan dan pemahaman terhadap
KBKK, setiap elemen kemahiran tersebut boleh diimplementasikan melalui pelbagai
strategi yang memberi keutamaan kepada cara penyampaian yang menggalakkan
murid berfikir dan menguasai kemahiran serta isi pelajaran karangan yang hendak
disampaikan. Oleh hal yang demikian, strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP)
akan berfokus kepada cara penyampaian KBKK, perancangan untuk mengajar
KBKK dan aspek-aspek penting yang perlu dipertimbangkan dalam PdP penulisan
karangan bergantung kepada jenis karangan dan objektif yang hendak dicapai.
Misalnya, elemen menghubung kait kemahiran berfikir kreatif diterapkan dalam
pengajaran menulis karangan dengan cara mengaitkan tajuk karangan dengan
pengetahuan dan pengalaman sedia ada murid dan sebagainya. Amalan penerapan
KBKK ini juga mendatangkan banyak kebaikan bukan sahaja kepada diri guru
bahasa Melayu itu sendiri, malah kepada murid dan sesi pengajaran menulis
karangan tersebut. Oleh itu, keberkesanan penerapan KBKK dalam pengajaran
karangan bahasa Melayu merupakan perkara yang juga dikaji dalam kajian ini.

PENYATAAN MASALAH

Kemahiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK) adalah salah satu kemahiran pengajaran
yang sesuai untuk diserapkan oleh guru dalam pengajaran kemahiran menulis
karangan yang dikatakan sebagai satu pembelajaran yang kompleks. Namun, kajian
Rozita Radhiah Said et al. (2016), mendapati guru tidak melaksanakan aktiviti
bersifat arahan yang melibatkan kreativiti, aplikasi kurang praktikal, perbincangan
dua hala dan tiada unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Selain itu, kurang
dorongan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) daripada guru

3
(Ghuzairy Hanri & Mohammad Yusof Arshad, 2013). Saemah Rahman dan Zamri
Mahamod (2016), juga mendapati penerapan kemahiran berfikir dalam pengajaran
bilik darjah masih berada pada tahap yang rendah.

Kajian Lai et al. (2017), juga menyatakan bahawa strategi pengajaran guru
dalam pengajaran menulis karangan bersifat memusatkan guru iaitu guru dilihat
masih mendominasi aktiviti PdP dan mengamalkan teknik hafalan contoh-contoh
karangan terbaik. Teknik hafalan ini jelas bertentangan dengan konsep KBKK kerana
teknik tersebut tidak merangsang akal murid untuk berfikir dan menyebabkan murid-
murid aktif dalam menerima maklumat tetapi pasif dalam penulisan karangan.
Syazana Sahari dan Zamri Mahamod (2018), menyatakan bahawa salah satu
halangan untuk mengimplementasikan kemahiran berfikir murid-murid adalah gaya
pengajaran tradisional yang berpusatkan guru masih diamalkan.

Dalam pada itu, salah satu punca kebanyakan tenaga pengajar kurang
mengaplikasikan KBKK yang dapat dikenal pasti adalah kerana ingin menghabiskan
silibus dan bebanan tugas bukan hakiki sekali gus mempunyai tanggapan negatif
terhadap KBKK. Hal ini disokong dengan penyataan Marlina Ali dan Shaharom
Nordin (2010), yang menjelaskan bahawa para pengajar mengabaikan amalan
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif kerana terlalu bertumpu pada kandungan
silibus dan mengangap kemahiran tersebut kurang sesuai untuk diaplikasikan dalam
PdP.

Terdapat juga kajian-kajian sedia ada berkaitan pelaksanaan KBKK telah


dijalankan, antaranya ialah kajian oleh Sharifah Nor Puteh et al. (2012), Norfarhana
Romeli (2012), Chew & Shashipriya Nadaraja (2014), Aizu Khalili Zohedi et al. (2017)
dan Farah Adlina Mokter (2019). Namun kajian yang berfokuskan penerapan KBKK
dalam pengajaran guru atau lebih khusus pengajaran menulis karangan bahasa
Melayu sekolah rendah kurang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik lepas. Oleh itu,
penyelidik telah memilih untuk melaksanakan kajian ini bagi meninjau kekerapan dan
keberkesanan guru menerapkan KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa
Melayu sekolah rendah.

OBJEKTIF KAJIAN

Berdasarkan tujuan tersebut, kajian ini cuba mencapai dua objektif kajian. Kedua-
dua objektif adalah seperti yang berikut:

4
1. Meninjau kekerapan guru menerapkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam
pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah.
2. Mengkaji keberkesanan penerapan kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam
pengajaran menulis karangan bahasa Melayu di sekolah rendah.

SOALAN KAJIAN

Berdasarkan objektif kajian tersebut, kajian ini telah membina dua soalan kajian.
Kedua-dua soalan kajian adalah seperti yang berikut:

1. Apakah kadar kekerapan guru menerapkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif
dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah.
2. Apakah keberkesanan penerapan kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam
pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini adalah berbentuk tinjauan deskriptif dan menggunakan pendekatan


kuantitatif. Noraini Kaprawi (2010), menyatakan bahawa kebanyakan kajian tinjauan
digunakan untuk menerangkan insiden, kekerapan dan taburan ciri sesuatu populasi
yang telah dikenal pasti. Dalam pada itu, pendekatan penyelidikan kuantitatif
deskriptif merupakan kajian yang terkenal untuk menerangkan sesuatu fenomena
pendidikan dalam bentuk angka dan ukuran (Mohd Majid Konting, 2005). Hal ini
sesuai dengan soal selidik kajian yang dirancang dengan menggunakan pendekatan
kuantitatif yang melibatkan data kajian berbentuk statistik.

Set soal selidik yang digunakan telah dibina dengan berpandukan model
KBKK dan diubah suai daripada instrumen kajian Chew dan Shashipriya Nadaraja
(2014). Soal selidik yang dibina mengandungi 4 bahagian iaitu bahagian A, B, C dan
D. Bahagian A bertumpu pada profil responden seperti jantina, umur, tahap
pendidikan, pengalaman mengajar, lokasi sekolah dan bidang pengkhususan atau
opsyen. Bahagian B dan C pula bertumpu pada soalan kajian yang pertama iaitu
berkenaan dengan kekerapan penerapan KBKK dalam pengajaran menulis karangan
bahasa Melayu sekolah rendah. Bahagian D adalah bahagian soal selidik yang
menjurus kepada soalan kajian yang kedua iaitu berkaitan keberkesanan penerapan
KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah. Semua
bahagian B, C dan D, masing-masing mempunyai 10 item. Dalam kajian ini,

5
penyelidik menggunakan pensampelan bertujuan. Hal ini kerana, penyelidik ingin
memberi tumpuan terhadap ciri-ciri tertentu dan sesuai dengan fokus penyelidikan
yang ingin dilakukan. Penyelidik hanya memerlukan guru yang mengajar mata
pelajaran bahasa Melayu murid tahun 1 hingga tahun 6 sekolah rendah sebagai
responden kajian ini bagi meninjau tahap kekerapan dan keberkesanan penerapan
KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu guru-guru tersebut.

Soal selidik kajian yang digunakan juga telah mendapat kesahan pakar dan
diuji kebolehpercayaan. Kesahan digunakan bagi memastikan ukuran atau indikator
yang digunakan mengandungi atau tidak mengandungi semua ciri atau gagasan
yang perlu ada dalam konsep yang diukur tersebut. Chua (2012), pula menghuraikan
kebolehpercayaan dalam sesuatu penyelidikan sebagai keupayaan suatu kajian
dalam memperoleh nilai yang serupa apabila pengukuran yang sama diulangi. Oleh
itu, satu kajian rintis telah dijalankan sebelum kajian sebenar dilaksanakan. Bagi
kajian ini, nilai Alpha Cronbach bagi soal selidik kajian ini yang telah dilaksanakan
kajian rintis adalah 0.87 dan nilai tersebut menunjukkan interprestasi
kebolehpercayaan soal selidik kajian ini adalah baik dan boleh diterima untuk kajian
sebenar kerana skor nilai Alpha Cronbach yang dikira sebagai boleh diterima
berdasarkan model pengukuran Rash adalah 0.71 hingga 0.99 (Bond & Fox, 2015).

Dalam proses menganalisis data kajian ini, penyelidik menggunakan


Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 25.0 untuk mendapatkan
analisis data dalam bentuk statistik deskriptif iaitu bacaan min dan sisihan piawai
bagi setiap item soal selidik bahagian B, C dan D. Skala interpretasi skor min yang
diadaptasi daripada Jamil Abd Baser et al. (2014), iaitu skor min 1.00 hingga 2.00
menunjukkan tahap rendah, skor min 2.01 hingga 3.00 menunjukkan tahap
sederhana rendah, skor min 3.01 hingga 4.00 menunjukkan tahap sederhana tinggi
dan skor min 4.01 hingga 5.00 menunjukkan tahap tinggi juga telah dirujuk untuk
melakukan perbincangan skor min dapatan kajian.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Dapatan kajian ini menjawab kepada dua soalan kajian iaitu berkaitan kekerapan
dan keberkesanan penerapan KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa
Melayu.

Jadual 1

6
Analisis item kekerapan guru menerapkan kemahiran berfikir kritis dalam pengajaran

menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah

Bil Item Skor min SP


1. Saya merancang pengajaran penulisan karangan 4.41 0.50
dengan aktiviti-aktiviti yang merangsang kemahiran
berfikir kritis murid.
2. Saya membimbing murid mencari persamaan dan 4.22 0.65
perbezaan tentang isi karangan dengan
menggunakan peta pemikiran.
3. Saya menggalakkan murid membina ayat 4.27 0.61
perbandingan sebagai hurian setiap perenggan isi.
4. Saya meminta murid mengemukakan contoh 4.58 0.56
berkait dengan tajuk karangan untuk mengumpul
idea.
5. Saya menggalakkan murid untuk menganalisis 4.58 0.56
dan menilai hujah, pendapat atau alasan yang
diberikan.
6. Saya meminta murid berbincang untuk mengesan 4.58 0.53
isi penting karangan daripada maklumat yang
dikumpul.  
7. Saya menekankan urutan struktur penulisan 4.58 0.56
karangan dari pendahuluan sehingga penutup
kepada murid. 
8. Saya membimbing murid menulis perenggan isi 4.56 0.57
yang mengandungi huraian dan contoh.
9. Saya membimbing murid membuat kesimpulan 4.53 0.57
dalam penulisan karangan. 
10. Saya mengaplikasikan kemahiran berfikir kritis 4.63 0.58
dalam pengajaran penulisan karangan.
Skor Min Keseluruhan 4.49 0.38

Dapatan kajian berdasarkan Jadual 1 menunjukkan skor min keseluruhan


4.49 dan nilai sisihan piawai 0.38. Hal ini bermakna, responden mempunyai tahap
kekerapan yang tinggi atau sangat baik dalam menerapkan kemahiran berfikir kritis
dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah. Skor min
tertinggi iaitu 4.63 bagi item 10 menunjukkan responden mempunyai kadar

7
kekerapan yang tinggi dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir kritis dalam
pengajaran menulis karangan. Skor min terendah pula ialah 4.22 bagi item 2 iaitu
berkenaan responden membimbing murid mencari persamaan dan perbezaan
tentang isi karangan dengan menggunakan peta pemikiran.

Jadual 2

Analisis item kekerapan guru menerapkan kemahiran berfikir kreatif dalam

pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah

Bil Item Skor min SP


1. Saya merancang pengajaran karangan dengan 4.53 0.57
aktiviti-aktiviti yang merangsang kemahiran berfikir
kreatif murid.
2. Saya membimbing murid mengaitkan tajuk 4.53 0.54
karangan dengan pengetahuan dan pengalaman
mereka.
3. Saya menggalakkan murid untuk menghasilkan 4.64 0.52
karangan menggunakan pengalaman sedia ada
dan daya imaginasi mereka.
4. Saya mengembangkan idea murid untuk penulisan 4.31 0.53
karangan melalui pertanyaan soalan bercapah.
5. Saya memberikan contoh berkaitan tajuk karangan 4.41 0.56
untuk memberi gambaran awal kepada murid.
6. Saya menggalakkan murid untuk mengeluarkan 4.64 0.52
pendapat atau idea semasa pengajaran penulisan
karangan.
7. Saya mendorong murid mengaplikasikan analogi 4.34 0.58
untuk menghuraikan isi karangan.
8. Saya meminta murid mensintesiskan semua hasil 4.27 0.58
perbincangan dan pengumpulan maklumat untuk
menghasilkan sebuah penulisan karangan.
9. Saya menggalakkan murid untuk membuat 4.14 0.57
inferens yang bersesuaian sebelum membuat
ramalan dalam penulisan karangan.
10. Saya mengaplikasikan kemahiran berfikir kreatif 4.41 0.56
dalam pengajaran penulisan karangan.

8
Skor Min Keseluruhan 4.42 0.34

Berdasarkan Jadual 2, skor min keseluruhan dan sisihan piawai bagi


bahagian ini ialah 4.42 dan 0.34. Hal ini bermakna responden mempunyai kadar
kekerapan yang tinggi atau sangat baik dalam menerapkan kemahiran berfikir kreatif
dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah. Skor min
tertinggi ialah 4.64 bagi item 3 dan 6. Hal ini menunjukkan bahawa responden
mempunyai kekerapan yang tinggi dalam menggalakkan murid untuk menghasilkan
karangan menggunakan pengalaman sedia ada dan daya imaginasi mereka serta
mengeluarkan pendapat atau idea semasa pengajaran penulisan karangan. Skor
min terendah pula ialah 4.14 bagi item 9 yang berkaitan dengan tindakan
responden yang menggalakkan murid untuk membuat inferens yang bersesuaian
sebelum membuat ramalan dalam penulisan karangan.

Berdasarkan dapatan bagi kedua-dua bahagian ini, dapat disimpulkan


bahawa responden yang merupakan guru-guru sekolah rendah di kawasan kajian
mempunyai tahap kekerapan yang tinggi atau sangat baik dalam menerapkan
kemahiran berfikir kritis dan kreatif (KBKK) dalam pengajaran menulis karangan
bahasa Melayu.

Jadual 3

Analisis item keberkesanan penerapan kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam

pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah

Bil Item Skor min SP


1. Saya dapat merancang pengajaran karangan 4.31 0.53
dengan lebih mudah melalui penerapan KBKK.
2. Kepelbagaian elemen KBKK sesuai diterapkan 4.32 0.57
dalam pelbagai jenis karangan.
3. Penerapan KBKK membantu saya mengajar 4.34 0.51
penulisan karangan dengan lebih mudah.
4. Saya dapat mengaplikasikan pelbagai pedagogi 4.54 0.57
untuk menerapkan KBKK dalam pengajaran
karangan.
5. Saya dapat mewujudkan pengajaran karangan 4.59 0.56
yang selari dengan pembelajaran abad ke-21
(PAK-21) apabila menerapkan KBKK.

9
6. Kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid dalam 4.37 0.55
penulisan karangan dapat ditingkatkan.
7. Pengaplikasian KBKK dapat memudahkan murid 4.51 0.54
menguasai cara penulisan karangan dengan baik.
8. KBKK membantu murid menyampaikan idea yang 4.54 0.54
jelas semasa membina perenggan.
9. KBKK dapat menggalakkan murid mengaitkan 4.66 0.51
pengalaman hidup dalam isi dan hurian karangan.
10. Murid boleh menyusun perkembangan idea 4.63 0.52
karangan dengan baik melalui penerapan KBKK.
Skor Min Keseluruhan 4.48 0.38

Berdasarkan Jadual 3, skor min dan nilai sisihan piawai keseluruhan bagi
konstruk ini ialah 4.48 dan 0.38. Min ini dapat menyimpulkan bahawa hasil dapatan
kajian bagi konstruk ini membuktikan responden yang merupakan guru-guru sekolah
rendah di kawasan kajian memperolehi keberkesanan penerapan kemahiran berfikir
kritis dan kreatif dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah
pada tahap yang tinggi. Skor min tertinggi ialah 4.66 bagi item 9 yang menunjukkan
bahawa responden mempunyai persetujuan yang tinggi terhadap keberkesanan
penerapan KBKK yang dapat menggalakkan murid mengaitkan pengalaman hidup
dalam isi dan hurian karangan. Skor min terendah pula ialah 4.31 bagi item 1
berkenaan keberkesanan penerapan KBKK dalam pengajaran menulis karangan
bahasa Melayu sekolah rendah kepada diri dan pengajaran responden sebagai guru
bahasa Melayu iaitu mereka dapat merancang pengajaran karangan dengan lebih
mudah melalui penerapan KBKK.

KESIMPULAN, CADANGAN DAN IMPLIKASI

Dapatan kajian ini memperlihatkan bahawa guru bahasa Melayu sekolah rendah di
kawasan kajian mempunyai tahap kekerapan yang tinggi dalam menerapkan
kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam pengajaran menulis karangan bahasa
Melayu sekolah rendah. Dapatan kajian ini selari dengan beberapa kajian lepas yang
turut menerangkan hal yang sama.

Antaranya, kajian Chew & Shashipriya Nadaraja (2014), menunjukkan


kebanyakan item instrumen kajian memperolehi tahap kekerapan pelaksanaan
amalan KBKK dalam PdP yang tinggi daripada responden guru berdasarkan skor

10
min dapatan kajian seperti responden sentiasa memberikan peluang kepada murid
guru untuk mengemukakan idea atau pendapat semasa PdP. Selain itu, kajian
Zainudin Hassan et al. (2007), juga telah membuktikan responden kajian iaitu guru
mempunyai tahap pelaksanaan KBKK yang tinggi dalam pengajaran semasa set
induksi, menyampaikan isi pelajaran, melakukan amali, menutup pengajaran dan
membuat penilaian. Namun, hasil kajian ini bertentangan dengan dapatan kajian
yang dijalankan oleh Jessica Dora Henry dan Zamri Mahmod (2021), tentang
penerapan amalan kreativiti dan pemikiran kritis melalui penerapan amalan 4C
pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc)
guru-guru bahasa Melayu berada pada tahap sederhana untuk menjalankan aktiviti-
aktiviti yang melibatkan KBKK.

Dapatan kajian ini tentang keberkesanan penerapan KBKK dalam pengajaran


menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah berada pada tahap yang tinggi
turut disokong oleh kajian Yahya Othman (2003), yang mendapati guru dalam kajian
tersebut secara majoritinya (65 peratus) bersetuju bahawa KBKK sangat sesuai
diterapkan dalam pengajaran Bahasa Melayu kerana dianggap dapat membimbing
murid menguasai KBKK dan kemahiran bahasa yang lain. Namun, hasil dapatan ini
bertentangan dengan kajian Chew & Shashipriya Nadaraja (2014), yang
menunjukkan keberkesanan KBKK dalam PdP dari perspektif guru adalah pada
tahap sederhana tinggi dengan nilai min sebanyak 3.48.

Implikasinya, kajian ini berupaya mendorong guru-guru bahasa Melayu


membuat refleksi terhadap kaedah penerapan KBKK dalam pengajaran menulis
karangan. Tambahan pula, kajian ini yang memberi fokus kepada kekerapan dan
keberkesanan guru menerapkan KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa
Melayu sekolah rendah dapat mengisi kelompongan kajian-kajian lepas yang
kebanyakannya berkaitan penerapan KBKK oleh guru sekolah menengah, kolej dan
universiti serta lebih cenderung kepada mata pelajaran lain. Pelbagai keberkesanan
daripada penerapan KBKK dalam kajian ini juga dapat menunjukkan bahawa KBKK
sesuai untuk diterapkan dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu
sekolah rendah. Maka, guru perlu bekerjasama untuk meneruskan penerapan KBKK
agar memperolehi keberkesanan penerapannya. Hal ini kerana, Yahya Othman
(2014), menyatakan bahawa sebelum mengamalkan ilmu pengetahuan berkaitan
kemahiran berfikir dalam sesi PdP, setiap guru hendaklah menguasai dan
mendalami ilmu tersebut terlebih dahulu. Kajian ini juga membuktikan bahawa KBKK
bukanlah kemahiran yang sukar untuk diterapkan dalam pengajaran khususnya

11
pengajaran menulis karangan oleh guru bahasa Melayu kerana terdapat pelbagai
cara untuk melaksanakannya.

Sebagai cadangan kajian lanjutan, penyelidik boleh menambah aspek-aspek


lain untuk dikaji seperti kefahaman, amalan dan cabaran guru untuk menerapkan
KBKK dalam skop yang sama iaitu pengajaran menulis karangan bahasa Melayu
sekolah rendah dengan menggunakan pendekatan kualitatif. Selain itu, penyelidik
juga mencadangkan kajian lanjutan dalam bentuk kajian perbandingan antara guru
bahasa Melayu sekolah rendah yang terletak di kawasan bandar dan luar bandar
utnuk melihat sama ada lokasi sekolah yang berbeza akan mempengaruhi
kekerapan penerapan KBKK dalam pengajaran menulis karangan bahasa Melayu
sekolah rendah atau tidak mempengaruhinya.

Kesimpulannya, kekerapan dan keberkesanan penerapan KBKK dalam


pengajaran menulis karangan bahasa Melayu sekolah rendah berada pada tahap
tinggi dan mendapat sokongan daripada kajian-kajian lepas. Oleh hal yang demikian,
diharapkan kajian ini dapat memberi maklumat dan dorongan kepada pelbagai pihak
khususnya guru mata pelajaran bahasa Melayu untuk membuat transformasi
perubahan amalan pengajaran menulis karangan ke arah yang lebih baik. Penyelidik
juga berharap agar kajian ini dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti PdP
mata pelajaran bahasa Melayu di Malaysia dan seterusnya kualiti pendidikan negara
di peringkat antarabangsa.

RUJUKAN

Aizu Khalili Zohedi, Nor Hasbiah Ubaidullah, & Norasikin Fabil. (2017). Aplikasi
prinsip animasi exaggeration, kemahiran berfikir kritis dan kreatif serta model
motivasi arcs terhadap topik integer matematik tingkatan satu. Journal of ICT
in Education, 4, 52-65.

Bond, T. G., & Fox, C. M. (2015). Applying the Rash model fundamental
measurement in the human sciences. Routledge.

Chew, F. P., & Shashipriya Nadaraja. (2014). Pelaksanaan kemahiran berfikir kreatif
dan kritis dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS di sekolah
menengah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 4(2), 10-24.

12
Chua, Y. P. (2012). Kaedah dan statistik penyelidikan buku 2: Asas statistik
penyelidikan. McGraw Hill Education.

Ghuzairy Hanri, & Mohammad Yusoff Arshad. (2013). Ke arah pendidikan yang lebih
berkualiti: Pengamalan pengajaran guru Kimia dalam menggalakkan
kreativiti. International Seminar on Quality and Affordable Education. Johor
Baharu. http://educ.utm.my/wp-content/uploads/2013/11/161.pdf

Jamil Abd Baser, Nurul Syahada Mohd Suhaimi, Hisyamuddin Othman, Azman
Hassan, Mohd Bekri Rahim, & Mohd Faizal Askor min Nur Yunus. (2014).
Standard guru Malaysia dalam program persediaan guru reka bentuk dan
teknologi. Online Journal for TVET Practioners, 2(2).

Jessica Dora Henry, & Zamri Mahamod. (2021). Penerapan amalan kreativiti,
pemikiran kritis, kolaborasi dan komunikasi (4C) pembelajaran abad ke-21
dalam kalangan guru Bahasa Melayu. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(1), 239-
248.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Aplikasi di Sekolah. (2014). Kementerian Pendidikan


Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Kemahiran berfikir dalam pengajaran dan


pembelajaran. Pusat Perkembangan Kurikulum KPM.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Kurikulum standard sekolah rendah


dokumen standard kurikulum dan pentaksiran bahasa melayu sekolah
kebangsaan tahun 1. Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM.

Lai, L. C., Chin, H. L., & Chew, F.P. (2017). Amalan pengajaran guru bahasa melayu
tingkatan empat dalam penulisan karangan dari aspek kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif serta pembelajaran kolaboratif. Jurnal Kepimpinan
Pendidikan, 4(1), 1-12.

Marlina Ali, & Shaharom Nordin. (2010). Hubungan antara kemahiran berfikir kritis
dengan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia. Sains Humanika, 52(1).

Mashira Yahaya, Rusyati Hanafiah, Nor Sazila Zakaria, Rohana Osman, & Khairul
Anuar Bahrin. (2020). Amalan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) dalam

13
pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru-guru sekolah rendah. Jurnal
IPDA, 26, 13-24.

Mohd Majid Konting. (2005). Kaedah penyelidikan pendidik. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu sedekad yang lalu. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Noraini Kaprawi. (2010). Kajian tinjauan secara kuantitatif. Dlm. Noraini Idris (Pnyt.).
Penyelidikan dalam Pendidikan. McGraw Hill Education.

Norfarhana Romeli. (2012). Tahap kemahiran berfikir kreatif dan kritis dalam
kalangan pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah Universiti Tun Hussein
Onn Malaysia. Eprints UTHM.
http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/4239/1/NORFARHANA_BINTI_ROMELI.p
df

Saemah Rahman, & Zamri Mahamod. (2016). Kreativiti dalam pengajaran dan
pembelajaran. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sharifah Nor Puteh, Nor Adibah Ghazali, Mohd Mahzan Tamyis & Aliza Ali. (2012).
Keprihatinan guru bahasa Melayu dalam melaksanakan kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(2), 19-31.

Syazana Sahari & Zamri Mahamod. (2018). Persepsi guru bahasa Melayu sekolah
rendah daerah Sri Aman terhadap kemahiran berfikir aras tinggi dalam
pengajaran dan pembelajaran. International Journal of the Malay World and
Civilisation, 6(1), 63-78.

Yahya Othman. (2003). Pelaksanaan kemahiran berfikir dalam pengajaran Bahasa


Melayu. Jurnal Bahasa, 3(1), 136-159.

Yahya Othman. (2014). Peranan guru bahasa Melayu dalam merangsang kemahiran
berfikir aras tinggi (KBAT). Dewan Bahasa, 14(25), 20-24.

Zainudin Hassan, Hamdan Said, Jamilah Omar, & Haslita Hassan. (2007, April 6).
Pengaplikasian kemahiran berfikir dalam pengajaran Kemahiran Hidup

14
Bersepadu di Sekolah Menengah Daerah Kota Bahru, Kelantan. Eprints
UTM. http://eprints.utm.my/id/eprint/2278/

15

Anda mungkin juga menyukai