Anda di halaman 1dari 3

0 Hubungan antara Undang-undang dengan Standard Moral.

Moral merujuk kepada tingkah laku, amalan, atau perbuatan seseorang individu
manakala bidang ilmu etika pula merujuk kepada ilmu yang menentukan baik dan buruk
sesuatu perbuatan itu. Moral bersifat lebih jelas iaitu disiplin yang boleh dirujuk atau dihayati
oleh sesuatu masyarakat, manakala etika pula bersifat teori kerana ia mengkaji, menganalisis
dan mengkritik sistem moral tersebut. Dalam erti kata yang lain, etika adalah ilmu yang
mengkaji moral. Selain itu moral mengandungi kepercayaan hakikat manusia, kepercayaan
atau pegangan tentang kebaikan dan keburukan yang ingin dicapai. Ia juga merupakan
peraturan mengenai sesuatu yang boleh dibuat, tidak boleh dibuat, yang seharusnya dibuat
dan dorongan-dorongan yang membuat seseorang individu bertindak mengikut sesuatu arah
yang betul atau salah.
Moral juga adalah perbuatan , amalan atau nilai-nilai yang baik dan buruk dalam diri
setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang tidak mempunyai moral tidak akan dapat
membezakan antara baik dan buruknya sesuatu perkara. Persoalan moral adalah persoalan
praktikal mengenai amalan seseorang yang mana membicarakan sama ada sesuatu tindak
tanduk yang dibuat betul atau salah, apa yang perlu dibuat oleh seseorang individu didalam
masyarakat dan apa yang perlu ditinggalkan seperti rasuah atau apa-apa kesalahan. Seseorang
itu akan dianggap insan yang bermoral jika dapat membezakan antara baik dan buruk dan
mengamalkan nilai-nilai murni. Banyak faktor yang mampu mempengaruhi moral sama ada
dari sudut faktor dalaman mahupun luaran. Antara faktor dalaman yang mempengaruhi moral
seseorang adalah adat, agama, naluri dan genetik atau keturunan manakala faktor dalaman
pula adalah melibatkan persekitaran, rakan sebaya, keluarga, pendidikan dan media massa.
Moral terbahagi kepada 3 jenis iaitu peribadi, sejagat dan mutlak. Moral peribadi adalah
seseorang itu perlu memikirkan dengan teliti segala jangkaan akibat yang akan berlaku
daripada sesuatu perbuatan yang dilakukan, satu peraturan umum perlu ada sebagai panduan
bagi mengelakkan akibat buruk kepada individu atau masyarakat. Peraturan ini harus
mempunyai dua perkara iaitu menghalang daripada mengalami kesan buruk dan supaya
melakukan sesuatu perkara yang baik untuk satu jangka masa yang panjang. Moral sejagat
pula adalah, moral yang membawa kebahagiaan kepada semua orang yang mematuhinya.
Yang terakhir adalah moral mutlak iaitu merupakan peraturan yang mesti dipatuhi walaupun
terpaksa mengorbankan kebahagiaan seseorang.
Moral adalah berasal daripada ajaran agama kerana ia terhasil daripada ajaran agama.
Standard pula didefinisikan oleh Kamus Pelajar sebagai taraf atau darjah kebaikan sesuatu
atau sesuatu yang dijadikan dasar, sukatan atau piawaian. Maka dengan itu standard moral
bolehlah dimaksudkan dengan darjah, sukatan atau piawaian bahawa sesuatu perlakuan itu
lebih baik, buruk, adil dan sebagainya yang diyakini oleh seseorang individu. Standard moral
berbeza mengikut agama dan penganutnya. Selain itu, terdapat standard yang berlainan antara
kumpulan walaupun menganut agama yang sama.

Undang-undang seperti dinyatakan sebelum ini boleh dilihat sebagai satu set
peraturan sejagat dan konsisten yang mengawal tingkah laku manusia dalam hidup
bermasyarakat. Persoalan disini ialah sama ada undang-undang atau set peraturan ini boleh
menjadi kayu pengukur penghakiman moral kita secara keseluruhan dalam hidup
bermasyarakat. Sekiranya persetujuan dapat dicapai oleh setiap masyarakat, maka satu
piawaian sebagai panduan kepada keputusan dan tindakan pengurusan dapat diwujudkan
walaupun piawaian ini berada pada tahap minimum. Namun Sekiranya tidak dapat diterima
pakai oleh masyarakat, maka kita mungkin perlu mencari kaedah yang lain sesuai dengan
piawaian atau standard kita. Dalam proses menimbangkan hubung kait antara undang-undang
dan standard moral, kita boleh mencapai beberapa kesimpulan daripadanya. Salah satunya
adalah, undang-undang mungkin bertindih dengan standard moral masyarakat, tetapi ia
tidaklah terlalu sama. Bagi kefahaman yang lebih jelas, contohnya keadaan di mana
seseorang yang melanggar undang-undang dengan melakukan rompakan dikedai-kedai
ataupun bank juga melanggar ukuran moral kerana ia juga satu perbuatan yang salah dalam
hidup bermasyarakat. Begitu juga, adalah mudah untuk menyatakan bahawa undang-undang
berkaitan penyalahgunaan dadah, penipuan kualiti satu-satu produk dan mematuhi sesebuah
kontrak adalah sama dengan kepercayaan moral yang mungkin dipegang oleh kebanyakkan
orang dalam kehidupan bermasyarakat. Kita boleh bersetuju bahawa dalam suasana
masyarakat demokratik, tuntutan undang-undang mencerminkan nilai-nilai moral yang
dipegang golongan masyarakat dan sememangnya terdapat pertindihan antara undang-undang
dan standard.
 
Terdapat juga ukuran atau standard moral yang tidak melibatkan undang-undang
sama sekali. Kita semua menentang pembohongan kerana perbuatan tersebut bertentangan
dengan standard moral kita. Tetapi menyatakan kebenaran tidak dituntut oleh undang-undang
kecuali berada dalam mahkamah dan ketika membuat sumpah ataupun dalam keadaan yang
khusus seperti dalam kontrak pekerjaan ataupun kontrak jualan harta. Kita juga boleh
membuat kesimpulan di mana undang-undang biasanya ke arah negatif, mana kala ukuran
standard moral biasanya lebih ke arah positif. Menurut undang-undang kita tidak boleh
menyerang merosak atau mencemar nama baik antara satu sama lain tetapi tidak semestinya
dituntut untuk menolong orang walau dalam keadaan yang terdesak sekalipun. Tiada undang-
undang contohnya yang menyatakan bahawa kita mesti menolong individu lemas. Disini
ukuran moral masyarakat boleh dijadikan contoh dan panduan. Sudah pasti warga dewasa
dalam mana-mana negara akan cuba untuk menyelamatkan seorang individu yang
lemas bergantung kepada had kemampuan atau keupayaan mereka sendiri. Kesimpulan
berikutnya pula di mana undang-undang selalu ketinggalan dibelakang kehendak moral
masyarakat. Contohnya, perlakuan perhambaan yang paling tidak disukai, tetapi pencemaran
alam sekitar dan rasuah semuanya boleh dikatakan sebagai masalah moral yang mampu
diatasi oleh perundangan. Penyokong kedaulatan undang-undang akan berkata, kelengahan
yang wujud antara kolektif moral dan persetujuan undang-undang tidak menunjukkan
hubungan lemah antara tuntutan undang dan ukuran moral. Mereka akan mendakwa undang-
undang berkaitan pengawalan diskriminasi, pencemaran dan rasuah lambat laun akan
disahkan atau diluluskan juga.

Anda mungkin juga menyukai