Anda di halaman 1dari 16

BAB 5

PENDAPAT PUBLIK

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mengenal pasti dan mengkategorikan publik mengikut ciri-ciri
tertentu.
2. Memahami maksud dengan pendapat umum.
3. Mengetahui kepentingan pendapat umum dan bagaimana
menggunakannya dalam membentuk perancangan perhubungan
awam.

5.1 PENGENALAN

Dalam bab yang lalu anda telah diperkenalkan kepada beberapa model
perancangan perhubungan awam. Namun walau apa pun perancangan
yang anda buat, elemen yang penting yang tidak boleh diketepikan adalah
publik. Publik memainkan peranan penting dalam setiap perancangan
organisasi.

Dalam amalan perhubungan awam, publik sering dirujuk sebagai


stakeholder iaitu mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesebuah
organisasi sama ada dalam bentuk kewangan mahupun dalam bentuk
yang lain. Stakeholder memberikan definisi yang lebih meluas di mana
publik dan organisasi saling mempunyai kepentingan ke atas satu sama
lain.

Dalam bab ini, kita akan membincangkan dengan lebih lanjut siapakah
publik kepada sesebuah organisasi, kepentingan dan juga kesannya
kepada organisasi tersebut.

5.1.1 Definisi Pendapat Publik

Publik merujuk kepada sekumpulan individu yang bergabung bersama


kerana berkongsi minat dan kepentingan yang sama. Pendapat adalah
ekspresi melalui sikap dan tindak tanduk ke atas sesuatu isu yang
kontroversi. Pendapat publik adalah merujuk kepada sesuatu isu yang
mengumpulkan pandangan, pengukuran atau membezakan oleh
seseorang yang mempunyai minat terhadap isu tersebut.

121
Mohd Hamdan Adnan (1995), menyatakan pendapat publik adalah
usaha-usaha mengumpul pandangan khalayak sasaran atau orang ramai
dengan menggunakan kaedah persampelan serta menganalisa penemuan
tersebut dalam bentuk peratusan supaya kesimpulan dapat diperoleh
daripadanya.

Laporan Macbribe (UNESCO, 1984), menyatakan khalayak atau publik


adalah gabungan manusia yang dikira secara hisab. Khalayak ditakrifkan
sebagai entiti berkumpulan yang wujud kerana individu-individu
berkongsi pengalaman tertentu, tradisi dan gaya hidup. Keseragaman
khalayak bukanlah menyeluruh walaupun dalam masyarakat yang kecil.
Apabila dikaji secara terperinci banyak kepelbagaian dapat dilihat sama
ada berasaskan kepada darjat sosial, kepentingan ekonomi, agama,
fahaman ideologi atau politik dan sebagainya.

Oleh yang demikian pendapat publik adalah usaha mengumpulkan


pandangan orang ramai terhadap sesuatu perkara. Ia mungkin meliputi
persepsi dan pendapat terhadap krisis, isu, imej atau apa jua tindakan
organisasi yang boleh memberi kesan kepada publik.

5.1.2 Mengenal Pasti dan Menjelaskan Publik

Dalam amalan perhubungan awam, istilah “publik” membawa maksud


any group of people who are tied together, however loosely, by some common bond of
interest or concern and who have consequences for an organization [mana-mana
kumpulan manusia yang digabungkan, sama ada dalam satu ikatan yang
erat atau longgar, atas dasar persamaan dari segi kepentingan atau minat
dan boleh memberi kesan kepada organisasi] (Newsom et al.:2004)

(a) Mengenali publik perhubungan awam

Secara kasarnya publik perhubungan awam terbahagi kepada dua iaitu:

1. Publik dalaman

Ini ialah publik yang menggunakan identiti organisasi. Ia termasuk pihak


pengurusan, kakitangan, pelabur dan lain-lain kumpulan sokongan yang
berkongsi identiti.

2. Publik luaran

Istilah ini merujuk kepada kumpulan yang berada di luar organisasi.


Mereka tidak mempunyai hubungan secara rasmi ataupun secara

122
langsung dengan organisasi. Namun, seperti yang dinyatakan dalam
definisi di atas, publik ini mempunyai kepentingan tersendiri dan boleh
memberi impak kepada organisasi juga menerima kesan dari organisasi.

Bagaimanapun istilah publik dalaman dan publik luaran ini adalah terlalu
luas. Ada kalanya pengamal perhubungan awam memerlukan istilah yang
lebih khusus dan fokus dalam mendefinisikan publik. Istilah publik primer
(primary publik) digunakan untuk mengkategorikan kumpulan publik
yang besar bagai sesuatu organisasi. Misalnya bagi sesebuah syarikat,
pekerja, pelabur, pengguna dan pembekal adalah merupakan publik
primer kerana mereka adalah satu kumpulan yang besar dan mempunyai
hubungan langsung dan rapat dengan organisasi. Namun dalam
kumpulan publik yang besar ini, terdapat juga kumpulan yang akan diberi
lebih perhatian apabila berlaku sesuatu situasi atau timbil isu-isu tertentu.
Kumpulan ini dikenali sebagai publik sasaran (target publik) atau publik
utama (priority publik).

Untuk mengenal pasti publik utama atau publik sasaran, anda mestilah
mengkaji senarai publik anda dan pastikan publik yang mana yang paling
merasai impak dari projek yang akan anda jalankan. Publik yang paling
menerima impak dari aktiviti anda adalah merupakan paling utama. Ada
kalanya akan ada lebih dari satu publik utama bagi sesuatu keadaan atau
isu. Misalnya sekiranya syarikat anda terlibat dalam sebuah krisis yang
melibatkan kerugian pelaburan, publik utama anda bukanlah hanya
kumpulan pelabur, tetapi juga pekerja-pekerja syarikat itu yang mungkin
kehilangan pekerjaan jika krisis itu meruncing. Media juga akan menjadi
publik utama kerana media akan menjadikan syarikat anda sebagai
sasaran pemberitaan mereka. Oleh itu mereka mesti diberi perhatian
sewajarnya.

Bagaimanapun anda tidak boleh mengenepikan terus publik-publik yang


lain yang mungkin akan merasai kesannya secara tidak langsung atau
dalam jangka masa panjang. Publik begini yang dikenali sebagai publik
nimbus akan suatu ketika memberi impak kepada organisasi.

Terdapat tiga cara untuk menerangkan kumpulan publik utama:

(i) Secara nominatif iaitu dengan menamakan kumpulan


publik umpamanya pelabur, pengguna, media dan
sebagainya;
(ii) Secara demografi iaitu melihat kepada ciri-ciri statistik
publik seperti umur, jantina, taraf pendidikan dan
sebagainya; dan

123
(iii) Secara psikografi iaitu dengan mengikut ciri-ciri perlakuan
dan emosi publik. Ciri-ciri ini selalunya menggambarkan
corak pemikiran, minat, kepercayaan dan lain-lain
kecenderungan publik. Pengelasan sebegini selalu
digunakan dalam pemasaran bagi menentukan citarasa
pengguna. Satu bentuk kajian yang sering di buat
berdasarkan psikografi adalah VALS (values, attitudes and
lifestyles survey) yang sering digunakan untuk membentuk
profil pengguna.

Kalau diperhatikan, pengelasan publik utama di atas itu bermula dari satu
baru yang mempunyai struktur yang paling mudah kepada peringkat
publik yang mempunyai struktur yang lebih kompleks. Pengelasan secara
psikografi melihat kepada ciri-ciri keperluan manusia yang berbagai yang
disebabkan oleh berbagai faktor seperti umur, jantina, tahap pendidikan,
pendapatan, kedudukan geografi dan sebagainya. Gabungan faktor-faktor
ini selalunya yang memberi kesan kepada sikap, perlakuan dan
kepercayaan seseorang.

Untuk lebih mudah memahami konsep “publik” ini, letakkan diri anda
dalam mana-mana kumpulan publik. Katakan anda berada di dalam
kumpulan pengguna yang berumur antara 18 hingga 21 tahun. Maka
anda boleh dikatakan sebagai ahli kumpulan publik bagi mereka yang
dalam bidang pemasaran sebagai kumpulan yang paling kerap berbelanja.

Selain dari itu, anda juga boleh menjadi ahli bagi kumpulan publik yang
berdasarkan ciri-ciri demografi umpamanya umur, gender, agama dan
sebagainya. Anda juga adalah ahli kumpulan masyarakat tertentu seperti
badan sosial sekiranya anda menganggotai mana-mana badan kebajikan
atau kelab sosial, pembayar cukai sekiranya anda seorang pekerja dan
sebagainya. Dalam kata lain, ahli kumpulan sesuatu publik mempunyai
ciri-ciri yang sama antara satu sama lain.

Setiap organisasi perlu mengenal pasti publik-publik mereka.


Sekiranya anda seorang pelajar, mungkin anda boleh
menamakan publik-publik organisasi di mana anda belajar.

(b) Lain-lain publik perhubungan awam

Ada beberapa lagi kumpulan publik yang penting bagi organisasi tetapi
sering dilupakan iaitu pekerja-pekerja, wanita dan kumpulan minoriti.
Pekerja-pekerja merupakan satu dari kumpulan publik dalaman. Oleh
kerana mereka merupakan sebahagian dari organisasi, kewujudan mereka
sebagi salah satu publik yang perlu diberi perhatian sering dilupakan.

124
Oleh kerana mereka merupakan barisan hadapan organisasi yang sering
kali berhubung secara langsung dengan publik luaran organisasi, mereka
lebih berpengetahuan mengenai keperluan publik luaran. Oleh itu,
pekerja-pekerja merupakan aset yang penting bagi syarikat dan tidak
seharusnya mereka diketepikan.

Ada kalanya majikan tidak menganggap pekerja sebagai publik yang


penting. Oleh itu mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya
menyebabkan mereka mungkin memberontak disebabkan ketidakpuasan
hati. Sekiranya publik ini diberi perhatian sewajarnya maka mereka
mungkin akan memberikan kesetiaan mereka kepada organisasi sekiranya
mereka dihargai.

Satu lagi kumpulan publik yang jarang diberi perhatian adalah golongan
wanita walaupun bilangan mereka secara keseluruhan adalah seimbang
dengan kaum lelaki dan bilangan mereka dalam dunia pekerjaan juga
semakin meningkat. Namun golongan wanita sering dipencilkan
terutamanya dari segi peruntukan kuasa dan hak membuat keputusan.
Oleh kerana sumbangan kaum wanita kepada masyarakat masa kini
semakin ketara, maka organisasi perlu memberi perhatian kepada
kumpulan publik ini.

Begitu juga dengan kaum-kaum minoriti sama ada minoriti dari segi
kumpulan etnik, agama atau fizikal, mereka juga merupakan kumpulan
publik yang tidak boleh diketepikan. Mereka mempunyai keperluan-
keperluan yang berlainan yang perlu diambil kira apabila apabila
seseorang pengamal perhubungan awam membina sesuatu perancangan.

Sila rujuk Hendrix, Jerry A. (2001). Public rlations cases.


Belmont, CA: Wadsworth. Jerry Hendrix telah
menyenaraikan beberapa kumpulan publik utama yang lebih
fokus. Antaranya adalah media, kerajaan, pekerja,
masyarakat, pelabur, pengguna dan sebagainya.

SOALAN DALAM TEKS

1. Apakah yang dimaksudkan dengan pendapat publik?


2. Dalam perhubungan awam, publik diklasifikasikan
kepada dua golongan. Jelaskan.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

125
5.2 PERSEPSI DAN PENDAPAT PUBLIK

Apa itu persepsi? Secara ringkasnya persepsi adalah pembentukan satu


gambaran atau imej dalam minda berdasarkan apa yang didengar, dilihat
dan dialami. Ada kalanya pendapat yang dibentuk adalah berdasarkan
stereotaip yang wujud dalam sesuatu keadaan. Misalnya apabila kita
bertemu dengan seorang wanita yang berkahwin dan tidak bekerja, kita
akan membina persepsi bahawa wanita tersebut tidak berpelajaran tinggi.

Dalam amalan perhubungan awam, persepsi publik sama ada publik itu
ialah publik dalaman mahupun luaran, boleh memberi kesan terhadap
sesebuah organisasi. Walaupun persepsi sesebuah publik terhadap
organisasi mungkin berlainan antara publik yang berlainan, persepsi
boleh bertukar. Oleh itu, organisasi mesti memantau persepsi publik
terhadapnya.

Apa pula pendapat umum? Sarjana-sarjana perhubungan awam


mempunyai berbagai pandangan tentang pendapat umum. Menurut
Vincent Price dan Donald Roberts (dalam Cutlip et al.: 2000, 265)
pendapat umum merupakan suatu proses dinamik di mana ide “expressed,
adjusted, and compromised en route to collective determination of a course of action”
[dilahir, diselaras, dan disesuaikan dalam mendapatkan keputusan kolektif
mengenai sesuai tindakan]. Ia berlaku dalam satu kumpulan khalayak
yang berkomunikasi yang bersama menentukan apakah isu tersebut,
kenapa ia menjadi sesuatu yang penting kepada mereka, dan apakah yang
boleh dilakukan mengenainya. Secara ringkasnya, pendapat umum adalah
pendapat kolektif orang ramai dalam sesuatu kumpulan masyarakat.
Misalnya, pendapat orang ramai yang rata-rata tidak setuju dengan
kenaikan harga petrol baru-baru ini. Oleh kerana pendapat begini bukan
hanya datang dari satu individu tetapi dari sekumpulan khalayak, maka
pendapat ramai boleh memberi kesan kepada keputusan-keputusan
tertentu.

Bernard Henessy mengatakan bahawa pendapat umum mempunyai lima


elemen asas iaitu:

(i) Pendapat umum mesti memfokus kepada satu isu


tertentu. Isu ini seharusnya merupakan isu yang hangat
diperkatakan pada ketika itu dan mempunyai
kebarangkalian untuk ditentang oleh masyarakat umum.
Misalnya isu kenaikan harga barangan pengguna;
(ii) Kumpulan publik mestilah terdiri dari mereka yang
mempunyai kepentingan terhadap isu yang dibincangkan.
Dalam isu kenaikan harga barangan, publik yang paling
utama adalah pengguna kerana yang akan mengalami
tekanan apabila harga barangan pengguna meningkat;
126
(iii) Semua bentuk pendapat individu yang berada dalam
kumpulan publik terbabit yang boleh dibayangkan dan
diukur. Setiap individu mungkin akan mempunyai
pendapat yang berlainan. Namun setiap pendapat itu
tidak boleh diketepikan;
(iv) Bagaimana setiap pendapat itu diluahkan – sama ada
dalam bentuk lisan, tanpa, simbol dan sebagainya; dan
(v) Bilangan individu yang terlibat. Tidak kira sama ada
bilangan ahli dalam kumpulan itu mungkin besar atau
kecil, yang penting adalah impak yang akan diberikan.

Anda boleh melihat ciri-ciri pendapat umum yang lebih terperinci yang
disenaraikan oleh Hadley Cantril dalam rajah di bawah. Ciri-ciri ini boleh
dijadikan rujukan bagi pengamal perhubungan awam dalam membuat
perancangan untuk mengubah pendapat umum yang tidak menyokong
pandangan organisasi.

Apa pun keadaannya, pendapat umum mestilah dinyatakan dalam apa jua
bentuk supaya ia boleh diukur.

Pendapat umum sering kali dibentuk berdasarkan persepsi dan penilaian


terhadap sesuatu keadaan, seseorang, barangan ataupun organisasi. Ia
tidak semestinya berdasarkan fakta-fakta yang sah. Seperti yang
dinyatakan oleh Edward L. Bernays, bapa perhubungan awam dalam
bukunya Crystalising Public Opinion (1923), pendapat umum itu adalah
“…an ill-defined, mercurial, and changeable group of individual judgments.”
Walaupun itu boleh dianggap sebagai suatu yang padat kerana sesuatu
pendapat itu dilahirkan secara kolektif bukan individu, namun ia tidak
boleh dianggap kukuh kerana pemikiran manusia sentiasa berubah-ubah.
Ini kerana sering kali keputusan dan persepsi yang dibentuk oleh individu
terhadap sesuatu isu itu jarang sekali berasaskan informasi yang tepat dan
cukup.

Ada kalanya pendapat umum dibentuk berdasarkan berita angin dengan


fakta-fakta yang tidak tepat atau tidak lengkap. Sering kali pendapat
umum yang dibina berdasarkan fakta yang tidak tepat begini akan
dimanipulasikan. Contohnya rakyat Amerika Syarikat pada awalnya
menyokong tindakan kerajaan mereka untuk menyerang Afghanistan
yang dikatakan kubu kuat Al-Qaedah sebagai tindak balas ke atas
serangan Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September, 2001.
Ini disebabkan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara tidak
tepat dan tidak mencukupi. Ini ditambah pula dengan perasaan marah
yang dirasai oleh mereka ketika itu terhadap “pengganas-pengganas” ini
yang telah meragut nyawa sanak-saudara mereka. Tindakan dan perasaan

127
marah mereka ini telah dimanipulasikan oleh mereka yang
bertanggungjawab untuk mendapat sokongan pengisytiharan perang ke
atas “musuh-musuh” Amerika Syarikat.

Pendapat umum juga merupakan pendapat yang tidak stabil. Ia akan


berubah mengikut keadaan dan apabila wujudnya perkara-perkara baru
yang boleh mempengaruhi pendapat tersebut. Contohnya, sokongan
rakyat Amerika Syarikat terhadap presiden mereka, George W. Bush
pada awal berlaku tragedi September 11 itu sungguh kuat sehingga
Presiden Bush tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan drastik dalam
kempennya memerangi keganasan. Namun selepas beberapa tahun
peperangan berlaku di Afghanistan dan Iraq, apa yang hendak dicapai
oleh pentadbiran Bush masih tidak berhasil. Rakyat Amerika Syarikat
semakin merasai kesan negatif peperangan. Akibatnya sokongan terhadap
Presiden Bush semakin menurun.

Disebabkan ketidakstabilan ini maka pengamal perhubungan awam


mestilah tidak terlalu bergantung kepada pendapat umum untuk
membuat sebarang keputusan. Pendedahan kepada informasi-informasi
dan keadaan-keadaan baru boleh membuatkan khalayak mengubah
pendapat mereka. Oleh itu, pengamal perhubungan awam mesti
mengikuti perkembangan khalayak mereka. Khalayak tidak semestinya
akan menyokong kita setiap masa. Kita hanya boleh mengharapkan
sokongan majoriti walaupun tidak besar. Untuk mendapat sokongan ini,
tiga perkara perlu diingati:

(i) Kekalkan sokongan yang ada. Khalayak yang sentiasa


setia kepada organisasi adalah penting untuk dikekalkan.
Pengamal perhubungan awam tidak boleh mengambil
lewa kesetiaan mereka kerana sekiranya mereka merasa
mereka tidak dihargai mereka mungkin akan mengubah
pendirian mereka;
(ii) Dapatkan sokongan walaupun bersyarat dari mereka yang
belum mempunyai pendirian. Khalayak begini selalunya
memerlukan sesuatu kepastian yang boleh meyakinkan
mereka bahawa mereka membuat pilihan yang tepat.
Oleh itu, pengamal perhubungan awam perlu pandai
memujuk dan meyakinkan mereka;
(iii) Bagi khalayak yang sememangnya tidak menyebelahi
anda, mereka perlu diyakinkan. Usaha yang lebih
diperlukan untuk memenangi pendapat mereka.

Khalayak penting bukan hanya kerana organisasi menentukan yang ia


penting, tetapi yang lebih mustahak adalah kerana khalayak boleh

128
mempengaruhi kejayaan ataupun kegagalan sesuatu ide, polisi, keputusan
mahupun produk yang dikeluarkan oleh organisasi. Oleh itu, penting
bagi pengamal perhubungan awam untuk menjadi sensitif terhadap
khalayak dan reaksi mereka terhadap imej yang dipaparkan oleh
organisasi.

SOALAN DALAM TEKS

3. Apakah yang dimaksudkan dengan persepsi?


4. Apakah LIMA (5) elemen asas pendapat publik?
5. Bagaimanakah ingin mendapatkan sokongan publik?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Hadley Cabtril (1972), telah menyenaraikan “Undang-undang” pendapat


publik iaitu:

(i) Pendapat amat sensitif kepada peristiwa-peristiwa


penting.
(ii) Peristiwa-peristiwa penting yang mempunyai impak luar
biasa mempunyai kemungkinan yang besar untuk
mengubah untuk sementara pendapat umum dari satu
arah ke satu arah yang lain. Pendapat tersebut tidak akan
menjadi stabil sehinggalah implikasi peristiwa tersebut
dilihat dari perspektif-perspektif tertentu.
(iii) Peristiwa lebih memberi kesan kepada pendapat dari
perkataan – melainkan sekiranya perkataan itu
diterjemahkan sebagai peristiwa.
(iv) Kenyataan-kenyataan lisan dan lakaran-lakaran bentuk
tindakan mempunyai kepentingan yang tinggi apabila
sesuatu pendapat umum itu tidak berstruktur, orang
ramai mempunyai keupayaan memberi cadangan dan
mencari penjelasan dari sumber-sumber yang boleh
dipercayai.
(v) Secara umumnya pendapat umum tidak menjangkakan
keadaan-keadaan darurat – Cuma memberi reaksi kepada
situasi tersebut.
(vi) Secara psikologi, pendapat secara asasnya ditentukan oleh
kepentingan peribadi. Peristiwa, kata-kata dan lain-lain
pemangkin akan hanya memberi kesan kepada pendapat
apabila ia berkait dengan kepentingan peribadi.
129
(vii) Pendapat tidak selalunya hangat untuk jangka masa yang
lama kecuali umum merasakan ia melibatkan kepentingan
mereka ataupun pendapat tersebut terus dijadikan
perhatian oleh kenyataan-kenyataan melalui peristiwa-
peristiwa tertentu.
(viii) Pendapat umum sukar untuk diubah apabila ia
melibatkan kepentingan peribadi.
(ix) Apabila ia melibatkan kepentingan peribadi, maka
pendapat umum dalam sesebuah demokrasi selalunya
akan mengatasi polisi rasmi.
(x) Apabila sesuatu pendapat itu dipegang oleh majoriti yang
kecil atau pendapat tersebut tidak mempunyai struktur
yang teguh, maka ia mudah diubah ke arah penerimaan
dengan hanya menggunakan fakta-fakta yang kukuh.
(xi) Di waktu-waktu yang kritikal, publik akan lebih sensitif
terhadap kepimpinan mereka. Sekiranya mereka
mempunyai keyakinan terhadapnya, mereka bersedia
untuk menyerahkan lebih tanggungjawab kepadanya;
sekiranya mereka tidak ada keyakinan, mereka akan
kurang bertoleransi dengannya.
(xii) Publik tidak teragak-agak membenarkan pemimpin
mereka membuat keputusan yang kritikal sekiranya
mereka merasakan mereka juga terlibat dalam mana-mana
keputusan tersebut.
(xiii) Publik mempunyai lebih banyak pendapat dan boleh
membentuk pendapat dengan mudah berdasarkan
matlamat daripada membentuk pendapat berdasarkan
cara mencapat matlamat tersebut.
(xiv) Pendapat umum seperti juga pendapat individu, diwarnai
oleh nafsu. Apabila ia lebih berasaskan nafsu daripada
informasi, maka kemungkinan besar perubahan ketara
akan berlaku apabila ada peristiwa-peristiwa berkaitan.
(xv) Dimensi-dimensi psikologi yang penting dalam pendapat
adalah arah, kekuatan, keluasan dan kedalaman sesuatu
pendapat.

Setelah membaca penerangan mengenai pendapat umum,


anda pasti telah dapat membezakan antara persepsi dan
pendapat umum? Cuba fikirkan contoh-contoh persepsi
dan pendapat umum dan bincangkan bagaimana ia boleh
memberi kesan kepada sesebuah organisasi.

130
5.3 KEPENTINGAN PENDAPAT UMUM KE ATAS
ORGANISASI

Organisasi banyak bergantung kepada pendapat dari khalayak mereka


dalam membuat sesuatu perancangan. Ada masanya kumpulan khalayak
akan berkongsi pendapat mengenai sesuatu isu berkaitan dengan
sesebuah organisasi. Hasil dari perkongsian pendapat ini ada kalanya
boleh memberi kesan yang negatif kepada organisasi. Misalnya publik
mengkin akan berpakat untuk mengadakan demonstrasi menentang
keputusan organisasi atau memboikot perkhidmatan organisasi. Sedikit
masa dulu, disebabkan tindakan sebuah akhbar Eropah yang menyiarkan
gambar-gambar karikatur Nabi Muhammad SAW di dalam akhbar yang
memperlekehkan nabi junjungan umat Islam itu, ramai umat Islam di
seluruh dunia telah memboikot produk dari negara yang terlibat
menyebabkan ekonomi negara tersebut terjejas. Bayangkan bagaimana
kuatnya pengaruh pendapat umum sehingga boleh menjejaskan ekonomi
sesebuah negara. Namun oleh kerana pendapat umum mudah berubah
dan dipengaruhi oleh peristiwa-peristiwa atau tindakan-tindakan korektif
yang betul, maka kesan negatif tersebut hanyalah sementara.

Oleh itu, organisasi mesti memastikan bahawa khalayak mendapat


informasi yang tepat dan benar, dan tidak menyinggung perasaan mereka.
Khalayak juga mesti diberi peluang untuk berkomunikasi dengan
organisasi agar organisasi tahu apa yang akan memberi impak kepada
mereka.

Haluan sesuatu pendapat umum itu, sama ada ke arah menyokong atau
tidak menyokong, boleh memberi impak kepada organisasi. Namun oleh
kerana pendapat umum itu mempunyai potensi untuk berubah, maka
pengamal perhubungan awam mengukur perubahan-perubahan yang
mungkin berlaku dalam pendapat umum, apakah kesan yang boleh diberi
oleh pendapat ke atas organisasi, sikap dan perlakuan khalayak untuk
mengenal pasti keberkesanan semua usaha-usaha pemujukan yang
dijalankan oleh organisasi.

Pengukuran pendapat umum mestilah mengambil kira kekuatan


pendapat tersebut. Apakah khalayak berpegang kuat kepada pendapat
mereka dan tidak mungkin akan mengubah pendirian sekurang-
kurangnya untuk jangka masa tertentu? Sekiranya pegangan mereka
adalah kuat mengenai isu-isu yang menentang organisasi misalnya, maka
pengamal perhubungan awam perlu memberikan perhatian yang lebih
kepada khalayak begini.

Kestabilan pendapat umum juga merupakan satu lagi faktor yang perlu
diberi perhatian kerana ia merupakan refleksi corak pemikiran khalayak.

131
Keadaan pendapat umum yang stabil akan membantu pengamal
perhubungan awam membuat jangkaan-jangkaan dan merancang aktiviti
dengan lebih berkesan.

Satu cara mengukur pendapat adalah menggunakan undian. Satu contoh


undian pendapat umum adalah seperti yang sering disiarkan dalam berita-
berita televisyen atau di halaman-halaman web di mana soalan-soalan
berkenaan sesuatu isu disiarkan dan khalayak di galakan memberikan
respon dengan mengundi pilihan mereka. Satu contoh lagi adalah
undian-undian yang dibuat melalui sistem pesanan ringkas atau sms yang
sering dibuat untuk rancangan-rancangan realiti televisyen bagi memilih
pemenang.

Dari hasil kajian dan pengukuran yang dijalankan ke atas pendapat umum
itu, pengamal perhubungan awam mempunyai tugas untuk membantu
organisasi mengatasi impak yang diberikan oleh sesuatu pendapat umum.

Dalam menangani pendapat umum, sering kali pengamal perhubungan


awam lupa tentang khalayak-khalayak yang mempunyai minat-minat
tertentu terhadap organisasi. Kemungkinan jumlah publik ini tidak besar
namun mereka mungkin boleh membelikan kesan yang mendalam.
Umpamanya kumpulan media, pesaing-pesaing dalam industri dan juga
badan-badan atau pergerakan-pergerakan yang mempunyai kepentingan
dalam isu-isu tertentu seperti badan-badan yang memperjuangkan hak-
hak wanita, kanak-kanak dan lain-lain lagi. Ada kalanya kumpulan publik
begini dianggotai oleh mereka yang berpengaruh dan mampu
mempengaruhi orang lain dengan pendapat mereka.

Namun, dalam perancangan pengamal perhubungan awam bagi


menangani pendapat umum, mereka mestilah memberi tumpuan kepada
visi dan misi organisasi dalam membuat perancangan bagi
memperkuatkan lagi imej organisasi dan persepsi positif masyarakat
terhadap nilai-nilai organisasi.

Sekiranya anda ingin memantapkan lagi kefahaman


tentang Pendapat Publik sila rujuk Bab 5 dalam Bahtiar
Mohamad, Hassan Abu Bakar & Saidathul Nizah Mt
Tazin. (2005). Perhubungan awam: Amalan dan strategi.
Singapura: Thomson Learning Asia Pte Ltd.

5.4 RUMUSAN

Penerima adalah elemen yang penting dalam proses komunikasi. Tanpa


penerima proses komunikasi tidak akan berlaku. Dalam amalan
perhubungan awam, penerima adalah dirujuk sebagai publik atau

132
khalayak. Segala perancangan perhubungan awam mestilah mengambil
kira khalayak yang terlibat. Oleh itu, penting bagi pengamal perhubungan
awam untuk mengenal pasti khalayak mana yang terlibat.

Tidak semua khalayak adalah mereka yang terlibat secara langsung


dengan sesuatu isu atau keadaan. Oleh itu pengamal perhubungan awam
mesti menjalankan kajian untuk memastikan khalayak manakah yang
merupakan khalayak utama mereka. Apa pula kesannya kepada kumpulan
khalayak yang lain?

Bagaimanapun, ada kalanya organisasi melupakan beberapa kumpulan


publik kerana menganggap mereka tidak penting atau memberi impak
yang signifikan kepada mereka. Walaupun sesuatu kumpulan publik itu
kecil dalam bilangan, namun ada kalanya mereka memberi impak yang
besar kepada organisasi. Kumpulan publik yang kecil tetapi agresif boleh
mempengaruhi masyarakat dalam membentuk pendapat. Publik seperti
media, wanita, pertubuhan-pertubuhan sosial misalnya mampu
mempengaruhi pendapat dan memberi impak yang kuat kepada
organisasi.

Pendapat umum yang dibentuk boleh memberi kesan yang besar kepada
organisasi sekiranya tidak ditangani dengan betul. Walaupun pendapat
umum adalah sesuatu yang boleh berubah-ubah bila timbulnya informasi
baru, atau belakunya peristiwa-peristiwa yang berkaitan, namun ia tidak
boleh diabaikan. Ini kerana publik membentuk pendapat berdasarkan
kepentingan diri mereka dan persepsi mereka terhadap sesuatu. Persepsi
yang baik akan melahirkan pendapat yang baik. Tetapi apabila wujudnya
pertentangan antara imej dan pengalaman, maka ia akan memberi kesan
negatif kepada pendapat. Sekiranya pendapat tersebut tidak menyokong
organisasi, maka organisasi mungkin akan menerima impak yang negatif
dan begitulah sebaliknya.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Istilah publik dalaman dan luaran adalah terlalu luas. Oleh yang
demikian kategori publik perlu di fokuskan. Bincangkan
kumpulan publik yang lebih terfokus.
2. Senaraikan telah menyenaraikan “Undang-undang” pendapat
publik yang diperkenalkan oleh Hadley Cabtril (1972).

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

133
JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Publik merujuk kepada sekumpulan individu yang bergabung


bersama kerana berkongsi minat dan kepentingan yang sama.
Pendapat ialah ekspresi melalui sikap dan tindak tanduk ke atas
sesuatu isu yang kontroversi. Pendapat publik merujuk kepada
sesuatu isu yang mengumpulkan pandangan, pengukuran atau
membezakan oleh seseorang yang mempunyai minat terhadap isu
tersebut. Mohd. Hamdan Adnan (1995), menyatakan pendapat
publik ialah usaha-usaha mengumpul pandangan khalayak sasaran
atau orang ramai dengan menggunakan kaedah persampelan serta
menganalisis penemuan tersebut dalam bentuk peratusan supaya
kesimpulan dapat diperoleh daripadanya. Laporan Macbribe
(UNESCO, 1984), menyatakan khalayak atau publik adalah
gabungan manusia yang dikira secara hisab. Khalayak ditakrifkan
sebagai entiti berkumpulan yang wujud kerana individu-individu
berkongsi pengalaman tertentu, tradisi dan gaya hidup.
Keseragaman khalayak bukanlah menyeluruh walaupun dalam
masyarakat yang kecil. Apabila dikaji secara terperinci banyak
kepelbagaian dapat dilihat sama ada berasaskan kepada darjat
sosial, kepentingan ekonomi, agama, fahaman ideologi, politik
dan sebagainya.

2. Secara kasarnya publik perhubungan awam terbahagi kepada dua


iaitu:

ƒ Publik dalaman. Ini ialah publik yang menggunakan identiti


organisasi. Ia termasuk pihak pengurusan, kakitangan,
pelabur dan lain-lain kumpulan sokongan yang berkongsi
identiti.

ƒ Publik luaran. Istilah ini merujuk kepada kumpulan yang


berada di luar organisasi. Mereka tidak mempunyai
hubungan secara rasmi ataupun secara langsung dengan
organisasi. Namun, seperti yang dinyatakan dalam definisi
di atas, publik ini mempunyai kepentingan tersendiri dan
boleh memberi impak kepada organisasi juga menerima
kesan dari organisasi.

3. Secara ringkasnya persepsi adalah pembentukan satu gambaran


atau imej dalam minda berdasarkan apa yang didengar, dilihat
dan dialami. Ada kalanya pendapat yang dibentuk berdasarkan
stereotaip yang wujud di dalam sesuatu keadaan. Misalnya apabila
kita bertemu dengan seorang wanita yang berkahwin dan tidak
bekerja, kita akan membina persepsi bahawa wanita tersebut

134
tidak berpelajaran tinggi. Dalam amalan perhubungan awam,
persepsi publik sama ada publik itu adalah publik dalaman
maupun luaran, boleh memberi kesan terhadap sesebuah
organisasi. Walaupun persepsi sesebuah publik terhadap
organisasi mungkin berlainan antara publik yang berlainan,
persepsi boleh bertukar. Oleh itu organisasi mesti memantau
persepsi publik terhadapnya.

4. Bernard Henessy mengatakan bahawa pendapat umum


mempunyai lima elemen asas iaitu:

• Pendapat umum mesti memfokus kepada satu isu tertentu.


Isu ini seharusnya merupakan isu yang hangat diperkatakan
pada ketika itu dan mempunyai kebarangkalian untuk
ditentang oleh masyarakat umum. Misalnya isu kenaikan
harga barangan pengguna;
• Kumpulan publik mestilah terdiri dari mereka yang
mempunyai kepentingan terhadap isu yang dibincangkan.
Dalam isu kenaikan harga barangan, publik yang paling
utama adalah pengguna kerana yang akan mengalami
tekanan apabila harga barangan pengguna meningkat;
• Semua bentuk pendapat individu yang berada dalam
kumpulan publik terbabit yang boleh dibayangkan dan
diukur. Setiap individu mungkin akan mempunyai pendapat
yang berlainan. Namun setiap pendapat itu tidak boleh
diketepikan;
• Bagaimana setiap pendapat itu diluahkan – sama ada dalam
bentuk lisan, tanpa, simbol dan sebagainya; dan
• Bilangan individu yang terlibat. Tidak kira sama ada
bilangan ahli dalam kumpulan itu mungkin besar atau kecil,
yang penting adalah impak yang akan diberikan.

5. Untuk mendapat sokongan ini, tiga perkara perlu diingati:

• Kekalkan sokongan yang ada. Khalayak yang sentiasa setia


kepada organisasi adalah penting untuk dikekalkan.
Pengamal perhubungan awam tidak boleh mengambil lewa
kesetiaan mereka kerana sekiranya mereka merasa mereka
tidak dihargai mereka mungkin akan mengubah pendirian
mereka;

• Dapatkan sokongan walaupun bersyarat dari mereka yang


belum mempunyai pendirian. Khalayak begini selalunya
memerlukan sesuatu kepastian yang boleh meyakinkan

135
mereka bahawa mereka membuat pilihan yang tepat. Oleh
itu pengamal perhubungan awam perlu pandai memujuk
dan meyakinkan mereka.

• Bagi khalayak yang sememangnya tidak menyebelahi anda,


mereka perlu diyakinkan. Usaha yang lebih diperlukan
untuk memenangi pendapat mereka.

136

Anda mungkin juga menyukai