Anda di halaman 1dari 3

GELOMBANG PANDEMIK SEMANGAT PATRIOTIK SEMAKIN TERHAKIS.

PEMBANGKANG: MENOLAK USUL


KATA KUNCI: SEMANGAT PATRIOTIK RAKYAT NADI KEPADA KEBEBESAN
GELOMBANG PANDEMIK.

Tuan Yang Dipertua,


Penularan Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun
yang lalu tidak menghakis semangat patriotik dalam diri rakyat di
negara ini, bahkan terus membangkitkan semangat patriotik di negara
ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, semangat patriotik negara kini
harus memfokuskan kepada memerangi Covid-19 berdasarkan kepada
fokus keperluan semasa. Jika dahulu, untuk mencapai kemerdekaan
pada 1957, rakyat melalui keperitan dan pelbagai kesengsaraan dalam
perjuangan menentang penjajah. Dengan semangat patriotik dan satu
hati yang jitu, terlucutlah bendera Union Jack dan terkibarlah Jalur
Gemilang keramat menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos 1957.
Tuan Yang Dipertua dan sidang Dewan sekalian,
64 tahun berlalu, kini negara umpama dijajah kembali. Namun,
penjajahan kali ini tanpa ketumbukan tentera jauh sekali pertempuran
bersenjata. Yang ada hanyalah musuh tidak nampak yang membunuh
dan menyekat kebebasan keseluruhan penduduk sebuah negara yang
merdeka. Penguatkuasaan proklamasi darurat baru-baru ini seolah-olah
mengimbau saat ketakutan massa di era penjajahan. Krisis kesihatan
berpanjangan, pergerakan rakyat tersekat, sektor ekonomi menuju
kelumpuhan, kadar kemiskinan membarah, institusi pendidikan
terbantut ditambah kecelaruan politik dan kepimpinan negara. Situasi
ini umpama medan perang dan menuntut semangat patriotik dalam diri
rakyat keseluruhannya untuk bangkit berjuang demi mengecapi
kembali sebuah kemerdekaan.
Tuan Yang Dipertua,
Bila bercakap tentang pengorbanan kepada negara dan semangat
patriotik, saya teringat kata-kata hebat bekas Presiden Amerika
Syarikat, John F. Kennedy iaitu, “jangan tanya apa sumbangan negara
kepada anda tetapi tanyalah apa sumbangan anda kepada negara.”
Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa rakyat pada masa ini
sememangnya sedang berjuang dan memenuhi tuntutan semangat
patriotik. Perjuangan maknawi melawan kehendak nafsu dan keinginan
untuk bergerak bebas, melancong, bersosial, berhibur secara terbuka
dan pelbagai sekatan lain telah menjadi satu tanggungjawab bagi setiap
rakyat. Inilah semangat patriotik yang telah tersemai dalam diri rakyat
untuk pertiwi tercinta.
Dewan yang mulia,
"Malaysia Prihatin” sekali lagi dipilih sebagai tema sambutan Hari
Kebangsaan tahun ini, justeru pengertian tersebut wajar diperjuangkan
oleh seluruh rakyat Malaysia terutama dalam usaha memerangi serta
memutuskan rantaian wabak COVID-19 demi kelangsungan diri sendiri,
keluarga, komuniti, negeri dan negara. Dengan sebab itulah, rakyat
sekarang ini sama-sama berjuang untuk menang dalam perang
melawan pandemik demi kemerdekaan negara tercinta. Justeru, rakyat
bersatu hati mengukuhkan perpaduan tidak kira bangsa, agama,
fahaman politik dan sebagainya. Apabila perpaduan dapat dikukuhkan,
semangat patriotik dan rasa kecintaan kepada negara akan terus mekar
dan tidak akan terhakis.
Tuan Yang Dipertua,
Saya amat yakin, segala pengorbanan rakyat dalam perjuangan
gelombang pandemik hari ini, telah membuktikan bahawa semangat
patriotik tidak akan terhakis bahkan perjuangan ini telah menyuntik
semangat patriotik dalam diri rakyat di negara ini. Berdasarkan hujah
dan fakta yang saya bentangkan tadi, jelas bahawa semangat patriotik
rakyat nadi kepada kebebasan gelombang pandemik dan selaras
dengan premis kami iaitu ciri-ciri semangat patriotik yang masih ada
dalam diri rakyat walaupun pandemik Covid-19 sedang melanda
negara. Maka usul pada hari ini iaitu gelombang pandemik semangat
patriotik semakin terhakis wajar ditolak sebulat suara.

Anda mungkin juga menyukai