Anda di halaman 1dari 9

ISU KEMEROSOTAN DISIPLIN PELAJAR DI SEKOLAH KEBANGSAAN KULIM

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Sesuai dengan peranannya sebagai khalifah di muka bumi ini, manusia

diciptakan oleh Allah dengan sebaik-sebaik kejadian, yang lengkap dengan tubuh

dan jasad, akal fikiran, hati nurani, perasaan dan syahwat. Setiap tingkah laku dan

perbuatan seseorang itu tidak akan terlepas dari lingkungan baik atau jahat sama ada

disedari atau tidak. Sesungguhnya, Allah SWT telah menjadikan manusia dengan

sebaik-baik ciptaan sepertimana firman-Nya :

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia

dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai

dengan keadaannya).”

(Surah Al-Tin, 95:4)

Masalah disiplin mungkin juga boleh disama ertikan dengan salah laku

pelajar, keruntuhan akhlak dan sebagainya. Masalah disiplin begitu sinonim dengan

golongan remaja atau golongan pelajar sekolah yang sedang mengalami proses

menuju ke alam dewasa. Kejayaan sesebuah sekolah sama ada dalam pelbagai

bidang akademik atau kokurikulum bergantung kepada pelbagai faktor. Disiplin

dikenal pasti antara aspek penting dalam menentukan kejayaan itu, lebih-lebih lagi

untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan di semua peringkat. Sekolah

bukan sahaja berfungsi sebagai badan pengajar semata-mata, tetapi ia mempunyai

tujuan pendidikan untuk mendidik yang luas. Selain pendedahan pengetahuan dan

intelektual kepada pelajar, aspek disiplin merangkumi moral dan sosial pelajar juga

harus diberi penekanan.


1.2 Latar Belakang Masalah

Masalah disiplin di sekolah-sekolah adalah suatu gejala yang perlu dititik

beratkan. Hal ini kerana ia berkait dengan akhlak individu. Menyentuh tentang

masalah disiplin, golongan yang sering dihubungkaitkan adalah golongan pelajar

sama ada di kawasan sekolah atau di luar sekolah. Sejak akhir-akhir ini, didapati

semakin banyak kejadian pelajar-pelajar lari daripada rumah, liar, rosak akhlak,

menagih dadah, dan kanak-kanak yang tidak menghormati orang tua hingga ada yang

sanggup melawan ibu bapa sendiri.

Persoalan seperti ini tidak jemu-jemu dibincangkan untuk kepentingan

masyarakat, apatah lagi kepada golongan pelajar dalam masyarakat hari ini.

Pendidikan yang diterima oleh pelajar-pelajar dalam masyarakat hari ini jauh berbeza

dari dahulu. Cabaran semasa yang menggoda remaja hari ini juga jauh berbeza

dengan zaman lampau. Segala-galanya telah berubah dan dari sehari ke sehari

semakin mencabar. Sekalipun hanya sebahagian kecil pelajar-pelajar remaja yang

terlibat namun kesannya akan membabitkan banyak pihak dan merugikan pelajar

berkenaan juga.

Peniruan yang nyata dapat dikesan ialah dalam masalah pemakaian. Gejala

seperti ini menyebabkan mereka mula meniru cara-cara artis pujaan mereka

berpakaian iaitu cara berpakaian penghibur ‘rock’ sama ada dari cara baju, seluar,

kasut, rambut, malah mereka berlagak pula dengan gaya penyanyi berkenaan. Selain

daripada itu, terdapat juga pelajar-pelajar yang terpengaruh dengan rancangan

televisyen. Akibat daripada pengaruh rancangan televisyen mereka gemar melawan

sesiapa termasuk guru-guru mereka. Guru-guru disiplin biasanya adalah orang yang

pertama menjadi mangsa mereka. Ada pelajar yang dimarahi guru, akan datang

bersama rakan-rakan untuk mengambil tindakan terhadap guru tersebut sebagai

membalas dendam. Ada juga kereta guru-guru yang dicalar dengan paku dan rumah

mereka dilempar batu. Ada juga guru-guru diejek terutama sekali guru wanita. Kita

juga telah dikejutkan dengan satu insiden di mana seorang pelajar lelaki tingkatan

lima berani mencekik dan menolak guru wanitanya sehingga hampir jatuh dari
tingkat dua bangunan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar

Kota Tinggi (Utusan Online, 26 Jun 2007).

Laporan akhbar mengenai kes-kes pelanggaran disiplin dan keganasan yang

berlaku di sekolah merupakan perkara biasa pada hari ini. Surat khabar perdana,

Utusan Malaysia keluaran 30 Mac 2004 melaporkan di muka hadapan seorang

pelajar tingkatan empat sekolah menengah agama meninggal dunia akibat dibelasah

oleh sekumpulan pelajar senior. Berdasarkan rekod polis pula, terdapat lebih 35 kes

pelajar sekolah mati atau cedera akibat dibelasah dilaporkan dalam tempoh lima

tahun ini iaitu dari 1999 hingga 2003 (Utusan Malaysia, 29 Mac 2004).

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 3627 kes

jenayah yang membabitkan pelajar sekolah pada tahun 2003. Pelajar-pelajar yang

terlibat dalam kes tersebut berumur antara 7 hingga 18 tahun (Utusan Malaysia, 25

Mac 2004). Hal ini berlainan pula dengan statistik polis pada tahun 2008. Dari

Januari hingga Februari 2008, seramai 233 pelajar yang berumur antara 13 dan 18

tahun terlibat dengan jenayah (Bernama, 4 April 2009). Kebanyakan kes-kes ini

berpunca daripada masalah disiplin pelajar.

Mengikut laporan akhbar utusan, hanya 13 peratus kes serius salah laku

pelajar dilaporkan oleh pihak sekolah kepada pihak atasan, sekaligus didakwa

menyumbang kepada masalah disiplin yang lebih serius. Perkara tersebut didedahkan

oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kaji selidik

NUTP berhubung Isu Kemerosotan Tahap Disiplin Di Sekolah-Sekolah dalam buku

Laporan NUTP 2004: Disiplin Di Sekolah-Sekolah Malaysia (Utusan Malaysia, 31

Mei, 2004).

Pada tahun 2005 seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Tengku,

Kuala Lipis Pahang, Muhamad Afiq Qusyairi yang menghadapi risiko lumpuh

sepanjang hayat dipercayai akibat dipijak di belakangnya dengan kasut kadet polis

serta dihentak badannya ke almari oleh pelajar tingkatan lima dan tingkatan tiga

sekolah tersebut. Ekoran peristiwa itu, Dato Seri Hishamuddin melahirkan rasa

kekesalan dan marah kerana kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah aliran
agama sekali gus mencemarkan imej Islam itu sendiri. Beliau menyebut bahawa ia

memberi gambaran seolah-olah murid yang diberi pendedahan didikan Islam tidak

mempunyai kawalan diri dan tahap disiplin yang tinggi berbanding murid di sekolah

bukan aliran agama (Utusan Malaysia, 20 Jun 2005).

Menurut Wan Akashah Wan Abdul Hamid, Penolong Kanan Hal Ehwal

Murid Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dalam temubual beliau

bersama Majalah Massa bertarikh 27 September 2003, pelajar SMKA mendapat

pendedahan mata pelajaran berkaitan pendidikan Islam sebanyak lebih 30 peratus

berbanding pelajar sekolah menengah harian biasa yang hanya mendapat pendedahan

serupa sekitar 15 peratus sahaja dan mungkin kurang daripada itu. Di samping itu,

pelajar SMKA juga didedahkan dengan program-program pembinaan sahsiah kendiri

dan penghayatan ibadah Islam yang jarang didapati di sekolah menengah harian

biasa.

Di Kelantan, sepanjang tahun 2000 hingga bulan pertama tahun ini, sebanyak

1,170 kes jenayah juvana kebanyakannya membabitkan pelajar berusia antara 12

hingga 18 tahun di mana kes membabitkan kekerasan, manakala 976 kes jenayah

harta benda. Manakala, mengikut Perangkaan Tangkapan Juvana Kont KN Daerah

Tanah Merah jumlah tangkapan pada tahun 2008 adalah seramai 69 orang dengan 39

kes berbanding pada tahun sebelumya 48 orang dengan 30 kes (Laporan Balai Polis

Daerah Tanah Merah, Kelantan).

Pendedahan di atas adalah diantara beberapa contoh gejala kerosakan akhlak

yang sekali gus merupakan pelanggaran disiplin. Keadaan seperti ini, akan sentiasa

berterusan jika langkah-langkah serius tidak diambil.

1.3 Pernyataan Masalah

Sejak kebelakangan ini pelbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang

masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan seperti pelajar merokok, melawan

guru, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Sikap para pelajar sekarang ada yang

menjangkau fikiran kita. Masalah disiplin pelajar sekolah bukanlah masalah baru

dalam dunia globalisasi dan moden hari ini.


Isu kemerosotan disiplin di kalangan pelajar yang selalu dibicarakan perlu

dicari jalan penyelesaian segera. Masalah ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana

ia melibatkan banyak faktor yang boleh mendatangkan kerosakan terutamanya

kepada diri remaja, agama dan negara. Tanggungjawab membanteras masalah

disiplin pelajar sekolah bukan sahaja tanggungjawab kerajaan malah ia harus dipikul

oleh semua pihak. Ini kerana pelajar merupakan aset negara paling berharga yang

akan menentukan masa depan masyarakat dan negara. Kegagalan membendung

masalah ini sudah pasti memberi gambaran yang kurang baik terhadap masa depan

negara.

Memandangkan isu ini serius dan semakin menjadi-jadi, maka pengkaji

merasakan satu kajian perlu dijalankan. Oleh yang demikian, pengkaji ingin

mengkaji apakah faktor-faktor terjadinya masalah disiplin dan cara untuk

mengatasinya di kalangan pelajar sekolah.

1.4 Pengertian Tajuk

Sebelum membicarakan dengan lebih lanjut tentang isi tajuk projek ini, maka

terlebih dahulu penulis menerangkan serba sedikit istilah-istilah penting di dalam

kertas projek ini iaitu pengertian masalah, disiplin dan pelajar.

1.4.1 Masalah

Menurut kamus Dewan Edisi Keempat, masalah bermaksud sesuatu kesulitan

yang memerlukan tindakan dan penyelesaian, perkara atau keadaan yang

menimbulkan kesukaran atau kesulitan (Kamus Dewan, 2005).

1.4.2 Disiplin

Pengertian disiplin mungkin berbeza pentafsirannya. Mengikut Kamus

Dewan Edisi Keempat (2005) mendefinisikan disiplin sebagai "latihan terutamanya

pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut peraturan

yang ditetapkan dan sekiranya ini berlaku sebaliknya hukuman atau denda akan

dikenakan".

Abdullah Sani Yahaya (2005) menyatakan disiplin dapat didefinisikan

sebagai sesuatu latihan pemikiran yang patut ada pada setiap individu. Disiplin
adalah peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi mewujudkan insan mulia. Disiplin

juga adalah salah satu aspek yang mesti wujud dalam masyarakat.

Dalam mentakrifkan maksud disiplin, Islam meletakkan disiplin adalah

sesuatu peraturan yang tiada pintu belakang, iaitu orang boleh melarikan diri dari

Allah yang sebenarnya, kerana Allah mengetahui terhadap segala tingkah laku

manusia di samping juga Maha Adil. Semua amal manusia baik atau buruk, besar

atau kecil tidak terlepas dari pengamatan Allah dan selanjutnya tidak terlepas pula

dari pembalasannya kecuali yang telah bertaubat. Firman Allah:

Maksudnya: "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat

zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)Nya dan barangsiapa

yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan

melihat (balasan)Nya pula.”

(Surah Al-Zalzalah, 99 :7-8)

Dalam kajian ini, disiplin merujuk kepada peraturan-peraturan yang

ditetapkan oleh pihak berkuasa di Maahad Ahmadi Tanah Merah, Kelantan.

1.4.3 Pelajar

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), pelajar didefinisikan sebagai

orang yang belajar (seperti murid sekolah, penuntut di maktab), orang yang mengaji

(menyelidiki ilmu).

1.5 Objektif

1. Mengetahui persepsi pelajar terhadap disiplin di sekolah.

2. Mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi masalah disiplin pelajar.

3. Mencari jalan penyelesaian terhadap masalah disiplin.

1.6 Persoalan Kajian

1. Apakah persepsi pelajar terhadap disiplin di sekolah.

2. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi timbulnya masalah disiplin di

kalangan pelajar.

3. Apakah jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah gejala sosial

di kalangan remaja sekolah


1.7 Kepentingan Kajian

Melalui kajian yang dijalankan ini adalah diharapkan kita dapat mengetahui

apakah sebab dan penyelasaian terhadap masalah disiplin sekolah di Malaysia amnya

dan khususnya kepada masalah disiplin pelajar Sekolah Kebangsaan Kulim Ia juga sebenarnya
berperanan sebagai pemberi maklumat tambahan

kepada semua pihak.

1.7.1 Pentadbiran sekolah

Dapatan kajian juga membolehkan pihak-pihak tertentu khususnya

pentadbiran sekolah mengetahui realiti sebenar yang berlaku di Maahad Ahmadi

Tanah Merah, Kelantan. Ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kepada

mereka tahap masalah disiplin. Selain itu, dapatan kajian juga dapat membantu

pihak-pihak seperti Badan Disiplin Sekolah, Badan Kaunseling, dan badan-badan

lain dalam merangka program yang sesuai dalam masyarakat pelajarnya ke arah

membentuk budaya kehidupan yang lebih baik.

1.7.2 Ibu Bapa

Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk memberi maklum balas kepada

ibu bapa tentang keseriusan masalah disiplin. Melalui kajian ini adalah diharapkan

para ibu bapa mula menyedari situasi sebenar dan tidak bersikap sambil lewa lagi

dalam mendidik anak-anak.

1.7.3 Pihak Kerajaan

Di samping itu juga dapatan kajian juga boleh menjadi maklumat sokongan

tambahan dan panduan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kementerian

Pelajaran Malaysia (KPM) dalam merangka garis panduan atau meminda polisi

pendidikan yang sedia ada bagi mengatasi masalah ini dari terus bercambah.

10

1.8 Batasan atau Skop Kajian

Kajian ini hanya dijalankan di Sekolah Kebangsaan Kulim.

Kajian hanya tertumpu di kalangan pelajar tingkatan empat bagi sesi 2009. Hasil

daripada kajian ini hanya mewakili pelajar sekolah ini sahaja dan tidak
menggambarkan keseluruhan pelajar yang terdapat di Malaysia.

1.9 Kesimpulan

Dalam bab ini penyelidik telah menyatakan penjelasan dan huraian ringkas

mengenai aspek yang dikaji. Isu disiplin ini merupakan isu yang sentiasa hangat

diperdebatkan. Masalah ini perlu diberi perhatian yang serius kerana pelajar

merupakan aset utama negara dan bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Setelah dikenal pasti latar belakang masalah, pernyataan masalah, objektif kajian,

persoalan kajian, kepentingan kajian dan batasan kajian, penyelidik akan membuat

sorotan kajian dalam Bab Dua.

Anda mungkin juga menyukai