Anda di halaman 1dari 8

ISU DAN CABARAN PENDIDIKAN SEMASA : GEJALA SOSIAL 1.

0 PENDAHULUAN Jika
sebut sahaja mengenai bidang pendidikan, sudah tentu amat berkait rapat dengan sekolah,
guru dan pelajar kerana tanpanya institusi pendidikan tidak dapat berlangsung dengan
sempurna. Isu pendidikan dan cabaran semasa sentiasa menghimpit setiap insan yang
berada dalam dunia pendidikan khususnya para guru. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat
(2007), isu bermaksud perkara pokok atau persoalan yang dibincangkan manakala cabaran
merujuk kepada sesuatu faktor yang menguji kemampuan dan ketabahan sesuatu organisasi.
Oleh itu, terdapat unsur yang mencabar kemampuan guru secara khasnya dalam
meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Dalam proses untuk meningkatkan kualiti
pendidikan ini, sudah tentu terdapat banyak isu dan cabaran pendidikan yang perlu dihadapi
oleh para guru terutamanya dalam melahirkan modal insan yang cemerlang. Antara isu dan
cabaran yang dihadapi ialah isu gejala sosial dalam kalangan pelajar. Menurut Noriati et.al
(2010), sejak tahun 1997, dua cabaran pendidikan alaf baru yang kerap diutarakan dalam
persidangan nasional ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu
ditangani ke arah membentuk masyarakat madani. Sehubungan itu, sekolah yang mempunyai
guru yang berkemahiran, berkepimpinan serta mampu mendepani cabaran semasa perlu
berusaha dengan gigih lagi bagi melahirkan pelajar yang berkualiti tidak hanya dalam
peperiksaan bahkan dari aspek tingkah laku mereka. Jika dilihat kepada Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (1989), terdapat frasa yang menggariskan pendidikan sebagai satu usaha bagi
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencari kesejahteraan diri. Tugas untuk
merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini agak berat kerana sukar untuk
membentuk manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang dan acuan rohaninya ke arah
satu matlamat yang serupa. Namun sebagai seorang guru, cabaran untuk merealisasikan
hasrat ini harus disahut dengan penuh kesungguhan agar dapat melahirkan modal insan kelas
pertama. Merujuk data terkini yang telah dikeluarkan, terdapat lebih kurang 421,086 orang
guru untuk mendidik 5,163,316 juta pelajar. Betapa besarnya tanggungjawab guru untuk
membimbing dan mendidik bilangan pelajar yang begitu ramai. Berdasarkan petikan akhbar
Harian Metro, Mashitah (2012) berpendapat pelajar sering melakukan kejutan kepada
masyarakat dengan masalah sosial mereka. Terdapat segelintir pelajar yang malas belajar,
suka tidur dalam kelas, ponteng sekolah, terbabit dengan kegiatan samseng, membuli,
merempit, berzina, buang bayi, merokok, salah guna dadah, mencuri dan gejala sosial lain.
Oleh itu, adalah menjadi satu cabaran kepada seorang guru untuk mengatasi gejala sosial ini.
Sehubungan itu, dalam tugasan Guru dan Cabaran Semasa (EDU 3093) ini, penulis hanya
akan memfokuskan perbicangan terhadap isu gejala sosial buli di sekolah dan selanjutnya
penulis akan menganalisis kes tersebut secara kritikal. 2.0 GEJALA SOSIAL BULI 2.1 Fakta
kes buli Menurut Tattum (1988) dalam Azneezal et.al (2005), buli adalah operasi psikologikal
atau fizikal yang berulang-ulang terhadap individu yang lemah oleh individu atau kumpulan
yang lebih berkuasa. Manakala merujuk kepada Wikipedia Ensiklopedia Bebas, buli
bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk
menunjukkan kekuatan masing-masing. Secara ringkasnya, tingkah laku buli ini boleh
didefinisikan sebagai satu perbuatan menindas oleh seseorang yang lebih kuat atau berkuasa
terhadap seseorang yang lebih lemah. Tingkah laku buli boleh diklasifikasikan kepada dua
kategori iaitu bentuk fizikal dan psikologi. Menurut Mohd. Aris et.al (2005), buli fizikal
melibatkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut,
menolak, mencubit, atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan atau kematian
manakala buli psikologi pula lebih kepada ejek-mengejek. Sungguhpun kes buli secara
psikologi ini kurang mendapat perhatian media, namun buli psikologi sebenarnya lebih serius
berlaku di sekolah berbanding kes buli secara fizikal. Tekanan buli psikologi secara
berpanjangan boleh menyebabkan berlakunya buli fizikal yang boleh menyebabkan
pergaduhan yang melibatkan aksi pukul-memukul. Berdasarkan laporan akhbar Berita Minggu
(14 Julai, 2005) yang dipetik dari Mahadi (2007), menyatakan terdapat lebih 35 kes pelajar
sekolah mati atau cedera akibat dibelasah yang dilaporkan dalam tempoh lima tahun ini iaitu
dari 1999 hingga 2003. Kebanyakan kes-kes ini berpunca daripada perbuatan buli. Manakala
merujuk keratan akhbar Berita Harian (2005) dipetik dari Azneezal et.al (2005) pula
melaporkan, pada tahun 2003, peratusan salah laku disiplin pelajar termasuklah kes buli
adalah sebanyak 2.11% dan pada tahun 2004 ialah sebanyak 2.07%. Dalam beberapa kes
yang pernah dilaporkan, kes buli di sekolah bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga
pelajar perempuan. Tidak cukup dengan itu, pembuli juga seakan-akan tidak takut dengan
hukuman yang bakal dikenakan dengan memuat naik aksi buli mereka di laman-laman sosial
secara bangganya. Keadaan ini membuktikan bahawa gejala sosial buli ini merupakan satu
cabaran besar yang perlu dihadapi oleh guru secara khasnya dan Kementerian Pelajaran
Malaysia secara amnya. Memetik laporan Berita Harian Online (11 Julai 2014), tiga pelajar
perempuan yang terbabit dalam video Budak Pailang akan dihantar ke Sekolah
Tunas Bakti masing-masing di Sabah, Terengganu dan Melaka selepas mengaku bersalah
mencederakan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Asajaya, Kota
Samarahan pada 25 April 2014. Video yang telah dimuat naik di laman sosial Youtube itu
menunjukkan mangsa telah disepak, dipijak dan diheret atas lantai dan dibelasah sekumpulan
pelajar samseng yang juga merupakan pelajar perempuan. Selain itu, antara kes serius yang
dilaporkan dan membuka mata pelbagai pihak mengenai gejala buli ialah kes adik Mohamad
Afiq Qusyairi, pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang yang
hampir mengalami risiko lumpuh sepanjang hayat akibat dipijak belakangnya dengan kasut
kadet polis serta dihentak badannya ke almari oleh pelajar tingkatan lima dan tingkatan tiga
sekolah tersebut pada Jun 2005 (Bernama, Ogos 2005). Walau bagaimanapun, gejala buli
yang paling mengejutkan semua pihak ialah kes buli yang telah menyebabkan kematian.
Sebagai contoh, insiden malang yang menimpa adik Mohd. Hadzrin Mohamad iaitu seorang
pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah di Cheras pada tahun 2009. Allahyarham koma
selama lapan hari akibat dipukul oleh sekumpulan remaja gara-gara berebut kekasih.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia (Utusan Online, Februari 2009). Berdasarkan fakta kes yang
dikemukakan di atas, kebanyakan kes buli yang dilaporkan berlaku dalam kalangan murid-
murid sekolah menengah. Walau bagaimanapun, kes-kes buli di sekolah menengah ini adalah
rentetan daripada tingkah laku agresif buli semasa mereka berada di sekolah rendah.
Pendapat penulis ini selaras dengan kajian yang dilakukan Azizi Hj. Yahaya et.al (2008) iaitu
pelajar yang bertingkah laku agresif buli cenderung untuk membentuk tingkah laku agresif
ganas apabila dewasa kelak. Ini bermakna, pelajar yang membuli semasa di sekolah rendah
berkemungkinan besar menjadi pembuli di sekolah menengah dengan kelakuan yang lebih
ganas lagi. Kebanyakan masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Menurut
Azizi Hj. Yahaya et.al (2008), masalah buli yang berlaku di sekolah merupakan perkara biasa
pada hari ini. Berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan, jelaslah bahawa gejala buli yang
berlaku dalam kalangan pelajar harus ditangani segera kerana masalah buli ini bukan sahaja
memberi kesan yang negatif kepada mangsa buli bahkan turut memberi kesan kepada ibu
bapa, para guru, kaunselor dan pihak pentabir sekolah sekali gus menjadi satu cabaran besar
kepada negara pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, penulis akan mengupas
dengan lebih mendalam lagi mengenai kes-kes buli yang berlaku. Kupasan yang akan dibuat
meliputi punca, implikasi dan cadangan mengatasi masalah buli. Rumusan secara
keseluruhan juga akan dibuat pada bahagian penutup tugasan projek EDU3093 ini. 3.0
ANALISIS KES BULI SECARA KRITIKAL 3.1 Punca gejala buli Berdasarkan kajian yang
dijalankan oleh Azneezal et. al (2005), pengaruh rakan sebaya menjadi punca kepada
terjadinya kegiatan membuli. Menurut beliau lagi, tekanan rakan sebaya akan mendorong
murid terpengaruh akan tingkah laku rakan mereka yang suka membuli. Hal ini kerana pada
zaman ini, remaja lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka berbanding
orang lain. Malah ibu bapa dan guru tidak lagi menjadi model dalam kehidupan remaja
mereka. Keadaan ini berlaku kerana mereka lebih percaya dengan rakan seusia untuk
berkongsi masalah. Olah itu, tekanan rakan sebaya akan mendorong pelajar terpengaruh
untuk mengikut tingkah laku rakan mereka yang suka membuli. Perbuatan buli juga boleh
berpunca daripada pengaruh media massa. Media massa yang paling berpengaruh ialah
televisyen dan permainan video. Dewasa ini terdapat banyak stesen televisyen yang
menayangkan filem yang berunsur ganas. Sewajarnya pihak media perlu memastikan
program yang disiarkan di televisyen tidak mendatangkan kesan negatif kepada golongan
muda, terutamanya peiajar sekolah. Sebagai contoh, video Budak Pailang yang
dimuat naik di Youtube jelas menggambarkan kata-kata murid yang terbabit adalah pengaruh
daripada sebahagian dialog yang diungkapkan dalam filem-filem tempatan yang berunsurkan
gangsterisme. Selain itu, emosi pelajar juga merupakan salah satu punca berlakunya kes buli.
Menurut kajian yang dijalankan Azneezal et.al (2005) sesetengah pelajar mempunyai emosi
dan ego yang tinggi manakala yang lain pula mempunyai perasaan rendah diri (inferiority
complex). Oleh itu, murid yang membuli ini dikatakan mudah terbawa-bawa emosi yang
bersifat negatif. Banyak kajian menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar yang membuli ini
adalah pelajar yang kurang berdisiplin. Mereka seronok melihat pelajar yang dibuli menangis
atau marah kepada mereka. Kejayaan membuli akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa
dan tidak mudah digertak. Gejala buli ini juga dikatakan berpunca daripada kurangnya kasih
sayang ibu bapa. Memetik petikan akhbar Utusan Melayu (September, 2013), seorang murid
tahun enam yang suka membuli di sekolah mengatakan bahawa ibunya lebih sayangkan adik
dan kurang memberi perhatian kepadanya. Sebagai tanda protes dengan sikap ibunya itu, dia
tidak mahu mengetip kuku dan membuli kawan-kawannya di sekolah dengan cara mencakar.
Kukunya dibiarkan panjang kerana menunggu ibunya peka dengan kukunya. Akhirnya,
gurunya sendiri mengetip kuku pelajar itu dan menunjukkan keprihatinan kepadanya dan
ibunya mula sedar kecuaiannya. Keadaan ini jelas menunjukkan murid yang membuli
menunjukkan tanda protes mereka akibat kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa
mereka. Peranan guru dan pihak sekolah yang terlampau menekankan aspek akademik juga
boleh menyebabkan kepada berlakunya gejala buli. Menurut Azneezal et. al (2005), pihak
sekolah dan kementerian terlalu menekankan program-program bercorak akademik dan
terlampau menekankan kecemerlangan akademik lantas meminggirkan pendidikan sosial.
Maka lahirlah pelajar yang cemerlang dalam akademik tetapi menjadi pembuli ketika di
sekolah. Berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan, jelaslah bahawa gejala buli yang terjadi
ini pada hari ini berpunca daripada pelbagai faktor. Faktor-faktor yang mendorong kepada
masalah buli ini menjadi satu cabaran kepada guru secara khasnya dalam memikirkan cara-
cara untuk menghapuskan gejala buli ini secara total sejak dari bangku sekolah rendah lagi.
3.2 Cadangan mengatasi gejala buli Kes-kes buli yang berlaku di sekolah menggambarkan
begitu seriusnya masalah yang dihadapi oleh generasi muda di Malaysia jika tidak diambil
tindakan segera bagi membendungnya. Semua pihak harus menggembleng tenaga bagi
memastikan masalah ini tidak berterusan atau menjadi lebih parah lagi. Penggemblengan
tenaga semua pihak seperti ibu bapa, guru, kaunselor, guru disiplin, pengubalan kurikulum
dan pihak polis dilihat mampu mengatasi masalah ini. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama
bertanggungjawab membanteras gejala ini hingga ke peringkat akar umbi. Iklim dan
persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid
dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Sehubungan itu, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu
dibentuk. Program antibuli ini bertujuan untuk menghalang daripada gejala buli terus
berleluasa dalam kalangan murid-murid. Merujuk Utusan Online (Mac 2009), Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yakin masalah buli boleh diatasi jika pengurusan
sekolah diberi kebebasan untuk melaksanakan modul antibuli yang sesuai dengan keperluan
masing-masing. Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, melalui konsep
tersebut, fokus bukan hanya tertumpu kepada antibuli tetapi membentuk persekitaran
pembelajaran yang kondusif dan selamat kepada pelajar (Utusan Online, Mac 2009). Antara
ahli dalam jawatankuasa antibuli boleh terdiri daripada guru besar, guru kaunseling, guru
disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan
menilai keberkesanannya. Selain itu, sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes-kes
buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Menurut
Noran (2005), hal ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik
berkaitan dengan gejala buli. Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami
di sekolah. Bagi mendapatkan respons yang lebih tinggi tentang perbuatan buli ini, identiti
pelajar yang mengisi borang soal selidik hendaklah dirahsiakan (Noran, 2005). Dengan
melakukan tinjauan masalah sebegini, sekurang-kurangnya, guru dan pihak sekolah dapat
mengenal pasti gejala buli yang sedang berlaku di kawasan sekolah mereka. Bukan setakat
di peringkat sekolah, malah para guru juga boleh melaksanakan peraturan kelas berkaitan
dengan sifar buli. Satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu
dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan
sebagai tingkah laku buli sama ada dari segi psikologi mahupun fizikal dan apa pula hukuman
yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya. Menurut Noriati et.al (2009)
penetapan dan penguatkuasaan peraturan di dalam kelas ini merujuk kepada Model Disiplin
Asertif yang telah diperkenalkan oleh Lee dan Marlene Canter setelah mendapati majoriti guru
tidak mampu mengawal tingkah laku yang tidak diingini berlaku dalam bilik darjah. Mengenai
pelaksanaan sifar buli tersebut, setiap pelajar diberikan senarai peraturan-peraturan yang
perlu dipatuhi dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan
disimpan di dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani
peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa
atau penjaga dengan sekolah (Noran 2005). Tambahan lagi, adalah amat penting bagi
jawatankuasa disiplin sekolah perlu berperanan dengan baik. Sesungguhnya, murid akan
menjadi semakin agresif jika mendapati jawatankuasa disiplin sekolah tidak mengambil
tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap pelanggaran peraturan sekolah yang dilakukan.
Oleh itu, masalah disiplin yang berlaku di sekolah perlu diambil tindakan dengan segera. Jika
pihak jawatankuasa disiplin sekolah dapat memainkan peranan dengan proaktif, maka sudah
pastilah gejala buli dapat dibanteras. Untuk tujuan itu juga, Berita Harian bertarikh 11 Ogos
2005 yang dipetik daripada Azneezal et.al 2005 melaporkan bahawa Kementerian Pelajaran
Malaysia bercadang melatih guru disiplin ketika menjalani latihan di maktab perguruan agar
mereka dapat dibekalkan dengan pelbagai pendekatan seperti kaunseling dan lebih bersedia
menghadapi sebarang cabaran dan masalah pelajar. Seterusnya, guru bimbingan dan
kaunseling di sekolah hendaklah memainkan peranan mereka. Hal ini demikian kerana di
sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk membuat kerja lain daripada berjumpa dengan
pelajar bermasalah untuk menyelesaikan masalah mereka. Oleh itu, guru bimbingan dan
kaunseling harus memainkan peranan lebih aktif. Kebiasaannya, mangsa buli tidak mahu
berkongsi masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Oleh itu, guru bimbingan dan
kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan lebih yakin untuk
melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat mengambil tindakan yang tegas
kepada murid-murid yang terlibat. Peranan ibu bapa dan guru-guru juga amat penting. Ibu
bapa perlulah memantau dengan siapa anak-anak mereka berkawan. Ibu bapa seharusnya
lebih peka dan memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan gejala buli. Guru-guru
pula harus memberitahu ibu bapa jika ada yang tidak kena dengan perlakuan seseorang
murid. Hal ini kerana apabila berada di sekolah, murid-murid berkelakuan tidak sama seperti
di rumah. Kadang kala ibu bapa tidak percaya jika pihak sekolah melaporkan bahawa anak-
anak mereka terlibat dengan masalah disiplin di sekolah kerana kelakuan anaknya yang
berbeza apabila berada di rumah. Oleh hal yang demikian, kerjasama antara ibu bapa dan
guru amat membantu dalam membanteras gejala buli di sekolah. Pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia juga boleh bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah
buli ini. Pembuli yang ditangkap mungkin boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-
kerja kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk
menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman yang setimpal
seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak atau digantung persekolahan untuk
memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan murid-murid yang lain. Tindakan
mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan
hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman sudah
berubah. Kesimpulannya, masalah buli ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala
ini menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko termasuk
kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di kawasan sekolah yang
merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan yang bakal memimpin negara
pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka
menindas orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak
seperti ibu bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam
menangani masalah ini. Semua pihak tidak kira daripada peringkat manapun wajar
berganding bahu bagi mencari alternatif terbaik bagi mengatasi masalah ini. Sikap saling
salah-menyalahi tidak akan memberi manfaat. Oleh itu, semua pihak harus duduk semeja dan
berbincang bagi memastikan anak-anak turun ke sekolah dengan perasaan selamat. 3.3
Kesan gejala buli Seperti yang kita sedia maklum, perlakuan buli adalah perlakuan ganas
yang mendatangkan implikasi negatif kepada pelbagai pihak. Penulis akan mengupas kesan-
kesan gejala buli terhadap pembuli, mangsa buli, ibu bapa dan masyarakat secara amnya.
Kesan utama gejala buli di sekolah ialah mangsa buli akan berasa takut datang ke sekolah.
Kita sedia maklum bahawa kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi
fizikal jika dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan
kerana takut dengan pembuli. Pembuli biasanya akan menyuruh mereka melakukan sesuatu
untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah, mereka akan dipukul dan didera.
Terdapat sesetengah pembuli yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah mangsa
buli. Bagi murid-murid perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama
sendiri. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Keadaan ini
sekali gus akan menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang
ke sekolah lagi. Rentetan daripada itu, kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang
dibuli akan meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah. Salah satu kesan gejala
buli terhadap si pembuli adalah kecenderungan untuk melakukan jenayah. Menurut Beale
(2001) dalam Azizi Yahya (2011), mereka yang menjadi pembuli cenderung tiga kali ganda
untuk melakukan jenayah atau pun sesuatu yang menyalahi undang-undang pada ketika
usianya 30 tahun berbanding orang biasa. Hal ini kerana golongan pembuli selalunya lebih
cenderung untuk bergaul dan mempunyai rakan yang mempunyai masalah yang sama
dengan mereka sekali gus menyumbang kepada terjebaknya kepada masalah samseng dan
gangsterisme. Manakala, kesan terhadap mangsa buli pula, mereka lebih cenderung untuk
bersendirian, kerisauan sentiasa, dan tidak mahu ke sekolah. Menurut Farrington (1993)
dalam Azneezal et.al (2005), menjadi mangsa buli di sekolah mungkin merupakan salah satu
tingkah laku awal yang menyumbang kepada perkembangan jangka panjang pola tingkah
laku anti sosial. Dengan kata lain, implikasi perlakuan buli di sekolah secara universalnya di
kenal pasti sebagai perosak psikologi, sosial dan perkembangan kanak-kanak. Sekiranya
keadaan ini dibiarkan, maka perkembangan sosial murid yang dibuli itu akan terjejas. Bukan
setakat itu sahaja, perbuatan buli yang melampau juga akan mengakibatkan mangsa buli
mengalami tekanan yang hebat dan menyalahkan diri sendiri atas kekurangan diri mereka
(Olweus,1993 dalam Azizi Yahya, 2011). Bahkan tekanan hebat yang dihadapi ini juga secara
tidak langsung boleh menyebabkan mereka mengakhiri hidup dengan cara membunuh diri.
Kes seperti ini pernah berlaku di negara Malaysia iaitu seorang pelajar berbangsa India nekad
untuk minum racun serangga kerana tidak tahan dibuli di sekolah yang akhirnya meragut
nyawanya sendiri (Berita Harian Online, Februari 2014). Kesan terhadap ibu bapa si pembuli
pula mereka akan berasa kecewa dan mencari-cari kesalahan mereka mendidik anak. Mereka
juga akan berasa mereka gagal untuk mendidik anak menjadi berdisiplin dan patuh pada
undang-undang. (Azizi Yahaya, 2011). Kesan terhadap ibu bapa mangsa buli pula, akan
timbul satu perasaan geram dan inginkan keadilan buat anak-anak mereka, lebih-lebih lagi
apabila perbuatan buli yang dikenakan mengakibatkan kecederaan atau kematian. Terakhir
sekali, perlakuan buli akan membawa kesan yang negatif terhadap masyarakat. Sekiranya
kes-kes perlakuan buli meningkat, jenayah seperti memeras ugut, ragut dan mencuri juga
akan turut meningkat. Hal ini kerana kebanyakan kes-kes jenayah datangnya daripada
perlakuan buli. Sekiranya murid menjadi pembuli, apabila mereka habis pengajian di sekolah
kelak, akan terciptanya masalah sosial seperti gangsterisme dan buli jalanan yang akan
membahayakan masyarakat sekeliling. 4.0 PENUTUP Secara keseluruhannya, gejala sosial
buli menjadi satu cabaran kepada profesion keguruan. Penulis memilih gejala sosial buli ini
kerana kesannya yang begitu mendalam terhadap mangsa buli. Seperti kes-kes yang telah
dilaporkan, banyak kes yang mendedahkan mangsa buli menerima rawatan di hospital kerana
terlalu teruk dibuli malah ada yang lebih teruk lagi apabila melibatkan kematian. Tidak lupa
juga kesan psikologi mendalam yang dihadapi oleh mangsa buli. Selain itu, mangsa buli dan
pembuli itu sendiri boleh mengganggu proses sosialisasi dan pembelajaran di sekolah serta
masa depan mereka. Sesungguhnya kes-kes buli yang berlaku di sekolah tidak boleh dilihat
sebagai satu masalah terpinggir. Walaupun nisbah kejadian adalah sangat kecil tetapi gejala
sosial buli boleh menjadi satu barah dalam usaha membentuk masyarakat madani. Malah
perkara ini perlu dilihat semula sejauh manakah keseimbangan antara tumpuan kepada
akademik dan hal-hal sosial. Adakah kita mahu berbangga dengan pelajar yang mendapat
keputusan akademik terbaik tetapi hidupnya dipenuhi dengan budaya memukul, membuli dan
sebagainya? Perkara-perkara sebeginilah yang menjadi cabaran kepada para guru dalam
mendidik anak bangsa menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmaninya. Bagi menangani gejala sosial buli ini, pelbagai langkah boleh diambil dan
dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting, ibu bapa mestilah memainkan peranan dan
tanggungjawab dalam mengatasi masalah ini. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang
diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar
diatasi. Ringkasnya, gejala sosial buli ini mampu ditangani jika semua pihak bersedia untuk
mendengar dan duduk untuk berbincang. Hal ini memerlukan komitmen daripada semua
pihak, baik guru, ibu bapa atau murid itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi
gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng. Sama ada untuk berseronok
atau kerana benci dan ingin membalas dendam, perbuatan seumpama ini tidak sepatutnya
menjadi budaya yang menunjangi institusi sekolah. 12

Anda mungkin juga menyukai