Anda di halaman 1dari 9

PENGGUNAAN MULTIMEDIA INTERAKTIF UNTUK MENINGKATKAN

KEMAHIRAN MENGENAL WARNA ASAS DALAM KALANGAN


MURID SINDROM DOWN

Nurul Asfarina Kamal Idris

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2015


Opsyen Pendidikan Khas 2

nurulasfarina5357@gmail.com

ABSTRAK

Kemahiran mengenal warna asas merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh semua
individu. Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mengenal warna asas iaitu
mengasingkan, menunjukkan dan menamakan warna asas dengan menggunakan multimedia
interaktif dalam kalangan murid Sindrom Down. Kajian ini merupakan kajian tindakan yang dijalankan
ke atas seorang murid Sindrom Down yang berumur 14 tahun. Multimedia interaktif yang dihasilkan
merupakan gabungan dua perisian digital iaitu Microsoft PowerPoint Presentation dan Scratch.
Kaedah pengumpulan data yang digunakan adalah ujian pra dan ujian pos yang menggunakan
senarai semak, pemerhatian yang menggunakan instrumen rekod anekdot dan analisis dokumen.
Dapatan kajian menunjukkan penggunaan bahan ini dapat membantu meningkatkan kemahiran
mengenal warna asas khususnya dalam aspek mengasingkan, menunjukkan dan menamakan warna
asas. Hasil analisis data kajian ini mencatatkan peningkatan sebanyak 60% markah menjadikan
markah terkumpul murid sebanyak 90%. Kajian ini juga membantu meningkatkan lagi kualiti
pengajaran dan pemudahcaraan guru.

Kata kunci: mengenal warna asas, multimedia interaktif, Sindrom Down

ABSTRACT

Basic colour recognition skills are one of the skills that every individual should master. This study is
aimed at improving the basic colour recognition skills which is skills in separating, showing and
naming the basic colour using interactive multimedia among students of Down Syndrome. This study
is an action research conducted on a 14 year old Down Syndrome student. The interactive multimedia
incorporates two digital software such as Microsoft PowerPoint Presentation and Scratch. Data
collection methods used are pre test and post test using checklist, observation using anecdotal record
and document analysis. The result shows that interactive multimedia helps to improve the basic
colour recognition skills especially in terms of separating, showing and naming the basic colours. The
results of the analysis showed an increasing of 60% score to 90%. This study also helps to improve
the quality of teaching and facilitating among teachers.

Keywords : Basic colour recognition skills, interactive multimedia, Down Syndrome


1.0 Pendahuluan

1.1 Pengenalan

Kemahiran mengenal warna adalah sangat penting kepada semua individu khususnya
terhadap murid berkeperluan khas supaya dapat meningkatkan lagi kemahiran berdikari
mereka apabila mereka melibatkan diri dalam masyarakat kelak. The Baby Center Editorial
Team (2008) telah menyatakan kebanyakan kanak-kanak boleh menamakan sekurang-
kurangnya satu warna pada umur 3 tahun. Justeru, pengenalan kepada konsep mengenal
warna adalah perkara yang amat penting kepada pendidikan peringkat awal kanak-kanak
sebelum melangkah ke peringkat yang seterusnya. Menurut Hapidin (1997) dan John
Hendrick (1999), kanak-kanak harus diperkenalkan bentuk dan warna seawal yang mungkin
kerana pengenalan terhadap bentuk dan warna merupakan salah satu komitmen
pendidikan.

1.2 Konteks

Semasa menjalani praktikum fasa dua sebuah sekolah yang mempunyai program integrasi,
iaitu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), pengkaji mendapati bahawa murid
mengalami kesukaran untuk mengenal pasti warna-warna asas yang melibatkan perbezaan
warna dan nama warna tersebut. Berdasarkan tinjauan awal, beberapa orang murid tidak
dapat menguasasi kemahiran mengenal warna asas. Murid mengalami kesukaran untuk
mengasingkan, menunjukkan dan menamakan warna asas walaupun diberi bantuan
penggunaan bahan bantu mengajar semasa pengajaran dan pembelajaran (pdp) dijalankan.
Masalah ini menjadi semakin rumit yang disebabkan oleh sikap murid yang tidak dapat
menumpukan perhatian dengan baik sepanjang pdp berlangsung.

1.3 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Pengkaji telah mencuba beberapa teknik mengajar kepada murid bagi membantu mengatasi
masalah mengenal dan membezakan warna asas. Antaranya, pengkaji menggunakan
kaedah bermain menggunakan bahan maujud yang melibatkan warna asas (Lim, 2012) dan
mengaplikasikan penggunaan bahan bantu digital Microsoft PowerPoint Presentation
(Thiuya, 2016) untuk memberi kefahaman kepada murid. Walau bagaimanapun, pengkaji
mendapati kedua-dua kaedah dan teknik tersebut masih tidak dapat membantu murid untuk
menguasai kemahiran mengenal warna asas. Oleh itu, pengkaji berinisiatif untuk mencipta
suatu bahan pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan kedua-dua teknik dan
kaedah di atas, iaitu kaedah bermain dan bahan bantu mengajar yang melibatkan TMK.
Pengkaji mereka cipta satu bahan bantu mengajar berbentuk digital iaitu multimedia
interaktif yang menggunakan perisian Microsoft PowerPoint Presentation dan Scratch.
Pengkaji mendapati murid di sekolah ini amat berminat dengan peralatan digital serta
cenderung untuk belajar melalui bermain.

2.0 FOKUS KAJIAN

2.1 Pemilihan Fokus Kajian


Kajian ini berfokus kepada masalah kemahiran mengenal warna asas khususnya dalam
aspek mengasingkan, menunjukkan dan menamakan warna asas dalam kalangan murid
pendidikan khas masalah pembelajaran Sindrom Down. Kajian ini penting dalam membantu
murid Pendidikan Khas untuk menguasai tajuk pranombor terhadap konsep mengenal
warna asas sebelum beralih ke tajuk-tajuk dalam mata pelajaran Matematik yang
seterusnya. Selain itu, kajian ini juga dijalankan sebagai satu usaha supaya murid dapat
menumpukan perhatian semasa pembelajaran berlangsung dan diharapkan menjadi titik
permulaan kepada perubahan perspektif murid terhadap pembelajaran yang sebelum ini
tidak menarik minat dan perhatian mereka.

2.2 Pengumpulan Data Awal


Bagi mendapatkan kesahan kepada andaian pengkaji terhadap masalah yang dihadapi oleh
murid, pengkaji telah mengumpulkan data awal melalui pemerhatian, ujian diagnostik dan
analisis dokumen. Pemerhatian berstruktur dilaksanakan menggunakan instrumen senarai
semak untuk memerhati, mendengar dan merekod tingkah laku murid di sepanjang pdp
berlangsung. Pengkaji juga menjalankan ujian diagnostik secara bertulis ke atas murid yang
membantu pengkaji mengesan tahap keupayaan dan kelemahan murid dalam kemahiran
mengenal warna asas. Analisis dokumen juga dilaksanakan melalui menyemak hasil latihan
kerja yang telah dijalankan di dalam kelas. Hasil semakan daripada hasil kerja murid, di
dapati bahawa banyak kesalahan melibatkan penggunaan warna yang tidak mengikut
kehendak soalan. Murid di dapati menjawab soalan mengikut kehendak mereka sendiri
dengan mewarnakan objek mengikut warna yang sukai.

2.3 Tindakan
Dalam pengembangan kajian tindakan ini, pengkaji mengaplikasikan Model Kajian Tindakan
Kemmis & McTaggart (1988) yang mempunyai empat fasa tindakan yang perlu dijalankan
iaitu tinjauan awal, merancang tindakan, melaksana tindakan dan memerhati serta mereflek.
Model ini sesuai digunakan sebagai model kajian tindakan berdasarkan pelaksanaan kajian
oleh pengkaji kerana proses kajian tindakan ini melibatkan refleksi ke atas isu pengajaran
dan pembelajaran yang hendak ditangani. Keseluruhan pelaksanaan itu disifatkan sebagai
Gelungan Pertama dan jika masalah itu tidak dapat diatasi, maka pengkaji bolehlah
memulakan proses semula ke Gelungan Kedua sehinggalah masalah itu diselesaikan.
3.0 OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
3.1 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran mengenal warna asas
khususnya dalam aspek mengasingkan, menunjukkan dan menamakan warna asas dengan
menggunakan multimedia interaktif dalam kalangan murid Sindrom Down.

3.2 Soalan Kajian


Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menjawab persoalan kajian berikut:

1. Adakah penggunaan multimedia interaktif dapat meningkatkan kemahiran mengenal


warna asas dalam kalangan murid Sindrom Down?
2. Bagaimanakah penggunaan multimedia interaktif dapat meningkatkan kemahiran
mengenal warna asas dalam kalangan murid Sindrom Down?

4.0 PESERTA KAJIAN


Kajian tindakan ini dilaksanakan ke atas seorang murid lelaki yang mempunyai masalah
pembelajaran yang dikategorikan sebagai Sindrom Down yang telah disahkan oleh
pengamal perubatan. Murid yang dipilih adalah seorang murid yang berumur 14 tahun
secara biologikal. Melalui temu bual bersama guru kelas Dinamik, umur mental murid ini
ialah tujuh tahun yang membawa perbezaan tujuh tahun daripada umur biologikalnya.
Keupayaan intelek murid berada pada tahap keupayaan lemah dan memerlukan pengajaran
dan pembelajaran secara one to one bersama guru. Kegagalan fungsi alat artikulasi murid
Sindrom Down ini merupakan salah satu punca masalah bahasa dan pertuturan murid.
Disebabkan masalah pembelajaran yang dihadapi, murid ini tidak dapat berkomunikasi
dengan baik seperti mengeluarkan perkataan secara sempurna untuk berinteraksi.

5.0 PELAKSANAAN TINDAKAN


5.1 LANGKAH-LANGKAH TINDAKAN
5.1.1 Fasa Tinjauan Awal
Pengkaji menjalankan pemerhatian berstruktur ke atas murid semasa pdp berlangsung.
Laporan hasil pemerhatian yang direkodkan ke dalam senarai semak mendapati seorang
murid yang bermasalah Sindrom Down tidak dapat menguasai kemahiran mengenal warna
asas. Ujian diagnostik secara bertulis dijalankan ke atas murid untuk mengenal pasti
masalah sebenar murid di dalam aktiviti mewarna. Hasil analisis ujian diagnostik dan
analisis dokumen terhadap hasil kerja murid, murid di dapati tidak dapat mengenal warna
asas. Hal ini boleh dibuktikan melalui kesalahan-kesalahan yang melibatkan penggunaan
warna yang salah kerana tidak mengikut kehendak soalan yang telah ditetapkan.
5.1.2 Fasa Merancang Tindakan
Setelah tinjauan awal dilakukan, perancangan untuk membantu murid meningkatkan
kemahiran mengenal warna asas dijalankan. Dengan mengambil kira kecenderungan
terhadap minat murid dan permasalahan yang dihadapi oleh murid, pengkaji merancang dan
mencipta bahan bantu intervensi berdasarkan kesesuaian peserta kajian dan tinjauan
literatur yang telah dirujuk. Bagi memurnikan lagi perancangan idea intervensi, pengkaji
telah membuat perbincangan dengan guru Pendidikan Khas di sekolah seperti guru kelas
dan guru yang mengajar mata pelajaran Matematik kelas murid peserta kajian. Selain itu,
pengkaji juga mengambil kira pandangan dan nasihat serta pertambahan idea daripada
pensyarah pembimbing untuk menghasilkan bahan bantu intervensi yang memenuhi
keperluan dan mencapai tahap kemampuan murid. Dengan itu, satu bahan bantu rawatan
intervensi multimedia interaktif yang menggabungkan dua perisian digital iaitu Micosoft
PowerPoint dan Scratch dihasilkan.

5.1.3 Fasa Melaksanakan Tindakan dan Memerhati


Rajah 1 di bawah menunjukkan carta alir langkah-langkah tindakan dan memerhati yang
telah dilaksanakan ke atas murid peserta kajian di sepanjang sesi rawatan intervensi
dijalankan.

Sesi Rawatan Pertama Sesi Rawatan Kedua


Ujian Pra
- Langkah 1 - Langkah 1
- Melalui instrumen
- Langkah 2 - Langkah 2
Senarai Semak
- Langkah 3 - Langkah 3

Sesi Rawatan Ketiga


Ujian Pos
- Langkah 1
- Melalui instrumen
- Langkah 2
Senarai Semak
- Langkah 3

Rajah 1: Carta alir langkah-langkah tindakan di sepanjang sesi rawatan intervensi dijalankan

Ujian pra yang dijalankan ke atas murid direkodkan menggunakan instrumen senarai semak
ujian pra. Ujian ini bertujuan untuk melihat tahap penguasaan murid dalam mengenal warna
asas yang merangkumi aspek mengasingkan, menunjukkan dan menamakan warna asas.
Pengkaji telah membahagikan sesi rawatan ini kepada tiga bahagian iaitu sesi rawatan
pertama, sesi rawatan kedua dan sesi rawatan ketiga. Pada sesi rawatan pertama, pengkaji
memfokuskan kepada kemahiran mengenal warna asas merah. Sesi rawatan kedua
dijalankan untuk memfokuskan penguasaan murid terhadap warna asas kuning manakala
sesi rawatan ketiga memfokuskan kepada mengenal warna asas biru.
Setiap sesi rawatan mempunyai tiga langkah pembelajaran yang sama supaya murid
dapat meningkatkan kemahiran mengenal warna asas dengan menggunakan bahan
intervensi multimedia interaktif. Sepanjang sesi rawatan, pemerhatian dilakukan ke atas
murid melalui bukti gambar serta analisis lembaran hasil kerja murid. Setelah ketiga-tiga
rawatan selesai dilaksanakan, ujian pos akan dijalankan ke atas murid untuk melihat sejauh
mana tahap pekembangan pembelajaran yang telah dicapai oleh murid. Jadual 1 dibawah
menunjukkan pelaksanaan sesi rawatan intervensi terhadap kemahiran mengenal warna
asas yang menggunakan bahan rawatan multimedia interaktif.

SESI RAWATAN CARA PELAKSANAAN


Kemahiran Mengenal Murid akan didedahkan kepada video nyanyian warna-warna sebagai set
Warna Asas induksi yang dapat menarik perhatian murid serta sebagai gambaran awal
terhadap rawatan yang dijalankan ke atasnya dengan menggunakan
perisian Microsoft PowerPoint Presentation

LANGKAH 1
1. Murid diperkenalkan kepada warna asas
2. Menggunakan perisian Scratch, murid didedahkan kepada beberapa
objek gambar berwarna asas yang difokuskan yang bersifat realistik
seperti buah epal yang berwarna merah, buah pisang yang berwarna
kuning dan ikan Dory yang berwarna biru sebagai pengetahuan asas
kepada murid.
3. Langkah ini dilengkapi dengan pergerakan animasi yang menarik
dengan bantuan audio suara yang jelas mengenai warna objek
bergambar tersebut.
4. Apabila animasi gambar di klik, audio suara warna yang difokuskan
akan berbunyi.
5. Murid perlu mengajuk bunyi audio warna yang difokuskan setiap kali
animasi di klik.
6. Murid perlu menguasai langkah ini sebagai syarat untuk ke langkah
yang seterusnya.

LANGKAH 2
1. Murid perlu mengasingkan objek bergambar mengikut kategori warna
yang difokuskan.
2. Murid perlu mengasingkan objek bergambar sambil menyebut warna
asas dengan bantuan audio suara

LANGKAH 3
1. Rawatan murid akan beralih kepada peringkat belajar sambil bermain
yang menerapkan unsur pemulihan cara kerja
2. Untuk menguatkan lagi daya ingatan dan tumpuan, sambil bermain
murid perlu menamakan warna objek bergambar sehingga mencapai
tahap menang dalam permainan

Pada akhir sesi rawatan, pengkaji akan menyediakan lembaran kerja


sebagai pengukuhan terhadap dapatan hasil pembelajaran murid.
Jadual 1: Pelaksanaan Tiga Sesi Rawatan Intervensi Kemahiran Mengenal Warna Asas
Menggunakan Multimedia Interaktif

5.1.4 Fasa Mereflek


Pengkaji membuat refleksi berkaitan langkah-langkah penggunaan multimedia interaktif
yang digunakan semasa sesi rawatan dijalankan. Pengkaji menganalisis hasil kajian yang
dikumpul dari ujian pra, ujian pos, latihan lembaran kerja yang diberi di dalam setiap kali
akhir sesi rawatan dijalankan dan pemerhatian yang dijalankan sepanjang sesi rawatan
serta senarai semak. Oleh kerana hasil perekodan ujian pos menunjukkan peningkatan yang
baik, maka pengkaji mengambil keputusan untuk tidak menjalankan sesi rawatan gelungan
kedua.

5.2 KAEDAH PENGUMPULAN DATA


Ujian Pra dan Ujian Pos

Kedua-dua pengujian ini menggunakan instrumen senarai semak. . Ujian ini dilaksanakan
melalui penggunaan bahan maujud seperti batang aiskrim dan balang aiskrim. Senarai
semak digunakan untuk merekod hasil pengujian tahap pengetahuan murid berdasarkan
item soalan yang disediakan. Item soalan di dalam senarai semak ini akan digunakan untuk
menganalisis data yang untuk dijadikan sebagai dapatan kajian. Ujian pos dijalankan
selepas semua sesi rawatan selesai dilaksanakan ke atas peserta kajian untuk menentukan
sama ada objektif rawatan intervensi tercapai atau sebaliknya.

Pemerhatian
Kaedah pemerhatian yang digunakan di dalam kajian ini adalah pemerhatian turut serta
yang dilaksanakan secara tidak berstruktur. Kaedah pemerhatian ini dijalankan melalui
rakaman menggunakan video dengan menggunakan instrumen rekod anekdot.

Analisis Dokumen
Lembaran kerja yang diberikan kepada murid merupakan latihan yang diberi untuk
mengukuhkan kemahiran mengenal warna asas yang diberi pada setiap akhir sesi rawatan
satu, kedua dan ketiga. Melalui lembaran kerja dalam ketiga-tiga sesi rawatan, pengkaji
dapat menilai kemajuan prestasi dalam kalangan murid dari peringkat awal kajian sehingga
peringkat akhir kajian.

5.3 CARA MENGANALISIS DATA

Kaedah analisis data boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu secara deskriptif (kuantitatif)
dan secara naratif (kualitatif). Kaedah analisis data secara kuantitatif digunakan bagi
menganalisis hasil keputusan ujian pra dan ujian pos. Kaedah analisis data secara kualitatif
digunakan untuk menganalisis hasil pemerhatian dan analisis dokumen mengenai
keberkesanan penggunaan multimedia interaktif.

6.0 DAPATAN KAJIAN


Dapatan Soalan Kajian Pertama
Soalan 1: Adakah penggunaan multimedia interaktif dapat meningkatkan kemahiran
mengenal warna asas dalam kalangan murid Sindrom Down?

Soalan pertama kajian dijawab melalui data yang didapati daripada ujian pra dan ujian pos.
Berdasarkan analisis dapatan perbezaan peratus markah antara ujian pra dengan ujian pos
yang telah dijalankan ke atas murid, terdapat peningkatan paling ketara sebanyak 60%
peratus dalam skor markah antara ujian pra dengan ujian pos.

Rajah 2: Perbandingan Peratus Markah Ujian Pra dan Ujian Pos

Dapatan Soalan Kajian Kedua


Soalan 2: Bagaimanakah penggunaan multimedia interaktif dapat meningkatkan
kemahiran mengenal warna asas dalam kalangan murid Sindrom Down?

Peningkatan skor markah pada ujian pos membuktikan penggunaan multimedia interaktif
yang dilaksanakan ke atas murid dapat membantu meningkatkan kemahiran mengenal
warna asas murid. Hal ini dapat berlaku disebabkan oleh penggunaan multimedia interaktif
yang mempunyai elemen-elemen seperti audio suara dan animasi serta video yang menarik
mampu meningkatkan daya ingatan dan daya tumpuan murid. Aktiviti pengukuhan seperti
lembaran kerja yang diberikan kepada murid di akhir setiap kali sesi rawatan membantu
murid mengukuhkan lagi ingatan terhadap warna asas yang telah dipelajari. Suntikan
bimbingan dan dorongan yang diberikan kepada murid apabila mengalami kebuntuan
membenarkan objektif kajian mampu dicapai. Peneguhan secara lisan seperti nasihat,
pujian dan kata-kata semangat yang diberikan menggalakkan lagi motivasi murid untuk
belajar. Interaksi guru dan bahan rawatan terhadap murid membolehkan strategi
berpusatkan murid diaplikasi serta menggalakkan minat dan perhatian murid di dalam sesi
rawatan. Faktor-faktor ini didapati menjadi punca kejayaan peningkatan peratus skor markah
yang berjaya dicapai oleh murid.

7.0 REFLEKSI

Berdasarkan keputusan kajian tindakan yang dilaksanakan, terdapat kelebihan dan


kelemahan yang menjadi faktor kejayaan dan kritikan terhadap hasil dapatan yang dicapai.
Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam bahan merupakan bahan bantu
mengajar yang menarik perhatian murid. Elemen-elemen yang terdapat di dalam multimedia
mampu meningkatkan daya ingatan dan tumpuan murid serta menggalakkan pembelajaran
yang menyeronokkan dan bermakna. Multimedia interaktif ini juga didapati boleh digunakan
oleh mana-mana pihak yang mempunyai masalah yang sama dengan murid peserta kajian
ini. Pihak yang berkeperluan ini juga boleh mengaplikasikan bahan tersebut kepada mata
pelajaran lain seperti bidang bahasa serta menyokong kepada galakan domain sains dan
teknologi. Kelemahan yang menjadi faktor kritikan terhadap kajian ini adalah tiada bahan
sokongan berbentuk bahan maujud serta tiada aktiviti yang menggalakkan penglibatan
pergerakan motor kasar.

8.0 CADANGAN TINDAKAN SUSULAN

Penglibatan bahan maujud adalah penting untuk diselitkan di dalam pengajaran dan
pembeajaran supaya murid mendapat pengalaman realistik secara terus. Hal ini juga dapat
menghalang murid daripada terlalu memikirkan kandungan pembelajaran secara abstrak.
Selain itu, penglibatan pergerakan badan secara menyeluruh di dalam suatu aktiviti perlu
dilaksanakan. Hal ini perlu dilaksanakan agar perkembangan kognitif murid dapat dicambah
secara menyeluruh dan pengetahuan murid di dalam suatu aspek diasah semaksimum
mungkin.

Anda mungkin juga menyukai