Anda di halaman 1dari 25

KEMAHIRAN MEWARNA DALAM MATA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI

VISUAL (PSV) SEMASA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH


(PDPR)

WAN NADIA HARIANI BINTI WAN ISMAIL


SMK Kinarut, Papar, Sabah
nadieyaaryanie@gmail.com

ABSTRAK

Mewarna adalah satu aktiviti yang sukar dilaksanakan sekiranya pelajar tidak mempunyai bakat dan
kemahiran yang sesuai lebih-lebih lagi semasa pembelajaran secara dalam talian. Tinjauan awal dijalankan ke
atas pelajar Tingkatan 5 Jade SMK Kinarut semasa PdPc melalui kaedah menganalisis tugasan pelajar,
menunjukkan pelajar tidak mampu untuk mewarna objek mengikut standard nilai warna dan teknik yang sesuai
dengan tahap kecerdasan dan kebolehan mereka. Fokus guru adalah untuk meningkatkan psikomotor tangan
pelajar bagi mengekspresikan media yang baharu dan mempaternkan cara menginterpestasikan nilai warna,
ton dan pencahayaan yang betul dalam sesebuah karya. Alat bantu mengajar Kit Artcellent Monokromatik
merupakan satu bahan intervensi untuk meningkatkan kemahiran mewarna pelajar yang lemah dalam mata
pelajaran Pendidikaan Seni Visual semasa PdPR. Bahan ini mengandungi i) Kad Artcellent Monokromatik
iaitu kad imitasi cara menghasilkan ton warna yang tepat, ii) Jom Artcellent Monokromatik yang mengandungi
10 set latihan langkah membantu pelajar membiasakan tangan memegang pensil dan cara menghasilkan nilai
warna, ton dan cahaya, iii) Jom Cuba merupakan set latihan kecil untuk pelajar mencuba mewarna dengan
mengekspresikan pengalaman menggunakan media yang baharu dalam penghasilan karya dan iv) Jom Taksir
pula ialah 5 set lengkap soalan format peperiksaan sebenar yang akan menentukan tahap keberhasilan
intervensi di samping membantu pelajar dalam pengurusan masa dan meningkatkan keyakinan semasa
mengaplikasi, eksperimentasi, penerokaan media dan teknik baharu dalam aktiviti mewarna. Hasil kajian
didapati pelajar mampu untuk mewarna dengan patern yang ditetapkan dan pelajar juga bertambah yakin
untuk mewarna dengan lebih baik. Sehubungan dengan itu, saya akan mengembangkan lagi kaedah ini kepada
semua pelajar pada masa akan datang.

Kata kunci: artcellent, monokromatik, mewarna, kajian tindakan, kit artcellent.

PENDAHULUAN

Latar belakang

Saya menyandang jawatan guru Pendidikan Seni Visual (PSV) selama 13 tahun dan mula
berkhidmat di SMK Kinarut pada tahun 2015. Sekolah ini mempunyai bilangan calon teramai
yang mengambil subjek PSV di daerah Papar. Mengimbas kembali pengalaman mengajar,
saya sentiasa memberi latihan mewarna kepada pelajar menggunakan media warna poster dan
pensil 9B. Hasil daripada penelitian dan data markah penilaian terhadap kelas 5 Jade sewaktu
PdPc, mereka kerap mendapat markah yang rendah kerana kebanyakan daripada mereka
merupakan pelajar yang lemah dan tidak berkemahiran dalam bidang seni visual. Mata
pelajaran ini selalu dianggap sebagai satu mata pelajaran yang senang tetapi hakikatnya
pelajar tidak mampu untuk mewarna dengan baik bersesuaian dengan tahap pelajar di sekolah
menengah.
Renungan mendalam terhadap masalah ini, mendedahkan kelemahan saya dalam
proses pengajaran dengan menggunakan 2 media tersebut. Oleh yang demikian, saya perlu
bertindak lebih kreatif dan efisyen bagi membantu pelajar ini mampu untuk mewarna dengan
lebih baik dan kreatif bersesuaian dengan ciri pembelajaran abad ke 21 yang ingin
melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan kritis dengan menggunakan bahan dan media yang
sesuai dengan kebolehan mereka. Bagi mencapai hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah berada di gelombang ke-3, guru perlu mewujudkan
satu mekanisme baharu dalam kaedah pengajaran seperti melaksanakan kajian tindakan
seterusnya menghasilkan bahan bantu mengajar berkonsepkan pendidikan bagi
mengaplikasikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) serta mengubah amalan
pengajaran secara berkualiti sekaligus membantu pelajar mengasah kemahiran mewarna di
rumah tanpa bersemuka dengan guru.
Menurut kajian Rauf, F. A., & Tan, W. H. (2020), aktiviti mewarna bukan lagi satu
aktiviti sekadar memenuhi huraian sukatan, malah menyumbang dalam pelbagai aspek
penyediaan modal insan yang kreatif dan berkualiti. Ia juga menyumbang kepada keperluan
penggunaan teknologi dalam p&p khususnya kepada pertumbuhan pesat pembangunan
teknologi. Dikuatkan lagi dengan kajian Mohd Iman (2016), berdasarkan pemerhatian
menunjukkan hanya 1/3 murid yang dapat menyatakan warna asas dan warna sekunder
dengan betul mengikut roda warna. Maka, melihat kajian terdahulu, kelemahan mewarna
merupakan aspek yang sangat membimbangkan para guru Pendidikan Seni Visual.

Pernyataan Masalah/Isu

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memberikan impak yang besar kepada
keberkesanan pengajaran guru kerana aktiviti seni visual amat sukar dilaksanakan secara
tidak bersemuka. Rata-rata guru meluahkan kebimbangan yang sama memikirkan kaedah dan
teknik yang berkesan untuk pelajar mengikuti kelas secara maya dan juga kaedah
pengumpulan bahan pembelajaran setelah PdPR dijalankan secara lebih sistematik.
Pelajar mempunyai masalah dalam mencari kemahiran yang bersesuaian dengan tahap
kecerdasan dan kebolehan mereka sendiri kerana faktor kelas bersemuka yang singkat semasa
mereka berada di tingkatan 4 sehingga menyukarkan guru memperkenalkan kemahiran
memilih media yang sesuai. Menambahkan lagi permasalahan ini hingga menjadikannya
lebih sukar ialah mereka merupakan pelajar aliran muzik semasa berada di kelas menengah
rendah yang turut menjadi punca ketidakmenjadian pelajar ini dalam aliran seni visual. Sikap
mereka yang tidak fokus semasa sesi pembelajaran juga memberi sumbangan besar
permasalahan ini semakin berterusan.
Saya juga meneliti masalah yang sering mereka hadapi semasa aktiviti mewarna
dijalankan di dalam kelas iaitu kemahiran psikomotor tangan mereka masih tidak
mampu menghasilkan karya mengikut standard nilai warna, ton, pencahayaan dan teknik
yang sesuai sehingga mereka tidak mampu membuat eksperimentasi campuran warna. Oleh
kerana mereka mempunyai tahap yang lemah dalam bidang ini, pendedahan media yang
beraras tinggi seperti warna poster dan pensil 9B sebelum ini tidak dapat mereka fahami dengan
lebih jelas sehingga menyebabkan kegagalan memahami media dengan lebih tepat berterusan.
Sikap tidak wajar dilakukan oleh pelajar seperti tidak membawa alat dan bahan sehingga mereka
terpaksa berkongsi bahan yang terhad semasa aktiviti mewarna dijalankan menambahkan lagi
ketidakberkesanan PdPc yang dijalankan. Selain mengalami masalah cetek warna, mereka juga
mempunyai masalah buta berus dan tidak mahir mengaplikasikan kepelbagaian saiz berus
semasa mewarna. Oleh hal yang demikian, guru mengalami kekangan masa semasa sesi PdPc
kerana mengambil banyak waktu untuk menerangkan secara terperinci aplikasi teknik secara
terperinci.
Selain daripada itu, pelajar tidak boleh mengatur masa yang baik menyiapkan tugasan
di dalam kelas. Apabila pelajar kurang mahir mewarna, mereka akan mengambil masa yang
lama untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Hasil daripada pembelajaran menunjukkan kesan
patern warna yang menonjolkan ciri-ciri tahap sekolah rendah dengan penggunaan pensil
warna yang pudar dan tidak sekata ditambahkan lagi kurang latihan dan hanya mengharapkan
latihan di dalam kelas sahaja.
Seterusnya, pelajar kurang minat dengan subjek ini kerana mereka seringkali
beranggapan mereka tidak sesuai berada di dalam alam seni visual kerana sering mendapat
markah yang rendah selepas penilaian dijalankan. Mereka tidak yakin dan takut untuk
mencuba sendiri tanpa bimbingan daripada guru dan igauan ART-fobia seringkali bermain di
fikiran mereka kerana beranggapan seni itu harus memiliki tahap kemahiran yang tinggi dan
mereka juga memiliki sifat malu untuk bersaing.
Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan segera, pelajar akan berterusan
melakukan kesalahan mewarna sepanjang masa. Prestasi pelajar akan menurun bila
dibandingkan dengan pelajar lain dan kesukaran untuk saya meneruskan topik yang lebih
sukar tidak akan berjalan dengan lancar.

Kerangka Konseptual Kajian


Berdasarkan kepada isu yang dihadapi saya melaksanakan kajian tindakan berdasarkan model
McBride & Schostak (1994) yang melibatkan proses mengenal pasti masalah atau fokus dan
pengumpulan data awal bagi tujuan membentuk hipotesis tentang masalah tersebut.
Kemudian, tindakan dibentuk dan dilaksanakan. Data akan dikumpulkan bagi melihat kesan
pada perubahan atau tindakan tersebut. Hasil daripada analisis dan penilaian yang dilakukan,
akan menentukan kitaran kajian tindakan akan bersambung ke kitaran selanjutnya. Model ini
ditunjukkan dalam Rajah 1.

Rajah 1: Model McBride & Schostak (1994)

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam aktiviti mewarna supaya
memenuhi standard warna dan mengaplikasi teknik yang sesuai dengan tahap kecerdasan dan
kebolehan mereka dengan cara menghasilkan ton imitasi yang telah dipaternkan oleh guru.

Objektif

Objektif kajian merupakan tujuan yang diinginkan oleh penyelidik melalui kajian yang akan
dijalankan berdasarkan pernyataan masalah yang telah dikenal pasti. Matlamat utama kajian
ini untuk meneliti dan menganalisis cara menambahkan kemahiran mewarna dalam kalangan
pelajar dan bertujuan untuk meninjau keberkesanan intervensi yang akan dijalankan. Secara
lebih khusus, kajian ini berasaskan kepada objektif-objektif berikut:
1. Meningkatkan kemahiran menginterprestasikan nilai warna, ton, pencahayaan dan
pengurusan masa yang baik dengan menggunakan media gabungan warna pensil air dan
berus.
2. Meningkatkan keyakinan pelajar semasa mengaplikasikan, eksperimentasi dan
penerokaan media baharu dalam aktiviti mewarna.
3. Menjadikan guru lebih bersedia untuk proses PDPr dan pengurusan tugasan secara lebih
sistematik.

Persoalan kajian

Beberapa persoalan kajian telah dikemukakan bagi menentukan objektif kajian yang hendak
dicapai:
1. Bagaimana cara meningkatkan kemahiran menginterprestasikan nilai warna, ton,
pencahayaan yang betul dan pengurusan masa yang baik dengan menggunakan media
gabungan warna pensil dan berus dalam kalangan pelajar agar mencapai objektif yang
diinginkan?
2. Bagaimana cara meningkatkan keyakinan pelajar semasa mengaplikasikan,
eksperimentasi dan penerokaan media baharu dalam aktiviti mewarna?
3. Bagaimana cara menjadi guru yang lebih bersedia untuk proses PDPr dan pengurusan
tugasan secara lebih sistematik.

Batasan kajian

Terdapat beberapa batasan dalam pelaksanaan kajian ini termasuklah:


1. Kajian ini tidak digeneralisasikan kepada seluruh pelajar PSV tetapi lebih berfokus
kepada satu kelas elektif Pendidikan Seni Visual sahaja. Ini kerana proses pembahagian
bahan kepada pelajar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan amat rumit memandangkan
seluruh negara dibawah kawalan pergerakan dan banyak kawasan perumahan dan
perkampungan pelajar berstatus PKPD. Ada juga bahan terpaksa dihantar mengunakan
khidmat kurier kerana kedudukan pelajar di luar daerah.
2. Guru sukar untuk mengumpul data tugasan pelajar kerana capaian internet yang terhad
oleh beberapa pelajar yang tinggal di pedalaman. Keterbatasan peranti turut menjadi
kekangan dalam pelakasanaan intervensi supaya mengambil tindakan yang lebih cepat.

TINJAUAN LITERATUR

Teori ZPD Vygotsky (1978)

Dalam menangani permasalahan yang dikaji sewaktu PdPc, setelah merujuk teori ZPD
Vygotsky (1978) yang menekankan kepada interaksi antara aspek internal dan eksternal
dalam pembalajaran iaitu menumpukan kaedah 'scaffolding' dimana guru menyediakan
bimbingan sepenuhnya terhadap kanak-kanak pada peringkat awal dan secara beransur-ansur
dikurangkan untuk memberi peluang kepada pelajar menyelesaikan permasalahan mereka
secara kendiri. Menurut kajian Belland, B. R. (2014) scaffolding dapat di definisikan sebagai
sokongan yang diberikan oleh guru, ibu bapa, rakan sebaya, komputer atau alat berasaskan
kertas yang memungkinkan pelajar untuk menggunakan secara bermakna dan memperoleh
kemahiran pada tugas yang mereka tidak dapat selesaikan tanpa bantuan. Dalam pendidikan
masa kini, scaffolding mengambil peranan yang sangat penting dalam proses pembelajaran di
setiap aspek menuju pada pencapaian tahap perkembangan pelajar (Suardipa, 2020). Pelajar
akan mengikuti semua kaedah yang ditunjukkan sehinggalah mereka mampu untuk
menginterprestasi kemahiran mereka sendiri kelak. Dalam pelajaran teori seni bagi tajuk teori
warna, daripada kemahiran asas teori warna ini pelajar dapat mengembangkan idea mereka
kepada penghasilan warna-warna baru untuk diaplikasikan di dalam karya visual mereka
(Maswan, 2013).

Model VAK

Saya juga menggunakan model medium pembelajaran yang disukai iaitu Model VAK yang
mengandungi tiga aspek, iaitu gaya pembelajaran visual, auditori dan kinestetik. Ketiga-tiga
gaya pembelajaran ini akan digunakan dalam pelaksanaan kajian ini agar guru membuat
penelitian lebih sistematik dan menyeluruh ke atas kebolehan setiap pelajar. Sebahagian besar
pelajar memiliki keutamaan dominan visual, di ikuti kinestetik dan auditori. Ini dibuktikan
dalam kajian Pratama (2020). Dengan menerapkan model pembelajaran VAK, pelajar akan
memperolehi pengalaman secara langsung dan akan mempengaruhi peningkatan hasil
pembelajaran pelajar kelas 5 Jade SMK Kinarut, Papar, Sabah. Kajian oleh Quah (2017)
menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP), kandungan yang sama boleh dihantar secara
berbeza dan diterima secara berbeza oleh setiap pelajar. Ini juga mencerminkan bahawa gaya
pengajaran yang sama dibentangkan dalam kelas diterima berbeza oleh setiap pelajar. Oleh
itu, peranan seseorang pendidik perlu memastikan semua pelajar menerima pengajaran yang
berkesan seterusnya agar pelajar dapat belajar dengan cemerlang.

Kemahiran Mewarna dalam Pendidikan Seni Visual

Banyak aktiviti yang membentuk kreativiti dan menjadikan pelajar kreatif dan kritis
antaranya aktiviti mewarna. Antara manfaat yang boleh diperolehi dari aktiviti ini adalah ia
membantu mengembangkan kemahiran psikomotor, menulis, membaca, kreativiti dan
meningkatkan harga diri anak-anak. Menurut kajian oleh Affifatukakmar (2017) kemahiran
mewarna dalam kalangan pelajar adalah bertitik tolak daripada konsep penguasaan secara
kasar mahupun psikomotor halus. Oleh itu, latihan asas yang berterusan dengan teknik yang
betul membolehkan psikomotor tangan pelajar terbiasa untuk mewarna dengan baik dan
berkesan. Manusia tidak dapat berpisah dengan warna, terutamanya penggunaan warna dalam
pengajaran dan pembelajaran (Melvina & Hannah Fam 2018). Contoh bergambar yang betul
dan jelas dapat membantu murid untuk menghasilkan karya menggambar dengan baik
(Ahmad, 2019) sama juga dengan aktiviti mewarna. Cara mengaplikasikan warna yang tepat
sangat penting dalam membantu sesebuah karya menjadi lebih baik. Kenyataan ini sejajar
dengan pendapat Dzulkifli & Mustafar (2013) yang mempercayai bahawa warna adalah
pengalaman visual manusia yang paling penting. Saya mengambil pendekatan
memperkenalkan intervensi gabungan media dan bahan baharu yang murah dan mudah
seperti pensil warna air dan pen berus serta memperkenalkan teknik khas dengan
menggunakan teori warna monokromatik semasa mengaplikasikan aktiviti mewarna bagi
meninhgkatkan kemahiran mewarna dalam Pendidikan Seni Visual.

Penggunaan Alat Bantu Mengajar dalam Pendidikan Seni Visual

Guru hendaklah bertindak sebagai seorang doktor iaitu merawat dan menyediakan ubat untuk
pesakitnya. Oleh itu, guru berperanan dalam membantu memulih dan membimbing sesuatu
kemahiran sehingga pelajar berjaya menguasinya. Oleh yang demikian, guru berperanan
dalam mencari jalan dalam merangsang pelajar untuk lebih minat dalam sesi pembelajaran
sekaligus membantu mereka menguasi aktiviti yang dijalankan. Dalam kajian ini, alat bantu
mengajar haruslah menjadi intervensi yang memiliki ciri-ciri menarik dan mampu
menimbulkan keseronokan dalam setiap sesi pembelajaran yang dijalankan. Keperluan
terhadap pelaksanaan strategi pengajaran yang baru, menyeronokan dan bermakna dengan
resos yang sesuai serta kemudahan TMK yang mencukupi mestilah dipenuhi (Nuraslin &
Siti, 2019). Berdasarkan kepada literatur ini, di samping menggunakan Kit Artcellent
Monokromatik bagi membantu pelajar mengukuhkan kemahiran mewarna dengan teknik
yang mudah, saya juga menggunakan TMK seperti peranti telefon dan aplikasi Whatsapp dan
Facebook sebagai pengganti guru mengajar semasa kelas PdPr. Perisian aplikasi TMK dalam
mata pelajaran PSV sebagai amalan terbaik untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna
ke arah kemenjadian murid sejajar dengan Pendidikan Abad Ke-21. (Bin Husain, H. 2021).
Dapatan kajian daripada Suhaimi, Z. A., & Hussin, R., (2018) telah membuktikan bahawa
penggunaan Facebook dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran
Pendidikan Seni Visual dapat meningkatkan kefahaman dan menarik minat murid berbanding
kaedah konvensional. Penghasilan video pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan
juga menjadi faktor sampingan keberkesanan intervensi ini dilaksanakan sebagai daya
penarik dan menjadi motivasi pelajar untuk terus berminat mengikuti kelas dalam talian.

METODOLOGI KAJIAN

Pendahuluan

Metodologi kajian adalah penting supaya penyelidikan yang dijalankan mempunyai kaedah
yang paling sesuai dan berkesan dalam menjawab permasalahan kajian. Metodologi adalah
pembelajaran atau penelitian sebagai usaha untuk menemukan metod-metod dan prinsip
prinsip pengorganisasian yang mendasari kelahiran ilmu, seni, dan disiplin lain di luar ilmu
dan seni (Bambang Sunarto, 2020).
Kaedah kajian yang dirangka adalah melibatkan reka bentuk kajian, subjek atau
sampel kajian, prosedur kajian, prosedur pengambilan data serta prosedur penganalisisan data
menjadikan kajian yang dijalankan lebih bersistematik dan perjalanan kajian lebih terarah
dalam mencapai objektif.

Reka bentuk kajian


Kajian ini dijalankan secara kualitatif dan kuantitatif. Teknik pengumpulan data hasil tugasan
pelajar adalah secara portfolio, e-portfolio, markah penilaian kertas 2 dan markah Penilaian
Bilik darjah (PBD). Pengkaji telah menggunakan model penyelidikan tindakan berdasarkan
model McBride & Schostak (1994). Model ini menggariskan tujuh fasa perkembangan iaitu
Fasa 1 mengenal pasti isu permasalahan, Fasa 2 mengumpul data, Fasa 3 menganalisis data
dan membentuk hipotensi, Fasa 4 merancang langkah tindakan yang sewajarnya
permasalahan yang telah dikenalpasti, Fasa 5 ialah melaksanakan langkah tindakan dengan
menggunakan intervensi yang telah dicadangkan, Fasa 6 mengumpul data bagi mengesan
perubahan yang telah dialami oleh pelajar setelah intervensi dilaksanakan, Fasa 7
menganalisis data dan menilai sekali lagi dapatan data yang telah diterima serta membuat
refleksi. Tempoh penyelidikan tindakan ini dilaksanakan adalah selama 12 minggu.

Persampelan

Pemerhatian di dalam kelas PdPc menggunakan kaedah persampelan tujuan atau judgment
sampling. Menurut Etikan, I., & Bala, K. (2017) Persampelan Judgmental ialah berdasarkan
penilaian dari penyelidikan mengenai siapa yang akan memberikan maklumat terbaik untuk
berjaya untuk kajian objektif. Pengkaji yang menjalankan penyelidikan perlu memberi
tumpuan kepada orang-orang yang mempunyai pendapat yang sama untuk memiliki
maklumat yang diperlukan dan bersedia berkongsi. Kaedah ini merujuk kepada sekumpulan
pelajar yang mempunyai ciri-ciri permasalahan dalam aktiviti mewarna sebagai sampel
kajian. Dalam kajian ini, seramai 14 orang pelajar dari kelas 5 Jade dipilih untuk menjadi
pengukur keberkesanan kajian intervensi yang dijalankan.

Instrumen kajian

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah menggunakan kaedah analisis dokumen
dengan menghasilkan data primer. Kaedah ini telah dilakukan dengan melihat hasil
tugasan pelajar yang dihantar ke Google Drive Geng Artcellent. Semasa proses ini,
beberapa gambar dan video telah diambil untuk dijadikan rujukan keberkesanan
intervensi yang dijalankan. Daripada dapatan data primer akan terhasil indikator dan
petunjuk kejayaan intervensi melalui penilaian prestasi melalui kerja rumah, markah PBD
dan penghasilan video PBL.
Prosedur kajian

Sebelum memulakan kajian ini, penyelidik telah merancang beberapa langkah dan persediaan
yang perlu diambil dan diikuti, bermula dari awal kajian hinggalah proses penulisan laporan
akhir kajian yang lengkap. Tatacara kajian ini adalah seperti berikut:
1. Mengenal pasti masalah
Antara permasalahan yang dapat dikenal pasti ialah pelajar masih mencari kemahiran
yang sesuai dengan tahap kecerdasan dan kebolehan mereka. Selain daripada kelemahan
untuk mengenali media, ton, pencahayaan dan teknik yang sesuai, mereka juga mempunyai
masalah untuk mengatur masa menyiapkan tugasan di dalam kelas. Pelajar juga tidak begitu
meminati bidang seni visual dan tidak membuat tugasan yang diberikan. Rujuk rajah 2 dan 3.

Rajah 2: Peperiksaan pertengahan tahun Mei 2021 (sebelum intervensi)


Rajah 3: Aktiviti menghasilkan catan semasa PdPc Mac-Mei 2021 (sebelum intervensi)

2. Membuat pemerhatian
Pengkaji memerhati apakah langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah yang
dihadapi oleh pelajar. Pengkaji juga membuat penyelidikan kaedah yang sesuai untuk pelajar
menjalani kelas PdPr supaya lancar walaupun ketiadaan guru di samping mereka.

3. Refleksi berdasar inkuiri kendiri


Terdapat 10 inkuri kendiri yang dikenal pasti oleh pengkaji semasa membuat
pemerhatian ke atas pelajar yang terlibat. Antaranya ialah mengapa pelajar tidak mampu
untuk mewarna dengan baik dan apakah kesan jangka panjang sekiranya masalah ini
berterusan dan tidak dapat ditangani dengan kadar yang segera.

4. Membuat perancangan
Saya memperkenalkan alat bantu mengajar Kit Artcellent Monokromatik yang
membawa maksud alat intervensi untuk melahirkan pelajar cemerlang seni dengan
menggunakan warna mono yang mudah dengan memperincikan kaedah penggunaan Kad
Artcellent Monokromatik, Jom Artcellent Monokromatik, Jom Cuba dan Jom Taksir dengan
menggunakan bahan baharu seperti pensil warna air, pen berus dan pensil 9B kepada pelajar.
Rujuk rajah 4.
Rajah 4: Proses perancangan pelaksanaan intervensi
5. Melaksana langkah tindakan
Kajian dilaksanakan semasa kelas atas talian (PdPr) dari pertengahan bulan Mei
hingga pertengahan bulan Julai iaitu selama 12 minggu. Pengkaji menggunakan medium
konvensional (Kit Artcellent Monokroamtik) dan media digital baharu seperti aplikasi
whatsapp dan Facebook. Kesemua bahan di dalam Kit Artcellent Monokromatik ini
merupakan langkah kesinambungan di antara satu sama lain adalah seperti berikut:
i. Pelaksanaan langkah 1:
Pelajar diberikan kad Artcellent Monokromatik dan diminta untuk memahami fungsi 2 set
contoh imitasi ton yang menggunakan pensil warna air dengan air dan pensil warna air
dengan air. Pelajar harus menjadikan kad imitasi ini sebagai panduan semasa membuat
latihan ton.
ii. Pelaksanaan langkah 2:
Pelajar diberikan modul Jom Artcellent Monokromatik setiap seorang. Pelajar dapat
memahami asas warna dengan mudah melalui aktiviti di dalam modul ini. Modul ini
mengandungi latihan tahap mudah dan sukar. Penggunaan kad Artcellent Monokromatik
sangat diperlukan untuk bahagian langkah mudah sebagai sumber imitasi dan berkembang ke
langkah sukar dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari dari langkah mudah.
iii. Pelaksanaan langkah 3:
Pelajar diberikan modul Jom Cuba untuk mereka membuat 5 latihan ringan semasa cuti
pertengahan tahun. Langkah ini diambil kerana pelajar ini sering lupa dengan pembelajaran
yang telah diajar. Pelaksanaan aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengimbas Kembali
pembelajaran yang lepas dan mengurangkan stress semasa belajar sewaktu PdPr selama
berminggu-minggu.
iv. Pelaksanaan langkah 4:
Untuk langkah terakhir, pelajar diberikan modul Jom Taksir sebagai penilaian kefahaman dan
keberhasilan intervensi yang dijalankan. Sebanyak 5 latihan format soalan sebenar diberikan
untuk pelajar membuktikan kemahiran mewarna mereka dengan menitikberatkan pengurusan
masa yang betul.

6. Membuat pemerhatian semula


Setelah melaksanakan langkah tindakan, pengkaji melaksanakan penilaian prestasi
melalui hasil kerja rumah, pemarkahan PBD dan penghasilan Video Projek Based Learning
(PBL). Proses langkah pemerhatian semula adalah seperti berikut:
i. Langkan permerhatian 1
Pelajar mula memahami bagaimana kad Artcellent Monokromatik berfungsi dan boleh
membezakan penggunaan kedua set imitasi yang diberikan.
ii. Langkan permerhatian 2
Pelajar dapat mengasah kemahiran psikomotor tangan untuk memegang pensil dengan betul.
Daripada kemahiran baru yang dipelajari, pelajar dapat mengahasilkan ton warna dengan
tepat dan bersesuaian dengan pencahayaan yang sepatutnya sesebuah karya perlukan.
iii. Langkan permerhatian 3
Pelajar dapat melakukan aktiviti mewarna dengan bebas tanpa tekanan. Pelajar mula
menunjukkan minat dalam aktiviti mewarna.
iv. Langkan permerhatian 4
Berpandukan video tutorial yang diberikan oleh guru, pelajar dapat menghasilkan aktiviti
mewarna tugasan dengan lebih cepat dan bersistematik. Pelajar mula menunjukkan
peningkatan dari segi kualiti warna, ton, pengcahayaan dan masa di dalam hasil tugasan
mereka.

7. Membuat refleksi semula


Refleksi merupakan suatu aktiviti untuk menyelesaikan masalah dalam pengajaran
yang berkesan dan juga bertindak sebagai suatu proses pembangunan diri seseorang guru.
Refleksi juga merupakan kaedah memperbaiki kelemahan melalui langkah tindakan yang
telah dibuat. Sekiranya kurang berjaya, pengkaji harus menjalankan kembali langkah pertama
sehinggalah berjaya. Pelajar dapat memahami dan berjaya dalam menyelesaikan masalah
mewarna yang mereka hadapi. Pelajar lebih fokus dalam PdPr dan dapat mencapai objektif
pengajaran yang ingin diperolehi.

DAPATAN KAJIAN TINDAKAN

Bahagian ini menerangkan keputusan analisis data berdasarkan soalan inkuiri kendiri dan
catatan dapatan refleksi seperti yang dinyatakan di Jadual 1. Pemerhatian ini dilakukan
dengan menggunakan senarai semak yang disediakan oleh pengkaji sebelum menjalankan
sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadual 2 berikut merupakan dapatan pemerhatian melalui
senarai semak terhadap 14 orang peserta kajian.

Jadual 1: Refleksi Berdasarkan Pemerhatian Isu dan Inkuiri Kendiri

INKUIRI KENDIRI REFLEKSI


Kemahiran apakah yang Mewarna objek yang sesuai dengan tahap kriteria pemarkahan
mereka lemah? DSKP PSV
Mengapakah pelajar Aktiviti bersemuka amatlah singkat semasa tingkatan 4
mengalami masalah menyukarkan guru mempekenalkan kemahiran memilih media
mengenali kemahiran mewarna. Pelajar juga tidak fokus semasa pembelajaran didalam
sendiri? kelas.
Apakah latar belakang Ada beberapa pelajar sememangnya lemah dalam seni visual
pelajar ini? dan berlatar belakang semasa menengah rendah adalah daripada
aliran muzik.
Mengapakah media yang Pendekatan guru tentang media poster warna dan pensil 9B
digunakan sebelum ini di arasnya lebih tinggi menyebabkan pelajar tidak mampu untuk
dalam kelas tidak berjaya memahami dengan lebih jelas.
membuat mereka faham?
Apakah kesan kepada Pelajar akan terus tidak mahir mewarna dengan teknik yang
pelajar sekiranya betul dan tidak dapat mengenali media warna dengan kadar
masalah ini berterusan dengan tepat.
dan tidak ditangani
dengan kadar segara?
Apakah tahap kebolehan Pelajar harus menguasai teknik mewarna sewarna dan cara
asas yang pelajar perlu menetapkan pencahayaan dalam sesebuah karya.
dikuasi sebelum
mempelajari asas
mewarna?
Mengapa pelajar Pelajar tidak membawa bahan asas mewarna ke kelas dan
mengalami masalah ini terpaksa berkongsi bahan yang terhad bersama rakan lain semasa
semasa pdp? aktiviti mewarna dijalankan. Selain daripada pelajar tidak mahir
membuat eksperintasi warna seperti campuran biru dan kuning
menghasilkan warna hijau kerana pelajar cetek warna. Pelajar
juga tidak mahir mengaplikasikan kepelbagaian saiz berus
semasa mewarna kerana buta berus. Guru pula mengambil
banyak masa untuk memberikan penerangan terperinci cara
mengaplikasikan teknik yang diajar sehinggakan kekangan
waktu mengajar.
Mengapa pelajar Pelajar kurang mahir mewarna sehingga mengambil masa yang
mengalami masalah lama untuk menyiapkan sehelai kertas tugasan. Pelajar memiliki
mengatur masa semasa patern mewarna tahap yang rendah kerana kebiasaan
membuat latihan? menggunakan teknik sekolah rendah iaitu menggunakan pensil
warna. Pelajar juga kurang berlatih di rumah dan mengharapkan
100% aktiviti di dalam kelas sahaja.
Mengapa pelajar tidak Pelajar takut untuk mencuba sendiri tanpa bimbingan dari guru
melibatkan diri secara dan mereka tidak yakin untuk menunjukkan hasil yang tidak
aktif semasa belajar? menarik kepada guru. Pelajar mengalami masalah ART-phobia
yang tinggi kerana dalam fikiran mereka seni itu memiliki tahap
kesukaran yang tinggi dan sifat malu untuk bersaing masih lagi
tinggi dalam diri mereka.
Apa yang perlu guru Semasa PdPc guru perlu mewujudkan suasana kelas yang ceria
lakukan untuk seperti guru perlu mesra menyambut kehadiran pelajar ke Studio
menggalakan pelajar Artcellent. Guru juga perlu memberikan kebebasan kepada
melibatkan secara aktif di pelajar untuk berkarya. Semasa PdPr pula guru perlu
dalam pembelajaran? menyediakan video-video pengajaran yang menarik untuk
ditonton oleh pelajar. Hasil karya mereka akan dimuat naik ke
laman Facebook Geng Artcellent sebagai bentuk penghargaan
supaya pelajar lebih seronok menghantar tugasan yang
diberikan.

Jadual 2: Pemerhatian melalui senarai semak penghantaran tugasan bagi tahun 2020 dan 2021
Jadual 3: Graf pemerhatian melalui senarai semak penghantaran tugasan
Rajah 5: Penghantaran tugasan oleh pelajar

Berdasarkan refleksi, pelajar dapat meningkatkan kemahiran menginterprestasikan


nilai warna, ton, pencahayaan dan pengurusan masa yang baik dalam sesebuah karya dengan
gabungan warna pensil air dan pen berus. Kekerapan menghantar tugasan juga menjadi titik
tolak keberhasilan intervensi ini.

Penilaian Pencapaian Murid

Pemerhatian ini dilakukan dengan menggunakan senarai semak yang disediakan oleh
pengkaji sebelum menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadual 4 berikut
merupakan dapatan pemerhatian melalui senarai semak terhadap 14 orang peserta kajian.

Jadual 4: Dapatan pemerhatian melalui senarai semak markah Kertas 2 dan PBD
Bagi markah kertas 2, seramai 9 orang pelajar tidak dapat melepasi 30 markah bagi
peperiksaan pertengahan tahun pada bulan Mei. Bagi Test pada bulan Julai pula, 100%
pelajar berjaya memperbaiki markah masing-masing dimana rata-rata pelajar mendapat
markah melebihi 30 markah minimum lulus. Sebanyak 5 orang pelajar dapat tahap 2 di dalam
penilaian PBD pada bulan Mac dan kesemua pelajar dapat melepasi tahap 4 pada pentaksiran
bulan Julai kerana peserta kajian dapat menjalankan aktiviti dengan baik melalui tugasan
yang diberikan melaksanakan intevensi dengan bersungguh-sungguh dan penuh fokus.
Refleksi saya, terdapat peningkatan pencapaian murid yang ketara dalam menguasai
kemahiran mewarna selepas intervensi dilaksanakan. Pelajar berjaya meningkatkan
keyakinan diri semasa mengaplikasikan, eksperimentasi dan penerokaan media baharu dalam
aktiviti mewarna. Secara keseluruhnya, semua pelajar berjaya mencapai tahap pencapaian
yang baik, iaitu mengikut perbandingan penghantaran tugasan di rajah 6.

Rajah 6: Perbandingan kualiti mewarna selepas intevensi

RUMUSAN DAN PERBINCANGAN


Berikut adalah rumusan dan perbincangan mengenai dapatan kajian berdasarkan kepada
objektif kajian.
Objektif 1: Meningkatkan kemahiran menginterprestasikan nilai warna, ton,
pencahayaan dan pengurusan masa yang baik dengan menggunakan media gabungan
warna pensil air dan berus.

Saya mendapati dengan penggunaan intervensi ini dapat menghasilkan pulangan yang positif
kepada pelajar semasa melakukan aktiviti mewarna. Pelajar mampu untuk
menginterprestasikan nilai warna, ton dan pencahayaan yang tepat pada setiap tugasan.
Pelajar juga mampu mengurus masa dengan baik semasa aktiviti mewarna dijalankan.
Peruntukan masa selama satu jam lima belas minit diaplikasikan secara berterusan walaupun
pada mulanya agak sukar untuk diamalkan. Dengan menggunakan media gabungan warna
pensil air dan pen berus, masalah masa dapat diatasi kerana penggunaan kedua bahan ini
sememangnya dapat menjimatkan masa. Psikomotor tangan pelajar juga akan terbentuk
dengan baik dalam mengaplikasi latihan yang berterusan dengan menggunakan kad imitasi
Artcellent Monokromatik dengan media gabungan bahan baharu ini. Menurut Bin Husain, H.
(2021) Seni lukis merupakan salah satu bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum
berupaya bertutur dan merupakan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi.
Melukis memberi kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat
meluahkan perasaan dan emosi selain membina kekuatan otot. Secara tidak langsung
menajamkan daya intuisi kanak-kanak.
Walaupun masih di tahap bukan profesional, hasil yang ditunjukkan oleh pelajar
boleh dikategorikan cemerlang pada tahap sekolah menengah kerana dari segi pemarkahan
kertas 2, mereka mampu untuk melepasi markah minima logika untuk lulus dalam
peperiksaaan PSV. Penghasilan tugasan yang tepat pada waktunya dan lebih berkualiti
membolehkan mereka mendapat Tahap Penguasaan (TP) 4,5 dan 6 seperti mana yang
termaktub di dalam DSKP PSV tingkatan 4 dan 5. Bagi meningkatkan kefahaman dan minat
pelajar dalam PdPc yang dijalankan, pemilihan aktiviti dalam bilik darjah perlulah
bersesuaian dengan pelajar. Banyak faktor yang harus dipertimbangkan sebelum menjalankan
aktiviti (Nor, R. M., Yusoff, N. M. R. B. N., & Haron., H. B, 2020)
Alat intervensi ini berjaya membantu dalam perubahan sikap dalam menarik minat
pelajar terhadap Pendidikan Seni Visual dan di samping meningkatkan kemahiran mewarna.
Penggunan alat bantu mengajar ini menjadikan terapi kepada pelajar untuk merasa senang
dengan aktiviti mewarna yang dijalankan dan sebagai persediaan untuk tugasan yang lebih
rumit. Menurut Shahuddin, S. A., Khairani, M. Z., & Ibrahim, M. N. (2021) tugasan seni
terapeutik merupakan ‘warm up acitivity’ dan sesuai dilaksanakan sebelum pengajaran
sebenar PSV bermula. Aktiviti yang terdapat dalam tugasan seni terapeutik ini lebih mudah
dan membantu murid untuk bersedia mempelajari pelajaran seterusnya. Selain berfungsi
sebagai kaedah penilaian untuk keberkesanan intervensi yang dijalankan, pelajar perlu
menunjukkan bukti kefahaman terhadap intervensi ini dengan menghasilkan karya yang
paling terbaik secara berperingkat. Pelajar memberi respon mewarna modul tugasan dengan
menggunakan teknik dan strategi mewarna yang diperkenalkan amat mudah difahami dan
hasil mewarna mereka menjadi lebih cantik daripada sebelumnya.

Objektif 2: Meningkatkan keyakinan pelajar semasa mengaplikasikan, eksperimentasi


dan penerokaan media baharu dalam aktiviti mewarna.

Melalui pengamatan saya sepanjang intervensi dijalankan, pelajar mula mampu untuk
menonjolkan bakat yang lama terpendam kerana kurang galakan dan pendedahan mengenai
kemahiran mewarna sebelum ini. Pelajar sudah mula membuat eksperimentasi dan
penerokaan media baharu semasa mewarna. Pelajar berjaya mengaplikasikan teknik yang
dipaternkan ke dalam hasil-hasil karya yang diberikan. Pelajar juga tidak sabar untuk
mendapatkan video tugasan yang baharu dan bersungguh-sungguh menghantar tugasan di
Google Drive masing-masing. Penggunaan TMK dalam pengajaran sedikit sebanyak
menambahkan pengetahuan pelajar dengan dunia ICT di samping penghasilan video PBL
dengan menggunakan pelbagai aplikasi telefon, pelajar dapat menghasilkan video kreatif
hasil dari proses penggunaan intervensi yang dijalankan. Menurut Bin Husain, H (2021)
berdasar dapatan kajian jelas menunjukkan aktiviti seni yang menggunakan perisian aplikasi
TMK dapat meningkatkan integrasi domain pembelajaran dalam kalangan murid. Setiap
aktiviti seni yang dilakukan berasaskan teknologi ada sumbangan dari aspek pembangunan
kognitif, pembinaan afektif dan pengurusan psikomotor secara serentak. Menurut Seman, M.
S., & Khairani, M. Z. (2020) Project base learning meningkatkan penglibatan murid dalam
pembelajaran dan pemudahcaraan yang mewujudkan komunikasi dua hala.
Pelajar juga lebih berkeyakinan untuk menyertai pertandingan-pertandingan seni
visual ke peringkat lebih tinggi seperti Pemeran Artgeng, Karya Pilihan Tahunan Negeri
Sabah, Pertandingan Antarabangsa Generasi 21 dan Doodle kemerdekaan anjuran badan
kerajaan. Saya juga teruja melihat hasil karya mereka yang lebih matang dan sangat
cemerlang. Ada antara mereka memenangi pertandingan tersebut.
Objektif 3: Menjadikan guru lebih bersedia untuk proses PDPr dan pengurusan
tugasan secara lebih sistematik.
Kemenjadian pelajar pada kajian ini menjadikan guru lebih bersedia untuk proses PdPr dan
cara pengurusan pemberian tugasan kepada pelajar menjadi lebih sistematik dan menarik.
Guru juga menjadi seronok dan tidak sabar untuk berjumpa pelajar di kelas yang seterusnya.
Penambahbaikan dari segi penggunaan ICT dalam pengajaran juga amat memberi kesan yang
baik dalam proses penyebaran maklumat kepada pelajar. Perubahan sikap guru juga sangat
membantu dalam menjayakan intervensi ini. Dapatan kajian menunjukkan kaedah pengajaran
multimedia interaktif dapat meningkatkan pencapaian pelajar berbanding kaedah
konvensional. (Basiron, I. 2012). Mengikut kajian Abdullah, N. A., & Amran, M. S. (2021)
guru-guru berperanan untuk memilih kaedah PdPr yang dirasakan paling sesuai dan efektif
supaya murid-murid mendapat manfaat yang optimum melalui PdPr yang dilaksanakan
semasa pandemik Covid -19. Oleh yang demikian, saya mencuba untuk melakukan
pembaharuan menggabungkan pdp yang konvensional dengan pdp kaedah TMK
berkonsepkan ICT yang interaktif.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, kajian ini telah membantu saya untuk meningkatkan kemahiran
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Setelah melihat kelemahan dan kekuatan pelajar,
ada perkara perlu ditambahbaik agar dapat menambah kualiti sesi pengajaran yang akan
diadakan pada masa akan datang. Pada pemerhatian yang pertama, pengajaran guru yang
tidak dapat memahami kemahiran sedia ada pelajar menjadikan permasalahan ini sedikit
rumit untuk diselesaikan disamping kekakangan masa bersama pelajar yang singkat. Namun
setelah meneliti permasalahan ini, saya telah merangka semula rancangan intervensi yang
lebih teratur dan berstruktur agar pelajar dapat mempelajari kemahiran mewarna dengan
mudah dan berjaya. Hasil daripada aktiviti yang dijalankan, pelajar menyatakan teknik
baharu yang diperkenalkan oleh guru berjaya memikat hati mereka untuk mewarna dengan
lebih kerap. Kesimpulannya, semoga hasil kajian ini dapat mencetuskan idea untuk
mewujudkan proses pengajaran yang lebih menyeluruh, efisyen dan lebih berkesan kepada
guru-guru lain dalam menghasilkan pelajar yang kreatif dan kritis di bawah payung seni
visual.

RUJUKAN
Affifatukakmar (2017) Aplikasi Teknik Latih Tubi Meningkatkan Kemahiran. IPG kampus
Rajang. Muat turun daripada: https://pdfslide.tips/documents/aplikasi-teknik-latih-
tubi-meningkatkan-kemahiran-mewarna.html

Abdullah, N. A., & Amran, M. S. (2021). Perspektif guru terhadap penglibatan urid dan
pembelajaran secara atas talian semasa pendemik Covid-19 di Malaysia [Teacher
perspektif of student involment in online teaching and learning during the Covid-19
pandemic in Malaysia]. International Journal of Advanced Research in Islamic
Studies and Education, 1(4), 32-39.

Bambang Sunarto, 2020. METODOLOGI PENCIPTAAN SENI. INSTITUT SENI


INDONESIA SURAKARTA
Basiron, I. (2012). Kesan kaedah pengajaran multimedia interaktif dalam pengajaran seni
visual (Doctoral dissertation, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia).

Belland, B. R. (2014). Scaffolding: Definition, current debates, and future directions. In


Handbook of research on educational communications and technology (pp.505-518).
Springer, New York, NY.

Bin Husain, H. (2021). Penggunaan perisian aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi
meningkatkan integrasi domian pembelajaran dalam karya murid belajar gaya
visual. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, 18(1), 140-160.

Dr. Sajap Maswan, (2013). Mengaplikasikan Teori-Teori Pembelajaran di dalam Mereka


Bentuk Bahan Pengajaran berasaskan ICT untuk Pendidikan Seni Visual. Institut
perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang. Muat turun daripada:
https://sajadstudio.info/artikal/teoripemb_psv.pdf

Dzulkifli, M. A., & Mustafar, M. F. (2013). The influence of colour on memory performance:
A review. The Malaysian journal of medical sciences: MJMS, 20(2), 3.

Etikan, I., & Bala, K. (2017). Sampling and sampling methods. Biometrics & Biostatistics
International Journal, 5(6), 00149.
Khairil Azmil Ahmad (2019). Mini Diorama Art (Minda) meningkatkan pemahaman pelajar
seni dalam proses penghasilan karya.

Mohd Ima Alili Azmi (2016). Meningkatkan kemahiran murid mengenal warna asas dan
warna sekunder menggunakan roda warna. Muat turun daripada: https://www.
academia.edu/ 27683502

Nor, R. M., Yusoff, N. M. R. B. N., & Haron, H. B. (2020). Meneroka Kaedah Pengajaran
Guru Cemerlang Pendidikan Seni Visual Selangor (GCPSV): Satu Kajian Kes.
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(5), 125-140.

Pratama, U. N. (2020). Analisis Gaya Belajar Mahasiswa Pendidikan Seni Pertunjukan


Berdasarkan Modalitas Preferensi Sensori. JINOTEP Jurnal Inovasi Teknologi
Pembelajaran, 7(2), 107-115.

Quah Wei Boon, (2017). Fleming VAK sebagai gaya pembelajaran pembelajaran terkesan.
Kolej Komuniti Sungai Petani. Muat turun daripada: https://www.researchgate.net/
publication/321361237

Rauf, F. A., & Tan, W. H. (2020). Potensi realiti terimbuh dalam aktiviti mewarna: Satu
kajian di sebuah prasekolah. Southeast Asia Early Childhood Journal, 9(2), 1-10.

Seman, M. S., & Khairani, M. Z. (2020). Pendekatan Project Base Learning Mural
Pendidikan Seni Visual Dalam Kalangan Murid Masalah Pembelajaran. Journal of
Applied Arts, 2(1), 158-163.

Shahuddin, S. A., Khairani, M. Z., & Ibrahim, M. N. (2021). Tugasan seni terapeutik dalam
meningkatkan tahap keyakinan diri murid di Sekolah Rendah. KUPAS SENI: Jurnal
Seni Dan Pendidikan Seni, 9(2), 42-51.

Suardipa, I. P. (2020). Proses Scaffolding Pada Zone Of Proximal Development (ZPD)


Dalam Pembelajaran. Widyacarya: Jurnal Pendidikan, Agama dan Budaya, 4(1), 79-
92.
Suhaimi, Z. A., & Hussin, R. (2018). Inovasi Penggunaan Facebook Sebagai Satu Media
Pengajaran dan Pembelajaran Murid Sekolah dalam Pendidikan Seni Visual. KUPAS
SENI: Jurnal Seni dan Pendidikan Seni, 6.

Anda mungkin juga menyukai