Anda di halaman 1dari 8

PERSONALITI DAN KONSEP KENDIRI

PENGENALAN PERSONALITI

Setiap individu tidak kira dewasa atau kanak-kanak mempunyai personaliti tersendiri. Personaliti atau
sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan antara setiap
individu. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi,
persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.Manusia dibezakan
menerusi dua aspek iaitu kemampuan dan personaliti. Aspek kemampuan meliputi pencapaian
dalam pembelajaran, kecerdasan dan bakat; manakala aspek personaliti meliputi watak, sifat,
penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi.

Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri
seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian
dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan
dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti
seseorang. Justeru, perkembangan kanak-kanak amat berkait rapat dengan perkembangan kendiri
dan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu personaliti dan konsep kendiri.

KONSEP PERSONALITI

Personaliti berasal daripada perkataan Latin, “persona” yang bermaksud topeng yang digunakan oleh
penggiat seni semasa pementasan. Ia lebih dikaitkan sebagai watak yang ingin menonjolkan sifat
baiknya di luaran dan menyembunyikan keburukannya melalui topeng.

Imam Al-Ghazali (1058-1111) banyak membicarakan tentang hati, akal dan nafsu. Dalam teori
ini, kerohanian yang menguasai atau mengawal jasad manusia. Dalam Al-Quran juga terdapat istilah
yang berkaitan dengan ilmu ini iaitu nafsu, hati dan akal. Fungsinya untuk mencari dan
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati dan menghampiri Allah s.w.t. Manusia dilahirkan
dalam keadaan suci tetapi perubahan bergantung kepada akal, nafsu dan hati. Insan yang
mempunyai personaliti yang sempurna apabila jasmani, akal dan rohnya seimbang. Al-Ghazali
menekankan konsep Keabadian Jiwa atau ’Everlasting Nature of Soul’ yang wujud dalam agama dan
mempercayai kehidupan selepas mati.

Allport (1961) menyatakn personaliti sebagai satu organisasi dinamik sistem psikofizik yang ada
dalam diri individu. Ia menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaian individu dengan
persekitarannya. Crow dan Crow (1983) berpendapat, personaliti biasanya digunakan untuk
menghuraikan perwatakan fizikal seseorang, corak pertuturan atau daya penarik yang dimilikinya.

Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat-sifat yang mencerminkan diri individu
yang bolah diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan-perasaan yang dialami oleh
seseorang dalam dirinya sendiri.

Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri
seseorang.
PENGENALAN KONSEP KENDIRI.

Pembangunan Kendiri merupakan satu aspek yang amat penting khususnya dalam
menghadapi arus globalisasi dunia semasa. Dengan adanya pengetahuan yang mendalam terhadap
aspek pembangunan kendiri, seseorang dapat mempersiapkan dirinya secara mental bagi
menghadapi cabaran yang wujud dalam arus semasa. Setiap individu mempunyai anggapan terhadap
diri sendiri dan bagaimana orang lain memandang dirinya. Konsep kendiri adalah merujuk kepada
apa yang difikirkan oleh individu kepada dirinya sendiri mengenai kekuatan dan kelemahan yang ada
pada diri individu tersebut ataupun personalitinya. Oleh kerana itu, konsep kendiri merupakan satu
elemen yang sangat penting dalam diri setiap individu kerana ia akan digunakan untuk meramalkan
apa yang akan berlaku terhadap individu tersebut pada masa hadapan. Selain itu, konsep kendiri juga
banyak membantu individu untuk membuat keputusan dan menentukan tindakan yang bakal diambil
pada masa hadapan. Konsep Kendiri amat berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran.
Secara amnya, sebagai seorang guru atau pendidik yang bertanggungjawab mestilah memahami dan
mengamalkan konsep kendiri ini dalam kehidupan seharian. Konsep kendiri sudah diterima sebagai
suatu pemboleh ubah penting yang mampu untuk mengingatkan perkembangan pelajar dan
pembelajaran mereka. Seseorang pelajar dikelilingi oleh persekitaran sosial yang bertindak
mempengaruhinya membuat keputusan dan menentukan masa depan. Agen-agen persekitaran
seperti ibu, bapa, guru dan rakan sebaya adalah agen yang mempengaruhi seseorang pelajar. Agen-
agen tersebut membantu seseorang pelajar bertindak hasil daripada apa yang difikirkan dalam
mindanya.

Rogers (1951)adalah tokoh penting yang membicarakan tentang konsep kendiri. Melalui
Terapi Pusatan –Klien beliau mengemukakan teori konsep kendiri yang dikatakan lebih bersifat
kemanusiaan. Pada asas setiap individu sama ada pelajar dan bukan pelajar adalah golongan yang
dilahirkan lengkap, berbudi dan boleh dipercayai. Dalam erti kata lain, setiap individu yang baru
dilahirkan adalah diibaratkan seperti kain putih. Agen-agen yang berada disekelilingnya akan
mencorakkan kain putih tersebut mengikut corak yang diminati mereka.

Dalam kehidupan seharian seorang pelajar, mereka akan menempuh pelbagai bentuk interaksi
dengan persekitarannya. Oleh kerana itu, pelajar tersebut akan membuat keputusan dan
menentukan apakah tinadakan yang akan diambil. Apabila berlaku interaksi pelajar dengan
persekitarannya, maka konsep kendiri akan timbul dan mula terbentuk dalam diri setiap pelajar .
Selain itu, sifat kendiri bagi seseorang individu juga boleh terbentuk apabila seseorang itu
membayangkan dan mengambil nilai-nilai yang terdapat pada orang lain dan menjadikan nilai
tersebut sebagai nilai dirinya sendiri. Lama kelamaan sifat kendiri itu akan menjadi semakin tekal.
Seseorang individu akan bertindak mengikut apa yang dipegangnya. Dalam kehidupan seharian
seseorang individu akan berhadapan dengan perkara yang sentiasa bertentangan dengan sikap
kendiri dirinya. Tentangan ini boleh dianggap sebagai satu bentuk ‘ancaman’ kepada struktur kendiri
yang terbentuk dalam diri seseorang.

CIRI KONSEP KENDIRI POSITIF

Seseorang yang berkonsep kendiri positif mempunyai penerimaan kendiri dan mempunyai
kefahaman tentang diri sendiri. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif boleh memahami
dan menerima pelbagai fakta tentang dirinya. Seseorang yang berkonsep kendiri positif juga akan
menetapkan matlamat dan tujuan yang sesuai dengan kebolehan kendirinya. Individu ini juga akan
menghasilkan beberapa ciri tingkah laku yang menunjukkan keperibadian yang tinggi.

Pertama, seseorang yang tertanam di dalam dirinya konsep kendiri yang positif akan sentiasa merasa
bebas untuk membuat pilihan dan keputusan. Jarang sekali mereka berdepan dengan dilema
ataupun masalah dalam membuat pilihan atau keputusan. Jika individu ini membuat keputusan,
mereka tidak akan teragak-agak serta mereka boleh membuat pilihan tanpa terikat dengan pengaruh
rakan atau desakan keluarga.

Seterusnya, contoh seperti sikap bertanggungjawab di atas segala tingkah laku adalah
merupakan sifat individu berkonsep kendiri yang positif. Individu tersebut juga akan mengakui
kesilapannya jika dia telah melakukan sesuatu kesilapan ataupun dia mempunyai tanggungjawab
terhadap apa yang berlaku di persekitarannya.

Selain itu, contoh lain bagi individu yang berkonsep kendiri yang positif ialah mempunyai perasaan
bangga dengankejayaan yang dicapai. Ini bukanlah bermaksud mereka mempunyai perasaan riak dan
takabur, tetapi mereka akan bersyukur di atas kejayaan tersebut. Selain itu, mereka juga mempunyai
hala tuju dan matlamat yang realistik.

Semangat dan iltizam yang tinggi merupakan elemen yang penting kepada individu yang berkonsep
kendiri positif. Mereka akan menghadapi cabaran dengan penuh semangat serta percaya kepada
kebolehan diri dan tidak mudah mengalah atau berputus asa. Mereka juga sentiasa berfikiran positif
dan menjadikan cabaran sebagai semangat untuk terus berjaya dalam hidup.

Di samping itu, perasaan gembira dan riang adalah perasaan seorang individu yang
mempunyai konsep kendiri positif. Mereka pandai menyembunyikan masalah walaupun mereka
mempunyai banyak masalah serta tidak pernah mengeluh dan menganggap masalah tersebut
sebagai satu cabaran yang perlu diatasi. Mereka akan rasa sangat gembira jika masalah tersebut
dapat diatasi dan sekiranya tidak, mereka akan merujuk serta meminta nasihat daripada orang yang
boleh dipercayai dan memhami diri mereka.

Boleh bertolak ansur dengan kekecewaan merupakan konsep kendiri positif yang membantu individu
menanggani kekecewaan yang dihadapinya. Mereka tidak merasa kesal atau berputus asa serta
menerima dengan hati yang terbuka dengan kegagalan atau kekecewaan yang dihadapi oleh mereka.
Kegagalan akan memberi semangat yang baru untuk mereka terus mencuba.

Di samping itu, individu berkonsep kendiri positif mempengaruhi orang lain dengan
menunjukkan ciri-ciri konsep kendiri positif seperti bertanggungjawab, bangga dengan kejayaan,
selalu gembira serta menghadapi cabaran dengan semangat. Mereka dapat mempengaruhi orang
lain dalam usaha mendapat tempat dalam kalangan masyarakat atau membuat keputusan.

Sifat menghargai meliputi menghargai diri sendiri dan orang lain. Individu berkonsep kendiri
positif akan membentuk sikap menghargai kebolehan, pencapaian, kewibawaan diri dan dalam masa
yang sama mampu menghargai orang lain. Memberi pujian dan penghormatan kepada orang lain
akan menambahkan lagi pengaruh kerana orang yang diberi penghargaanakan merasa dihargai dan
diambil berat.

Tambahan pula, individu yang pemurah dan suka membantu orang lain merupakan individu
yang mempunyai konsep kendiri positif. Mereka merasa bertanggungjawab untuk menghulurkan
bantuan dan menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan. Perbuatan ini sangat mulia dan
patut ada dalam setiap diri individu.

Akhir sekali, individu yang mempunyai sifat-sifat diatas didapati senang mendapat kawan dan
disenangi oleh orang persekitaran. Ramai orang suka mendampingi mereka kerana sikap mereka
yang tidak sombong, pandai menghargai rakan dan sentiasa membantu orang yang memerlukan
bantuan.

Secara tuntasnya, individu yang mempunyai konsep kendiri positif mempunyai banyak kelebihan
kepada dirinya yang boleh memudahkan individu tersebut berinteraksi dengan masyarakat.
Masyarakat juga senang dengan kehadiran mereka yang membawa sikap positif yang boleh menjadi
teladan kepada semua ahli masyarakat.

CIRI KONSEP KENDIRI NEGATIF

Individu yang tidak mengenali dirinya sendiri merupakan individu yang mempunyai konsep
kendiri negatif. Sifat mereka ialah kurang mempercayai diri sendiri serta tidak yakin dalam
melontarkan pandangan atau idea. Mereka juga merasakan diri mereka selalu disisihkan dan tidak
diperlukan. Ciri-ciri konsep kendiri negatif seperti membuat jangkaan prestasi yang tidak realistik dan
penghargaan kendiri yang rendah mestilah dikenalpasti daripada peringkat perkembangan kanak-
kanak. Oleh yang demikian, ibu bapa dan guru harus menolong kanak-kanak menyesuaikan diri dan
mempunyai pandangan yang realistik dan positif terhadap diri mereka.

Terdapat dua jenis konsep kendiri negatif. Jenis yang pertama melibatkan pandangan individu
terhadap dirinya yang tidak teratur, tidak mantap serta tidak menampakkan pembinaan karakter
yang sempurna. Mereka tidak mengenali diri sendiri, tidak mengetahui kelemahan dan kekuatan diri
malah tidak dapat mengenalpasti keinginan dalam hidupnya. Hal ini acap kali berlaku dalam kalangan
remaja yang masih tercari-cari identiti diri. Oleh yang demikian, orang yang lebih dewasa
bertanggungjawab membentuk konsep kendiri mereka dengan baik.

Konsep kendiri negatif yang stabil akibat daripada pengaruh persekitaran atau asuhan ialah
jenis konsep kendiri negatif yang kedua. Misalnya, mereka menjadi seorang pendiam, tidak
bertimbang rasa dan pemarah akibat daripada asuhan yang diterima. Ciri ini seterusnya menjadi
konsep kendiri mereka yang stabil.

Oleh yang demikian, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan terbentuknya konsep
kendiri negatif pada kanak-kanak. Antaranya ialah pengaruh iklan dan pengaruh sebaran am seperti
rancangan televisyen, pita-pita video daripada luar negara yang mempunyai unsur-unsur negatif yang
boleh mempengaruhi minda dan pemikiran mereka. Hal ini kerana wujudnya sifat inkuiri atau sifat
ingin tahu serta mencuba sesuatu yang baru dalam diri kanak-kanak yang ingin meningkat remaja
sedangkan mereka tidak dapat membezakan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk.
Justeru, berlakulah banyak gejala negatif dalam masyarakat akibat daripada pengaruh ini.

Seterusnya, faktor lain yang menyebabkan berlakunya konsep kendiri negatif ialah berlakunya
kemerosotan nilai-nilai murni serta nilai-nilai disiplin dalam diri seseorang itu. Hal ini sering kali
berlaku kerana kebanyakan individu mahukan kebebasan dan kurangnya didikan awal daripada ibu
bapa dan keluarga individu tersebut. Ibu bapa hanya mengambil sikap endah tak endah kepada anak-
anak mereka serta membiarkan membiarkan mereka tanpa memberi tunjuk ajar yang betul. Maka,
wujudlah konsep kendiri negati dalam individu tersebut akibat daripada faktor keluarganya.

Selain itu, pengaruh persekitaran seperti ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat yang
tidak menunjukkan contoh teladan yang baik kepada kanak-kanak merupakan faktor terbentuknya
konsep kendiri negatif. Mereka juga melemparkan kritikan dan komen yang tidak wajar kepada
kanak-kanak. Sepatutnya, kanak-kanak memerlukan kasih sayang, akan tetapi telah dicemuh. Mereka
memerlukan belaian kasih sayang daripada ibu bapa mereka dan bukan keperluan kebendaan sahaja.
Ibu bapa juga janganlah terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada kanak-kanak kerana
ini akan manggangu emosi kanak-kanak yang merasa terbeban dengan harapan ibu bapa mereka.

Faktor lain yang menyebabkan berlakunya konsep kendiri negatif juga ialah kanak-kanak yang
mempunyai pandangan rendah terhadap diri sendiri. Kanak-kanak yang mempunyai masalah emosi
selalunya mempunyai masalah berkaitan fizikal seperti kecacatan dan mengalami pengalaman
traumatik. Hal ini sering berkaitan kerana masalah emosi sering berkait rapat dengan persekitaran
kanak-kanak tersebut. Jika persekitarannya bermasalah, maka emosi akan terganggu. Justeru, kanak-
kanak ini tidak dapat menguasai sesuatu tugas perkembangan.

Sebaliknya, ciri konsep negatif bertentangan dengan ciri konsep kendiri yang positif. Individu
yang menunjukkan konsep kendiri negatif akan menunjukkan ciri seperti selalu meminta
pertolongan. Ini menunjukkan individu tersebut tidak mempunyai daya usaha untuk memajukan diri
sendiri. Selain itu, individu tersebut juga menunjukkan sikap suka menagih simpati kepada oang lain
untuk mendapatkan sesuatu. Jika permintaannya tidak dipenuhi, individu tersebut akan merasa
tersinggung dan merajuk. Sikap yang ditununjukkan ini jelas menggambarkan individu tersebut
adalah seorang yang sensitif.

Di samping itu, individu yang mempunyai konsep kendiri negatif juga selalu memberi kritikan
atau komen yang menyinggung. Individu jenis ini selalu nampak kesalahan orang lain tetapi jarang
ataupun tidak pernah untuk mengubah diri sendiri terlebih dahulu. Individu tersebut juga selalu
merasa tidak berpuas hati sama ada terhadap diri sendiri ataupun orang lain. Mereka tidak pernah
rasa bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah yang begitu banyak sekali dalam hidup mereka.

Antara ciri lain individu yang mempunyai konsep kendiri rendah ialah selalu berangan-angan dan
risau tentang pelbagai perkara. Individu yang mempunyai sifat ini adalah individu yang tidak
mempunyai matlamat, visi dan misi dalam hidup mereka. Hidup mereka kosong kerana hidup mereka
tidak mempunyai arah dan tujuan dalam mencapai kejayaan didunia dan diakhirat.

Selain itu, sikap mementingkan diri sendiri dan suka menyalahkan orang lain juga merupakan ciri-ciri
konsep kendiri negatif. Individu ini merasakan apa yang dilakukan oleh dia adalah semuanya betul
tanpa menghiraukan orang lain. Sikap pentingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh individu tersebut
menunjukkan dia tidak mempunyai sifat toleransi dalam perhubungan. Individu ini akan membawa
pelbagai masalah jika dia berada di dalam kelompok masyarakat.

Salah satu ciri konsep kendiri negatif yang penting juga ialah berkeyakinan diri yang rendah serta
bersikap pasif. Mereka merasa terlalu banyak kekurangan yang ada di dalam diri mereka yang
menyebabkan mereka merasa kurang yakin apabila berada dikhalayak ramai seterusnya mengambil
sikap berdiam diri dan tidak ambil peduli. Ini jelas menunjukkan bahawa inidividu jenis ini
mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat lemah oleh sebab sikap mereka yang pasif dan
kurang berkeyakinan itu.

Seterusnya, individu yang berkonsep kendiri negatif juga mempunyai ciri tidak sukakan cabaran.
Mereka merasa cabaran merupakan satu bebanan berat yang perlu ditanggung oleh mereka. Oleh
yang demikian, mereka akan rasa murung dan tertekan apabila sesuatu masalah terjadi kepada
mereka. Justeru, hidup individu ini akan menjadi kucar-kacir akibat daripada sikap mereka yang tidak
suka akan cabaran dan hanya ingin mengambil jalan mudah sahaja.

HELAH BELA DIRI

Helah bela diri ialah satu proses yang dilakukan oleh manusia secara sedar ataupun tidak sedar.
Helah bela diri ini dilakukan untuk memperthankan ego, ancaman, dan kebimbangannya.
Kebiasannya, helah ini digunakan oleh individu yang sedang dalam kerisauan. Satu kajian telah
dilakukan oleh Sigmund Freud dan beliau telah mengklsifikasikan konsep kendiri kepada beberapa
bahagian.

Rasionalisasi ialah memberikan penerangan atau alasan yang kelihatan munasabah dan logik
terhadap sesuatu tingkah laku untuk melindungi atau menyembunyikan motif yang sebenar.
Rasionalisasi juga sering digunakan untuk mempertahankan ego seseorang. Secara kesimpulannya,
rasionalisasi ialah penjelasan atau sebab satu-satu situasi itu tidak dapat diterima. Sebagai contoh :
seorang murid yang gagal dalam peperiksaan akan memberikan alasan bahawa gurunya bersikap
pilih kasih.

Sublimasi merupakan helah bela diri yang paling sihat. Ia adalah satu cara untuk individu
menyalurkan kekecewaanya kepada saluran yang dapat menerima dan yang memuaskan individu
tersebut dari segi sosial. Keinginan tersebut dapat dipuaskan melalui aktiviti yang diterima oleh
masyarakat. Sebagai contoh seseorang ibu yang kematian anak akan mengambil anak angkat dan
mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada anak angkat tersebut.

Pemindahan ialah satu proses yang berlaku apabila seseorang individu memindahkan rasa
kecewanya kepada seseorang individu yang lain. Pemindahan memerlukan seseorang individu yang
dapat menerima kekecewaan tersebut dari individu lain. Biasanya orang yang menjadi mangsa terdiri
daripada “inferior” yang dijangka tidak bertindakbalas terhadapnya. Sebagai contoh seseorang guru
yang sedang dalam keadaan marah akan memindahkan rasa marah tersebut kepada murid-
muridnya.

Projeksi ialah satu tindakan untuk seseorang individu membalikkan konflik yang terdapat dalam
dirinya kepada orang lain. Seseorang akan berusaha untuk meletakkan kesalahan tersebut di atas
bahu orang lain dengan dakwaan individu tersebut juga bersalah. Pandangan orang ramai akan
dipesongkan agar kelemahan dan keaiban dirinya dapat dilindung. Contohnya seorang pelajar yang
lemah dalam peperiksaan akan meniru dengan menganggap pelajar lain juga akan meniru.

Introjeksi ialah satu jenis helah bela diri yang berlawanan dengan projeksi. Seseorang individu akan
menyerap pengaruh luar dan persiktaran ke dalam dirinya. Contohnya seorang pelajar akan mengikut
ciri-ciri seorang guru jika pelajar tersebut menyukai guru tersebut.

Pembentukan reaksi ialah satu bentuk helah bela diri bagi mempertahankan diri daripada sesuatu
ancaman dengan memperlihatkan satu reaksi yang bertentangan dengan reaksi tersebut. Sebagai
contoh seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan akan ketawa untuk menyembunyikan
perasaan getar tersebut.

Kompensasi ialah menggunakan aktiviti lain yang hampir sama untuk menggantikan yang lain.
Contohnya seorang individu yang lemah dalam akademik akan menggunakan kelebihannya dalam
bidang sukan untuk mendapat perhatian daripada guru dan orang lain.

Represi ialah satu tindakan untuk mengatasi perasaan sedih atau kecewa dengan mengalihkan
perasaan tersebut daripada kesedaran dan mempercayai bahawa perkara tersebut tidak wujud dan
tidak berlaku. Menurut Freud, tindakan ini ialah seperti memendamkan fikiran, keinginan dan konflik
kepada alam yang bawah sedar. Contohnya seseorang yang kehilangan seseorang yang disayanginya
akan mendiamkan diri dan tidak mahu bercakap mengenainya seperti ingin membuang perasaan
sedih tersebut daripada darinya. Apabila seseorang individu membenamkan emosi dalam dirinya,
merekan akan mengalami tekanan yang akan menggagngu emosi driri mereka sendiri.

Regresi berlaku apabila seorang individu kembali kepada jenis tingkah laku yang terdahulu yang
menjadi kebiasaan kepadanya semasa proses perkembangan dahulu. Sebagai contoh, seorang pelajar
akan menangis jika tidak mendapat perhatian. Perbuatan tersebut adalah sesuatu yang dilakukan
semasa kecil dahulu.

Fantasi ialah satu situasi yang membuatkan seseorang individu membentuk satu fantasi yang lebih
selesa dalam fikirannya untuk melupakan segala masalah. Fikiran yang dibentuk adalah lebih selesa
daripada keadaan sebenar. Contohnya seseorang yang miskin akan berfantasi untuk menjadi seorang
yang kaya.

Penyangkalan merupakan satu bentuk helah bela diri yang menafi dan menolak realiti. Proses ini
berlaku apabila individu tidak dapat menerima kenyataan. Sebagai contoh seorang yang didapati
mengidap penyakit barah akan menafikan perkara tersebut dengan dengan mengatakan laporan
doktor itu salah.

Identifikasi berlaku apabila seseorang cuba untuk melindungi kelemahan dirinya dengan
menyamakan dirinya dengan orang yang mempunyai kelebihan. Kaedah ini merupakan kaedah
penyesuaian yang sesuai. Sebagai contoh seorang pelajar akan berkawan rapat dengan kumpulan
sorak sekolah untuk menunjukkan pelajar itu juga popular.
Keagrisifan ialah tindakan untuk meluahkan rasa kecewa secara agresif. Mereka akan mencederakan
dan member ancaman untuk membendung kekecewaan. Contohnya seseorang kanak-kanak akan
maraung dengan kuat kepada ibunya jika tidak dibelikan mainan.

Anda mungkin juga menyukai