Anda di halaman 1dari 12

PENGENALAN

Wabak COVID-19, juga dikenali sebagai pandemik koronavirus ialah wabak penyakit

koronavirus 2019 yang berterusan secara global yang berpunca daripada koronavirus

sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2) (World Health Organization, t.t.). Wabak ini

pada mulanya dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei

China, dan telah diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

pada 11 Mac 2020. Sehingga 13 Mei 2020, lebih 4.37 juta kes telah dilaporkan di 213 buah

negara dan mengakibatkan lebih dari 294,000 kematian. Daripada jumlah kes yang

dilaporkan, 1.6 juta kes dilaporkan telah sembuh sepenuhnya manakala lebih 46,000 pesakit

berada dalam keadaan kritikal (Worldometers, 2020). Antara gejala-gejala biasa yang

ditunjuk oleh pesakit adalah demam, batuk, keletihan, sesak nafas serta hilang deria bau

dan rasa. Walaupun beberapa bahagian kes mengakibatkan gejala ringan, beberapa kes

telah dilaporkan mengalami simdrom gangguan pernafasan akut yang lebih teruk, kegagalan

beberapa organ dalaman, kejutan septik dan juga darah beku (Murthy et al., 2020). Tempoh

masa dari pendedahan wabak tersebut hingga permulaan gejala biasanya mengambil masa

sekitar lima hari tetapi ianya juga boleh mengambil tempat sekitar dua hingga empat belas

hari (Centers for Disease and Prevention, 2020). Individu yang lebih berusia dan individu

yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti penyakit jantung, paru-paru atau

diabetes dilihat berisiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi yang lebih serius akibat

COVID-19. Penularan boleh dikurangkan dengan selalu mencuci tangan, mengamalkan

kebersihan dengan baik, menjaga jarak sosial dan memakai topeng pembedahan. Menurut

World Health Organization, tiada vaksin ataupun rawatan yang efektif untuk penyakit ini,

dengan usaha yang biasanya terhad kepada pengurusan simptom dan langkah-langkah

sokongan.

Cara utama penularan adalah melalui titisan pernafasan dari individu yang dijangkiti di mana

mereka bersin atau batuk atau menghembuskan nafas. Pegawai-pegawai di Shanghai

mengesahkan beberapa mod penularan, termasuk penularan secara langsung, penularan


melalui sentuhan dan penularan melalui aerosol. Penularan melalui sentuhan dan aerosol

terjadi apabila seseorang individu menyentuh permukaan yang tercemar dengan titisan

pernafasan dan penyedutan udara yang tercemar dengan titisan pernafasan (China Daily,

2020). Virus tersebut lebih mudah dijangkiti dalam tempoh tiga hari pertama setelah

bermulanya gejala walaupun penyebaran mungkin berlaku sebelum gejala muncul. Namun

begitu, terdapat beberapa kes yang dilaporkan menunjukkan pesakit tidak menunjukkan

apa-apa gejala tetapi turut disahkan positif wabak tersebut. Untuk mengelakkan penularan,

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mencadangkan bahawa individu yang

dijangkiti untuk tinggal di rumah kecuali ingin mendapatkan rawatan perubatan; hubungi

terlebih dahulu sebelum melawat pembekal penjagaan kesihatan; gunakan topeng muka

(terutamanya di tempat awam); tutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin

menggunakan tisu; kerap mencuci tangan dengan sabun dan air; dan elakkan berkongsi

barangan peribadi (Centers for Disease and Prevention, 2020; World Health Organization,

2020).

Pandemik COVID-19 telah disahkan merebak di Malaysia pada 25 Januari 2020. Sehingga

13 Mei 2020, terdapat 6,779 kes yang disahkan dengan sebanyak 5,281 kes telah pulih dan

discaj serta 111 kes kematian (Worldometer, 2020). Berikutan peningkatan kes pada Mac,

Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan kebimbangan baginda terhadap kes positif yang

mendadak. Langkah selanjutnya kemudiannya diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia

untuk mengatasi penyebaran virus ini di dalam negara melalui siaran langsung pada 13 Mac

2020 (Bernama, 2020).


Rajah 1: Statistik Kes COVID-19 di Malaysia

Pada malam 16 Mac 2020, akibat peningkatan drastik kes sejak hari sebelumnya, Perdana

Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan sebuah tindakan yang dinamakan

sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan peraturan-peraturan berikut:

 Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara

termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat dan

premis perniagaan kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai

serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Bagi umat Islam, semua aktiviti

keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dibatalkan;

 Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, dengan

mereka yang baru pulang dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan

melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari;


 Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

 Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian,

sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi

pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti;

 Penutupan semua institut pendidikan tinggi awam dan swasta serta institut latihan

kemahiran di seluruh negara; dan

 Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan

perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos,

pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan,

perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang,

keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Sekatan ini pada asalnya berlangsung dari 18 Mac hingga 31 Mac, tetapi dilanjutkan hingga

12 Mei sebagai usaha untuk mengekang penularan mendadak COVID-19 negara.

Manakala, pada 10 Mei 2020, PM ke-8 Malaysia telah mengumumkan bahawa Perintah

Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan bermula 13 Mei 2020 sehingga

9 Jun 2020 (Harian Metro, 2020; Bernama, 2020).

PERKHIDMATAN AWAM DI MALAYSIA

Susulan pengumuman PKP oleh TS Muhyiddin Yassin, semua pegawai awam telah

diarahkan untuk bekerja dari rumah bagi mengekang penularan wabak tersebut. Namun

begitu, bagi urusan-urusan penting yang tidak dapat dilaksanakan dari rumah, kakitangan

dan pegawai dibenarkan untuk datang ke pejabat dengan syarat mendapat kelulusan

daripada ketua jabatan terlebih dahulul. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

memaklumkan bahawa Ketua Jabatan bertanggungjawab dalam menentukan perkhidmatan

penting di kementerian atau jabatan masing-masing dan mengarahkan pegawai terbabit


hadir bertugas di pejabat. Pegawai mesti sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh ketua

jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana tempat lain dan pastikan sentiasa boleh

dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.Ttindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai

yang gagal mematuhi perkara yang dinyatakan itu, melainkan mendapat kebenaran ketua

jabatan. Pegawai tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan

Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari

semasa ke semasa yang mana bersesuaian (Bernama, 2020).

Etika kerja professional merupakan satu landasan kepada masyarakat yang membolehkan

teknokrat mengawal tingkah lakunya sendiri serta membolehkan masyarakat sosial

mengawasi dan menilai setiap tindak tanduk mereka dari semasa ke semasa. Etika

seharusnya dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian dan dalam apa jua tingkah

laku. Keberkesanan prinsip etika terletak pada individu itu sendiri, tanpa disiplin diri dan

kekuatan mental yang tinggi seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika yang

dikehendaki (Megat & Abd Halim, 2016). Etika dan integriti dalam perkhidmatan perlu

diperlihatkan oleh penjawat awam melalui perlaksanaan amanah dan kuasa yang

dipertanggungjawabkan ke atas mereka demi kepentingan umum. Sekiranya perbuatan

tidak beretika dan tidak berintegriti dibiarkan berterusan tanpa usaha menanganinya maka ia

berupaya menghilangkan kepercayaan masyarakat dan menjejaskan imej pekerja, negara

serta melumpuhkan entiti korporat yang kukuh. Maka dapat difahami bahawa etika dan

integriti dalam kalangan penjawat awam amat penting untuk dipupuk demi melahirkan

bangsa Malaysia yang berdaya saing dan maju. Etika itu wujud dari dalam diri seseorang

individu dengan adanya disiplin dan kekuatan diri yang utuh. Sesuai dengan hasrat

Wawasan 2020 iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara maju menurut acuan sendiri

dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para

warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi

pekerti yang luhur.


Mengikut Jadual Perkhidmatan Perlu (Peraturan 2) P U(A) 2020, yang dikemas kini pada 31

Mac lalu, hanya 10 sektor disenaraikan sebagai perkhidmatan penting negara membabitkan

makanan, air, tenaga, komunikasi dan internet, keselamatan dan pertahanan. Turut

tersenarai sebagai perkhidmatan perlu negara adalah pengurusan sisa pepejal dan

pembersihan awam dan pembentungan, perbankan dan kewangan penjagaan kesihatan

dan perubatan termasuk penokok diet; e-dagang serta logistik yang terhad kepada

penyampaian perkhidmatan perlu (Berita Harian Online, 20 April 2020).

Penjawat awam Malaysia terutamanya dalam sektor perkhidmatan penting diberikan

perakuan kebenaran bertugas sepanjang tempoh PKP. Perakuan itu dalam bentuk surat dan

pas akan dikeluarkan Ketua Setiausaha (KSU) di setiap kementerian bagi jabatan kerajaan.

Pegawai dan kakitangan awam dilihat patuh terhadap perintah tersebut dengan

menunjukkan pas dan akuan kebenaran untuk hadir bertugas ke pejabat mengikut giliran

hari bekerja yang telah ditetapkan oleh ketua jabatan. Selain itu, mereka juga mengenakan

topeng muka dan membawa cecair pembasmi kuman pada setiap masa. Di pejabat, jarak

sosial turut dijaga mengikut arahan yang ditetapkan iaitu sepanjang 1 meter dan mesyuarat-

mesyuarat dilakukan secara atas talian bagi memutuskan rangkaian wabak ini. Laporan

peratusan kehadiran yang diterima oleh Ketua Pengarah JPA pula menunjukkan bahawa

purata peratusan kehadiran penjawat awam ke pejabat antara 15 hingga 35 peratus

berdasarkan catatan kehadiran semasa yang dilaporkan oleh kementerian atau jabatan

masing-masing (Berita Harian, 3 Mei 2020; Harian Metro, 5 Mei 2020).

Penjawat awam dan pesara adalah contoh kepada masyarakat, justeru pematuhan terhadap

undang-undang perlu dititik berat. Justeru, mana-mana penjawat awam dan pesara kerajaan

yang ditangkap pihak berkuasa dan dikenakan tindakan undang-undang kerana ingkar

terhadap arahan sepanjang PKP pula bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala

keistimewaan dinikmati selama ini termasuklah perkhidmatan, bayaran gaji elaun atau wang

persaraan (Adnan, 2020). Selain itu, Hukuman penjara enam (6) bulan atau denda
RM1,000.00 akan dikenakan sekiranya orang awam atau majikan didapati melanggar

Perintah Kawalan Pergerakan.

Penularan wabak COVID-19 telah memberi implikasi besar terhadap ekonomi dan sosial

negara-negara di dunia hari ini. Malaysia seperti negara-negara terkesan lain mengalami

ancaman serupa. Pertambahan jumlah mangsa wabak ini dijangka berterusan sehinggalah

rantaian wabak COVID-19 dapat di atasi sepenuhnya. Sepanjang tempoh PKP, sekatan

pergerakan bukan sahaja membendung pendedahan rakyat terhadap penularan wabak ini

tetapi mendidik mereka menghadapi cabaran dan dugaan menghadapi gejala ini dengan

pengawalan interaksi sosial secara fizikal yang boleh menjadi ancaman penularan COVID-

19. Malangnya sesetengah daripada masyarakat kita masih terbelenggu dalam pemikiran

Minda Kelas Ketiga. Konsep pemikiran sebegini selalu dikaitkan dengan tingkah laku dan

peradaban masyarakat di negara-negara dunia ketiga.

Walau bagaimanapun kebanyakan ahli sosiologi beranggapan bahawa kategori Minda Kelas

Ketiga ini merujuk kepada kedangkalan, kecuaian atau kegagalan masyarakat memelihara

tingkah laku dalam sistem peradaban yang diamalkan, menyebabkan mereka leka dan

tercicir daripada praktis hukum peradaban yang dirancangkan kepada mereka. Ini

termasuklah sikap tidak menghargai kebersihan, keselamatan dan apa sahaja praktis rutin

yang seharusnya mendatangkan keharmonian dan kerukunan dalam kehidupan mereka.

Berbanding dengan konsep Minda Kelas Pertama, masyarakat sesebuah negara akan

bersikap lebih perihatin terhadap amalan persekitaran mereka, lebih cekap menguruskan

hal-hal kebersihan, kesopanan dan profesionalisme dalam kalangan kakitangan, akhirnya

akan menjuruskan masyarakat berfikiran progresif, maju dan dinamik seperti yang berlaku di

negara-negara maju.

Dalam konteks Malaysia, hal ini telah digariskan dalam Wawasan 2020 dan yang terbaru

Wawasan Kemakmuran Bersama yang bermatlamat untuk melahirkan masyarakat Minda

Kelas Pertama untuk membina negara Malaysia yang maju. Mustahil Malaysia akan

mencapai status negara maju walaupun pencapaian ekonomi, politik dan insfrastruktur
mencapai tahap itu,tetapi peradaban sosial masyarakat Malaysia masih di takuk kelas

ketiga. Lihat apa yang berlaku sekarang sewaktu kerajaan melaksanakan PKP untuk

mengekang wabak penyakit Covid-19. Pelbagai garis panduan dan peraturan yang telah

diwarwarkan, seolah-olah tidak diendahkan sebilangan masyarakat dan mereka bertindak

untuk mencabar peraturan-peraturan yang dilaksanakan demi kebaikan mereka. Golongan

ini bukan sahaja membawa masalah pada diri mereka tetapi menyebabkan lebih ramai

rakyat terdedah kepada ancaman wabak merbahaya ini dan meningkatkan lagi angka

mangsa wabak ini dalam tempoh PKP.

Tuntutan ajaran Islam supaya umatnya memelihara kebersihan dan keselamatan diri serta

persekitaran kerana ia mencerminkan kerukunan imej Islam yang suci. Sesungguhnya,

wabak yang terjadi di China, Itali, Amerika dan sepelusuk dunia ini harus dijadikan ikhtibar

bahawa rukun dan disiplin masyarakat mematuhi peraturan-peraturan kesihatan adalah

kunci kepada kejayaan “memerangi” wabak penyakit ini. Selepas tempoh dua bulan perintah

berkurung dilaksanakan di Wuhan, penduduknya kini bebas dan berjaya memerangi Covid-

19. Ini kerana kepatuhan dan disiplin penduduknya terhadap peraturan-peraturan

pencegahan wabak yang dilaksanakan Kerajaan China. Sejajar dengan itu, advokasi

terhadap budaya masyarakat Minda Kelas Ketiga di negara ini harus diperhebatkan lagi

menjelang kemunculan fasa ketiga gelombang COVID-19 yang bakal ditempuhi nanti.

Peringkat kesedaran dan keperihatinan terhadap kesan wabak pada tahap ini tidak memberi

manfaat sepenuhnya, tetapi pelaksanaan peraturan-peraturan yang lebih ketat dan drastik

harus diperkenalkan supaya pematuhan secara total dalam kalangan masyarakat dapat

dilaksanakan. Biarpun ramai individu yang akan mengkritik pendekatan ini, tetapi ia

merupakan jalan terakhir untuk membenteras penularan wabak dan secara langsung

mendidik masyarakat untuk menjadi warganegara yang lebih prihatin terhadap kepentingan

bangsa dan negaranya. Selain daripada peraturan-peraturan sivil yang dilaksanakan,

kerajaan juga harus mengambil inisiatif untuk melaksanakan pendekatan advokasi secara

kaunseling kepada golongan yang berpotensi terdedah kepada bahaya gejala wabak ini dan
golongan yang menjadi mangsa kesan psikologi dan emosi disebabkan tempoh

pelaksanaan PKP yang panjang. Ini termasuklah menganjurkan sesi kaunseling bersemuka

dalam talian kepada komuniti, perbanyakkan pendedahan maklumat terhadap penyelesaian

secara berperingkat bagi memerangi wabak penyakit ini. Ini bagi menghindari pemikiran

masyarakat daripada perasaan panik, cemas dan tertekan menghadapi tempoh PKP dan

menghadapi gelombang ketiga wabak ini nanti.

Di samping itu juga, strategi memerangi penularan wabak COVID-19 ini tidak berjaya

sepenuhnya sekiranya kurang inisiatif dilakukan dengan membuat pemeriksaan ke atas

warga pekerja asing seperti PATI yang banyak berinteraksi dengan warga tempatan.

Golongan ini melakukan pekerjaan rutin dan terlibat secara langsung dalam pembuatan

makanan dan perkhidmatan pelanggan. Sekiranya pemeriksaan kesihatan ke atas golongan

ini tidak endahkan, dikhuatiri rantaian penularan wabak ini nanti tidak dapat dipisahkan dan

akan menyumbang kepada implikasi yang lebih buruk kepada warga tempatan. Justeru itu,

menjadi tanggungjawab setiap warga masyarakat Malaysia mempersiapkan pemikiran

supaya dapat memahami pelaksanaan PKP dan mengadaptasi strategi-strategi penjagaan

kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan dengan penuh kesedaran dan rasa

tanggungjawab.

Inilah pengorbanan yang amat besar ertinya sekiranya setiap anggota masyarakat berjaya

memainkan peranan untuk memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara yang

sedang dilanda musibah. Memetik ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

sewaktu membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi baru-baru ini,

“We are a nation at war with invisible forces. The situation we are now facing is

unprecedented in history. This unprecedented situation of course requires

unprecedented measures. We are not perfect, but we are doing the best we can

to pull through this crisis together, as one nation. God willing, we will come out

stronger when this crisis ends and the dust settles”.


KESIMPULAN

Pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia semenjak Januari yang lalu telah membawa

implikasi yang amat besar kepada negara terutamanya dalam bidang ekonomi dan

kesihatan. Ramai rakyat Malaysia yang terjejas dengan penularan wabak tersebut tanpa

mengira peringkat umur. Lebih 6000 orang telah dijangkiti dan lebih 100 kematian yang

dicatatkan. Selain daripada itu, ramai individu di negara ini yang telah kehilangan sumber

pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan dan industri pelancongan adalah industri

yang paling ketara menerima tempiasnya. Para usahawan samada usahawan micro atau

macro tidak terkecuali dalam hal ini. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutp seperti hotel

dan pusat rekreasi. Namun begitu, kerajaan Malaysia yang baharu banyak memberikan

bantuan dan menyalurkan sumbangan kepada semua individu yang terjejas. Bagi penjawat

awam dan swasta, mereka diminta untuk bekerja dari rumah sekiranya tiada keperluan

mendesak untuk mereka hadir ke pejabat. Justeru, kakitangan awam hendaklah berdisiplin

dan berlaku jujur dalam menjalankan tugas sepanjang di rumah. Tanpa disiplin dan etika

kerja yang tinggi dalam diri kakitangan awam, sesebuah kementerian atau jabatan boleh

berdepan dengan pelbagai risiko. Di samping itu, kakitangan awam yang ditangkap

melanggar arahan-arahan pihak berkuasa sepanjang PKP dijalankan bakal berdepan

tindakan tegas dan serius yang boleh membawa kepada masa depan yang gelap. Sejajar

dengan itu, masyarakat di Malaysia harus bersama-sama memikul tanggungjawab membina

negara dengan mengamalkan peradaban pemikiran Minda Kelas Pertama, sekiranya mahu

melangkah jauh menjangkau status negara maju akan datang.


RUJUKAN

RUJUKAN

World Health Organization. Rolling updates on coronavirus disease (COVID-19). Diakses

pada 14 Mei 2020 dari: https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-

2019/events-as-they-happen

Worldometer. COVID-19 Coronavirus Pandemic. Diakses pada 13 Mei 2020 dari:

https://www.worldometers.info/coronavirus/

Murthy, S., Gomersall, C.D., & Fowler, R.A. (2020). Care for Critically Ill Patients With

COVID-19. JAMA Insight, E1-E2.

BERNAMA. 7 Mac 2020. Agong expresses concern over jump in Covid-19 cases.

Centers for Disease and Prevention. (2020). Diakses pada 13 Mei 2020 dari:

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-nCoV/index.html

China Daily. Shanghai officials reveal novel coronavirus transmission modes. 8 Februari

2020. Diakses pada 13 Mei 2020 dari:

https://www.chinadaily.com.cn/a/202002/08/WS5e3e7d97a310128217275fc3.html

BERNAMA. 1 Februari 2020. First case of Malaysian positive for coronavirus.

BERNAMA. 14 Mac 2020. Covid-19: PM outlines several key measures.

Berita Harian Online. 16 April 2020. PKP: Penjawat awam ingkar boleh hilang semua

keistimewaan.

Berita Harian Online. 17 Mac 2020. COVID-19: Kakitangan awam diarah kerja dari rumah.

Megat Ayop Megat Ariffin & Abd Halim Ahmad (2016). Kepentingan budaya integriti dan

etika kerja dalam organisasi di Malaysia: Suatu tinjauan umum. Malaysian Journal of

Society and Space, 12 (9), 138-149.


Syed Agil Alsagoff (2020). COVID-19: Mendepani Cabaran Minda Kelas Ketiga. Diakses

pada 13 Mei 2020 dari: https://alhijrahnews.com/covid-19-mendepani-cabaran-minda-

kelas-ketiga/

Berita Harian Online. 2 April 2020. Hanya 10 sektor kekal sebagai perkhidmatan penting

negara.

Harian Metro. 5 Mei 2020. Ramai penjawat awam bekerja dari rumah.

Berita Harian Online. 3 Mei 2020. Penjawat awam berkeperluan saja perlu datang ke

pejabat.

Anda mungkin juga menyukai