Anda di halaman 1dari 2

Bahagian B

30 markah

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab semua soalan

Institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan institusi terpenting yang dipertanggungjawabkan dalam
usaha untuk melahirkan pekerja yang mampu berfikir secara kritis, kreatif, dan inovatif serta dapat
mengisi keperluan ekonomi berpendapatan tinggi. Institusi pengajian tinggi berperanan untuk
menghasilkan pelajar yang bakal memenuhi keperluan tenaga kerja yang lebih berdaya saing di
peringkat global, sekali gus memberikan impak yang positif kepada penjanaan ekonomi negara.
Keberkesanan IPT dalam usaha ntuk melahirkan individu yang berkeupayaan tinggi merupakan
pengukur kepada institusi pengajian tinggi.

Kini, tahap pencapaian akademik para siswazah merupakan suatu cabaran kepada institusi
pengajian tinggi, sama ada institusi pengajian tinggi awam mahupun institusi pengajian tinggi
swasta. Para siswazah yang bakal dilahirkan haruslah memenuhi kriteria yang diperlukan pada masa
kini. Oleh itu, IPT perlu menyusun strategi dan aktiviti yang lebih berkesan dengan memberikan
tumpuan terhadap aspek pembangunan pelajar. Tujuannya adalah untuk memastikan IPT di negara
ini dapat meningkatkan penghasilan siswazah yang berkualiti bagi memenuhi pasaran yang
kompetitif. Biasanya, prestasi pelajar di institusi pengajian tinggi diukur berdasarkan purata nilai
gred (PNG) peperiksaan. Walau bagaimanapun, penilaian terhadap kemahiran insaniah seperti
kemahiran berkomunikasi, interpersonal, bekerja dalam kumpulan, dan kepemimpinan turut
dititikberatkan juga.

Pelaksanaan Audit Prestasi Akademik (APA) yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian
Tinggi (KPT) berupaya untuk menjamin prestasi dan kualiti akademik sesebuah IPT. Hal ini dikatakan
demikian kerana Audit Prestasi Akademik berfungsi sebagai pengukur tahap kualiti akademik untuk
IPT yang berkenaan. Berdasarkan Audit Prestasi Akademik, sesebuah IPT yang mempunyai jaminan
kualiti dalaman yang tinggi akan dipelawa oleh pihak KPT untuk mendapatkan status institusi
swaakreditasi. Pada peringkat awal, empat buah unversiti penyelidikan di Malaysia dan empat buah
cawangan universiti luar negara yang beroperasi di negara ini telah diberi status institusi akreditasi.
Status yang diberikan kepada IPT tersebut melayakkan IPT yang berkenaan untuk mengakreditasi
program pengajian masing-masing di bawah pemantauan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Dengan
jaminan kualiti yang diberikan, IPT dapat mengawal prestasi institusi serta berupaya untuk
meletakkan satu penanda aras kecemerlangan masing-masing.

Oleh itu, semua institusi pengajian tinggi di negara ini haruslah bersedia untuk menghadapi
segala cabaran, khususnya dalam usaha untuk menangani perkembangan bidang pendidikan yang
sentiasa bergerak pantas. Hal ini memerlukan pemantauan yang berterusan dengan melakukan
pemerhatian dan pengawasan yang rapi terhadap segala aktiviti pembangunan pelajar dan
pemerkasaan prestasi IPT. Langkah ini akan memberikan impak yang besar terhadap pencapaian
matlamat IPT untuk melahirkan siswazah yang cemerlang, sekali gus menaikkan kedudukan institusi
yang berkenaan ke tahap yang dapat dibanggakan dalam pelbagai bidang dan peringkat.
1. Berikan tiga tanggungjawab utama Institusi Pengajian Tinggi (IPT). [3]

2. Mengapakah pelaksanaan Audit Prestasi Akademik (APA) dijalankan oleh Kementerian Pengajian
Tinggi (KPT)? [3]

3. Berdasarkan petikan, jelaskan dua kualiti yang perlu ada pada para siswazah. [4]

4. …IPT perlu menyusun strategi dan aktiviti yang lebih berkesan dengan memberikan tumpuan
terhadap aspek pembangunan pelajar…

Berikan ulasan anda tentang pendapat di atas dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai.
Panjang jawapan anda hendaklah tidak melebihi 150 patah perkataan. [20]

Anda mungkin juga menyukai