Anda di halaman 1dari 4

Ijtihad Politik dalam PRU15

Tanggal 19 November akan menyaksikan satu proses pemilihan pemimpin yang mewakili rakyat

sama ada dalam peringkat parlimen dan juga dewan undangan negeri (DUN). Pemilihan dalam

tempoh lima tahun sekali ini menyaksikan munculnya 1001 parti politik dan calon bebas sama ada

yang bergabung dalam kumpulan yang berbentuk pakatan, barisan malah ada individu yang

bergerak secara sendirian. Senario ini menambah warna warni pesta PRU15.

Pertarungan sengit pelbagai penjuru dilihat menambah kerancakan PRU kali ini. Setiap pihak

menawarkan calon-calon yang didakwa mempunyai kualiti yang baik dan berintegriti, malahan tiap

kumpulan mempunyai pendokong dan penyokong yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat,

sama ada golongan agamawan, profesional dan berbagai latar belakang.

Namun, budaya memaki hamun, menfitnah, mencari aib musuh, serangan fizikal, janji manis dan

dakwaan palsu menjadi senjata kepada sesetengah kalangan dalam kempen yang dijalankan. Tidak

kurang juga isu perkauman turut dimanipulasi untuk meraih sokongan. Lebih parah lagi, terdapat

pihak yang mengeksploitasi sentimen agama hingga mempromosikan budaya “takfir” terhadap

pihak lawan. Hal ini menimbulkan kerunsingan dan kekeliruan dalam kalangan, khususnya

pengundi muda yang pertama kali mengundi. Sedangkan proses pemilihan ini adalah sebahagian

daripada ijtihad politik, dan terbuka kepada benar dan salah.

Jika ditoleh ke belakang, PRU14 telah meninggalkan sejarah hitam dengan pelbagai peristiwa

ekoran ketidakstabilan kerajaan yang berkuasa. Tindakan melompat parti secara beramai-ramai

dan pembentukan pakatan sementara untuk membentuk kerajaan telah menyaksikan berlakunya

peralihan kepada tiga perdana menteri dalam satu penggal. Lebih malang lagi, ketidakstabilan ini

turut mempengaruhi sektor ekonomi negara.

Lantaran itu, dalam proses pemilihan yang bakal dilakukan, terdapat beberapa kriteria penilaian

boleh dipertimbangkan di samping instrumen maqasid syariah (objektif Syariah) dapat


diaplikasikan. Dalam instrumen maqasid Syariah, terdapat tiga peringkat keutamaan, iaitu ada

daruriyat (keperluan asas), hajiyat (keperluan biasa) dan tahsiniyat (kehendak).

Dalam peringkat keperluan asas (daruri), terdapat lima keperluan utama yang perlu diambilkira

dalam penilaian yang akan dilakukan, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Keperluan yang pertama adalah memelihara agama. Bagi memelihara agama, kedudukan Islam

sebagai Agama Persekutuan perlu dipertahankan dan agama-agama lain boleh dipraktikkan dengan

damai dan harmoni. Selari dengan itu, bagi menjaga agama, pemilihan calon dan parti perlu dibuat

terhadap mereka yang dapat menjaga kesucian agama, terutamanya Islam, mampu mewujudkan

keharmonian beragama dengan agama lain. Dalam konteks masyarakat majmuk, keharmonian

hidup bersama dalam kepelbagaian kaum dan agama ini merupakan nadi utama kehidupan.

Sebaliknya, calon dan parti yang mempergunakan agama, menyerang kesucian agama dan

menimbulkan kegelisahan beragama perlu ditolak.

Keperluan yang kedua adalah memelihara nyawa. Bagi menjaga nyawa, jaminan keselamatan

nyawa dan mengelak kehilangan nyawa rakyat perlu menjadi pertimbangan dalam pemilihan calon

dan parti. Ini kerana situasi yang tidak aman seperti peperangan, konflik, pertumpahan darah,

perubahan iklim serta serangan penyakit merbahaya boleh menyebabkan kekacauan dan ketidak

tenteraman dalam kalangan masyarakat. Dengan itu, pemilihan perlu dibuat terhadap calon dan

parti yang dapat menjaga keselamatan nyawa rakyat, keamanan dan kestabilan sosial. Di samping

itu, isu sekuriti makanan, kesihatan awam dan jangkitan penyakit, kesihatan mental perlu

dititikberatkan oleh pihak yang berkenaan. Ini kerana apabila pandemik berlaku, ramai yang

menjadi korban sama ada dalam bentuk serangan virus, kekurangan bekalan makanan dan bunuh

diri akibat tekanan. Justeru itu, calon dan parti yang hendak dipilih perlu cakna isu yang melibatkan

nyawa rakyat. Sebaliknya, calon dan parti yang tidak prihatin dan tidak menghulurkan bantuan

wajar ditolak.
Keperluan yang ketiga adalah memelihara akal. Bagi menjaga akal, ia perlu dipelihara dari perkara

yang boleh melemahkan dan merosakkan akal. Penjagaan ini melibatkan pengambilan makanan

berkhasiat dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Dengan itu, perkara yang merosakkan akal

seperti minuman berbahaya, dadah dan hiburan yang merosakkan akal perlu dihindarkan. Bagi

memelihara akal, pemilihan calon dan parti perlu dibuat terhadap mereka yang mementingkan

penjagaan akal. Seperti jaminan makanan yang berkhasiat, dan memperkasakan sistem pendidikan

peringkat rendah, menengah dan tinggi. Terdapat ramai pihak yang terkesan akibat pandemik,

terutamanya golongan pelajar. Ramai yang tercicir dan ketinggalan. Keadaan ini sangat

membimbangkan. Sebaliknya, calon dan parti yang tidak menawarkan pakej penjagaan akal wajar

ditolak.

Keperluan asas yang keempat adalah memelihara keturunan. Ia penting bagi membentuk rakyat

yang sihat, mempunyai keturunan yang sah dan mempertahankan institusi keluarga. Di samping

itu, kebajikan golongan warga tua, ibu tunggal dan kanak-kanak perlu dilindungi. Apabila rosak

keturunan disebabkan perbuatan zina, liwat, lesbian, gay, biseksual dan seumpamanya, ia akan

merosakkan keutuhan institusi keluarga dan struktur sosial menjadi kacau bilau. Dengan itu, bagi

menjaga keturunan, calon atau parti yang menyokong kepada seks luar nikah dan seks luar tabii

perlu ditolak.

Keperluan asas yang kelima adalah memelihara harta. Bagi menjaga harta, ekonomi perlu

diuruskan dengan baik, tanpa amalan rasuah dan pecah amanah, malah setiap rakyat dapat

menikmati kemakmuran dan keadilan ekonomi bersama. Setiap calon dan parti yang ingin dipilih

perlu mempunyai pelan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 yang jelas, juga integriti dan

ketelusan. Selain itu kebajikan rakyat perlu diutamakan dan mereka tidak dibebankan dengan kos

sara hidup yang tinggi, inflasi dan kenaikan harga barang yang menjadi ancaman kepada survival

rakyat.
Tegasnya, pemilihan pemimpin merupakan satu persoalan penting dalam Islam kerana ia

melibatkan kepentingan dunia dan agama. Bahkan dalam Islam, ketika kita ingin bermusafir turut

ditekankan tentang pentingnya pemilihan pemimpin. Dalam hadis baginda SAW: Jika ada tiga orang

bermusafir, maka hendaklah mengangkat salah seorang untuk menjadi ketua (HR Abu Daud).

Lebih-lebih lagi dalam urusan keduniaan yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara,

kita perlu memilih pemimpin yang dapat menjadi suara dan mewakili kita dalam peringkat negeri

dan parlimen. Setiap kita bertanggungjawab melaksanakan amanah pemilihan pemimpin yang baik

dan berintegriti. Pemilihan calon dan parti yang bertanding berada dalam ruang lingkup ijtihad

fiqh, dengan membuat pertimbangan di antara maslahah dan mafsadah di samping menilai dari

aspek maqasid Syariah. Justeru, pilihlah calon yang tepat dan janganlah sampai ke tahap

mentakfirkan orang Islam yang lain disebabkan perbezaan dalam pemilihan calon dan parti.

Tulisan ini disediakan oleh Dr Mohd Anuar Ramli, Professor Madya, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi

Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: mohdanuar@um.edu.my

Anda mungkin juga menyukai