Anda di halaman 1dari 3

Boikot berteras ilmu elak cetus mudarat

kepada rakyat, negara


Oleh Mohd Hilmi Ramli - Disember 2, 2023 @ 10:02am
bhrencana@bh.com.my

Foto Hiasan
Boikot adalah antara bentuk bantahan dengan tidak menyokong secara langsung dan tidak
langsung sesuatu individu, idea, produk, organisasi, mahupun negara disebabkan pelbagai
faktor seperti politik, agama, ekonomi, sosial serta alam sekitar. Bantahan ini datang daripada
rasa tidak puas hati, kecewa ataupun marah.

Boikot juga boleh terjadi kerana khuatir dengan sesuatu pengaruh. Dalam sejarah Islam, Nabi
Muhammad SAW dan sahabat pernah diboikot kaum jahiliah kerana membawa ajaran baharu
bertentangan dengan fahaman dan amalan mereka.

Nabi SAW dan sahabat diboikot seperti tiada hubungan rasmi dengan keluarga Bani Hashim,
tiada urusan perdagangan dengan mereka, tiada lawatan dan perkahwinan dalam kalangan
mereka, bekalan air ke tempat mereka dipotong hingga tahap tiada hubungan mata dengan
Baginda sendiri apabila bertemu di jalan.
Boikot ini berjalan panjang selama tiga tahun menyebabkan Nabi SAW dan sahabat
menderita, akhirnya boikot itu ditamatkan kerana ada orang daripada Musyrikin bersimpati
seperti Hakim Ibnu Hizam sering menyeludup tepung kepada orang Islam.

Dalam memboikot ada aspek psikologi, perancangan dan etika perlu diberikan perhatian.
Sekiranya memboikot itu dilakukan secara kejam, tidak berhemah dan tergopoh-gopoh, ia
akan menyebabkan sesuatu diboikot tidak menepati sasarannya.

Masyarakat kita sudah lama terbabit dalam boikot ke atas sesuatu produk atau organisasi,
khususnya apabila membabitkan isu sensitif, alam sekitar dan kemanusiaan sejagat seperti di
Palestin hari ini.

Hasil boikot itu meninggalkan kesan besar kepada ekonomi, jenama dan moral sesuatu idea
atau produk. Namun, boikot dilakukan sering kali terjadi secara bermusim. Punca ini dapat
dikenal pasti kerana sikap emosi tidak dipandu ilmu dan gambaran keseluruhan isu sebenar.

Memboikot ada yang sifatnya 'hitam-putih' dan ada yang tidak. Ia juga bukan sifatnya zero-
sum game, yakni yang memboikot dapat semua manfaat ataupun kemenangan, sedangkan
dan yang diboikot mendapat semua mudarat atau kekalahan. Boikot adalah tindakan mesti
berlandaskan ilmu dan pertimbangan akal sewajarnya melalui gambaran keseluruhan sebenar.

Boikot berkait rapat dengan ilmu memilih yang terbaik antara dua hal yang baik, yang
dikenali sebagai 'ikhtiar'. Ikhtiar berasal daripada perkataan Arab, 'khayr', iaitu baik atau
kebaikan.

Apabila kita berikhtiar, kita sebenarnya dalam proses untuk memilih satu hal terbaik daripada
dua atau beberapa hal baik. Sekiranya kita diberi pilihan memilih antara baik atau buruk,
halal atau haram, keadaan ini tidak tergolong dalam maksud ikhtiar, tetapi menjadi wajib
untuk memilih hal baik dan halal serta menolak hal buruk dan haram.

Boikot dalam situasi ekonomi, sosial dan etika saling rapat berkait pada masa kini adalah satu
bentuk ikhtiar. Kita berada di persimpangan jalan untuk memilih mana lebih baik daripada
banyak hal baik. Pilihan di tangan dan pertimbangan akal kita bukan sempit antara dua
pilihan sahaja saling bertentangan, iaitu antara baik atau buruk, halal atau haram.

Contohnya, dalam sentimen memboikot berikutan kes serangan Israel ke atas Palestin hari
ini, tidak semua objek atau pihak mahu diboikot termasuk dalam kategori jelas: baik atau
buruk, halal atau haram.

Ada pihak jelas menyokong serangan itu seperti dizahirkan pemimpin, organisasi dan seluruh
orientasi perniagaannya menyokong kekejaman, yang wajib dari segi agama, sosial, ekonomi
dan etika untuk mereka diboikot. Namun, tidak semua hal tergolong dalam kategori ini.

Contohnya, jenama makanan dari Amerika Syarikat (AS), iaitu KFC dan Pizza Hut sering
dijadikan objek boikot tersasar. Walaupun jenama ini datang dari negara menyokong kuat
serangan Israel ke atas Palestin, jenama ini adalah sebuah bentuk perniagaan sahaja.

Jika alasan cukai dibayar kepada AS menjadikan jenama itu perlu diboikot, banyak lagi aspek
lebih jelas menyumbang kepada cukai negara mereka seperti pendidikan, perdagangan,
pelancongan, sains dan teknologi, hiburan dan sukan wajib diboikot. Namun, logik itu tidak
terpakai.

Apabila memperkatakan jenama AS digunakan dalam perniagaan, jenama ini boleh dibeli
atas nama francais. Dalam konsep francais, pihak asal, iaitu 'francisor' di AS menjual hak
penggunaan nama dan produk kepada pembeli jenama, 'franchisee' untuk menggunakan
nama, idea serta produk pemilik asal di bawah peraturan dan model perniagaan berlandaskan
undang-undang negara.

Pihak membeli juga adalah entiti sah di sesebuah negara. Dalam contoh KFC dan Pizza Hut
itu tadi, jenama ini sudah bertapak di negara ini hampir 50 tahun. Sepanjang tempoh itu,
jenama ini menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita.

Jenama makanan ini dimiliki QSR Brands, iaitu syarikat pengendalian makanan halal sah di
sisi undang-undang negara dan dimiliki sepenuhnya negara ini melalui pemegang saham
berbentuk institusi, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu institusi
keselamatan sosial terbesar di negara ditubuhkan sejak 1951 dan Johor Corporation (JCorp),
syarikat kerajaan Johor ditubuhkan sejak 1968.

Sumbangan syarikat francais seperti ini bukan sahaja mempunyai nilai instrumental dengan
budaya masyarakat kita sejak mula-mula ditubuhkan, bahkan menyumbang secara langsung
dan signifikan kepada masyarakat di sini.

Contohnya pembayaran zakat mereka hampir berjumlah RM60 juta sejak 2008, menyediakan
peluang pekerjaan kepada 30,000 rakyat, meneroka ruang penyelidikan makanan halal,
wacana ilmiah dan kesarjanaan serta pendidikan, sekali gus giat memberi bantuan
kemanusiaan kepada mangsa bencana di negara.

Sudah pasti juga sebagai syarikat ditubuhkan di negara ini, mereka tertakluk kepada cukai
menyumbang kepada pembangunan negara.

Justeru, jika pertimbangan menyeluruh ini diambil kira, adakah boikot kita buat ini tepat
mengenai sasarannya? Atau kita sedang meruntuhkan sendiri usaha sedang dibina kerana
emosi dan sentimen tidak ada asas ilmunya?

Oleh itu amat penting usaha memboikot disusun kembali menurut ilmu benar dalam memilih
hal terbaik antara banyak hal yang baik, iaitu ikhtiar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban
Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Anda mungkin juga menyukai