Anda di halaman 1dari 8

BERITA HARIAN ONLINE

Teknologi 5G lancarkan proses pendidikan


masa depan
Oleh Prof Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali - November 15, 2021 @ 11:40am

AKSES menyeluruh terhadap pendidikan


dalam talian sebenarnya menjadi
permasalahan utama dihadapi kebanyakan
negara, termasuk negara maju. Hal ini
kebiasaannya lebih ketara bagi komuniti luar
bandar yang akses jalur lebar agak terhad.

Pada masa sama, faktor kelajuan dan


kestabilan internet tetap menjadi perbincangan
dalam konteks pendidikan untuk komuniti
bandar, meskipun mempunyai akses jalur
lebar.
Secara universal, ketidaksetaraan akses jalur
lebar ini kebiasaannya dijadikan kayu ukur
terhadap jurang digital antara bandar dengan
luar bandar. Perkara ini juga didapati sering
menjadi penghalang terhadap usaha
pelaksanaan pendidikan dalam talian secara
sempurna melangkaui wilayah dan geografi
yang pelbagai.

Kini, teknologi untuk menangani permasalahan


ini sudah wujud dan mula dilaksanakan secara
berperingkat. Melalui Jalinan Digital Negara
(JENDELA), pelan diformulasi untuk
menyediakan liputan internet lebih luas dengan
kualiti jalur lebar lebih baik untuk pengguna, di
samping mempersiapkan negara bagi
teknologi 5G.

Hal ini selaras dengan Rancangan Malaysia


Ke-12 (RMK-12) dalam aspek meningkatkan
rangkaian capaian serta kualiti internet negara.
5G ialah standard teknologi generasi kelima
untuk rangkaian selular jalur lebar, sekali gus
menjadi piawai tanpa wayar global baharu
selepas rangkaian 1G, 2G, 3G dan 4G.
Teknologi 5G menawarkan internet ultra laju,
masa pendam atau latency lebih rendah dan
kebolehpercayaan dipertingkatkan.

Dengan keupayaan ini, masalah kelajuan dan


kestabilan capaian internet di kawasan
berkepadatan penduduk tinggi dapat ditangani.
Namun, masalah capaian dan kestabilan
internet di luar bandar atau kawasan
pedalaman mungkin mengambil masa untuk
diatasi, terutama dari sudut penyediaan
infrastruktur menepati piawai 5G.
Membangunkan infrastruktur 5G bukan
sekadar evolusi 4G, sebaliknya memerlukan
banyak menara selular tambahan khususnya di
kawasan kepadatan pengguna tinggi seperti di
bandar.

Bagi kawasan dengan kepadatan pengguna


rendah, 5G Rangkaian Akses Radio (RAN)
kebiasaannya diadaptasi ke infrastruktur
menara selular sedia ada. Memandangkan seni
bina teragih 5G menggunakan rangkaian
ditakrifkan perisian, sistem peranti dan
konfigurasi berkaitan juga diperlukan.

Disebabkan inisiatif 5G baru sahaja bermula, ia


akan mengambil masa beberapa tahun untuk
mencapai tahap liputan menyamai 4G serta
memerlukan pendekatan pelaksanaan
berbeza, iaitu 5G jalur frekuensi spektrum
tinggi, sederhana dan rendah, masing-masing
dengan tahap kelajuan dan lebar jalur
tersendiri.

Ini bermakna, pelaksanaan ketiga-tiga jalur


spektrum 5G akan memberikan liputan lebih
menyeluruh, sekali gus menjanjikan kelajuan
baik di kawasan penggunaan internet tinggi.

Oleh itu, gelombang milimeter (MM)


digunakan di kawasan berkepadatan penduduk
tinggi seperti di bandar, manakala nod jalur
rendah dan sederhana digunakan di kawasan
kurang kepadatan penduduk, umpamanya di
luar bandar. Secara teori, nod jalur rendah
boleh mencapai pautan sehingga ratusan
kilometer persegi.

Dengan liputan 5G menyeluruh melangkaui


pelbagai faktor geografi ini, masa depan
pendidikan digital dilihat adalah meyakinkan.
Teknologi ini boleh menangani masalah
kelajuan dan kestabilan internet pada terasnya.

Dengan kadar masa pendam yang sangat


rendah, 5G membolehkan penyampaian
pendidikan menjadi lebih pantas dan lancar. Di
samping itu, jika dibandingkan dengan
infrastruktur 4G, 5G boleh menampung dan
menyokong lebih banyak peranti dengan ada
keadaan sehingga hampir 10 kali ganda.

Perkara ini sangat bermanfaat untuk


persekitaran pendidikan digital kerana masa
pendam rendah dan lebar jalur tinggi
berpotensi menyokong komunikasi lebih baik
dengan rangkuman jarak liputan lebih luas.

Oleh itu, sokongan komunikasi ini adalah


sangat penting bagi meningkatkan kualiti dan
pengalaman pengguna positif terhadap
persidangan video yang menjadi teras
pembelajaran dalam talian dan hibrid.

5G juga mampu meningkatkan pengalaman


pembelajaran positif terhadap aplikasi
simulasi, realiti maya (VR), realiti terimbuh
(AR) dan kepintaran buatan (AI) berasaskan
dalam talian. Aplikasi pembelajaran
berasaskan internet benda (IoT) juga
berpotensi berkembang selari dengan kapasiti
teknologi 5G.

Dengan kemampuan 5G mengurangkan


tempoh masa pemindahan data daripada
pelayan ke pelanggan dan sebaliknya, pelbagai
bahan instruksi berasaskan VR, AR dan IoT
boleh dibangun serta dimanfaatkan untuk
pembelajaran berkesan.
Teknologi 5G juga akan meningkatkan
keupayaan pengkomputeran awan dengan
pengurusan data atau pencapaian aplikasi dan
perisian berasaskan pengkomputeran awan
akan menjadi semakin efisien.

Oleh itu, dengan kelebihan teknologi 5G


ditawarkan, guru dan pelajar boleh mengakses
internet dari sebarang lokasi dengan tahap
gangguan minimum. Hal ini memungkinkan
pengalaman pembelajaran positif dalam
kalangan pelajar, walaupun berada di lokasi
luar bandar.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Seni,


Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK),
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Anda mungkin juga menyukai