Anda di halaman 1dari 16

ISLAM DAN EMANSIPASI KEKURANGUPAYAAN

Norakyairee Mohd Raus

Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum


UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Abstrak

Emansipasi dalam kajian ini merujuk kepada pembebasan paradigma atau pemberian hak
kesetaraan (adil) terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pemahaman hakikat
kekurangupayaan berlandaskan tuntutan Syarak. Paradigma “emansipasi” sangat diperlukan
dalam kajian sosial masa kini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan komuniti minoriti sosial seperti
OKU. Ini kerana, OKU telah lama tersisih daripada arus pembangunan negara sama ada dalam
aspek pendidikan, pekerjaan, kesihatan, pengangkutan, politik dan sebagainya. Objektif utama
kajian ini adalah untuk meneroka konsep kekurangupayaan menurut Quran dan mengkaji
pendekatan yang sesuai dalam mendepani isu dan cabaran OKU beragama. Kajian ini merupakan
kajian kualitatif dengan menggunakan kaedah dokumen analisis dalam mengumpul data dan
maklumat. Dapatan kajian melalui carian https://sigir.uitm.edu.my/svsi/sumberutama.php
mendapati bahawa sejumlah ayat-ayat Quran yang menggunakan istilah-istilah yang berkait rapat
dengan kategori OKU seperti pekak, bisu, buta, tempang dan lemah. Istilah-istilah ini ada yang
digunakan secara jelas merujuk kepada hukum rukhsah (keringanan) untuk berjihad dan
melaksanakan tuntutan Syarak, dan ada juga digunakan sebagai perumpamaan bagi menjelaskan
hakikat iman dan kafir serta balasannya atas keengganan menerima Islam.

Kata kunci: Emansipasi, kekurangupayaan, OKU, Islam

Pendahuluan

Memahami konteks Fiqh al-Ta’ayush tidak menolak konsep kewujudan komuniti minoriti dalam
menjalani kehidupan seharian termasuklah komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Bahkan Islam
menuntut umatnya agar sentiasa memperkenalkan Islam kepada mereka yang belum Muslim dan
mengajak kepadanya (Muhammad Musa Syarif 2013). Dalam kata lain, jika Islam menuntut
umatnya hidup secara harmoni dengan mereka yang belum Muslim, apatah lagi hidup bersama
saudara seagama yang hanya berlainan jantina, kaum, bangsa dan kekurangupayaan. Kefahaman
ini dapat dinilai daripada tuntutan hidup bermasyarakat melalui Surah al-Hujurat:49:13 yang
menggariskan konsep al-Ta’aruf, iaitu “supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra
antara satu dengan yang lain). Konsep ini merupakan dakwah universal dan perlu direaliasi dan
bermula dengan sistem pendidikan yang inklusif seawal usia.
Di Malaysia, pelbagai inisiatif transformasi dirangka dan dilaksanakan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti dan relevan
kepada semua murid termasuklah murid-murid berkeperluan khas (MBK) (Hannah et al. 2019).
Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Namun, inisiatif ini bukan
sekadar dilihat dari aspek penyediaan sahaja tetapi perlu dilihat dari aspek penawaran yang
merujuk kepada asas pembangunan inklusif berasaskan konsep pengupayaan dan pemerkasaan.
Dalam erti kata lain, apabila masyarakat cakna, OKU terbela. Hal ini selaras dengan tuntutan
Surah ‘Abasa:80, ayat ke-9 dan ke-10, iaitu teguran Allah SWT agar memenuhi tuntutan dan
keperluan OKU khususnya merealisasi konsep indahnya hidup beragama dalam kalangan OKU.
Ke arah itu, kajian ini akan membincangkan berkenaan satu strategi atau pendekatan yang
dikenali sebagai Pendekatan Trek Berkembar (Twin-Track Approach) yang merupakan salah satu
pendekatan yang efektif dan selaras dengan tuntutan Syarak dalam membangunkan masyarakat
berasaskan Dasar Manhaj Rabbani yang diperkenalkan Kerajaan baru-baru ini.

Konsep Kekurangupayaan

Kajian lepas menunjukan penyelidikan berkaitan konsep kekurangupayaan dan perbincangan


berkaitan isu-isu OKU telah berkembang dengan begitu pesat serta kritis di luar negara.
Perkembangan ini bertitik tolak daripada revolusi minda yang telah dibawa oleh para sarjana
awal menerusi pengenalan model sosial kekurangupayaan di mana model ini antara model yang
awal mengetengahkan idea inklusiviti (Oliver 1992, Shakespeare 1996, Finkelstein 1998, Barnes
1997, Oliver 2002; Soder 2009; Gronvik 2009). Secara ringkasnya, model sosial
kekurangupayaan telah memisahkan dua konsep utama, iaitu kecacatan (impairment) dan
kekurangupayaan (disability). Dalam model perubatan kekurangupayaan (medical model of
disability) atau disebut juga sebagai individual model of disability, melihat kekurangupayaan
seseorang itu berpunca daripada kecacatan atau penyakit kronik yang dialaminya. Sebaliknya,
model sosial kekurangupayaan mengubah konsepsi kekurangupayaan yang berpunca daripada
sikap dan persekitaran fizikal serta sosial yang menghalang penglibatan OKU dalam masyarakat.
Namun, model ini tidak menafikan kewujudan elemen kecacatan pada individu OKU dan tidak
menolak pendekatan perubatan dalam menangani sesuatu keterbatasan seperti terapi carakerja,
terapi pertuturan, penggunaan ubat dan anggota palsu (Muhamad Nadhir 2019).
Dalam konteks ini, penekanan terhadap hakikat kecacatan itu bukanlah penyebab
seseorang individu itu tidak upaya, sebaliknya ia berpunca daripada sikap masyarakat dan
kegagalan persekitaran sekeliling yang tidak menyedari dan mengadaptasi keperluan dan
tuntutan OKU. Sebagai contoh, individu OKU Penglihatan boleh membaca Quran sekiranya
Quran tersebut dicetak dengan tulisan Braille. Jika tidak, dia tidak mampu membaca Quran
berasaskan mashaf bercetak. Bagi OKU Pendengaran, mereka boleh berkomunikasi dengan
orang ramai seperti melafazkan akad nikah sekiranya terdapat khidmat Jurubahasa Isyarat (JBI)
Malaysia. Sebaliknya, jika perkhidmatan itu tiada, sudah tentu imam dan saksi tidak mampu
mengesahkan pernikahan tersebut. Begitu jugalah keadaannya dengan kategori OKU yang lain
seperti fizikal, pembelajaran, pertuturan, pelbagai dan mental. Ini kerana, OKU adalah individu
yang mengalami kecacatan dan masyarakat yang tidak upaya menambahkan lagi
kekurangupayaan OKU (Disabled people are people with impairments who are disabled by the
society).

Dalam model sosial ini, kekurangan pada diri seseorang yang bergelar OKU dianggap
sebagai suatu karakter atau ciri perwatakan yang membezakan seseorang daripada yang lain.
Dalam erti kata lain, model ini meraikan atau melihat kekurangan itu sebagai salah satu entiti
dalam sesebuah masyarakat yang bersifat pelbagai (Diversity of the society). Menurut Akta
OKU (2008), OKU terdiri daripada mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal,
mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh
menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Apa yang ingin ditekankan
di sini adalah konsep kekurangan atau kecacatan itu adalah sesuatu yang bersifat kekal dan tidak
boleh diubah di mana ia dirujuk sebagai karakter seseorang.

Kekurangupayaan pula berlaku atau disebabkan oleh halangan yang dihadapi oleh
seseorang yang berstatus OKU seperti yang ditakrifkan dalam Akta OKU (2008) di mana
kekurangupayaan terhasil daripada interaksi antara OKU dengan halangan sikap dan persekitaran
yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat atas asas kesetaraan
dengan orang upaya. Takrifan ini jelas menunjukkan bahawa kekurangan atau kecacatan pada
diri seseorang bukanlah penyebab berlakunya kekurangupayaan. Situasi OKU yang berhadapan
dengan halangan yang ingin diketengahkan. Ini kerana, faktor halangan itulah yang
menyebabkan OKU menjadi tidak upaya. Bak kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga”.
Justeru, halangan inilah yang perlu diubah dengan menyediakan sistem sokongan bagi
membolehkan komuniti OKU menjalani kehidupan secara sejahtera. Berasaskan pemahaman
inilah perlunya dilakukan proses pengupayaan kerana halangan atau kekurangupayaan itu
berlaku dalam masyarakat.

Bertitik tolak daripada penerangan di atas, maka idea untuk melakukan perubahan adalah
bertujuan untuk mewujudkan masyarakat inklusif yang lengkap dengan sistem sokongan
meliputi polisi, kemudahan, perkhidmatan dan peralatan di samping melakukan proses
pemerkasaan khusus untuk komuniti OKU itu sendiri. Oleh itu, pemahaman tuntas tentang isu
kekurangupayaan akan memacu pada strategi yang tepat dalam usaha penyertaan penuh komuniti
OKU dalam masyarakat (French 1992). Proses pengupayaan masyarakat dan pemerkasaan OKU
inilah yang disebut sebagai Pendekatan Twin-Track atau Trek Berkembar (Kuno and D. Seddon
2003). Justeru, definisi berkenaan kecacatan dan kekurangupayaan yang diketengahkan dalam
kajian ini dilihat bermula daripada perspektif Quran dan pendekatannya yang bersifat global
kerana ia turut digunakan dalam beberapa dokumen perundangan dalam dan luar negara seperti
Akta OKU (2008), edisi kemaskini Dasar Sosial Negara (2010), Konvensyen Hak OKU (UN
CRPD 2006), Strategi Incheon 2013-2022 (2012) yang bertujuan memperbaik kualiti hidup dan
memenuhi hak OKU (Makes the right real), dan Dasar serta Pelan Tindakan OKU 2016-2022.

Islam Memaknai Konsep Emansipasi Kekurangupayaan

Konsep Tauhid merupakan emansipasi total bertujuan membebaskan makhluk daripada


menyembah sesama makhluk kepada Pencipta makhluk, iaitu Allah al-Ahad, al-Samad (al-
Ikhlas:112:1-4). Ia juga merupakan emansipasi yang universal kerana seruan Tauhid ini bukan
bersifat eksklusif yang tertumpu kepada bangsa Arab bahkan ia bersifat inklusif untuk semua
manusia. Hal ini selaras dengan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah:2:21, “Wahai
sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-
orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”

Penerokaan penggunaan istilah-istilah yang berkait rapat dengan kategori OKU dalam
Quran seperti pekak, bisu, buta, tempang, sakit dan lemah adalah dirujuk sebagai karakter atau
ciri perwatakan yang membezakan seseorang daripada yang lain. Kewujudan karakter-karakter
OKU dalam Quran menunjukkan Islam tidak jauh dengan komuniti istimewa ini bahkan
kewujudannya diiktiraf dan disebut satu persatu dalam Quran.

Berdasarkan capaian kandungan melalui


https://sigir.uitm.edu.my/svsi/sumberutama.php, penggunaan istilah karakter OKU ini didapati
ada yang digunakan secara jelas merujuk kepada hukum rukhsah (keringanan) untuk berjihad
dan melaksanakan tuntutan Syarak seperti karakter buta, tempang, sakit (al-Nur:24:61; al-
Fath:48:17) dan lemah (al-Tawbah:9:91). Terdapat juga karakter OKU seperti pekak, bisu, buta
digunakan sebagai perumpamaan bagi menjelaskan hakikat iman dan kufur serta balasannya atas
keengganan menerima Islam (al-Baqarah:2:18 dan 171; al-An’am:6:39; Yunus:10:43;
Hud:11:24; Toha:20:124; al-Hajj:22:46; Fatir:35:19). Dalam konteks ini, pengkaji akan
menjelaskan hakikat emansipasi kekurangupayaan menurut Quran berdasarkan perbincangan
dapatan di bawah:-

1. OKU Bukan ‘Ciptaan Rosak’ (Defect Product) menurut Surah al-Tin:95:4

Islam mendokong perjuangan hak asasi (Human Rights). Sejarah telah membuktikan, utusan
Nabi Muhammad SAW telah mendahului dan mengangkat agenda hak asasi manusia (HAM)
bermula di Mekah sehingga berjaya melakukan emansipasi kegelapan jahiliyyah kepada keadilan
Islam. Baginda SAW turut menghapuskan sikap perkauman (‘Asabiyyah), diskriminasi golongan
kaya terhadap yang miskin, diskriminasi golongan bangsawan terhadap rakyat bawahan, dan
mengangkat kedudukan golongan yang lemah seperti kaum wanita, kanak-kanak, warga emas
termasuklah komuniti OKU. Bahkan Islam memberi garis panduan dalam agenda HAM agar ia
selaras dengan tuntutan Syarak dan sesuai dengan pengiktirafan kemuliaan kedudukan manusia
tanpa mengira kepelbagaian bangsa dan memberi keistimewaan berbanding makhluk lain ciptaan
Allah SWT. Friman-Nya dalam surah al-Isra’:17:70, bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami
telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai
kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-
benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak
makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Imam Ibn Kathir (2000) dalam tafsirnya menyatakan bahawa pengiktirafan ini turut
disebut sebagai sebaik-baik kejadian dalam Surah al-Tin:95:4, maksudnya; “Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai
dengan keadaannya)”. Pengiktirafan ini merujuk kepada kesempurnaan kedudukan dan fizikal
kejadian manusia yang sesuai dengan kehendak-Nya dan kesempurnaan fitrah dan matlamat
ciptaan-Nya yang membezakan manusia dengan makhluk lain ciptaan Allah SWT. Menurut
kajian Muhammad Hafiz Nur (2018), penggunaan istilah manusia di dalam Quran digambarkan
secara umum dengan tiga istilah, iaitu al-Basyar, al-Nas dan al-Insan. Istilah al-Basyar
membawa maksud manusia secara biologi (fizik). Istilah al-Nas pula membawa maksud manusia
makhluk sosial dan makhluk tidak boleh hidup tanpa ada orang lain. Manakala istilah al-Insan
membawa maksud manusia sempurna baik secara fizik mahupun secara batin. Dalam ayat ke-4
Surah al-Tin ini Allah SWT menggunakan istilah al-Insan yang merujuk kepada sebaik-baik
kejadian manusia yang sempurna fizik dan batinnya dan dikurniakan nikmat akal yang
membezakannya dengan makhluk lain ciptaan Allah SWT.

Berdasarkan perbahasan ahli Tafsir berkaitan konsep manusia ‘sebaik-baik kejadian’ (the
best product) ini dapatlah kita fahami bahawa ia merupakan suatu pengiktirafan Allah SWT
tentang kedudukan manusia di sisi-Nya. Hal ini menuntut agar manusia sentiasa bersyukur atas
segala nikmat kurniaan-Nya. Ini bermakna, mereka yang diuji dengan kecacatan atau kekurangan
bukanlah bererti mereka ini adalah ‘produk rosak’ (defect product) ciptaan Allah SWT, bahkan
kewujudan komuniti istimewa ini adalah tanda kekuasaan ciptaan Allah, al-Khaliq, al-
Musawwir. Justeru, dalam konteks ini keperluan untuk kembali kepada asas ajaran Islam
bertunjangkan akidah yang sahih, syariat yang rahmah dan tasawuf atau akhlak yang
mempertuhankan al-Khaliq sewajarnya diterapkan dalam modul-modul keibubapaan, pra
perkahwinan dan sebagainya.

Asas atau pokok ajaran Islam ini boleh dirumuskan dalam pendekatan konsep ‘YUsR’ di
mana dari sudut Akidahnya, yakin bahawa anak OKU sama seperti anak tipikal, anugerah Allah
SWT, Firman-Nya: “Dan orang-orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada
kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami
pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa” (al-Furqan:25:74). Dari sudut Syariahnya, usaha
memberi ruang dan peluang anak OKU dididik untuk menerima dan melaksana tuntutan agama.
Firman-Nya yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan
sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya” (Toha:20:132). Manakala
dari sudut Tawasufnya, redha dengan segala ketentuan Allah SWT. Firman-Nya: Jikalau mereka
bersungguh-sungguh redha dengan apa yang yang diberikan Allah dan rasul-Nya kepada
mereka, dan berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami
sebahagian daripada kurnia-Nya...” (al-Taubah:9:59)

Rajah 1.0: Pendekatan konsep ‘YUsR’ dalam mendepani kurniaan anak OKU

2. Konsep Fiqh al-Ta’ayush menurut Surah al-Hujurat:49:13

Fiqh al-Ta’ayush merujuk kepada pendekatan fekah kontemporari dalam melestarikan hubungan
mesra sosio-agama berpaksikan realiti semasa. Sebagai agama Rahmatan lil Alamin, pendekatan
Fiqh al-Ta’ayush perlu diwacanakan secara meluas bagi memberikan kefahaman yang dinamik
dan progresif dalam rangka membina hubungan mesra antara penganut berlainan agama (Mohd
Zuhdi et al. 2020) yang terdiri daripada berlainan jantina, bangsa, kaum, taraf kedudukan dan
kekurangupayaan. Intipati ayat ke-13 dalam Surah al-Hujurat secara tidak langsung merujuk
kepada konsep asas Fiqh al-Ta’ayush di mana hubungan sosial rentas jantina, bangsa dan agama,
dan suku kaum diikat dengan syarat utamanya iaitu al-Ta’aruf. Firman-Nya, “Wahai umat
manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Imam al-Zamakhsyari (1988) ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia
diciptakan daripada Nabi Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan
seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab
untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. Imam al-
Baghawi menyatakan bahawa lafaz ‘Ya Ayyuha al-Nas’ ini merujuk kepada seluruh manusia
yang berasal daripada nasab yang sama (Nabi Adam dan Hawa’), tanpa mengenepikan kelainan
jantina, kepelbagaian bangsa dan suku puak serta memberi panduan asas dalam kelestarian
hubungan sesama manusia melalui konsep al-Taaruf, iaitu saling mengenali antara satu sama
lain. Konsep al-Ta’aruf ini mempunyai makna universal mencakupi semua kategori yang ada
kaitannya dengan perkenalan. Menurut Noor Aziera et al. (2017), Konsep ini secara tidak
langsung memaknai tujuan Allah SWT menciptakan manusia supaya hidup bersama dalam
keadaan aman dan sejahtera, bukan untuk bermusuhan dan bermegah serta menerima
kepelbagaian dan kelainan warna kulit, kedudukan dan kekurangupayaan.

Menurut Norafifiah (2014), al-Ta’aruf atau perkenalan yang dianjurkan Islam tidak
terbatas kepada nama atau tempat tinggal malahan lebih mendalam dengan mengetahui
kedudukan seseorang, corak kehidupan seharian, budaya bangsa dan etnik asal dan sebagainya.
Perkenalan sebegini hanya akan berlaku apabila wujudnya kehidupan mesra dan saling
mengenali antara satu sama lain. Justeru, taaruf merupakan asas penting dalam kehidupan
bermasyarakat yang perlu diamalkan agar matlamat perpaduan dapat dicapai. Justeru, konsep
Fiqh al-Ta`ayush bukan bermaksud mengkompromi kedudukan Islam sebagai agama kebenaran,
tetapi mempromosi keindahan Islam sebagai agama kesejanteraan. Jika mereka tidak
menerimanya sebagai agama sekalipun, maka ketika itu hendaklah kita meletakkan kaedah-
kaedah bagi mengelakkan pertumpahan darah, menjamin manusia untuk melakukan aktiviti di
atas muka bumi, meninggikan keadilan ke atas mereka, dan saling menolong pada perkara yang
boleh dilakukan bersama (Muhammad Musa Syarif 2013). Dalam konteks OKU, Islam bukan
hanya menjawab kenapa wujudnya komuniti OKU ini, bahkan Islam meletakkan garis panduan
bagaimana kita boleh hidup bersama mereka?

3. Pendekatan Twin-Track menurut Surah Abasa:80:9-10

Pendekatan Twin-Track merupakan salah satu pendekatan yang berkesan dalam melakukan
pembangunan untuk komuniti OKU yang sememangnya mempunyai cabaran dan halangan yang
tersendiri dalam menjalani kehidupan seharian. Strategi ini juga mampu untuk mencapai salah
satu prinsip yang diketengahkan dalam Konvensyen hak OKU, iaitu “Full and effective
participation in inclusive society”. Ini kerana, untuk membolehkan OKU berintergrasi dalam
masyarakat secara penuh dan berkesan memerlukan usaha dari sudut pemerkasaan kepada OKU
itu sendiri dan melakukan proses pengupayaan dalam masyarakat (social enablement) yang mana
akhirnya menuju ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang bersifat inklusif, bukan eksklusif.
Dalam Islam, pendekatan ini termaktub dalam Quran (Surah Abasa:80:9-10) yang diturunkan
sebagai panduan menyantuni komuniti OKU melalui usaha memuliakan OKU dengan agama dan
kembali kepada fitrah berasaskan pemerkasaan OKU dan pengupayaan masyarakat (Desy dan
Norakyairee 2017; Siti Rahmah et al. 2019). Firman-Nya: “Dengan perasaan takutnya
(melanggar perintah-perintah Allah). Maka engkau berlengah-lengah melayaninya”
(Abasa:80:9-10).

Imam Ibn Kathir (2000) dalam membahaskan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT
memerintahkan agar Rasulullah SAW berdakwah secara inklusif, bukan eksklusif di mana hanya
memberi tumpuan kepada kumpulan tertentu. Imam al-Zamakhsyari (1988) turut menjelaskan
perkara yang sama di mana ada layanan eksklusif dalam berdakwah kepada Pembesar Quraish
yang belum Muslim (Abasa:80:6) sehingga meninggalkan layanan terhadap Abdullah ibnu
Ummi Maktum, seorang Muslim yang cacat penglihatannya dan berusaha untuk mengambil
pelajaran daripada dakwah Rasulullah SAW (Abasa:80:9-10). Hal ini selaras konsep dakwah itu
mengajak, bukan menghukum di mana urusan kefahaman dan hidayah itu adalah ‘kerja Allah’
dan Allah akan beri kepada sesiap yang dikehendaki-Nya. Manakala ‘kerja Rasulullah’ adalah
sebagai utusan Allah yang berperanan untuk mempromosi dakwah Islamiah dan mengajak
manusia mengesakan Allah (Abasa:80:7).

Menurut Adnan et al. (2014), apa yang hendak ditekankan di sini adalah berkaitan sikap
Rasulullah SAW terhadap Abdullah ibnu Ummi Maktum r.a. pasca penurunan ayat ini. Baginda
sedikitpun tidak menyimpan rasa tidak selesa, apatah lagi dendam terhadap Abdullah bin Umm
Maktum r.a., sekalipun peristiwa yang berlaku antara mereka berdua telah menyebabkan baginda
ditegur dan lebih dari itu teguran itu kekal abadi terakam dalam kitab Suci al-Quran yang boleh
dibaca oleh semua orang. Sebaliknya apa yang berlaku ialah setiap kali Rasulullah SAW bertemu
atau didatangi oleh Abdullah ibnu Ummi Maktum r.a., Baginda akan menzahirkan rasa terhutang
budi kepada beliau. Baginda akan bangkit dari tempat duduknya untuk mengalu dan menyambut
kedatangan Abdullah bin Umm Maktum r.a. dengan penuh kemesraan dan penghormatan. Lebih
dari itu, bahkan Baginda tidak teragak-agak untuk mengambil selendang milik Baginda dan
menghamparnya sendiri sebagai alas tempat duduk Abdullah bin Umm Maktum r.a. Para mufasir
meriwayatkan dari Sufyan al-Thawriyy bahawa selepas peristiwa ini, setiap kali Rasulullah SAW
melihat Abdullah ibnu Ummi Maktum datang ke majlisnya, Baginda akan menghamparkan
selendangnya sebagai alas tempat duduk untuk Abdullah ibnu Ummi Maktum r.a., lalu Baginda
akan berkata: “Selamat datang kepada orang yang kerananyalah saya telah ditegur oleh Tuhan
saya.” Baginda juga akan bertanya kepada beliau: “Adakah tuan mempunyai sebarang hajat?”.

Justeru, eksplorasi Quran dan Sunnah dalam mendepani isu dan cabaran OKU ini
bermula dengan memenuhi keperluan spiritual komuniti istimewa ini (Abasa:80:9) melalui
kecaknaan masyarakat dan keprihatinan pemerintah. Ini menunjukkan bahawa Islam telah dahulu
memperjuangkan dasar pembangunan inklusif yang merupakan hasil atau outcome yang ingin
dicapai dalam menggunapakai pendekatan Twin-Track ini. Ini kerana, corak pembangunan yang
bersifat eksklusif atau tertumpu pada pihak tertentu sahaja dilihat sebagai tidak berkesan dan
natijahnya telah mencipta kolompongan dan jurang yang besar, baik dari sudut ekonomi
mahupun sosial. Justeru, semua pihak inginkan suatu corak pembangunan yang bersifat
menyeluruh tanpa mengenepikan mana-mana pihak atau kumpulan sosial tertentu seperti orang
miskin, OKU, jantina dan kaum atau tergolong dalam kumpulan masyarakat rentan (Oliver dan
Sapey 1983; Valle dan Connor 2011). Jika diperhatikan secara global, banyak dokumen
perundangan atau polisi yang dibangunkan dengan menerapkan konsep Pembangunan Inklusif
termasuk Konvensyen Hak untuk OKU (CRPD) dan Sustainable Development Goals (Walzer,
M. 1987 & Oliver, M. 1990). Dalam hal ini, SDG telah mengetengahkan falsafah “Inclusive For
All’ dan ‘No One Left Behind’ yang memberi penekanan terhadap prinsip kesamaratan
(Equality) dan kesaksamaan (Equity). Ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan inklusif
bertujuan mewujudkan sebuah komuniti yang bersifat meraikan kepelbagaian dan memastikan
semua ahli masyarakat menikmati kehidupan yang sejahtera ditunjangi dengan sikap hormat
menghormati antara satu sama lain berasaskan pada prinsip kesamarataan dan kesaksamaan hak.
Dalam kata lain, ia merujuk kepada prinsip adil sebagaimana yang didefinisikan dalam Islam,
iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Menurut Afifa Rangkuti (2017), yang cukup menarik
adalah dituangkan kaitan langsung antara wawasan atau sisi keadilan dalam Quran (Surah al-
Ma’idah:5:8) dengan upaya peningkatan taraf hidup warga masyarakat, terutama mereka yang
menderita dan lemah posisinya dalam percaturan masyarakat. Pembangunan sebeginilah yang
ingin dipraktikkan dalam membangunkan komuniti OKU di Malaysia dan situasi ini yang ingin
diterjemahkan dalam usaha untuk melakukan anjakkan paradigma daripada asas kebajikan
(Charity Base) kepada asas hak (Right Base) (Kuno and D. Seddon 2003; Liz Carr et al. 2012).

Pengupayaan dan Pemerkasaan: Masyarakat Cakna, OKU Terbela

Terdapat dua elemen utama yang mendasari pendekatan ini iaitu pemerkasaan (empowerment)
dan pengupayaan (enablement) yang mana kedua-dua aspek ini hendaklah dijalankan secara
seiring (Kuno and D. Seddon 2003). Pendekatan ini telah dipraktikkan secara global terutama
kepada negara dunia ketiga termasuk yang sedang membangun seperti Malaysia (Kuno 2009).
Dalam konteks negara maju seperti Jepun dan United Kingdom, pendekatan turut dipraktikkan
dan ianya terbukti mempunyai kekuatan dan signifikannya yang tersendiri khususnya dalam
pembangunan komuniti (Community Development). Kajian ini akan memberi tumpuan pada
aspek pembangunan khusus kepada komuniti OKU dan akan mengemukakan beberapa contoh
yang sesuai dalam menerangkan dan membincangkan tentang kesesuaian pendekatan ini untuk
dipraktikkan secara meluas di Malaysia.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, kedua-dua elemen ini perlu dilakukan secara
seiring bagi membolehkan kesan atau perubahan yang berlaku dalam keadaan yang seimbang
serta bersifat holistik meliputi pelbagai aspek kehidupan. Sekiranya, pembangunan hanya
menekankan pada satu aspek sahaja maka dikhuatiri hasilnya tidak berkesan secara menyeluruh.
Ini disebabkan isu yang dihadapi oleh komuniti OKU adalah bersifat merentasi pelbagai displin
dan melibatkan pelbagai sector atau pihak. OKU yang telah diperkasakan masih tidak mampu
menjalani kehidupan secara penuh dan berkesan sekiranya masih banyak halangan atau isu
kekurangupayaan masih berlaku dalam masyarakat. Di sinilah pentingnya juga untuk melakukan
proses pengupayaan dalam masyarakat supaya OKU yang telah diperkasakan dapat menjalani
kehidupan secara penuh dan berkesan (Campbell dan Gillespie-Sells 1991). Begitu juga
keadaannya dalam pembangunan sistem pendidikan yang inklusif. Ia bukan hanya merujuk
kepada pembangunan bakat dalam kalangan murid berkeperluan khas (MBK) sahaja, tetapi ia
turut melibatkan sistem sokongan yang inklusif khususnya ibu bapa MBK, guru dan pimpinan
sekolah, kurikulum dan pentaksiran MBK.
Dari sudut pemerkasaan, pembangunan atau proses yang dilakukan akan memberi
tumpuan pada diri atau komuniti OKU itu sendiri yang bermula daripada pengukuhan iman ke
arah merealisasi pembangunan OKU Rabbani. Ini kerana, sememangnya OKU yang mengalami
kekurangan ini memerlukan sokongan dan dukungan secara dalaman mahupun luaran bagi
membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan secara adil. Pemerkasaan juga memberi
tumpuan pada aspek persiapan kendiri merangkumi aspek psikologi dan psikososial supaya
komuniti OKU benar-benar bersedia masuk atau berintergrasi dalam masyarakat tanpa sebarang
halangan. Misalnya, seseorang yang baru hilang penglihatan memerlukan masa untuk dia
memperoleh semula semangat dan keyakinan diri untuk masuk ke dalam masyarakat. Dia harus
menjalani banyak proses pemerkasaan antaranya melalui sesi kaunseling dan mengikuti kursus
kemahiran yang disesuaikan dengan kekurangan yang dimiliki. OKU ini juga harus diperkasakan
untuk menjalani kehidupan dengan budaya dan nilai-nilai yang lebih berorientasikan pada
kekurangan atau mengikut budaya hidup komuniti OKU penglihatan yang sememangnya
memiliki karektoristik yang tersendiri.

Manakala, proses pengupayaan melibatkan usaha untuk melakukan perubahan dalam


masyarakat sama ada bersifat menghapuskan halangan atau menawarkan sistem sokongan
meliputi aspek kemudahan, perkhidmatan dan peralatan. Ini kerana, isu kekurangupayaan
terhasil daripada halangan sikap dan persekitaran yang dihadapi oleh seseorang OKU. Justeru,
kita harus memastikan sistem dan persekitaran masyarakat benar-benar mampu menyokong
kehadiran dan penyertaan OKU dalam aktiviti masyarakat. Sekiranya tiada usaha untuk
melakukan perubahan dan masih banyak halangan membelengu kehidupan OKU, komuniti ini
akan terus berada dalam kekurangupayaan.

Selain memberi tumpuan pada aspek sikap, perubahan yang dimaksudkan dalam proses
pengupayaan adalah dari sudut menyediakan dan menawarkan sistem sokongan yang revelan dan
inklusif khususnya dalam aspek pendidikan. Elemen ini penting bagi membolehkan OKU
menjalani kehidupan secara berdikari. Secara prinsipnya, berdikari bukan bermaksud OKU itu
hidup bersendirian tanpa apa-apa sokongan atau dukungan sama ada yang bersifat kemudahan,
perkhidmatan, peralatan atau daripada ahli masyarakat (French 1992; Lang dan D. Seddon
1999). Maksud berdikari adalah diperlengkap dengan adanya sistem sokongan yang mana OKU
mampu menjalani sebuah kehidupan secara berdikari dengan adanya sistem tersebut seperti
pembantu peribadi, laluan tagtile dan perkhidmatan jurubahasa isyarat (JBI). Ini merupakan
salah satu perkara pokok yang ingin diketengahkan dalam kajian ini. Hasilnya, komuniti OKU
yang telah diperkasa dan apabila memasuki sebuah masyarakat yang telah diupayakan dengan
memiliki sifat positif dan dilengkapi dengan sistem sokongan yang berkesan membolehkan
komuniti ini menjalani kehidupan secara samarata atau saksama, seimbang dan sejahtera. Inilah
yang disebut sebagai masyarakat yang inklusif dan situasi inilah juga yang selaras dengan slogan
“Rahmatan Lil Alamin” dan Dasar Manhaj Rabbani yang diperkenalkan Kerajaan di mana ia
berpaksikan tiga ciri utama, Thaqafah (keilmuan), Ruhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah
(aktivisme).

Bagi membolehkan Twin-Track ini dapat diperjelaskan dengan lebih berkesan,


kebiasaannya gambar rajah berbentuk basikal akan digunakan (French 1992; Lang dan D.
Seddon 1999). Dua roda yang ada pada basikal tersebut merupakan dua elemen utama iaitu di
bahagian hadapan adalah pengupayaan sosial dan belakangnya pula adalah memperkasa
komuniti OKU. Pihak-pihak yang berkepentingan meliputi komuniti OKU, pihak kerajaan dan
bukan kerajaan (NGO) digambarkan berada di atas tempat dujuk utama sebagai pemandu atau
pelaksana. Manakala, padel atau tempat pengayuh yang ada pada basikal itu mewakili sistem
sokongan merangkumi perkhidmatan, kemudahan dan peralatan yang disediakan merentasi
kedua-dua belah roda tersebut. Akhirnya, basikal ini akan menuju ke destinasinya iaitu sebuah
masyarakat yang inklusif untuk semua. Sistem sebeginilah yang ingin diterapkan dalam corak
pembangunan sesebuah negara dalam usaha untuk mencapai status negara maju. Perlu diingat
bahawa salah satu komponen utama dalam pembentukan sebuah negara maju adalah dari aspek
keterangkuman sosial.

Penutup

Sehingga kini, usaha untuk membangunkan komuniti OKU berasakan hak masih menjadi suatu
cabaran dan perlu mencari formula atau strategi yang terbaik untuk menghadapinya. Kajian ini
ingin mengetengahkan suatu pendekatan yang dirasakan relevan untuk digunapakai, iaitu
pendekatan Twin-Track. Apa yang perlu dilakukan adalah mengadabtasi dan meletakkan
pendekatan ini untuk menunjangi segala usaha melalui program dan aktiviti yang dilaksanakan
oleh semua pihak berkepentingan dalam pembangunan OKU baik kerajaan, swasta, NGO dan
aktivis OKU ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif untuk semua.

Ke arah itu, pihak kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri perlu
memainkan peranan yang efektif dalam merealiasikan idea dalam pendekatan ini untuk
mendasari segala program dan aktiviti yang bakal dirancang dan dilaksanakan. Dalam konteks
Pendidikan Khas, usaha ke arah pengupayaan sistem sokongan pendidikan perlu selari dengan
usaha pemerkasaan MBK bagi mencapai hasrat pembangunan inklusif berasaskan kefahaman
terhadap konsep kekurangupayaan. Strategi ini telah dibangunkan oleh Rasulullah SAW dalam
usaha mengupayakan para Sahabat radiyallahu ‘anhum dalam membina sistem sokongan
membantu komuniti OKU seperti Abdullah ibnu Ummi Maktum (OKU penglihatan) dan
memperkasa kedudukan Abdullah ibnu Ummi Maktum sehingga mampu menjadi gabenor di
Madinah selain kerjayanya sebagai Muazzin Rasulullah SAW (Ahmad Sanusi 2021).

Penghargaan

Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum - Emansipasi Pengajaran dan


Pembelajaran Quran bagi OKU: USIM/KKP-I02/ISI/FPQS/LUAR-K/44120

Rujukan

Adnan Mohamed Yusoff, Norakyairee Mohd Raus, Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri,
Mohd Nur Adzam Rasdi, Rabiatul Adawiyah Mohamad dan Mohd Fauzi Mohd Amin.
(2014). Wasatiyyah Nabawi dalam Menyantuni Golongan Orang Kurang Upaya.
Kertas Kerja Seminar Warisan Nabawi (SWAN 2014) Peringkat Antarabangsa. Anjuran
Institut Wasatiyyah Malaysia & Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Nilai

Ahmad Sanusi Azmi. (2021). 40 Hadis tentang OKU. Ulum Hadith Research Centre

Akta Orang Kurang Upaya 2008. Percetakan Nasional Malaysia Berhad. Kuala Lumpur

al-Zamakhsyari, Mahmud ibn Umar. 1988. al-Kasyaf an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil
fi wujuh al-Takwin. Dar al-Fikr

Barnes, C. (1997). Disability and the myth of the independent researcher, dalam ‘Disability
Studies: Past present and future’, Barton, L., & Oliver, M., (eds.), pp.239-243. Leeds:
The Disability Press

Campbell, J. & Gillespie-Sells, K. (1991). Disability Equality Training: Trainers Guide. London,
Central Council for Education & Training in Social Work (CCETSW)
Convention on the Rights of Persons with Disabilities and Optional Protocol. Diakses dari
https://www.un.org/development/desa/disabilities/convention-on-the-rights-of-persons-
with-disabilities.html

Desy Suryani dan Norakyairee Mohd Raus. (2017). Khidmat Quran dan Sunnah bagi OKU:
Pengalaman USIM. Journal of Quran Sunnah Education and Special Needs. 1.
10.33102/jqss.vol1no1.4.

Finkelstein, V. (1998). The biodynamics of disablement? Kertas kerja yang dibentangkan di


Disability and Rehabilitation Systems Research, Harare, Zimbabwe - 29 Jun1998

French, S. (1992). Simulation exercises in disability awareness training: A critique. Disability,


Handicap & Society, 7(3), 257-266

Hannah Aqilah Amran, Rosadah Abd Majid dan Manisah Mohd. Ali. (2019). Cabaran Guru
Pendidikan Khas Pada Abad Ke-21. International Journal of Education, Psychology and
Counseling Volume: 4 Issues: 26 [March, 2019] pp.113-122]

Harris, A. & Enfield, S. (2003). Disability, Equality and Human Rights: A Training Manual for
Development and Humanitarian Organisations. Oxford, Oxfam

Ismail bin Umar bin Kathir. (2000). Tafsir al-Quran al-Azim. Lubnan: Dar Ihya’ Turath Arabi.

Kuno, K. (2009). Disability equality training (DET): Potentials and challenges in practice in
developing countries. Asia Pacific Disability Rehabilitation Journal, 20(1), 4-51

Kuno, K. and D. Seddon (2003). Kaihatsu niokeru Syogaisyabunya no Twin-track Appraoch no


Zitsugen ni Mukete (A Study on Twin-track Approach in Disability and Development).
Tokyo, Japan International Cooperation Agency

Lang, R. & D. Seddon (1999). Disability and Development Studies: Towards an Integrated
Approach. Development Studies Association (DSA) Annual Conference, 12-14
September, at University of Bath

Liz Carr, Paul Darke, & Kenji Kuno (2012). Disability Equality Training: Action for Change,
Kuala Lumpur, MPH Publishing

Muhammad Musa Syarif. (2013). al-Taqarub Wa al-Ta’ayush Ma’a Ghair al-Muslimin. Arab
Saudi: Dar Andalus al-Hira’

Muhamad Nadhir Abdul Nasir. (2019). Kritikan Metodologi Penyelidikan Melibatkan Orang
Kurang Upaya Penglihatan Menurut Perspektif EMIK. Tesis Sarjana. Universiti Malaya

Noor Aziera Mohamad Rohana, Mohd Faizal P. Rameli, Rawi Nordin dan Siti Nurul Izza
Hashim. Kepelbagaian dan Kesepaduan Etnik di Malaysia Menurut Islam. Jurnal Sains
Insani. USIM Press
Norafifah, A. H. (2014). Prinsip Islam dan Nilai-Nilai Kemanusiaan dalam Mohd Faizal
P.Rameli (ed.). Islam dan Hubungan Etnik: Sorotan Sejarah dan Isu Kontemporari di
Malaysia. Melaka: Academy Of Contemporary Islamic Studies, UiTM

Oliver, M., & Sapey, B. (1983). Social work with disabled people. Macmillan International
Higher Education

Oliver, M. (1990). Politics of disablement. Macmillan International Higher Education

Oliver, M. (1997). Emancipatory research: Realistic goal or impossible dream?, dalam Doing
disability research, Barnes, C., & Mercer, G. (eds.), pp. 15-31. Leeds, The Disability
Press.

Oliver, M. (2002).  Emancipatory research: A vehicle for social transformation or


policydevelopment , kertas kerja yang dibentangkan di 1st Annual Disability
ResearchSeminar, Great Southern Hotel, 3 December 2002

Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Diakses dari http://www.jkm.gov.my/jkm/

Schriner, K. (2001). A disability studies perspective on employment issues and policies for
disabled people. Dalam G. L. Albrecht, K D. Seelman, & M. Bury (Eds.), Handbook of
disability studies (hlmn 642-662). Thousand Oaks, CA: Sage

Soder, M. (2009). Tensions, Perspectives and Themes in Disability Studies. Scandinavian


Journal of Disability Research, 11 (2), 67-81

Shakespeare, T. (1996). Rules of Engagement: Doing Disability Research. Disability and


Society. 11(1), 115-121

Shakespeare, T. (2006). Disability rights and wrongs. New York, NY: Routledge. Society for
Disability Studies, (n.d.). SDS mission. Diakses dari
http://www.disstudies.org/about/niission

Siti Rahmah Ahmad Razuan, Norakyairee Mohd Raus, Noornajihan Ja’far, Adnan Mohamed
Yusoff, Mahyuddin Hashim dan Mohd Nur Adzam Rasdi. (2019). Pendidikan Al-Quran
Bagi OKU: Pengalaman Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI). AL-
ABQARI: Journal of Islamic Social Sciences and Humanities. Vol. 20 (2) Special Issue,
2019: 78-98

Valle, J.W. and Connor, D.J. (2011). Rethinking Disability: A Disability Studies Approach to
Inclusive Practices. New York: McGraw‐Hill

Walzer, M. (1987). A disability studies approach to inclusive practices. New York, NY:
McGraw HUl.

Anda mungkin juga menyukai