Anda di halaman 1dari 3

PENGENALAN

Sejarah Islam mula dipelajari oleh masyarakat Melayu seawal kedatangan Islam di Alam
Melayu melalui kisah-kisah yang dipaparkan melalui al-Quran. Ini kerana dua pertiga
daripada isi kandungan al-Quran mengandungi kisah sejarah selain hukum-hakam yang dapat
dijadikan panduan dan pedoman bagi generasi akan datang. Selain itu, mereka juga turut
didedahkan dengan pelbagai karya pensejarahan Islam yang telah dibawa bersama dalam
menjalankan dakwah Islamiah. Karya-karya pensejarahan ini digunakan dalam menjalankan
dakwah kerana rata-rata masyarakat Melayu gemar dengan kisah-kisah kepahlawanan yang
memberi semangat kepada jiwa mereka terutamanya mengenai kisah pahlawan-pahlawan
Islam, kisah peperangan, cara berkerajaan, kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., penghijrahan
baginda dan sebagainya. Secara tidak langsung kisah-kisah yang terdapat dalam pensejarahan
Islam telah sedikit sebanyak memberi iktibar di samping mempengaruhi pemikiran
masyarakat Melayu.

SEJARAH KEMASUKAN AGAMA ISLAM DI MALAYSIA

Secara umumnya, kemasukan Islam di Tanah Melayu ini berlaku seawal abad ke-7. Agama
Islam telah dibawa masuk oleh para ulama luar yang mana rata-ratanya merupakan para
pedagang. Ini merupakan suatu peristiwa sejarah yang besar bagi penduduk Tanah Melayu
secara keseluruhannya. Suatu kajian telah dilaksanakan oleh Hamka yang menggunakan
sumber dari Cina dan tulisan T.W. Arnold mengatakan bahawa peranan dakwah yang
dilaksanakan oleh para pedagang Arab di Tanah Melayu dan dunia sebelah timur adalah pada
sekitar abad ketujuh Masihi. (Arba’iyah, 2011) Namun demikian, pengislaman keseluruh
kawasan di Tanah Melayu ini adalah tidak seragam dan berbeza. Hal ini dapat dilihat melalui
kedatangan awal para pedagangan Islam yang dianggarkan sekitar abad ke-7 lagi. Menurut
sesetengah pengkaji, Islam telah tersebar di rantau Melayu sejak abad ke-13 atau ke-14
berdasarkan kerajaan Samudera Pasai yang merupakan kerajaan Melayu-Islam pertama.

Beberapa negeri di Malaysia merupakan antara yang terawal terlibat dengan


kedatangan Islam yang mana memberi kesan kepada penyebaran serta perkembangan agama
ini. Sejarah Melayu menggambarkan bahawa negeri Melaka mempunyai suasana
pentadbiran dan politik yang teguh serta stabil (Mohd. Jamil Mukmin 2014). Tindakan
Parameswara menganut agama Islam pada tahun 1414 Masihi dengan gelaran Megat Iskandar
Shah telah merancakkan perkembangan Islam di Nusantara dan meletakkan Melaka sebagai
pusat penyebaran Islam di rantau ini. (Shaharuddin, 2017) Lantaran itu, ajaran Islam menjadi
semakin kukuh pada era pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah dan Sultan
Alauddin Riayat Syah (Mohd. Jamil Mukmin 2014). Pada abad ke- 15 penguasaan dan
kestabilan politik di negeri Melaka semakin meluas yang mana telah tersebar sehingga ke
Selangor. Antara daerah-daerah yang telah berjaya dikuasainya seperti Klang, Jeram, Langat,
Jugra dan Kuala Selangor. Melalui penguasaan ini, sultan telah menghantar pendakwah-
pendakwah bagi menyebarkan agama Islam dan telah mendapat sambutan yang baik di
kalangan masyarakat tempatan.

Perkembangan ajaran Islam terus tersebar ke daerah Beruas, Manjung dan Hulu Perak
di Perak pada pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Begitu juga penyebaran agama Islam
negeri Johor dan kepulauan Riau iaitu pada awal kurun ke16. Antara daerah-daerah yang
dikuasai seperti Wurawari, Hujung Mendili, Sayong, Seluang, Muar, Pulau Tinggi, pulau
Pemanggil Pulau Laut dan Pulau Tioman turut menganut ajaran Islam. Selepas kejatuhan
kerajaan Melaka ditangan Portugis pada 1511 Masehi, terbentuk sebuah Kerajaan Melayu
Johor dibawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang menjadi warisan rajaraja Melayu
Melaka. Seterusnya penyebaran Islam ke negeri Pahang berlaku melalui proses peluasan
kerajaan Melaka pada era pemerintahan Sultan Mansur Syah.

Di Kedah pula, dipercayai agama Islam telah bertapak sejak abad ketujuh atau awal
ke-10 Masehi. Kedatangan Islam telah wujud pada abad ke-14 di Terengganu melalui akiviti
perdagangan yang dilakukan oleh pedagang-pedagang Arab, India dan China di Kuala
Berang. Penemuan batu bersurat yang berbahasa Melayu dengan tulisan jawi oleh Saiyed
Husin bin Ghulam Al-Bukhari pada tahun 1902 di daerah Kampung Buloh, Kuala Berang,
Ulu Terengganu menjadi bukti kewujudan perkembangan agama Islam di sana. Mengikut ahli
sejarah, ajaran Islam telah tersebar di Kelantan sejak tahun 1181 Masehi lagi. Ini disebabkan
Kelantan menjadi pelabuhan penting di pantai timur Tanah Melayu.
Shaharuddin Pangilun, Farhah Zaidar Mohamed Ramli. 2017. Penyebaran Dan
Perkembangan Islam Di Alam Melayu. Persidangan Antarabangsa Pengajian Islamiyyat
Kali Ke-3 (Irsyad2017). Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Mohd Jamil bin Mukmin. 2014. Sejarah Kerajaan-Kerajaan Islam Secara Ringkas Dan
Sejarah Melaka Sebagai Pusat Penyebaran Islam Di Nusantara Secara Ringkas. Melaka:
Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.

Arba’iyah Mohd Noor. 2011. Perkembangan Pensejarahan Islam Di Alam Melayu. Jurnal
Al-Tamaddun Bil. 6 (2011) 29-50.

Anda mungkin juga menyukai