Anda di halaman 1dari 7

ETIKA PERGURUAN

A. PENGENALAN

APAKAH ETIKA?

Ahli sosiologi terkenal, Raymond Baumhart (1968) bertanya beberapa ahli perniagaan, “Apakah
makna etika bagi anda?” Antara jawapan yang diberi ialah:

Etika berasal daripada perkataan Greek “ethos‟ yang bermakna watak atau adat resam.
Adat resam masyarakat membentuk watak manusia. Kini istilah etika dikaitkan dengan
kemoralan dimana individu dalam sesuatu masyarakat bertindak tertakluk kepada budi pekerti
moral yang dipersetujui (Keith Goree, 1966). Memang sukar menentukan maksud „etika‟.
Berikut ialah beberapa definisi etika:
 Kamus Dewan Bahasa & Pustaka (1995) mentakrif etika sebagai nilai-nilai
yang menjadi pegangan seseorang atau sesuatu kumpulan.
 Institut Integriti Malaysia (2007) mendefinisikan etika sebagai himpunan nilai
dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan
profesion.
 Kamus Oxford (1994) mendefinisi etika sebagai prinsip moral.
 Mackie (1977) mendefinisikan etika sebagai disiplin yang dapat menerangkan
nilai baik dan buruk sesuatu tindakan.
 Velasquez, Andre, Shanks, dan Meyer (1987) mentaktif etika sebagai standard
salah dan betul yang harus dilakukan manusia untuk memastikan keadilan.
 Sharifah Alwiah Alsagoff (1984) mentakrif etika sebagai satu set peraturan
tingkah laku yang meletakkan apa yang harus dibuat dan jangan dibuat.
 Dalam Islam, etika ialah tingkah laku baik yang dituntut al-Quran dan Hadith.

Etika merupakan salah satu bidang falsafah yang mengkaji tentang “betul‟ dan “salah‟ dalam
kehidupan seharian manusia.  Etika adalah penting, kerana ia menentukan tindak-tanduk
manusia. Tanpa berpegang kepada suatu kod etika, segala usaha manusia akan gagal. 

B. KOD ETIKA PROFESIONAL

Perkhidmatan yang diberikan oleh golongan profesional seperti jurutera, doktor, arkitek,
peguam, akauntan dan lain-lain amat penting dalam membangun dan mempertingkatkan
kesejahteraan hidup sesuatu masyarakat. Setiap profesion mempunyai kod etika yang
tersendiri.
Adalah penting ahli-ahli sesuatu profesion memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi,
jujur dan amanah. Tidak dapat dinafikan bahawa ahli sesuatu profesion sentiasa berhadapan
dengan berbagai-bagai dilema etika yang kalau tidak ditangani dengan baik akan menjejaskan
imej dan profesion berkenaan.

Seorang profesional yang mempunyai kesedaran etika yang rendah akan mudah terjerumus
dalam perbuatan salah laku (tidak beretika) seperti perbuatan mengambil rasuah, melakukan
penipuan, pecah amanah, mementingkan diri sendiri
dan lain-lain. Contohnya, peguam yang melarikan duit klien atau akuantan mendedahkan
maklumat perbadi kliennya. Kalau perbuatan ini berterusan dan berleluasa sudah pastilah
masyarakat akan menanggung akibatnya. Oleh itu, pengetahuan dan penghayatan etika harus
disemaikan dikalangan semua ahli sesuatu profesion. Kod etika merupakan garis
panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam
perkhidmatan dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek yang berkaitan
dengan peraturan, peranan nilai, serta tingkahlaku profesion.

C. FUNGSI KOD ETIKA PROFESIONAL

Kod etika professional adalah salah satu 'alat kawalan' sosial yang digunakan sebagai panduan
mengawal selia tingakah laku ahli sesuatu profesion. Kod etika professional mempunyai
EMPAT fungsi utama:

1. Pedoman:
 Kod etika menggariskan standard tingkah laku yang harus dipatuhi dan diamalkan
sepenuhnya bagi menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
 Kod etika professional mengelaskan pelbagai perkara yang boleh dilakukan dan
yang mana tidak boleh dilakukan.
 Kod etika mengingatkan ahli-ahli mengenai tingkahlaku yang patut
dipamerkan apabila berada di dalam sesuatu keadaan.
 Secara tidak langsung, kod etika menentukan kerja ahli-ahli dijalankan dengan
lebih baik dan teratur.

2. Pencegahan Dan Disiplin:


 Kod etika digunakan badan-badan professional atau pihak tertentu (seperti
Kerajaan) sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya
 Berdasarkan aduan yang terima, penyiasatan dilakukan untuk menentukan sejauh
manakah seorang ahli telah melanggar kod etika.
 Secara tidak langsung, kod etika mendisiplin ahli-ahli supaya berpegang kepada
prinsip yang dipersetujui oleh semua yang terlibat.

 3. Memelihara Maruah Profesion:


 Kod etika memelihara maruah profesion dengan memberi imej positif kerana
setiap ahli terikat dengan satu standard etika yang tinggi.
 Masyarakat lebih yakin tentang sesuatu profesion jika terdapat kod etika yang
menjelaskan tingkah laku yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan.
 Kod etika merupakan satu panduan kepada ahlinya mempertahankan integriti
profesion masing-masing yang menjelaskan bahawa setiap ahli perlu menggunakan
pengetahuan yang dimilikinya untuk meningkatkan kesejahteraan manusia dengan
memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai.

4. Mengelakkan Berlakunya Konflik:


 Kod etika dapat mengelakkan daripada berlakunya konflik dan rasa tidak puas
hati di kalangan ahli-ahli sesuatu profesion atau pihak lain yang berkaitan. Jika
seseorang ahli didakwa atau diragui oleh pihak tertentu tentang apa yang dilakukan,
maka dia boleh menggunakan kod etika untuk menyokong tindakannya. Iaitu,
meyakinkan yang terlibat bahawa perkara yang telah dia lakukan tidak salah disisi
kod etika.

Ringkasnya, etika professional adalah untuk memberi inspirasi, galakan dan sokongan kepada
ahlinya. Etika professional lebih menumpukan kepada dimensi perlakuan yang positif sebagai
panduan tingkahlaku yang paling sesuai untuk diamalkan oleh seseorang profesional. Semua
etika profesional yang diguna pakai diseluruh dunia dalam bidang-bidang seperti perubatan,
guaman, perniagaan, perakuanan dan kejuruteraan mempunyai asas-asas etika yang sama. Ini
kerana tujuan kod etika dibentuk adalah digunakan untuk diri dan masyarakat amnya.

D. KOD ETIKA PERGURUAN

Profesion perguruan sememangnya mempunyai kod etikanya tersendiri demi memartabatkan


profesion. Kod etika perguruan dijadikan rujukan oleh guru. Kepentingan kod etika tidak dapat
dinafikan lagi kerana adanya kod etika para guru dapat menjaga tingkah laku sebagaimana
yang patut diamalkan oleh seorang guru, Pengetahuan tentang etika profesion perguruan
adalah amat penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru kerana terdapat guru-
guru yang masih melanggar tatasusila perguruan yang harus dielakkan. Di halaman depan
Buku Persediaan Mengajar dipaparkan ikrar agar semua guru mamatuhi dan menjaga imej
profesion

E. TATASUSILA KOD ETIKA PROFESION GURU MALAYSIA

TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR

1. Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.


2. Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental,
emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
3. Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang
berhak mengetahuinya.
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata
pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
5. Menunjukkan satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan
contoh yang baik kepada pelajar.
6. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan
menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran
kami mencapai mutu yang setinggitingginya 

TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA

1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.


2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi
pendidikan dengan rumahtangga.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan
rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya
kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan
menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
5. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan
eknonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang
boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA


1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan
kepentingan pelajar, masyarakat, negara atau pun yang bertentangan dengan Rukun
Negara.
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan
membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan
berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
3. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab
sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam
sebarang kegiatan masyarakat.
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi
pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral, kebudayaan dan
kecendekiawan masyarakat.
6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani
kehidupan sehari-hari dengan baik. 

TANGGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION

1. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang


boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami
sebagai guru atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah
seseorang guru.
3. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin
dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang beru dalam
profesion keguruan
5. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion
keguruan.
6. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.

F. ETIKA KERJA

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendefinisikan “Etika Kerja” sebagai panduan tingkah
laku yang menjadi pegangan setiap warga kementerian di tempat kerja massing-masing.
Kementerian. Guru yang berkhidmat di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia
tertakluk kepada etika kerja KPM. Pembentukan Etika Kerja KPM terbahagi kepada dua
komponen utama:
 Prinsip Etika Kerja
 Nilai-nilai Etika Kerja

A) PRINSIP ETIKA KERJA

Etika Kerja yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berlandaskan LIMA prinsip yang
utama
Rajah 3.4: Prinsip Etika Kerja Guru

1. Niat Yang Betul (Right Intentions)


Prinsip pertama, guru yang menjalankan kerjanya dengan “niat yang betul‟ akan memenuhi
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan, misi, matlamat dan objektif institusi serta
agama dan negara. Amalan prinsip ini menyumbangkan kepada mutu pendidikan serta
semua pihak berkepentingan.

2. Perlakuan yang baik (Good Behaviour)


Prinsip kedua, guru mesti melakukan tugas dengan sempurna ke arah mencapai hasil
berkualiti samping memperbaiki imej profesion. Ia juga mestilah menunjukkan penampilan diri,
pertuturan dan perbuatan yang terbaik sepanjang masa, sambil memberi layanan yang
baik kepada pelanggan.

3. Penggerak ke arah kebaikan (Driving force towards Goodness)


Prinsip ketiga, guru hendaklah menjadi penggerak ke arah kebaikan. Dia hendaklah
menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju berdaya saing dan dapat mendorong
orang lain melakukan kebaikan dan kemuliaan. Dia harus boleh menjadi sumber
inspirasi kepada rakan sejawat dan berusaha ke arah menjadi pekerja yang terbaik dan
cemerlang.

4. Memperkotakan apa yang dikata (Delivers what is Promised)


Prinsip keempat, guru hendaklah sentiasa berusaha melaksanakan apa yang dikata. Justeru
itu, ia hendaklah sentiasa menunjukkan ketekalan dalam pengucapan dan tindakan, sama
ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Ia itu, menepati apa yang dinyatakan dalam piagam
pelanggan.

5. Berdisiplin dan Beradab (Disciplined and Civil)


Prinsip kelima, guru hendaklah mengamalkan budaya berperaturan (mengikut
peraturan), berdisiplin dan beradab (seperti terdapat dalam ajaran agama). Erti kata lain, guru
sentiasa mematuhi peraturan dan arahan-arahan perkhidmatan dan mengamalkan tatacara
kehidupan yang berpandukan prosedur dan kaedah yang sesuai dan betul selari dengan
peraturan masyarakat.
B) NILAI-NILAI ETIKA KERJA

Cheryl Peppers dan Alan Briskin (2000) dalam buku mereka “Bringing your Soul to Work: An
Everyday Practice” menyatakan bahawa telah satu gelombang pembaharuan yang mendesak
unsur-unsur kerohanian di bawa ke tempat kerja. Kita
telah bincang dalam Bab 2, bahawa ahli-ahli falsafah seperti Al-Farabi, Confucius,
Vivekananda, Plato dan Dewey telah menyebut pentingnya nilai-nilai murni diamalkan oleh
pendidik di institusi-institusi pendidikan. Namun Kementerian Pelajaran Malaysia telah
mengenal pasti TUJUH nilai utama yang menjadi teras dan fokus Etika Kerja (Lihat Rajah 3.5).

Rajah 3.5: Nilai-Nilai Etika Kerja Guru

1. Amanah (Trust)
Seorang warga pendidik hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan
tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya. Justeru itu, ia mestilah menjalankan
tugas yang diberi dengan penuh tanggungjawab tanpa penyelewengan dan cuai. Seorang
pendidik mempunyai sikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahgunakan kuasa
dan kedudukan. Ia menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan tugas
dalam tempoh yang ditetapkan serta tidak menggunakan masa kerja untuk urusan peribadi.
Seorang guru juga hendaklah berdisiplin serta mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu
kerja yang membolehkan ia hilang kepercayaan orang lain terhadap
dirinya. Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan
kuasa merupakan satu sifat amanah yang amat dituntut.

2. Benar (Truth)
Seseorang guru mestilah mempunyai niat dan perbuatan yang ikhlas serta benar. Ia
mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang
tersembunyi atau pun mengharapkan balasan. Guru mestilah bercakap
benar dan menepati janji. Ia seharusnya bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat
orang lain dengan tidak bersikap sombong atau angkuh. Seorang guru juga mesti memberi
dan menerima arahan yang jelas dan tepat serta tidak mengelirukan. Ia
boleh berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

3. Bijaksana (Thoughtful)
Guru hendaklah menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat
keputusan dan tindakan sesuai dengan masa serta keadaan. Ia haruslah menggunakan
seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan
cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Guru mestilah berusaha menghasilkan kerja
yang bermutu tinggi dan berkualiti serta sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan
profesionalismenya. Ia juga mestilah mempunyai fikiran yang rasional serta pertimbangan
yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi.
4. Bersyukur (Thankful)
Guru hendaklah mempunyai perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat  dan
pemberian yang diterimanya tanpa menganggap kejayaan sebagai hak dirinya. Ia mestilah
bersedia memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka,
dendam atau menabur fitnah. Seorang guru mempunyai sifat yang tenang dalam menghadapi
masalah serta rela menerima kegagalan dan tidak mudah berputus asa. Ia
seharusnya berpuas hati dengan nikmat yang diperolehinya seperti ganjaran yang diterima
dan kemudahan yang disediakan.

5. Dedikasi (Dedication)
Seorang guru hendaklah berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara
berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Maka, ia seharusnya bekerja tanpa jemu
dan bosan serta bersedia untuk menerima tugas dengan tidak mencari helah. Dia
sanggup berkorban demi kepentingan perkhidmatan, tekun, rajin dan bersikap positif dalam
melaksanakan tugas dengan mendapat hasil yang berkualiti. Ia mestilah seorang yang sabar,
bertanggungjawab, teliti, ceria, tidak cuai atau merungut dalam menjalankan tugas.

6. Ikhlas (Sincere)
Seseorang guru mestilah berhati suci dalam menunaikan tanggungjawab untuk
menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran. Dia menjalankan tugas
semata-mata untuk mencapai matlamat sekolah, bukan kerana pangkat, kedudukan atau
mendapat perhatian orang lain. Seorang guru dapat memberi layanan yang baik, tanpa
mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih dalam menjalankan
tugas. Ia haruslah bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang
terbuka. Seorang guru juga seharusnya saling hormat-menghormati antara satu sama lain
tanpa sebarang kepentingan diri.

7. Penyayang (Caring)
Seorang guru mestilah menghargai dan mengambil berat terhadap pelanggan. Dia
mempunyai sifat pemaaf dan penyayang, tidak sombong dan suka meninggi diri. Guru
seharusnya menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa
sebarang prasangka buruk. Ia bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam
melaksanakan tugas. Menjadikan sekolah sebagai sebuah keluarga besar yang penuh
kemesraan serta bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.

Anda mungkin juga menyukai