Anda di halaman 1dari 8

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Remaja Terlibat dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas

Bakti, Sungai Lereh Melaka.

1.0 Tujuan Kajian

Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk menentukan faktor-faktor utama yang menyebabkan
para remaja terlibat dengan masalah sosial. Kajian ini bertitik tolak dari fenomena yang
berlaku akhir-akhir ini di mana berlakunya peningkatan keterlibatan remaja dalam masalah
sosial seperti perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan
juvana, penagihan dadah, pembakaran sekolah dan banyak lagi. Peningkatan keterlibatan
remaja bukan sahaj diukur daripada bilangan kes yang berlaku tetapi juga kepelbagaian
pernuatan menyimpang dari norma sosial di negara ini. Secara umum perbuatan menyimpang
ini boleh dikaitkan dengan proses modenisasi yang mendadak yang menyebabkan kejutan
budaya kepada masyarakat khususnya para remaja. Justeru itu adalah penting menangani
masalah penyimpangan (devian) ini kerana ia merosakkan masa depan para remaja di
samping memberi kesan buruk kepada masyarakat secara keseluruhannya. Dalam usaha
menangani secara berkesan dan tuntas masalah kenakalan dan penyimpangan norma dalam
kalangan remaja, maka adalah sangat penting untuk mengetahui apakah faktor-faktor dominan
yang menyebabkan para remaja melakukan perbuatan menyimpang atau terlibat dalam
masalah sosial. Untuk menjawab persoalan tersebut pengkaji menggariskan dua objektif
utama dalam kajian ini iaitu adakah latar belakang peribadi remaja bermasalah tersebut
mempengaruhi kepada keterlibatan dalam masalah sosial dan adakah latar belakang kelurga
para remaja tersebut mempunyai pengaruh dalam mendorong berlakunya perlakuan
penyimpangan dalam kalangan remaja terlibat.

2.0 Kaedah Kajian

Kajian yang dijalankan adalah bersifat kuantitatif deskriptif dengan menggunakan kaedah
tinjaun (survey). Instrumen kajian yang digunakan adalah borang soal selidik. Kajian kuantatif
digunakan kerana ia bersesuaian dengan instrumen kajian yang digunakan iaitu soal selidik.
Menerusi kaedah ini, data yang diperolehi dianalisis menggunakan statistik mudah iaitu
kekerapan, angka dan skor.
Soal selidik yang disediakan oleh pengkaji mengandungi item-item meliputi empat aspek
yang dijangka menjadi faktor utama yang mempengaruhi para remaja dalam masalah sosial.
Empat faktor tersebut ialah faktor latar belakang diri sendiri, faktor latar belakang keluarga,
bentuk pengaruh rakan sebaya dan juga permasalahan persekitaran sekolah. Empat faktor
tersebut di atas juga sekali gus merupakan skop kepada kajian ini. Borang soal selidik ditulis
dalam dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B. Pada bahagian A, responden
dikehendaki menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan demografi responden.
Manakala bahagian B mengandungi 40 item yang mengandungi soalan-soalan releven kepada
menjawab objektif kajian. Salan-soalan berkisar sejauh mana faktor latar belakang diri
sendiri, latar belakang keluarga, bentuk pengaruh rakan sebaya dan permasalahan persekitaran
sekolah memberi impak kepada keterlibatan remaja dalam perlakuan penyimpangan. Pengkaji
menggunakan skala Likert empat mata memperoleh jawapan daripada responden.

Kajian telah dilakukan ke atas remaja-remaja dari Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh,
Melaka. Sampel kajian terdiri daripada 86 orang remaja berbanding populasinya seramai 110
orang. Walaupun peratusan sampel berbanding popilasi adalah sangat tinggi namun tidak
dinyatakan bagaimana pemilihan sampel dilakukan. Sebelum kajian sebenar dilakukan,
pengkaji telah membuat satu kajian rintis untuk menguji tahap kebolehpercayaan dan kesahan
dalaman (internal validity) soalan-soalan dalam soal selidik yang diedarkan. Seramai 20
orang remaja daripada keseluruhan populasi telah menjadi responden dalam kajian rintis
tersebut. Hasil kajian rintis yang dianalisis

Dalam memastikan kajian yang dilakukan memenuhi objektif dan masa yang ditetapkan,
pengkaji telah menyediakan stau carta prosedur kajian yang meliputi semua tahap
penyelidikan, bermula dengan mendapatkan kebenaran / kelulusan dari Ketua Jabatan
sehinggalah kepada penulisan laporan kajian.

3.0 Teori Biososial

Salah satu teori yang sering digunakan dalam memahami sesuatu masalah sosial ialah teori
biososial. Menurut teori ini untuk menerangkan perkembangan remaja, perubahan tingkah
laku sosial semasa zaman remaja ada hubungkaitnya dengan perkembangan fizikal dan proses
kematangan serta perubahan-perubahan biokimia. Sesetengah tingkah laku remaja seperti
suka bertengkar, bersikap kasar dan sebagainya atau tingkahlaku yang baik seperti rajin atau
pembersih adalah diwarisi dari keluarga khususnya dari ibu bapa mereka (faktor biologi).
Teori ini juga dikenali sebagai Teori Ringkas banyak menghubungkaitkan tahap remaja
dengan faktor fisiologi. Pada pendapat Hall, faktor fisiologi banyak bergantung kepada
keturunan atau faktor yang telah sedia ada pada seseorang sejak ia dilahirkan. dan ia sukar
dibuang kerana ia telah berakar umbi dalam diri seseorang itu. Walau bagaimanapun, Hall
percaya bahawa melalui mekanisma evolusi, remaja boleh memperolehi tret-tret (sifat-sifat)
tertentu semasa mereka mengalami hidup yang kritikal. Maksudnya jika mereka terdedah
kepada persekitaran yang betul, perolehan dan transmisi tret-tret yang positif dapat
memperbaiki tingkahlaku mereka.

4.0 Dapatan Kajian

Kajian ini mendapati 66% remaja yang dikaji sepatutnya masih lagi berada di sekolah biasa
seperti remaja-remaja lain. Justeru itu tidak hairanlah jika dilihat tahap kelulusan akademik
atau pencapaian akademik tertinggi mereka hanyalah pada tahap SPM sahaja. Lebih
membimbingkan terdapat juga remaja yang masih terlalu muda iaitu berusia sekitar 15 tahun.
Mereka ini mewakili 12.6% daripada sampel yang dikaji. Berdasarkan latar belakang
pekerjaan ibu bapa/penjaga pula 86% daripada mereka mempunyai pekerjaan sama ada
dalam sektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.

Berdasarkan jawapan soal selidik yang dikaji, terdapat beberapa item yang mana jawapannya
mempunyai peratusan yang tinggi yang jelas menggambarkan faktor-faktor yang
menyebabkan remaja tersebut melakukan perlakuan menyimpang. Item-item yang
mempunyai peratusan persetujuan yang tinggi adalah:
i) Item 4 (80.2%): Saya sentiasa inginkan kebebasan dalam setiap perkara yang saya
lakukan
ii) Item 8 (80.2%): Saya sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru yang tidak pernah
saya lakukan.
iii) Item 10 (77.9%): Saya inginkan perhatian dalam apa yang saya lakukan
iv) Item 9 (74.5%): Saya sering marah dan tidak puas hati apabila sesuatu kehendak
saya
dihalang.
v) Item 1 (73.3%): Saya sering mengingkari arahan ibu bapa dan ahli keluarga.
Jika diteliti kesemua item yang mendapat peratusan tertinggi di atas sangat bertepatan ciri-ciri
yang terdapat dalam kalangan remaja. Zaman remaja, yang merupakan zaman transisi antara
zaman kanak-kanak dan zaman dewasa, ditanggap sebagai zaman penuh cabaran
(adventure) . Remaja pada tahap ini mempunyai rasa ingin tahu yang sangat tinggi. Mereka
juga begitu teruja untuk meneroka sesuatu perkara baharu. Justeru itulah mereka memerlukan
kebebasan dalam membuat keputusan sendiri. Sebarang halangan terhadap keputusan atau
perbuatan mereka, para remaja sering bersikap memberontak dan bertindak balas dengan
melakukan perkara-perkara yang menyimpang atau devian seperti kenakalan, dadah, jenayah
dan sebagainya.

Perlakuan remaja seperti dapatan di atas sebenarnya bertepatan dengan pendapat Hall dengan
Teori Biososialnya yang mengatakan zaman remaja merupakan zaman penuh huru hara,
pemberontakan, munculnyan berbagai-bagai cabaran dan sebagainya. Perubahan fisiologi dan
metabolisme remaja pesat berlaku pada tahap ini. Tidak dinafikan bahawa teori ini juga
bersetuju bahawa faktor luaran juga memainkan peranan dalam mempengaruhi perlakuan
penyimpangan dalam kalangan remaja, namun teori ini lebih banyak memfokus kepada faktor
diri sendiri dan pewarisan sebagai faktor yang lebih dominan.

Kajian ini mendapati bahawa terdapat persetujuan yang tinggi terhadap item 10, iaitu remaja
memerlukan perhatian dalam apa yang mereka lakukan. Dalam hal ini terdapat dua aspek
yang boleh dibincangkan iaitu:
i) Remaja perlukan perhatian dari ibu bapa/penjaga mereka. Kalau dilihat dari segi
pekerjaan ibu bapa/penjaga mereka didapati 86% peratus daripada mereka mempunyai
pekerjaan tetap. Walaupun tidak dinyatakan sama ada kedua-dua ibu bapa/penjaga
mereka bekerja atau hanya seorang, namun apa yang dapat dikatakan bahawa
kesibukan ibu bapa mereka mungkin menyebabkan mereka beralih kepada rakan-rakan
sebaya atau orang lain untuk meluangkan masa, berbincang atau meluahkan masalah.
ii) Remaja melakukan perbuatan menyimpang disebabkan untuk menarik perhatian
rakan-rakan sebaya mereka. Kadang-kala terdapat remaja melakukan sesuatu
kenakalan disebabkan cabaran oleh rakan-rakan sebaya, atau untuk menunjukkan
kehebatan mereka supaya diterima sebagai ahli kumpulan yang berharga. Berdasarkan
dapatan kajian didapati 57% daripada sampel kajian mengakui yang mereka suka
begaul dengan kumpulan yang mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Hal ini
mencerminkan bahawa remaja tercabar untuk melakukan sesuatu perbuatan yang
menampakkan mereka berani, matang dan dewasa dengan melakukan perkara-perkara
yang menyimpang seperti, mengambil dadah, pergaulan seks bebas, minum minuman
keras dan sebagainya.
Kajian menunjukkan 73% remaja yang dikaji sering mengingkari arahan ibu bapa/penjaga dan
ahli keluarga mereka. Hal ini bertepatan dengan sikap remaja yang berada salam tahap
kecelaruan dalam membuat tindakan dan keputusan. Mungkin juga perkara ini disebabkan
kurangnya perhatian atau komunikasi anatara remaja berkenaan dengan ahli keluarga mereka.
Pada kebiasaannya, remaja memerlukan kebebasan yang lebih berbanding berbanding dengan
anak-anak berusia bawah 12 tahun. Sekiranya kebebasan tersebut tidak diperolehi ia boleh
menyebabkan remaja menjadi pemarah, berdendam dan memberontak.

Menariknya kajian ini mendapati bahawa faktor ibu bapa dan keluarga bukanlah faktor utama
dalam mempengaruhi keterlibatan remaja dalam masalah sosial. Kesemua 10 item tentang
latar belakang keluarga menunjukkan peratusan di bawah 50%. Hal ini menunjukkan bahawa
faktor peribadi remaja itu sendirilah yang lebih mempengaruhi perlakuan dan tindakan
penyimpangan mereka. Hal ini jelas dilihat misalnya dalam aspek praktik suruhan agama.
Kajian menunjukkan 79.1% responden tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa ibu bapa
mereka selalu meninggalkan suruhan agama seperti sembahyang lima waktu sehari. Dalam
pada itu sebanyak 58.2% responden bersetuju yang meeka kurang mengamalkan suruhan
agama seperti sembahyang. Di sini dapat dilihat bahawa kurangnya didikan agama oleh ibu
bapa tidak banyak berlaku, cumanya dari aspek pengamalannya, remaja lebih cenderung
untuk tidak mengerjakan suruhan agama.

Dari segi pengaruh perbuatan negatif ibu bapa didapati ia bukanlah penyebab kepada
perbuatan menyimpang dalam kalangan remaja. Hal ini terbukti apabila 83.7% responden
tidak bersetuju atas kenyataan ‘ibu bapa saya sering melakukan tabiat yang kurang baik
dalam rumah seperti merokok, memaki hamun, mudah marah, berjudi dan sebagainya’. Hal
ini sekali gus menolak teori Biososial Hall yang menyatakan bahawa perlakuan remaja
merupakan hasil pewarisan dan pengalaman masa kecil remaja. Dalam kajian ini didapati
bahawa sebahagian besar ibu bapa telah memainkan peranan positif dalam mendidik dan
membesarkan anak mereka.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan sikap ibu bapa yang
memberi kesan agak signifikan dalam mempengaruhi tingkah laku para remaja. Antaranya
ialah dalam item 18 di mana mencatatkan skor 43% bagi kenyataan ‘ibu bapa saya terlalu
tegas dan selalu memberi hukuman yang keras jika saya melakukan kesalahan’. Ketegasan ibu
bapa tanpa mengambil kira aspek perubahan emosi, fisiologi dan pembesaran anak-anak
mereka mendorong kepada berlakunya protes dan pemberontakan dalam kalangan remaja.
Dalam usia remaja sudah tentu pendekatan yang terlalu tegas dalam menangani sesuatu
perkara adalah kurang sesuai.

Kenyataan di atas sangat konsisten dengan skor yang diterima untuk item 15, 17 dan 20, yang
masing-masing berbunyi:

i) Item 15 (41.9%) Ibu bapa saya jarang berada di rumah dan sering sibuk dengan
kerja.
ii) Item 17 (41.9%) Ibu bapa saya kurang berkomunikasi dengan saya tentang keperluan
dan masalah yang saya hadapi.
iii) Item 20 (40.7%) Ibu bapa saya jarang memberi motivasi dan sokongan serta pujian
terhadap perkara yang saya lakukan.

Ketiga-tiga item ini menunjukkan adanya pengaruh yang signifikan hasil daripada kurangnya
komunikasi membina antara para remaja dengan ibu bapa mereka. Kurangnya masa bersama
anak-anak akibat kesibukan kerja menyebabkan kurannya berlaku komunikasi membina
ditambah pula kurannya sokongan atau galakan positif terhadap anak-anak menyebabkan
mereka berasa dipinggirkan. Hal ini mendorong remaja berasa sedih, murung dan mencari
alternatif sendiri untuk mengatasi tekanan dan kesedihan mereka.

Secara keseluruhannya, kajian ini menyimpulkan bahawa faktor kendiri remaja adalah kunci
kepada berlakunya perbuatan menyimpang dalam kalangan remaja. Berdasarkan hasil kajian
didapati terdapat ketekalan persetujuan dalam kalangan responden bahawa sikap ingin tahu
yang tinggi, inginkan lebih perhatian daripada ibu bapa, inginkan kebebasan dalam pergaulan
dan dalam membuat keputusan, suka mencuba sesuatu yang baharu serta kurang
mengamalkan suruhan agama menjadi faktor utama kenapa remaja mudah terjebak dalam
masalah sosial. Di sisi lainnya faktor ibu bapa dan keluarga tidak banyak menyumbang dalam
mempengaruhi tindakan remaja sehingga mereka terlibat dalam masalah sosial.
Kajian ini berjaya membuktikan beberapa faktor yang telah mempengaruhi remaja dalam
melakukan perbuatan menyimpang. Namun begitu lebih banyak kajian perlu dilakukan kerana
kajian ini sendiri tidak meneliti faktor-faktor luaran lain yang mungkin berpengaruh dalam
mendorong remaja melakukan penyimpangan seperti faktor rakan sebaya, faktor ekonomi,
faktor persekitaran (rumah, kejiranan dll), faktor media massa, faktor teknologi maklumat dan
lai-lain lagi.
5.0 Implikasi Kajian kepada Pengajaran Pendidikan Moral Di Sekolah Rendah

Kajian ini penting dalam menentukan rekabentuk kurikulum Pendidikan Moral yang tepat dan
selari dengan permasalahan yang dialami oleh remaja masa kini. Pengajaran Pendidikan
Moral di peringkat sekolah rendah memerlukan modul dan aktiviti yang mampu membentuk
keperibadian, pemikiran dan tanggapan positif pelajar terhadap kepentingan memiliki moral
dan nilai yang baik. Hal ini penting agar proses pengukuhan pada peringkat sekolah
menengah lebih mudah dilakukan kerana pelajar-pelajar sudah mempunyai asa yang baik di
peringkat sekolah rendah lagi.

Dalam melaksanakan program Pendidikan Moral di sekolah banyak perkara yang perlu
dititikberatkan antaranya bagaiamanakah tahap penaakulan guru itu sendiri. Ia dapat dilihat
melalui beberapa aspek terpenting seperti gaya dan cara pengajaran mereka, tanggapan
terhadap pelajar, malahan kaedah dan cara yang digunakan dalam menangani isu dan dilema
moral. Hal ini amat penting kerana sedikit sebanyak mampu untuk mempengaruhi
pertumbuhan dan perkembangan moral pelajar. Ini adalah kerana perkembangan moral
pelajar bukan hanya bertumpu pada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas semata-
mata, bahkan ia berkait secara langsung dengan individu di mana mereka berinteraksi
terutamanya ibu bapa, guru, juga komuniti dewasa di sekelilingnya.

Dapat disimpulkan bahawa penanaman aspek moral mempunyai pengaruh yang besar kepada
pelajar. Dalam hal ini, selain daripada modul dan aktiviti yang digunakan, faktor guru juga
sangat penting dalam memastikan keberkesanan pengajaran Pensisikan moral, hal ini kerana
mereka bukan sekadar menjadi role-model yang baik, namun perlu juga di lihat dari aspek
kebolehan guru untuk menghargai perspektif pelajar serta keupayaan untuk membantu pelajar
membentuk pemikiran moral. Justeru guru seharusnya mempunyai kemampuan untuk
menaakul pada tahap penaakulan moral yang tinggi. Selain itu, kandungan kurikulum
pendidikan guru dilihat sebagai suatu medium untuk menangani pembangunan etika dan
moral pelajar, maka usaha perlu dibuat untuk memasukkan kandungan kursus yang bertepatan
untuk memenuhi matlamat penghasilan calon guru PM yang bukan sahaja berkemahiran
tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran malahan mampu menaakul pada aras yang tinggi
dalam membuat sesuatu pertimbangan moral.

Anda mungkin juga menyukai