Anda di halaman 1dari 10

Tajuk 4 : PENDIDIKAN DAN FALSAFAH

PENDIDIKAN
ABSTRAK

Tajuk ini membincangkan secara mendalam tentang definisi pendidikan serta falsafah
pendidikan. Dalam tajuk ini menyentuh takrifan pendidikan dari pelbagai sudut pandang
tokoh-tokoh pemikir pendidikan barat, timur dan Islam berdasarkan sudut bahasa, ciri dan
proses, hasil serta sudut pandang yang lain. Selain itu, tajuk ini juga menghuraikan fungsi
pendidikan melalui dua dimensi iaitu dimensi intrinsik dan dimensi sosial. Selain itu tajuk ini
juga membincangkan perubahan yang berlaku dalam pendidikan serta kepentingan falsafah
pendidikan dalam melaksanakan sesuatu sistem pendidikan tersebut.

Pendidikan
Pendidikan mempunyai maksud yang sangat luas bergantung kepada dari sudut
mana ia dilihat. Ada yang melihat pendidikan dari sudut bahasa, dari sudut cirinya,
dari sudut fungsinya, dari sudut proses pendidikan, dari sudut hasil daripada proses
pendidikan serta lain-lain lagi.

Pendidikan dari Sudut Bahasa


Pendidikan dalam bahasa Inggeris ialah education. Perkataan ini berasal daripada
perkataan educare yang mempunyai makna memelihara, membimbing atau
mengasuh kanak-kanak. Namun dalam penggunaannya sebagai istilah, pendidikan
adalah lebih luas daripada itu dan tidak terhad hanya kepada asuhan kanak-kanak
sahaja.

Selain daripada educare, perkataan educere juga digunakan bagi perkataan


education yang bermaksud pendidikan. Walau bagaimanapun educere lebih sesuai
digunakan untuk pertumbuhan fizikal, tanaman dan juga haiwan. Namun akhirnya,
perkataan ini juga digunakan untuk manusia. Latihan fizikal kepada individu
manusia, termasuk kemahiran-kemahiran tertentu, juga dikatakan sebagai salah satu
tujuan pendidikan kerana latihan fizikal dan kemahiran-kemahiran tertentu tersebut
adalah perlu dalam kehidupan manusia.

Maksud educere adalah "mengeluarkan" atau "membawa keluar" dalam bahasa


Latin. Dalam konteks pendidikan, educere mengacu pada upaya membantu individu
mengungkap atau mengembangkan potensi mereka melalui pendidikan dan
pengalaman belajar.Educere menekankan pada aspek internal individu yang perlu
dikeluarkan atau dikembangkan. Ini melibatkan mengidentifikasi bakat, minat,
kreativitas, dan potensi unik yang dimiliki seseorang, dan kemudian mengarahkan
upaya pendidikan untuk mengembangkan dan mewujudkannya.

Ada yang mengatakan pendidikan atau education sebagai cantuman dua perkataan
iaitu eex iaitu keluar dan ducereduce memimpin keluar (to lead out) yang membawa
maksud menzahirkan keupayaan diri melalui pembelajaran. Melalui pendidikan,
seseorang akan memperoleh kesedaran dan pengetahuan tentang kewujudan diri
sendiri, alam dan juga penciptanya.

Dalam bahasa Arab pula, pendidikan diistilahkan sebagai ta’lim, tadris, tarbiyah atau
ta’dib iaitu mengajar, memelihara atau memberi ilmu. Pendidikan bertujuan memberi
ilmu atau pengetahuan dalam bentuk teori dan praktis bagi membentuk adab dan
keperibadian individu. Pendidikan juga bertujuan mencungkil dan
memperkembangkan bakat. Tegasnya pendidikan boleh membawa banyak maksud
yang menggambarkan keluasannya. Namun keseluruhannya menerangkan tentang
usaha perkembangan manusia.

Pendidikan Dari Sudut Ciri dan Proses


Dari sudut cirinya, pendidikan adalah bersifat wajib dan perlu berlangsung secara
berterusan iaitu dari buaian hingga ke liang lahad seperti mana yang terkandung di
dalam Al-Quran dan hadis. Konsep ini dikenali sebagai pendidikan sepanjang hayat
(life long learning) mengikut tingkat dan peringkat usia. Selain daripada untuk
memperkembangkan minat dan bakat individu dan dalam usaha untuk meningkatkan
modal insan.

Menurut Jean Jacques Rousseau pendidikan ialah suatu proses yang berterusan
bermula sejak dari kanak-kanak lagi. Segala kebolehan yang bersifat semula jadi
lahir dengan sendirinya mengikut kehendak dan peraturan semula jadi; dan proses ini
perlu berlangsung secara berterusan. Plato pula mengatakan bahawa pendidikan
ialah sesuatu proses yang berkeupayaan membentuk individu manusia agar bersifat
mulia ke arah melahirkan tiga golongan manusia iaitu pemimpin (Lehr), pekerja
(Nehr) dan tentera (Wehr). Ketiga-tiga golongan ini pula yang akan membentuk
struktur utama dalam sesebuah masyarakat.

Dari sudut proses pula, John Dewey mentakrifkan pendidikan sebagai satu proses
psikologi iaitu pertumbuhan atau perkembangan yang mana pendidikan ialah usaha
mengatur pengetahuan bagi meningkatkan lagi pengetahuan semula jadi yang ada
pada seseorang. John Park pula berpendapat pendidikan ialah seni atau proses
menyampai atau memperoleh ilmu dan tabiat melalui tunjuk ajar atau pengajian.
Maria Montessori, mentafsirkan pendidikan sebagai proses membentuk dan
memperkembangkan intelek, jasmani, rohani dan sosial kanak-kanak. Pendidikan
juga boleh difahami sebagai satu proses pemindahan baik secara rasmi atau
sebaliknya perkara yang berkait dengan pengetahuan, kemahiran, nilai dan juga
kebudayaan yang dipunyai oleh satu generasi kepada generasi yang berikutnya
ataupun dalam generasi yang sama bagi tujuan kesinambungannya.

Dalam konteks pengertian yang lebih luas pula, pendidikan dapat difahami sebagai
satu proses dengan kaedah yang tertentu sehingga seseorang memperolehi
pengetahuan, pemahaman, tingkah laku dan amalan yang sesuai dengan keperluan
serta kehendak golongan yang melaksanakan pendidikan. Ditambah lagi pendidikan
diharapkan sebagai usaha yang dapat membentuk akhlak, budi pekerti dan
keperibadian mulia serta keimanan individu manusia.
Dari sudut proses, pendidikan juga dikaitkan dengan persekolahan kerana amalan
semasa, menunjukkan tugas mengajar dan mendidik telah banyak berpindah
daripada ibu bapa dan keluarga di rumah kepada guru di sekolah. Perkembangan
yang pesat dalam bidang teknologi memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang
khusus serta terkini. Oleh yang demikian, keperluan untuk menginstitusikan
pendidikan semakin mendesak dan sering dikaitkan dengan persekolahan.

Sistem pendidikan sebagai suatu proses yang berterusan ini harus bermula seawal
mungkin dan kebiasaannya persekolahan bermula sejak prasekolah lagi kerana di
peringkat prasekolah inilah masa yang paling baik bagi perkembangan potensi
jasmani, intelek, rohani dan emosi. Sehubungan itu, prasekolah ialah peringkat yang
terbaik dalam meletakkan ’batu asas’ pada diri kanak-kanak. Sebagai suatu proses
yang berterusan, pendidikan perlu juga mempunyai rancangan bagi keperluan semua
peringkat individu bagi tujuan memajukan diri mereka sama ada dari segi keperluan
pekerjaan mahupun bagi memupuk minat dan kecenderungan.

Pendidikan dari Sudut Hasil


Dari sudut hasilnya, seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan, pendidikan bererti menghasilkan warganegara yang berpengetahuan,
berketrampilan, berahklak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara.

John Milton menjelaskan hasil daripada pendidikan ialah manusia bertindak secara
adil dan bertimbang rasa dalam segala bidang kerja pada setiap masa. Pestalotzi
pula menjelaskan individu yang telah melalui pendidikan mampu untuk memikul
tanggungjawab dalam pekerjaan masing-masing bagi tujuan kehidupan. Pendidikan
juga dikatakan dapat membuka mata seseorang daripada kegelapan kepada
keadaan yang terang dan mengubah sikap daripada jahil kepada berpengetahuan.
Selain daripada itu, pendidikan juga dapat menjadikan seseorang itu kaya dengan
pengalaman.

Confucius pula menganggap seseorang yang terdidik ialah seseorang yang akan
mempunyai tingkah laku yang sempurna seperti bersopan-santun, ikhlas, murah hati,
rajin dan sebagainya. Seseorang yang terdidik juga akan bersifat sederhana dan taat
kepada ibu bapa, orang yang lebih tua serta taat kepada negara.

Al-Syaibani berpendapat bahawa pendidikan ialah kehidupan di dunia untuk


persiapan di akhirat. Pendidikan akan menggabungkan rohani dan jasmani; akidah
dan syariah; serta dunia dan akhirat. Menurut Sufean Hussin (1996), pengetahuan
ialah hasil daripada pemikiran; dan kemahiran berfikir pula dibina daripada proses
pendidikan. Secara keseluruhannnya dapat dilihat bahawa hasil daripada proses
pendidikan ialah suatu yang bersifat mulia. Jika hasil proses tidak bersifat mulia,
maka proses tersebut tidak boleh dikatakan pendidikan.
Pandangan Lain
Ramai lagi tokoh yang memberi pandangan masing-masing tentang maksud
pendidikan. Pendapat daripada tokoh klasik seperti Pythagoras mengatakan bahawa
pendidikan ialah proses memberi latihan untuk membentuk budi pekerti yang baik
yang mana perkara ini lebih penting daripada pengetahuan. John Stuart Mill
berpendapat bahawa pendidikan adalah aktiviti memahami potensi yang terdapat
pada seseorang dan seterusnya berbuat sesuatu untuk kesempurnaan tabii.

James Mill berpendapat bahawa pendidikan ialah proses memberi pertolongan


maksimum kepada setiap anggota bagi sesuatu masyarakat supaya dapat hidup
dengan penuh keselesaan dan kegembiraan. Selain daripada tokoh Barat, terdapat
ramai tokoh Islam yang memberi pendapat tentang pendidikan. Al-Ghazali
umpamanya telah memberi penjelasan tentang pendidikan selaras dengan hadis
Nabi Muhammad s.a.w iaitu proses pendidikan adalah berterusan bermula sejak lahir
hinggalah ke liang lahad. Pendidikan menurut Al-Ghazali merangkumi pemupukan
budi pekerti yang mulia, sifat berani, sabar serta menghormati orang lain selain
daripada untuk kecergasan jasmani.

Muhammad Qutb pula mengatakan bahawa pendidikan sebagai proses membina


manusia secara menyeluruh melibatkan jasad, intelek dan roh. Pendidikan ialah
perkembangan fitrah manusia seperti yang telah diciptakan oleh tuhan. Khursid
Ahmad menjelaskan, pendidikan menyediakan generasi muda ke arah idealisme
kehidupan melalui latihan dan kesedaran intelek bagi memperolehi kemahiran dalam
lapangan hidup selain daripada menyalurkan warisan budaya.

Rabindranath Tagore, tokoh timur dari Culcatta, India mengatakan bahawa


pendidikan ialah proses yang bertujuan untuk melahirkan fikiran yang cergas,
saintifik, jelas, berani dan bebas. Pendidikan bersifat dinamik dan berkaitan dengan
kehidupan bukan sesuatu yang terhad kepada yang terkandung di dalam buku atau
sesuatu kitab sahaja.

Merujuk kepada tokoh tempatan pula, menurut Sufean Hussin (1996), pendidikan
bererti aktiviti pendidik mendidik dan melatih individu atau orang yang hendak dididik
iaitu pendidik atau guru mendidik dan melatih para pelajarnya. Dari sini jelaslah
bahawa pendidikan dapat diertikan dalam bentuk yang pelbagai bergantung kepada
individu dan dari sudut mana ia dilihat kerana pendidikan membawa maksud yang
luas. Ada yang ingin melihat pendidikan dari sudut bahasa, fungsi pendidikan, ciri
pendidikan, proses pendidikan atau hasil daripada proses pendidikan. Namun
kesemuanya ialah ke arah mendapatkan gambaran keseluruhan tentang maksud
pendidikan.

Fungsi Pendidikan
Intelek, rohani, emosi dan jasmani ialah potensi yang ada pada setiap individu. Setiap
potensi yang ada pada individu boleh berkembang ke tahap maksimum jika peluang
secukupnya diberi untuk perkembangannya. Pendidikan memainkan peranan utama
dalam memperkembangkan potensi yang ada pada individu. Pendidikan mampu
melahirkan individu yang berilmu, mulia, berbudi pekerti yang tinggi, sopan,
bertanggungjawab, berketerampilan dan sebagainya yang secara umumnya bersifat
positif. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku dengan sempurna perlu
melibatkan potensi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Hasil daripada proses pendidikan dapat dilihat dalam dua jangka masa iaitu jangka
masa singkat dan jangka masa panjang. Dalam jangka masa singkat umpamanya
pendidikan mampu membekali individu dengan maklumat, kefahaman, kesedaran
mahupun sesuatu kemahiran. Dalam jangka masa panjang pula maklumat,
kefahaman, kesedaran dan kemahiran akan terkumpul serta teradun untuk
seterusnya membentuk sesuatu sikap yang menjadi dasar kepada perlakuan, tingkah
laku dan tindakan seseorang. Sehubungan itu, sukar untuk meletakkan secara
berasingan hasil jangka masa singkat dan jangka masa panjang bagi sesuatu proses
pendidikan.

Pendidikan menumpu kepada pembinaan fikiran bijaksana yang rasional selain


daripada usaha membina jiwa manusia yang murni dengan kata ringkas, ia
melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pendidikan bukan sekadar untuk
kehidupan, sebaliknya pendidikan itu sendiri ialah kehidupan. Peranan pendidikan
secara umumnya boleh dilihat daripada dua dimensi yang utama iaitu dimensi
intrinsik dan dimensi sosial.

Dimensi Intrinsik
Dari dimensi intrinsik, pendidikan berperanan memperkembangkan individu dari segi
intelek, rohani emosi dan jasmani secara seimbang, menyeluruh dan bersepadu.
Dalam hal ini proses pendidikan perlu berterusan dan berkesinambungan dari
semasa ke semasa. Konsep pendidikan sepanjang hayat (life long learning) seperti
dijelaskan di atas, adalah yang perlu berlangsung dalam setiap diri individu. Bagi
tujuan ini, proses pendidikan boleh berlangsung di mana-mana dan pada bila-bila
masa dan tidak terhad di sekolah atau di mana-mana institusi pendidikan sahaja.
Dalam erti kata lain, proses pendidikan berlangsung secara merentasi masa, tempat
dan situasi.

Dalam pembentukan sahsiah, pendidikan bertujuan melahirkan individu yang


seimbang pada domain kognitif, afektif dan psikomotor atau unsur intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Seseorang perlu mempunyai kemampuan untuk berfikir secara
logik dan rasional; membuat keputusan dengan tepat dan menyelesaikan masalah
dalam kehidupannya secara bijaksana. Selain daripada itu, individu yang terdidik
perlu mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi dengan berkesan; berinteraksi
dengan persekitaran; dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kehidupan.
Individu juga perlu mempunyai keimanan dan kepatuhan kepada tuhan bagi
melandasi segala aktiviti dalam kehidupannya.

Dimensi Sosial
Dari dimensi sosial pula, pendidikan dilihat dari sudut apakah sumbangan individu
yang terhasil melalui proses pendidikan kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Dalam konteks ini, pendidikan sering dikenal pasti sebagai jentera dalam proses
untuk menyediakan tenaga kerja yang terlatih dalam pelbagai pengetahuan dan
kemahiran di pelbagai peringkat untuk pembangunan dan kemakmuran masyarakat,
negara dan antarabangsa.

Bagi tujuan ini, individu akan dilatih dengan pelbagai pengetahuan, disiplin dan
kemahiran bagi membolehkannya mendapat dan melaksanakan sesuatu kerjaya
dengan baik di dalam kehidupannya. Pendidikan dalam hal ini adalah bagi
menyediakan individu ke arah memenuhi kehendak pasaran buruh dan petak
pekerjaan dalam masyarakatnya. Bagi sesebuah negara tertentu, pendidikan ialah
sebagai indoktrinasi bagi menanamkan sesuatu ideologi negara secara tegas.
Umpamanya, suatu ketika dahulu di negara blok komunis, proses indoktrinasi
dilakukan kepada rakyatnya bagi tujuan membangunkan sistem pemerintahan
negara. Pendidikan juga adalah bagi tujuan pembangunan sesebuah negara dari
sudut sosial, kestabilan politik, perpaduan rakyat, pemeliharaan cara hidup demokrasi
dan pencapaian dasar wawasan negara.

Pendidikan dan Perubahan


Dari semasa ke semasa, bidang pendidikan terus mengalami perubahan kerana
bidang pendidikan adalah dinamik sifatnya baik dari segi asas penegasannya
membawa kepada kandungan, kaedah dan seterusnya sumber serta cara
penilaiannya. Perubahan ini sesuai dengan perubahan nilai, fikiran, kehendak dan
kemajuan teknologi yang diusahakan oleh manusia. Di sekolah sebagai contoh,
perubahan yang berlaku dalam pelaksanaan pendidikan bukan sahaja dalam hal-hal
berkait dengan pentadbiran dan pengurusan, namun ia juga meliputi fokus dan
kandungan kurikulum; penegasan dalam pelaksanaan kurikulum; pendekatan,
strategi dan kaedah pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran; penilaian
dan penggunaan teknologi yang terkini.

Senario yang berlaku di peringkat semasa dan yang akan datang menyebabkan
penekanan adalah lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan
pembangunan manusia dari segi fizikal, mental mahupun spiritualnya. Ini kerana
usaha bagi memajukan bangsa dan negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan
fizikal dan mental semata-mata, tetapi juga melibatkan aspek emosi dan rohani yang
kesemuanya perlu dirangka secara strategik.

Kurikulum sekolah perlu mengambil kira perkembangan yang berlaku di peringkat


lokal dan global (glokal). Mata pelajaran seperti teknologi maklumat umpamanya, kini
menjadi begitu penting dan perlu diajar kepada para pelajar baik di mana-mana
peringkat pun. Begitu juga dengan mata pelajaran vokasional. Pengajaran dan
pembelajaran menjadi semakin luas bagi melatih para pelajar supaya lebih terdedah
dengan alam sekeliling, perkembangan semasa dan perkembangan masa hadapan.
Pengenalan kepada mata pelajaran bahasa lain sebagai bahasa kedua adalah perlu
bagi memberikan lebih banyak persediaan kepada generasi yang akan berada di
pentas glokal.
Pendekatan pendidikan secara tradisional yang memberi penekanan kepada
penyampaian pengetahuan semata-mata melalui cara syarahan atau penerangan
guru secara sehala, tidak lagi dapat dianggap sebagai kaedah yang memuaskan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran hari ini. Dalam erti kata yang lain, guru
bukan lagi sebagai ‘sage on stage’ sebaliknya guru adalah ‘the guide by the side’
(Ibrahim Bajunid, 2000). Guru lebih sebagai fasilitator yang banyak membantu
perkembangan pelajar walaupun bentuk peranan yang lain tidak boleh diabaikan.

Peranan sebagai fasilitator memerlukan seseorang guru menguasai kemahiran dalam


penggunaan peralatan bantuan mengajar yang terkini seperti komputer, multimedia,
internet dan sebagainya selain daripada berkebolehan mengamalkan kaedah sedia
ada dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Kejayaan penggunaan
teknologi pendidikan dan penggunaan pelbagai media dalam meningkatkan
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada
usaha gigih guru.

Guru merupakan orang yang paling banyak memainkan peranan dalam menarik
minat pelajar terhadap proses pembelajaran. Justeru itu, bagi membolehkan pelajar
belajar secara optimum, guru perlu menggunakan kemahiran mengajar dengan teknik
yang sesuai dan berkesan. Sikap dan minat seseorang pelajar adalah tidak sama,
namun ianya boleh dibentuk oleh guru melalui pelbagai teknik pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Pengajaran yang menarik serta personaliti yang baik
boleh menimbulkan minat pelajar terhadap proses pembelajaran, seterusnya akan
memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.

Cabaran yang dihadapi oleh guru menyebabkan peranan guru sentiasa mengalami
perubahan dari semasa ke semasa. Guru tidak boleh mengambil mudah dalam
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Seiring dengan Wawasan
2020, guru perlulah peka dengan teknologi-teknologi baru yang telah diperkenalkan
dan tidak lagi menggunakan bahan bantu mengajar tradisional.

Kesimpulannya, pendidikan memainkan peranan penting dalam pembentukan


generasi yang akan mengambil alih peranan dan tanggungjawab generasi semasa.
Pendidikan bukan sahaja dipertanggungjawab untuk membekal generasi baru
dengan pengetahuan dan kemahiran tetapi juga untuk menyemai nilai hidup dan etika
yang boleh menentukan kejayaan masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Menyedari hakikat ini, pendidikan perlu berada di atas tapak atau landasan yang
kukuh. Tanpa landasan yang kukuh, pendidikan adalah goyah sifatnya dan akhirnya
tidak mampu memainkan peranan. Kegagalan pendidikan dalam memainkan peranan
akan membawa kepada kehancuran terhadap masyarakat, agama, bangsa dan
negara. Oleh yang demikian, usaha mencari tapak atau landasan yang kukuh melalui
pengenalan kepada falsafah pendidikan adalah diharapkan dapat menghasilkan
sesuatu yang lebih baik berbanding dengan yang sebelumnya.

Falsafah Pendidikan
Menurut Abd. Fatah Hasan, falsafah pendidikan ialah suatu sistem kepercayaan,
pegangan atau prinsip am yang membincangkan pelbagai hal mengenai pendidikan
dan pengajaran yang patut dijalankan di sekolah atau di bilik-bilik darjah. Al-Syaibani
pula menyatakan, falsafah pendidikan ialah usaha bagi melaksanakan teori dan
kaedah berhubung pengalaman manusia. Falsafah pendidikan juga mampu menilai,
menyelaras dan menganalisis masalah berhubung kehidupan.

Menurut John Dewey falsafah pendidikan ialah sebagai satu dasar yang fundamental,
intelektual dan fungsional ke arah menuju tabiat manusia yang cemerlang dan
bertamadun. Setiap falsafah pendidikan berasaskan kepada satu atau lebih falsafah
umum seperti idealisme, realisme, pragmatisme atau eksistensialisme. Falsafah
pendidikan dibentuk kerana terdapat persoalan yang saling berkaitan antara falsafah
dengan pendidikan yang tidak terjawab secara falsafah atau pendidikan semata-
mata. Falsafah pendidikan ialah pecahan daripada falsafah umum. Tidak dinafikan
terdapat juga sarjana yang menganggap falsafah pendidikan ini sebagai teori
pendidikan. Namun kedua-duanya membincangkan perkara tentang pendidikan.

Kepentingan Falsafah Pendidikan


Proses mendidik pelajar perlu berlangsung secara terancang dan sistematik kerana
tanpa ciri tersebut proses ini akan mengalami banyak masalah dan halangan
sehingga tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Bagi mengadakan sistem
pendidikan yang sistematik, ia perlu kepada asas atau falsafah yang kukuh yang
menjadi dasar pendidikan. Falsafah pendidikan bukan sahaja menjadi asas kepada
pembentukan sesuatu sistem pendidikan, malahan ia juga menjadi panduan yang
amat penting dalam pelaksanaan sesuatu sistem pendidikan tersebut. Ketiadaan
suatu dasar yang jelas dan mantap, sudah pasti sistem pendidikan dan
pelaksanaannya tidak akan mempunyai hala tuju yang tetap dan tidak berlangsung
dengan lancar, terutama sekali kerana terdapat pemboleh ubah lain di sekitarnya
seperti kepimpinan, kewangan, pengaruh politik, kepesatan kemajuan teknologi,
sosial dan lain-lain lagi yang juga menjadi asas bagi pelaksanaan pembentukan dan
pelaksanaan sistem pendidikan. Dalam erti kata lain, sistem pendidikan perlu
berteras kepada falsafah pendidikan yang jelas lagi praktikal.

Ahli falsafah seperti Socrates, Plato, Aritotle dan lain-lain banyak mengaitkan falsafah
dengan pendidikan kerana terdapat hubungan yang jelas antara falsafah dengan
pendidikan. Penemuan dalam bidang falsafah sebenarnya tidak boleh dipisahkan
daripada bidang pendidikan kerana terdapat hubung kait yang rapat antara satu
sama lain. Kepentingan falsafah dalam sistem pendidikan tidak dapat dinafikan lagi.
Tanpa falsafah, bermakna sesuatu sistem pendidikan itu tidak berlandaskan kepada
suatu landasan yang kukuh dan jelas. Falsafah pendidikan ialah sebagai langkah
permulaan dalam proses pembangunan sistem pendidikan. Penetapan aspek-aspek
lain yang terdapat dalam pendidikan seperti matlamat, isi kandungan, pendekatan,
strategi dan kaedah pengajaran adalah juga perlu merujuk kepada falsafah
pendidikan yang ditetapkan.

Falsafah pendidikan akan menjelaskan makna kepada keputusan dan tindakan


dalam pendidikan. Ornstein & Hunkins (1993) menegaskannya seperti berikut:
In the absence of a philosophy, the educator is vulnerable to externally
imposed prescriptions, to fads and frills, to autoritarian schemes, and to
other ‘isms’.

John Dewey dalam bukunya Democracy and Education menjelaskan hubungan yang
saling berkaitan antara falsafah dengan pendidikan. Beliau merumuskan bahawa
falsafah sebagai suatu teori umum mengenai pendidikan. Dari sini jelaslah bahawa
terdapat hubungan yang saling perlu antara falsafah dan pendidikan. Perkara ini juga
jelas dapat dilihat apabila terdapatnya perkaitan antara falsafah dengan matlamat
sesebuah sekolah.

Secara grafiknya, pandangan Tyler tentang hubungan antara falsafah dengan


matlamat sekolah ditunjukkan dalam Rajah 2. Oleh kerana falsafah pendidikan ialah
asas kepada aktiviti pendidikan yang mencerminkan pemikiran dan falsafah
sesebuah negara, maka dalam pembentukan sesuatu kurikulum dalam sistem
pendidikan, falsafah dan matlamat pendidikan negara hendaklah turut diambil kira
kerana falsafah pendidikan selain daripada mempersoalkan perkara yang asas iaitu
persoalan metafizik, epistemologi dan aksiologi ia juga memberi fokus kepada
pendidikan dari sudut konsep, proses, peranan dan matlamatnya.

Rajah 2
Hubungan Falsafah Dengan Matlamat Sekolah
Sumber: Curriculum Foundations, Principles and Theory
(Ornstein & Hunskin, hal. 37)

Sebagai rumusannya, dapat disimpulkan beberapa rasional tentang bagaimana


falsafah pendidikan berperanan di dalam sistem pendidikan seperti berikut:

 Memainkan peranan sebagai tumpuan kepada segala idea dan pemikiran tentang
pendidikan.
 Dapat menjelaskan hala tuju kepada segala usaha untuk memajukan sistem
pendidikan.
 Sebagai asas atau dasar dalam menentukan matlamat pendidikan sesebuah
negara
 Sebagai panduan dalam menentukan fokus dan kandungan kurikulum pendidikan
 Menunjuk arah kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan institusi pendidikan
dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
 Menjadi asas dan memberi arah kepada pembuat dasar pendidikan menentukan
corak sistem pendidikan negara.

Anda mungkin juga menyukai